Followers

Showing posts with label puasa. Show all posts
Showing posts with label puasa. Show all posts

Sunday, 16 September 2012

Alhamdulillah!

As-salam.

Alhamdulillah selesai sudah hari terakhir puasa enam! Hanya kerana taufik dan hidayat serta kudrat-Mu jualah puasa dapat diselesaikan.

Semenjak sehari dua ini suasana di rumah sedikit berubah dengan kehadiran Baba Aziz di rumah. Pak Aji terutamanya (juga Mak Aji, jangan lupa!) sibuk memenuhi keperluan Baba, terutama jemputan ke rumah anak-anak muridnya serta menganjurkan kelas pengajian.

Beranda belakang menjadi tempat rehat Baba sepanjang hari dan juga menjadi tempat minum selepas kelas pengajian - alhamdulillah boleh dimanfaatkan dengan baik! Kuranglah sesak di rumah Mak Aji yang agak comel ini!

Yang paling penting, rumah menjadi tempat majlis ilmu yang dikunjungi anak-anak muridnya yang sebahagian besar datang dari sejauh Kajang. Semoga Allah melimpahkan keberkatan ke atas kami semua, aminn!!

Sekadar hiasan.
Sumber

Dugaan Besar Puasa Enam

As-salam.

Puasa enam kali ini memang banyak betul cabarannya. Sudahlah terpaksa menanggung malu kerana terpaksa puasa sampai ke hujung sut Syawal, banyak pula dugaan yang ditanggung. 

Seperti yang disebut sebelum ini, guru pak Aji dan keluarga menginap di rumah selama beberapa hari. Kehadiran Baba Aziz mengundang tamu ke rumah. Selain itu juga kelas pengajian secara tertutup (select few) diadakan setiap malam. 

Pada pagi tadi diadakan tausiah khusus untuk para isteri kepada anak-anak muridnya. Usai solat Subuh Mak Aji dan isteri Baba sibuk di dapur menguruskan makan minum sebelum tetamu tiba. Setelah tausiah dan makan minum juga selesai, masing-masing sebahagian besarnya ke rumah terbuka Ustaz Azhar di Subang Bestari - nasi beriani kambing, mengikut isteri Ustaz Azhar sehari sebelumnya (maaf banyak-banyak Sarah, akak tidak dapat memenuhi undangan, satunya kerana puasa, dan keduanya kerana keletihan yang amat). 

Isteri Baba Aziz, Kak Mah serta anak bongsunya Muiz.

Setelah Pak Aji membawa Baba Aziz ke rumah Ustaz Azhar, bolehlah Mak Aji rebah belakang sekejap sementara mereka balik. Badan Mak Aji terasa umpama kain buruk, lembik selembik-lembiknyanya. Asyik terlupa untuk makan vitamin. Kalau makan biasanya insya-Allah badan kuatlah sedikit. Agaknya beberapa malam tidur lambat setelah usai kelas sudah mula 'mencukai' badan ini.

Selepas seketika berbaring, jiran isteri ketua balai polis pula menelefon untuk mengundang ke jamuan raya - terpaksa ditolak dengan baik kerana puasa. Juga pada hari ini Aida, bekas anak buah di ofis dan kawan baik mengadakan jamuan raya - pun terpaksa ditolak dengan baik. Maaflah semua, Mak Aji terpaksa selesaikan juga puasa ini. Sepupu Mak Aji di Gombak juga ada menjemput ke rumah terbuka pada hari ini - pun terpaksa ditolak. 

Isteri Baba sudah pulang ke Kelantan dengan menumpang salah seorang anak muridnya dan akan kembali sebelum Baba dan anaknya, Mat serta Pak Aji dan rakan-rakan lain bertolak ke Yaman insya-Allah pada 27 September nanti - untuk menghantar Mat ke sana. Kata Pak Aji, Mat akan berpeluang menginap di rumah Habib Umar al-Hafiz sendiri!!

