Followers

Showing posts with label resepi. Show all posts
Showing posts with label resepi. Show all posts

Wednesday, 8 April 2015

Kek Lapis Kastad Pandan

As-salam.

Pak Aji memang bukanlah penggemar kek sebenarnya. Apapun setelah berkahwin selama lebih 32 tahun dengan Mak Aji, sekarang tekak dia pun sudah boleh menerima pelbagai kek dan kuih lain yang sebelum ini memang tidak akan dipandangnya dengan sebelah mata - tekak orang kampunglah katakan! - mananya mahu makan kek dan yang sewaktu dengannya!

Dalam banyak-banyak kek yang dia suka - kek lapis keladi! Aduss, yang payah dan leceh untuk membuatnya yang menjadi pilihan! Pak Aji makan kek ini buat pertama kalinya di rumah kakak sulung Mak Aji, terus suka dia kek itu. Setakat ini belumlah lagi hasrat untuk dia makan kek ini hasil tangan Mak Aji tercapai - dahsyat Mak Aji, kan! 

Apapun, kalau mahu berbuat sesuatu. elok langkah demi langkah. Maka langkah pertama, buatlah kek lapis pandan dulu! Maka apabila kakak Mak Aji datang ke rumah, kami sama-sama membikinnya. Sebanyak 2 kek dihasilkan, satu yang besar dan satu lagi kecil sedikit. Nampak gaya kenalah Mak Aji beli acuan springform yang besar lagi supaya dapat dihasilkan satu kek sahaja.

Kek lapis kastad pandan - memang sedap weh!!!
Menjelang petang tadi tinggal sebanyak ini. Malam ini pasti
 ada yang buka peti ais tercari-cari kek ini!
Anda mahu Mak Aji kongsikan resepinya?? Mak Aji ambil daripada kakak Mak Aji yang buat carian di internet - resepi yang manisnya tidak keterlaluan, agak-agak sesuai dengan selera kami. Cuba lihat di bawah resepi yang diambil dari internet (sumbernya ada pada tajuk resepi):


BAHAN A:

4 biji kuning telur saiz AA - kalau saiz B, 5 biji
*150gm tepung gandum
*1 sdt baking powder
- satukan bahan bertanda *, dan ayak
100ml susu segar + 50 ml jus pandan ( kisar 10 helai daun pandan bersama 1 liter air, ambil sedikit jusnya )
75ml minyak jagung
Sedikit pewarna hijau

BAHAN B:

4 biji putih telur
100gm gula kaster

Cara membuatnya:

- Sediakan loyang 8x8 inci, letak baking paper di dasar loyang. Tak perlu sapu mentega atau minyak.
- Panaskan ketuhar pada suhu 160 darjah celcius.

- Asingkan putih dan kuning telur.
- Untuk bahan B, pukul putih telur hingga berbuih, masukkan gula kaster dan terus memukul lagi sehingga kental dan menjadi meringue. Ketepikan.

- Untuk Bahan A, satukan kuning telur, minyak jagung dan campuran susu dengan jus pandan. Pukul seketika.
- Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil memukul perlahan.
- Masukkan sedikit pewarna hijau. Gaul sebati.
- Masukkan bahan A (meringui) ke dalam mangkuk bahan B secara sedikit2. Kaup balikkan adunan dengan lembut.
- Masuk dalam loyang, dan bakar secara steam bath selama 45 minit atau sehingga masak.
- Siap masak, sejukkan.
- Belah pada 3 bahagian.

Tanpa sebarang dekorasi (sebagai dekorasi, taburkan kelapa parut kering).

Sila pastikan plastik yang diletakkan pada permukaan loyang sebelum kastard dituangkan dalam keadaan yang benar2 licin tanpa sebarang gelembung udara. 

Lapisan Kastard

Bahan-bahan:

1000ml santan dicampur bersama lebihan jus pandan (pada resepi kek di atas) + 200ml susu cair - jadikan cecair ini 1200ml
13gm serbuk agar (plain)
85gm tepung hoen kwe -colour hijau
75gm gula pasir
- Satukan semua bahan dalam periuk, panaskan dengan api sederhana sehingga adunan likat dan pekat.

