Followers

Showing posts with label Bungkus hadiah. Show all posts
Showing posts with label Bungkus hadiah. Show all posts

Monday, 6 August 2012

Hadiah Lagi

As-salam.

Pagi ini Mak Aji mendapat panggilan telefon daripada kawan lama dari ofis yang ingin menyinggah ke rumah. Selang sejam selepas itu beliau sampai dengan suami dan anaknya - Kawan ini sudah setahun dua pencen pilihan juga dan beliau amat gembira dengan kehidupannya sekarang, ke hulu ke hilir menjalankan urusan peribadi sewaktu orang lain sibuk di pejabat (untuk mengelak kesesakan!). Beliau keluar selepas orang lain masuk pejabat dan akan balik sebelum orang lain keluar pejabat untuk balik! Itu antara yang Mak Aji belajar daripadanya. 

Kawan inilah yang pertama kalinya mengikuti kursus gubahan bunga dan membungkus hadiah yang Mak Aji hadiri tempoh hari. Jadi beliau seorang yang begitu kreatif sekali. Saksikan hadiah yang beliau bawa untuk Mak Aji:

Dibungkus dengan begitu menarik sekali! 
Pinggan yang di dalam bungkusan berserta bakulnya sekali!

Sememangnya kawan ini benar-benar memanfaatkan ilmu yang dipelajari daripada kursus yang dihadiri! Hadiah dan juga kad ucapan pula dimasukkan ke dalam bakul yang cantik ini (bakul ini Mak Aji nampak di SSF tempoh hari semasa mereka membuat jualan murah - berkenan di hati tetapi tidak membelinya sebab sudah banyak berbelanja untuk melengkapkan barang untuk kahwin Hanif). Apapun Mak Aji dapat juga bakul ini (yehh!! -- kalau sudah rezeki!!

Set pinggan ini pula sering dilihat apabila kawan-kawan blogger memperagakan resepi masakan mereka (mereka buat tablescape sedikit - cukup menarik sekali). Berdetik juga di hati untuk mendapatkannya tetapi memandangkan jenis pinggan ini begitu delicate, silap haribulan sumbing (kita ni jenis ganas sedikit) maka tiadalah membelinya. Kali ini dapat sebagai hadiah, seronoklah!!

Amilah, you're such a good friend, thank you so very much for the gift!! Thank you too for coming to my very humble home! 



Friday, 18 May 2012

Bungkus Hadiah Pelbagai Bentuk

Pada hari keempat kursus, Mak Aji belajar membungkus hadiah pelbagai bentuk dengan pelbagai gaya. Ada cara membungkus hadiah (contohnya kotak empat segi) dengan kaedah serong (diagonal), ada yang secara lurus (side) dan ada yang mengikut bentuk (contohnya kotak biskut berbentuk silinder atau botol). Berikut foto hadiah yang dibungkus pada hari ini:

Diagonal wrap finished with a single butterfly bow.
Pandangan dari belakang.

Mak Aji rasa jenis bungkusan di atas memang agak biasa dan Mak Aji sendiri sudah biasa membuatnya. 


Cross wrap.

Yang di atas ini juga sudah agak biasa dibuat. Berikut pula bungkusan yang memang mencabar. Mak Aji sengaja memilih kertas pembalut yang agak keras dan tebal. Jadi, menghasilkan bungkusan yang kemas memang agak sukar tetapi apabila siap, memang memuaskan hati!!


Cylinder wrap.

Berikut cara bungkusan yang paling Mak Aji suka dan paling berpuas hati menghasilkannya. Perhatikan lipatan seakan-akan kain Saloma, dengan corak umpama lace, agak seksi, apa lagi dengan bentuk botol yang ramping umpama kerengga!! Bungkusan ini menggunakan dua lapis kertas pembalut jenis tisu.


Bungkusan botol yang dasarnya empat segi.
Perhatikan lipatan pada bahagian bawah 'kainnya!'

Berikut pula keseluruhan hasil kerja seharian:


Seharian menghasilkan semua ini.

Berikut dua hasil gubahan bunga jenis Eropah (juga ada pengaruh Timur - Ikebana) karya dua pelajar Sally (guru), seorang dari Bandung dan seorang dari Jakarta (mengikut suami bertugas di sini). Cantik sekali gubahan meraka dengan bimbingan Sally).

Hasil pelajar dari Bandung.
Mak Aji suka yang ini - karya pelajar dari Jakarta.

Mak Aji juga tidak lupa mengendeng setiap kali ada tempahan daripada pelanggan. Berikut fruit basket untuk pelanggan. Rasanya tidak susah untuk menghasilkan gubahan yang seperti ini! Saksikan:


Ada tiga unsur, buah, bunga hidup dan riben.
Ribennya French bow dengan kombinasi dua jenis riben.
Agak simple tetapi cukup menarik!

Jumpa lagi, insya-Allah!!!