Dugaan kesihatan kali ini agak mencabar. Semoga Allah permudahkan jam-jam terakhir menunaikan puasa pada hari  ini, amin!! Insya-Allah badan akan lebih kuat apabila esok sudah tidak puasa lagi. Semoga juga lebih bertenaga menguruskan makan minum (selain menumpang sekali mendengar) untuk kelas yang insya-Allah akan berlangsung sehinggalah ke akhir bulan nanti!

Catatan: Foto Baba Aziz sengaja ditiadakan sebab tuan diri tidak mahu fotonya tersebar.



Friday, 14 September 2012

Biar Lambat Asal Dapat, insya-Allah

As-salam.

Segan pula hendak cerita, tetapi tidak mengapa, semoga jika masih diberi hayat, tidak dibuat lagi pada tahun hadapan! Ini sebenarnya gara-gara bertangguh puasa enam. Untuk pengetahuan, hari ini barulah masuk hari keempat (tunduk malu!) Mak Aji puasa. Insya-Allah kena puasa sampai ke penghujung sut Syawal. 

Alamak hai!!
Sumber

Macam biasalah, macam-macam alasan diberi - sibuk dengan urusan kahwin anak, lepas itu badan tidak sihat, dedar macam hendak demam saja, lepas tu balik kampung (hendak makan segala macam, takkan hendak puasa pulak, kan??). Tahu-tahu sahaja sudah sampai lampu merah berkelip-kelip (macam di dada Ultraman) menandakan Syawal hampir tamat! Alamak, puasa belum sambung lagi!!??  

Pada petang ini pula guru Pak Aji, Baba Aziz dengan beberapa ahli keluarganya insya-Allah akan menginap di rumah selama beberapa hari - kata Pak Aji kelas kecil akan diadakan di rumah. Mereka sebenarnya sudah balik kampung selepas hadir kenduri Hanif tempoh hari. Mereka datang balik atas urusan menghantar anak Baba ke Yaman untuk meneruskan pengajiannya di sana. Apapun, puasa tetap puasa insya-Allah!! 

Pembetulan ya, It's Magic, bukan It's A Magic (tabiat editor,
sakit saja mata bila lihat yang tidak betul!!)
Sumber


Tuesday, 7 August 2012

Berbuka dengan Mak Munah

As-salam.

Bermula sejak bulan puasa, Mak Aji memasang TV1 untuk mendengar azan Maghrib bagi tujuan berbuka (kalau bukan bulan puasa tentunya saluran lain - kalau dahulu marah Tok Mat! - mantan menteri penerangan Malaysia). Sambil menikmati juadah berbuka Mak Aji selalu berleter - "leceh betul, orang tengah sedap berbuka, ada yang dok menangis tak tentu pasallah pulak!! Hilang mood makan!" Sesekali dijenguk juga apa halnya menangis itu dan siapa gerangan yang menangis itu. Rupa-rupanya yang menangis itu Mak Munah, suatu watak orang tua dalam siri Baitul Rahmat yang bersiaran dari selepas azan sehinggalah jam 8.00 malam. Mak Munah ditinggalkan oleh anak-anaknya di rumah orang-orang tua kerana masing-masing berhalangan dan tidak ingin menjaganya. Siri ini berkisar di rumah orang tua tersebut. Memandangkan Mak Aji juga orang tua, jadi tersentuh jugalah hati ini - janganlah pula Mak Aji menerima nasib yang sama seperti Mak Munah ini ya!!

Siri ini hasil buah tangan Sheila Rusli dan suaminya dan antara lain ingin memaparkan kisah yang banyak berlaku dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini - semoga menjadi iktibar kepada kita semua!

Pelakon watak Mak Munah ini sebenarnya sudah lama berlakon tetapi sebelum ini agak kurang menyerlah dan Mak Aji yakin selepas ini beliau akan lebih sinonim dengan nama Mak Munah daripada nama asalnya, Ku Faridah Ku Shafie! Kalau yang belum pernah tonton siri ini, ini dia wajah Mak Munah yang menemani Mak Aji berbuka!:

Mak Munah peneman berbuka!
Anak-anak Mak Munah.
Terpikat dengan watak Juriah (Yatt Hamzah).