Cara untuk melapis kek:

- Alas loyang dengan plastik supaya mudah untuk keluarkan kek nanti.
- Masukkan 1/3 bahagian kastard ke dalam loyang. Ratakan.
- Letak lapisan kek pertama
- Letak lapisan kastard, ratakan. Siapkan untuk semua lapisan.
- Masukkan lebihan kastard ditepi2 loyang, hentak2 kan secara perlahan.
- Sejukkan dalam peti, dalam 2 jam selepas itu, boleh telangkup loyang, dan hidangkan.....

Kami menghasilkan kek kami dengan menghasilkan kek span menggunakan sponge-mix yang dibeli di kedai bakeri. Hasil kek spannya lebih kurang sama sahaja. Kami juga menggunakan acuan bulat springform, jadi yang terhasil 2 kek, bukannya satu. Oh ya, kami tidak tuang kastad sebagai lapisan pertama. Kali lapiskan kek dahulu. 

Amacam, ada kecur air liur?? Jom buat, sedap ni!!! Cik abang pasti suka!

Catatan: Projek seterusnya, kek lapis keladi! Percaya tidak, semasa tencari-cari resepinya, ada ke patut resepi kek keladi tetapi tiada keladi pun sebagai bahannya??? Kalau begitu bubuhlah nama kek lapis perisa keladi je!



Sunday, 10 August 2014

Jom Buat Ban Manis (sweet bun)

As-salam.

Semasa Mak Aji diberi pilihan kursus sebelum berpencen ada kawan yang mengajak untuk mengikuti kelas membuat roti dan kek tetapi oleh sebab Mak Aji kurang berminat Mak Aji mengambil kursus lain. Walau bagaimanapun, setelah benar-benar bersara, Mak Aji mula 'masuk dapur' kembali dan mencuba-cuba untuk menghasilkan kek dan biskut dengan 'bimbingan' Youtube serta FB! Dari FB-lah Mak Aji kenal Golden Republic dan setelah sekali berkunjung ke premisnya Mak Aji berminat untuk hadir kelas bakerinya - Sweet Bun. Mari Mak Aji kongsikan pengalaman pertama kali mengikuti kelas seumpama ini - cukup berharga sekali!:

Percaya tidak, ini hasil tangan Mak Aji dan kawan-kawan yang mengikuti kelas ini! 

Foto di atas merupakan ban yang kami hasilkan sama-sama dengan bimbingan Chef Lie Ismail. Memang laku 'jualan' ban Mak Aji kepada anak menantu di rumah! Aku 'kaya'!! 

Mari kita layan foto semasa kelas tersebut berlangsung:

Maka bermulalah kelas dengan teori terlebih dahulu.

Selesai teori, kami mula membuat doh dan berikut doh yang siap seberat 50gm setiap satunya, yang sudah melalui proses rounding.

Doh yang menjadi asas sweet bun.
 Setelah proses rounding, kami mulakan proses shaping - membentuk doh menjadi pelbagai bentuk:

Berintikan sosej, doh dibentuk sebegini terlebih dahulu.
Seterusnya, dipotong kepada beberapa bahagian (jangan putus).
Kepakkan bahagian-bahagian yang dipotong untuk menghasilkan kelopak.
Tada, sudah siap kelopak bunga bersosej!
 Doh juga diolah menjadi pelbagai bentuk lain seperti berikut:


Ada yang berkelopak, ada yang berderet, ada yang berbentuk buah kana
dan ditabur bijan!

Pakai gelek sahaja doh untuk hasilkan cheese stick atau seumpamanya!
Proses memintal.
Mudah sahaja menghasilkannya.
Cara mencubit doh berintikan kacang merah untuk proses seterusnya.
Doh berintikan kacang merah di buatkan bentuk lingkaran bulat
atau memanjang.
Yang ini dijadikan 3 segi kosong untuk diletakkan topping nanti. 
Yang ini diletak topping bluberi terlebih dahulu.
Bentuk hati sesuai untuk diberi kepada buah hati!!
Masing-masing bersemangat menghasilkan ban.
Ban ini berintikan kelapa dan dibentukkan seperti kipas.
Chef Lie menghasilkan bahan untuk topping untuk ban.