Semasa tercari-cari foto untuk entri ini, Mak Aji mendapat tahu bahawa rupa-rupanya ramai yang menonton siri ini -  541, 105 jumlah penonton sejak mula puasa!! Sila lihat pautan dibawah:

http://www.sinarharian.com.my/hiburan/setengah-juta-tonton-baitul-rahmat-1.74136


Catatan: Kalau sebelum ini Mak Aji berleter bila siri ini mula bersiaran, sekarang anak-anak mengejek - Cepat mama, Mak Munah panggil tu!! He he he!!!


Thursday, 2 August 2012

Bazar Ramadan

Untuk pertama kali puasa ini Mak Aji ke bazar Ramadan di Subang Perdana petang ini. Sebenarnya Mak Aji ada urusan lain di Subang Bestari dan di bank cawangan Subang Perdana. Mak Aji dan Asyraf sampai sekitar jam 3.30 petang. Peniaga baru mula mengemas gerai untuk memulakan perniagaan. Anak Mak Aji menyebut - "macam kat Indon je." Apa tidaknya sebab hampir semua yang ada di situ warga sana! Di gerai buah pun nampak seperti taukenya Indon manakala pekerjanya Bangla! Mana orang kita ya?? Oh ya, yang tukang membelinya nanti, he he!!

Air kathira ada tak?? Rindu kathiralah pulak!! JB jauh sangat!
Kambing bakar anyone??
Lama tak pekena gearbox!

Tidak hairanlah SPRM sudah masuk ke bazar Ramadan! Ini kerana mereka ke sana untuk menyiasat penyelewengan dalam urusan lot berniaga bazar Ramadan!!  Entah apa-apalah!

Semasa kami beredar pulan kelihatan tiga orang pegawai/kakitangan jabatan kerajaan, dua lelaki dan seorang perempuan (memegang fail dan pen) - orang SPRM-kah mereka?? Atau dari Jabatan Kesihatan?? Wallahualam!

Sumber foto: Google Images



Wednesday, 1 August 2012

Solat Sepanjang Malam Hingga ke Subuh

As salam.

Semasa membaca Kosmo Online hari ini, Mak Aji terbaca rencana yang bertajuk di atas. Ingin Mak Aji kongsi rencana ini dengan anda kerana ia begitu menarik sekali - begitu jauh perbezaan suasana Ramadan di Yaman berbanding di sini! Semoga mampu membawa keinsafan serta manfaat bersama! Berikut berita yang Mak Aji petik in toto dari akhbar tersebut:



BERPUASA pada siang hari dan beribadat sebelah malamnya dengan mengerjakan solat tarawih sepanjang bulan Ramadan merupakan dua amalan yang penuh dengan keistimewaan serta keberkatan.

Kedua-duanya begitu sinonim dan sukar dipisahkan kerana ia memberi manfaat tersendiri kepada umat Islam dalam melaksanakan ibadah tersebut.

Jika tertinggal atau tidak mengerjakan salah satunya, maka puasa atau solat tarawih yang dilakukan bukan sahaja terasa kosong, malah sia-sia. Sebaliknya, seseorang itu hanya mendapat kepenatan.

Bagi Haniff Abu Talib, 23, pelajar jurusan Ijazah Takhassus Qiraat Shoubra di Maahad Qiraat Al-Azhar, Mesir, ketibaan Ramadan amat ditunggu-tunggu walaupun beliau berada di perantauan.

Bagi masyarakat Asia Barat, Ramadan begitu istimewa terutama dalam mengerjakan ibadah tarawih.

"Sepanjang menuntut di Mesir sejak dua tahun lalu, saya berpeluang mengunjungi daerah Tarim di Hadramaut, Yemen. Pengalaman pertama kali berada di Masjid Tarim sangat mengujakan kerana kami langsung tidak tidur malam.

"Masyarakat Yemen melaksanakan ibadah sebanyak-banyaknya pada malam-malam bulan Ramadan. Selepas solat Maghrib, mereka terus melakukan solat tasbih beramai-ramai. Kemudian, selepas Isyak, solat tarawih dilakukan sebanyak 100 rakaat.

"Mereka seolah-olah mengqada semua solat-solat sunat yang ditinggalkan dahulu bagi merebut pahala ibadah berlipat kali ganda yang dijanjikan Allah pada bulan ini. Bayangkan hebatnya masyarakat Islam di Hadramaut menunaikan ibadah," jelas Haniff yang berjaya khatam al-Quran Riwayat Imam Qolun dan Imam Abu Ja'far secara talaqqi di hadapan Sheikh Waeel Hajjaj di Mesir.

Pusat ilmu

Haniff juga pernah berkunjung ke Masjid Ba'alawi dan tidak melepaskan peluang mengerjakan solat tarawih bersama ulama terkemuka Yemen, Habib Umar bin Hafidz di Darul Mustofa, Tarim, Hadramaut.

Tarim merupakan sebuah kota kecil yang terletak kira-kira 500 kilometer dari ibu kota Yemen, Sana'a. Menurut Ensiklopedia Islam, ia turut disebut sebagai kota Seribu Wali dan terkenal sebagai pusat ilmu dan penyebaran Islam ke seluruh dunia.

Di Yemen, terdapat 365 buah masjid. Setiap kali Ramadan, solat tarawih akan dikerjakan sepanjang malam hingga solat Subuh. Keadaan itu membolehkan para jemaah memilih masa yang diinginkan untuk menunaikan solat tarawih di mana-mana masjid yang ada.

Menurut anak kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan itu, di Malaysia lain pula ceritanya. Apabila Ramadan menjengah, kehangatan Aidilfitri sudah dirasai. Namun, di Mesir, bulan Ramadan dirasakan seolah-olah hari raya.

"Di Mesir, Ramadan disambut meriah seperti hari raya. Kebanyakan penduduk akan memasang pelita besar yang dikenali sebagai fanus. Ia akan ditulis dengan kalimah Allah atau perkataan Ramadan Kareem. Setiap masjid pula biasanya akan menyediakan makanan untuk berbuka puasa yang dinamakan maidatur rohman," terangnya lanjut.


Catatan: Pak Aji pernah ke Tarim dan beginilah juga lebih kurang cerita yang dibawa balik, tentang betapa kuatnya orang Yaman beribadah semasa Ramadan. They really put us to shame!! Jadi, marilah kita tingkatkan amal ibadah kita pada baki dan terutama sekali pada akhir Ramadan tahun ini!!


Sumber berita dan foto: KOSMO Online 1 Ogos 2012.



Jus Tembikai Berpudina

As salam.

Tidak lama dahulu Mak Aji menonton Giada at Home di Food Network Asia di Astro dan dia menyediakan minuman jus tembikai berpudina yang kelihatan cukup 'mengancam'. Jadi dua hari lepas Mak Aji menyediakan jus tersebut untuk berbuka. Terbukti jusnya cukup sedap! Mak Aji terpaksa mengubah sedikit sebab seperti biasa, Giada biasa menggunakan liquer (yang tentunya kita tidak boleh gunakan). 

Jus tembikai - sekadar hiasan.

Berikut lebih kurang resipinya:

sesuku tembikai bersaiz sederhana
air masak secukupnya untuk menghasilkan satu jag jus
1 biji asam limau nipis - diperah airnya
5 sudu besar gula
10 helai daun pudina

Caranya:

Kisar tembikai bersama-sama air, gula, perahan air asam limau serta daun pudina (gunakan fungsi pulse).
Masukkan jus ke dalam peti ais atau tambah ais sebelum minum.
Rasa pudina cukup menyegarkan! Cubalah.

Catatan: Mak Aji suka kurang manis, jadi anda boleh tambah gula jika suka.

Sumber foto: http://www.vegetarianrecipes.net/watermelon-juice/



Friday, 27 July 2012

Juadah di Restoran Kartini

Pada minggu lepas Mak Aji ada urusan di Shah Alam dan setelah urusan selesai, waktu sudah petang, maka Mak Aji menyinggah di Restoran Kartini, di seksyen 10 Shah Alam (berdekatan Masjid negeri). 