Setelah siap proses shaping dan sebahagian proses dekorasi, ban melalui proses proofing (biarkan doh naik).


Masya-Allah, punyalah cantik apabila doh menaik dan membesar sehingga 3
kali ganda saiz sebelum proofing!!
Lihatlah kelopak yang kembang mekar sehingga 3 kali ganda saiz asal!
Awas jangan sampai jadi kembar Siam!
Setelah proofing itu bermulalah proses akhir sebelum membakar ban, iaitu dekorasi akhir (finishing touches):


Dibuat topping mayonis, sos cili serta keju atau apa-apa sahaja yang sesuai.
Cantik, bukan!

Ban ini ditambah topping kastad pula.
Picit, jangan tak picit.
Hiasan akhir, taburkan crumble di atasnya!
Untuk ban ini pula dibuat topping jenis onion spread
(kalau tak silaplah) dan diletak keju.
Yang ini dibuat seumpama piza mini.
Inio hasil akhir setelah dibuat topping sos piza, mayonis serta
taburan lada benggala, sosej dan keju.
Siap untuk dibakar.
Sebelum dekorasi akhir.
Siap untuk bakar.
Topping jenis onion spread, bawang Holland, mayonis serta keju.
Disapu spread yang dicairkan dan ditabur bijan.
Untuk makluman, doh dihasilkan menggunakan peralatan pengadun, pembahagi doh, serta ketuhar komersial. Ketuhar sahaja harganya 100 ribu, awak! Dapat kita beli sebiji kereta tu! Sekali bakar 500 ban siap! Walau bagaimanapun home baker macam Mak Aji akan hanya memanfaatkan ketuhar sedia ada sahaja. Kalau kurang menjadi barulah boleh fikir-fikir untuk mendapatkan ketuhar yang sesuai untuk meroti ni!

Ketuhar saiz bagak! Kita pun boleh masuk!
Pengadun dan pembahagi doh yang harganya juga
ribuan! (bukan rupiah ya)
Sekali pandang semacam mesin pengering di dobi.
Mak Aji juga ingin kongsikan 4 produk premix Miss Lizzie uantuk kita yang sedikit lazy (Miss Lizzie yang lazy!). Premix ini boleh dimanfaatkan oleh tuan punya BM (breadmaker) untuk menghasilkan roti loar atau ban yang siap berperisa. Ada 4 jenis, iaitu - onion n chives, spicey, fruity dan carrot grain. Kalau sudah punya BM dan roti tidak dibuat-buat juga, apa lagi alasan anda??? Jawab Mak Aji, jawab, he he!!
Memudahkan tuan punya BM!
Proses akhir menghasilkan ban ialah membakarnya. Anda akan tahu prosesnya siap apabila sebiji rumah semerbak dengan aromanya! Yess!! Masa yang ditunggu-tunggu tiba akhirnya! Layan:

Ban yang gebus gebass!









Pada akhir sesi, kesemua peserta tersenyum puas dengan hasil kerja tangan masing-masing. Apa lagi apabila chef memaklumkan yang kami boleh membawa pulang ban tersebut! Apa lagi, jom tapau!!

Berikut foto peserta kelas dengan Chef Lie Ismail:

Terima kasih chef atas bimbingan! Jazakallahu khair!
Jika anda berminat mengikuti kelas atau ingin mengetahui lanjut tentang Golden Republic sila klik pautan berikut:

https://www.facebook.com/GoldenRepublicMalaysia?ref=ts&fref=ts
https://www.facebook.com/GoldenRepublicMalaysia/events
http://ummumadihah898.blogspot.com/2014/07/golden-republic-malaysia-sdn-bhd.html

Semoga kita semua beroleh manfaat dengan perkongsian ini, insya-Allah.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...