Saban tahun pada bulan puasa restoran ini menyediakan segala macam lauk pauk Kelantan - sebut sahaja lauk apa, insya-Allah adalah tu! (ini yang dikatakan semua ada, mak bapa sahaja yang tiada).  

Dari luar lagi Mak Aji nampak restoran penuh dengan pengunjung. Pelbagai kuih seperti buah tanjung, tahi itik, lompat tikam, pelbagai pengat, (cream puff pun ada), .......! Senarai kuihnya tidak berkesudahan. Kalau tidak silap disediakan 3 stesen/kaunter bayaran! (the owner must be laughing all the way to the bank!!). 

Kami memilih kerutup limpa, sambal tumis ikan bilis, ayam percik, kuih lompat tikam, buah tanjung dan tahi itik. Kesemuanya RM60! Harganya boleh tahan jugalah ya - tidak boleh diamalkan hari-hari, nanti bankrap dibuatnya!! 


Catatan: Kalau berminat untuk berkunjung, sila lihat link pada namanya yang dipautkan kepada facebooknya. Di situ ada disediakan petanya sekali! Cuma Mak Aji tak perasan ada atau tidak kerabu sare??!! 



Wednesday, 25 July 2012

Cek Mek Molek

Kuih untuk berbuka petang ini, cek mek molek. Anak Mak Aji, Madihah hantu kuih ini. Sejak kecil inilah kuih kegemarannya.

Cek mek molek

Walau bagaimanapun, cek mek molek yang dihasilkan petang ini agak sedikit 'kekerasan'. Memang tidak puas hati dibuatnya. Mak Aji rebus keledek agak terlewat sedikit. Jadi, keledek tidak sempat sejuk. Ubi dilecek semasa masih panas lagi. Berbanding biasa, banyak tepung yang terpaksa digunakan untuk menghasilkan dohnya (dalam hati, jangan keras kuih ini, sudah!). Memang kerisauan menjadi kenyataan! Memang keras! Di manakan silapnya?? Adakah kerana ubi dilecek ketika masih panas? Sesiapa boleh bantu?


Sumber foto: Google Images (sebab kuih walau sedikit keras licin juga dimakan anak-anak, jadi terpaksalah guna gambar orang!)

Thursday, 19 July 2012

Ramadan al-Mubarak

Insya-Allah umat Islam di Malaysia akan mula menjalani ibadah puasa pada hari Sabtu, 20 Julai 2012 bersamaan 1 Ramadan 1433 H. 




Sempena kedatangan bulan yang penuh keberkatan, Mak Aji ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada semua umat Islam yang sudi mengunjungi blog Mak Aji. Tidak lupa juga Mak Aji ingin memohon berbanyak-banyak kemaafan jika ada kata-kata Mak Aji di sini yang telah mengguris rasa sesiapa yang hadir di sini. Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah SWT dan segala yang tidak baik itu datang daripada Mak Aji sendiri. 

Alhamdulillah kita masih diberikan kesempatan untuk hadir pada Ramadan ini.  Semoga kedatangan Ramadan kali ini juga bukanlah yang terakhir buat kita dan semoga kita akan memanfaatkannya sebaik mungkin demi kehidupan kita yang kekal di akhirat nanti, insya-Allah! 

Ahlan wa sahlan, ya Ramadan!!

Sumber foto: Google Images

Wednesday, 3 August 2011

Ramadan 1432

Ramadan datang lagi. Macam biasa, hari pertama migraine, badan nak menyesuaikan diri dengan tak makan dan kurang tidur agaknya. Selepas cobaan hari pertama itu, oklah. Hari kedua puasa baru mula kerja, agak ngeri jugak bila memikirkan jam luar biasa kerana semua orang (agaknya??) menukar waktu keluar daripada WP2/3 ke WP1. Maknanya hampir semua kakitangan awam keluar 4.30 petang. Dalam perjalanan balik pula mereka menyinggah di bazar ramadan (kalau tak beli di pejabat, untuk mereka yang ada bazar di pejabat!). Itu yang Mak Aji terpaksa tempuh beberapa bazar ramadan sebelum sampai ke rumah. Jamnya jangan ceritalah. Alhamdulillah syukur anak dara Mak Aji ada kat rumah. Jadi Pak Aji dengan dialah yang masak untuk berbuka puasa. Masakan yang rumit sikit Mak Aji kenalah masak. Semalam Pak Aji masak sayur asem, sejenis masakan yang kami mula kenal (dan gemar) di Surabaya. Menurut Ustazah Faizah, isteri Habib Taufiq (mudir Pesantren Daruzzahro, Pasuruan, Surabaya), inilah masakan kegemaran Habib, dan lauk ini dimakan bersama-sama ikan asin. Lauk ni rupa macam lauk singgang atau asam rebus - rebus daging sampai empuk, masukkan hirisan lengkuas, bawang merah dan putih, cili api tumbuk, buah keras, letak jagung manis yang dipotong tiga atau empat, ubi keledek, asam keping, garam, sedikit gula (Mak Aji tak guna ajinomoto/MSG. Anak-anak Mak Aji, dengar aja masak asem terus mengeluh, "Kat sana sayur asem, kat sini sayur asem jugak ker??" Masakan itu yang mereka makan hampir tiap hari selain tempe (di Surabaya). Anak dara pula masak sambal sotong. Mak Aji balik cuma goreng daging dan buat kangkung goreng belacan aje. Pengat llabu masih ada dan Mak Aji beli juga sedikit kuih, terliur punya pasal. Bila dihidang, macam penuh aje meja. Mak Aji cakap, lepas ni kena kurangkan, buat satu lauk saja, satu sayur. Dah cukup. 

Untuk hari ni, anak-anak nak KFC pulak, ada yang yang dinner plate, ada yang nak whole leg yang baru tu. Nampaknya kami berdua ajelah makan nasi malam ni. Kata Pak Aji nak makan asam rebus ikan apa ntah, katanya lagi sedap daripada ikan nyok-nyok. Kemungkinan besar itulah rezeki berbuka untuk malam ini. 

Walau apa sahaja rezeki yang Allah beri, kita harus memanjatkan setinggi-tinggi syukur Alhamdulillah kerana di luar sana ada sahaja mereka yang hidup dalam keadaan kesukaran, seperti kawan-kawan dari Dawama yang dipaksa bercuti tanpa gaji, tak tahu sampai bila. Sedih Mak Aji memikirkan mereka, apa lagi dalam keadaan bulan yang mulia ini dan bakal menyambut raya pulak! Begitu besar dugaan yang Allah beri kepada mereka. Mak Aji doakan masalah mereka akan selesai secepat mungkin!!

Tuesday, 2 August 2011

Jadual berbuka dan Imsak

Salam Ramadan. Dah dapat jadual waktu berbuka dan imsak sepanjang bulan Ramadan? Kalau tak ada, bolehlah muat turun dari sini:

JADUAL WAKTU IMSAK DAN BERBUKA PUASA tahun 1432H/2011M BAGI SELURUH MALAYSIA

NegeriZon
Wilayah PersekutuanKuala Lumpur dan Putrajaya
Labuan
SelangorZon 1 – Daerah Gombak, Petaling / Shah Alam, Hulu Selangor, Hulu Langat dan Sepang
Zon 2 – Daerah Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam
MelakaSeluruh Melaka
JohorZon 1 – Pulau Aur dan Pulau Pemanggil
Zon 2 – Daerah Johor Bahru, Kota Tinggi, Mersing dan pulau-pulau berdekatan
Zon 3 – Daerah Pontian dan Kluang
Zon 4 – Batu Pahat, Muar, Ledang, Segamat dan Gemas Johor
PerakZon 1 – Tapah, Slim River dan Tanjung Malim
Zon 2 – Ipoh, Batu Gajah, Kampar, Sg. Siput dan Kuala Kangsar
Zon 3 – Pengkalan Hulu, Grik dan Lenggong
Zon 4 – Temenggor dan Belum
Zon 5 – Teluk Intan, Bagan Datoh, Kg. Gajah, Sri Iskandar, Beruas, Parit, Lumut, Sitiawan dan Pulau Pangkor
Zon 6 – Selama, Taiping, Bagan Serai dan Parit Buntar
Zon 7 – Bukit Larut
SarawakZon 1 – Limbang, Sundar, Trusan dan Lawas
Zon 2 – Niah, Bekenu, Miri, Sibuti dan Marudi
Zon 3 – Tatau, Suai, Belaga, Pandan, Sebauh dan Bintulu
Zon 4 – Igan, Oya, Balingian, Mukah, Dalat, Sibu, Kanowit, Kapit dan Song
Zon 5 – Belawai, Matu, Daro, Sarikei, Julau, Bintangor dan Rejang
Zon 6 – Kabong, Lingga, Sri Aman, Engkelili, Lubok Antu,Betong, Spaoh, Pusa, Saratok, Roban dan Lebak.
Zon 7 – Samarahan, Simunjan, Serian, Sebuyau dan Meludam
Zon 8 – Kuching, Lundu, Bau dan Semantan
SabahZon 1 – Bahagian Sandakan (timur), Tomanggong, Sukau, Bandar Sandakan, Samawang, Kota Kinabatangan dan Bukit Garam
Zon 2 – Bahagian Sandakan (barat), Terusan, Beluran, Kuamut, Jambongan, Paitan, Telupid, Tongod dan Pinangah
Zon 3 – Bahagian Tawau (timur), Tambisan, Sahabat, Tungku, Semporna, Silabukan, Lahad Datu dan Kunak
Zon 4 – Bahagian Tawau (barat), Balung, Bandar Tawau, Pulau Sebatik, Merotai dan Kalabakan
Zon 5 – Bahagian Kudat, Pulau Bangi, Pitas, Kota Marudu, Matunggong dan Kudat
Zon 6 – Gunung Kinabalu (ketinggian 4,101 meter)
Zon 7 – Bahagian Pantai Barat, Ranau, Kota Belud, Tuaran, Penampang, Kota Kinabalu, Putatan dan Papar
Zon 8 – Bahagian Pedalaman (atas) Pensiangan, Nabawan, Sook, Sepulut, Tambunan dan Keningau
Zon 9 – Bahagian Pedalaman (bawah) Tenom, Long Pa Sia, Membakut, Beaufort, Kuala Penyu, Weston, Menumbok dan Sipitang
TerengganuZon 1 – Kuala Terengganu dan Marang
Zon 2 – Besut dan Setiu
Zon 3 – Hulu Terengganu
Zon 4 – Kemaman dan Dungun
KelantanZon 1 – Jajahan Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Daerah Ciku (Jajahan Gua Musang)
Zon 2 – Jajahan Jeli dan Gua Musang termasuk daerah Galas dan Bertam
PahangZon 1 – Pulau Tioman
Zon 2 – Kuantan, Pekan, Rompin dan Muadzam Shah
Zon 3 – Temerloh, Chenor, Maran, Jerantut dan Bera
Zon 4 – Raub, Bentong dan Lipis
Zon 5 – Genting Sempah, Janda Baik dan Bukit Tinggi
Zon 6 – Cameron Highlands, Bukit Fraser, Genting Highlands
PerlisSeluruh Perlis
Negeri SembilanZon 1 – Jempol dan Tampin
Zon 2 – Seremban, Rembau, Port Dickson, Kuala Pilah, Jelebu
KedahZon 1 – Daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan Pokok Sena
Zon 2 – Daerah Pendang, Kuala Muda dan Yan
Zon 3 – Daerah Padang Terap, Sik dan Baling
Zon 4 – Daerah Kulim dan Bandar Baharu
Zon 5 – Daerah Langkawi
Zon 6 – Puncak Gunung Jerai
Pulau PinangSeluruh Pulau Pinang
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...