Saturday, 18 February 2012

Bungkus Hadiah Cara Baharu

oleh: CHIN MUI YOON 

star2@thestar.com.my



Lupakan kertas dan pita perekat. Untuk gaya hidup yang lebih hijau, cubalah membungkus hadiah mengikut kaedah tradisi Jepun — gunakan fabrik.
Orang Jepun memang terkenal dengan seni membungkus hadiah yang begitu kreatif dan berseni. Mereka bukan sahaja menggunakan kaedah yang begitu menarik malah mesra alam dan tidak lekang dek zaman.
Gaya membungkus hadiah cara furoshiki menggunakan fabrik tradisional telah digunakan berkurun lamanya; kata itu berasal dari zaman Edo lagi (c. 1600-1800CE) dan pada mulanya digunakan untuk menjelaskan kain polos yang dipotong empat segi dan digunalan untuk membungkus pakaian di sento (tempat mandi awam). Kemudiannya para pedagang menggunakan potongan kain yang serupa untuk membungkus barang dagangan mereka dan selepas itu orang ramai mula menggunakannya untuk membungkus hadiah.
Apabila plastik mula digunakan pada zaman moden, cara membungkus ini menjadi kurang popular. Walaupun begitu kaedah ini mula kembali popular sebagai kaedah yang mesra alam serta chic untuk membungkus hadiah. Kini, furoshiki diperbuat daripada kepingan fabrik sutera, chirimen (crepe sutera, yang biasa digunakan untuk membuat kimono), kapas, linen, rayon dan juga nilon. Bungkusan fabrik ini begitu versatil dan dalam pelbagai saiz yang boleh memuatkan hadiah sebesar tapak tangan sehinggalah fabrik lebih besar daripada cadar. 
Jo-Ann Yeoh dengan peragaan fabrik furoshiki di kedainya.
Sejak kebelakangan ini, furoshiki muncul di Malaysia, dan sekarang, sebuah kedai cenderamata Give! mula mengetengahkan gaya ini. Kedai ini merupakan idea orang yang sama yang memulakan rangkaian Memory Lane yang menjual cenderamata dan kad ucapan.
“Saya mula mengenali furoshiki semasa bekerja di Japan pada awal 1990-an dan saya sentiasa teringat-ingatkannya,” kata Jo-Ann Yeoh, pengarah urusan Memory Lane dan Give!.
“Orang Jepun bukan sahaja menggunakan fabrik untuk membungkus hadiah malah barangan seharian juga. Rakan sekerja saya biasa menggunakan kain untuk membungkus bekalan makanannya dan membawa punjut kain itu ke pejabat setiap hariy. Dan di pusat membeli-belah kita boleh meminta agar mereka menggunakan kain dan bukannya kertas untuk membungkus hadiah kita.”
Dengan itu lahirlah Give!. Kunjungan pada hari minggu ke kedai itu menyaksikan kedai tersebut penuh dengan pelanggan yang memohon untuk mendapatkan gaya membungkus yang unik ini.
Laci-laci kecil di kedai itu menyimpan pelbagai jenis fabrik kecil yang digulung dan diikat dengan kemas. Fabrik ini dalam pelbagai saiz untuk memuatkan pelbagai saiz hadiah. Pelbagai corak fabrik disediakan -  cherry blossoms berlatarbelakangkan langit biru, corak berkotak, berjalur dan berbintang dan sebagainya. 
Apabila Yeoh membeli kain furoshiki Jepun yang klasik, beliau juga membeli pelbagai pilihan dabrik yang lebih mampu dibeli yang diperoleh daripada pembekal tempatan dan dari seluruh Asia. Jadi, terdapat juga fabrik batik dengan corak bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan serta songket dengan benang emas dan juga motif kartun yang comel.
Dibungkus dengan penuh kasih sayang: Anda boleh menghias hadiah yang dibungkus kain ini dengan riben sutera atau kertas, manik dan sebagainya, ataupun huruf dengan nama penerimanya. — Chin Mui Yoon/The Star
Give! juga menyediakan khidmat membungkus hadiah, dengan menyediakan pelbagai hiasan serta menjadikan hadiah lebih istimewa. 
Kedai Give! yang pertama dibuka di Suria KLCC pada tahun lepas. Ada pelanggan yang mahukan agar sebuah kereta dibungkus dengan furoshiki – dan penerima hadiah yang bertuah ini mesti boleh membuka hadiah ini dengan sekali 'sentap' sahaja!
Ada juga pelanggan yang meminta agar dibungkus sebuah kota – berisi wang tunai enam angka!!
Mengikut Yeoh,“Hadiah merupakan ekspresi yang membayangkan siapa kita dan siapa penerimanya kepada kita."
“Saya pernah menganjurkan parti baking untuk anak perempuan kawan saya dan saya membuat 12 helai apron kecil yang setiap satunya dijahit labuci mengikut nama tetamu. Terdapat juga topi yang sedondon dengan apron itu. Begitu seronok sekali anak perempuan itu dan kawan-kawannya.
“Seorang lagi kawan saya begitu meminati Donny Osmond, jadi saya sentiasa menghadiahinya kalendar Donny Osmond setiap tahun. Sudah menjadi seolah-olah tradisi antara kami!”
Dan apakah hadiah paling istimewa yang pernah diterima oleh Teoh?
“Tentunya iPad yang saya baru dapat daripada kawan yang saya jaga semasa dia sakit. Memang hadiah itu agak  simple, tetapi saya memang suka sebab memang saya inginkannya.
“Saya sering ditanya tentang apa hadiah yang sesuai diberi. Saya sering memberi jawapan, hadiah bergantung pada orang yang menerimanya, dan hadiah mesti penerimanya gembira, bukannya hadiah yang membuat anda sebagai pemberi hadiah gembira.”
Dan jika hadiah dibungkus dengan kain, gaya furoshiki, sudah tentu penerimanya lebih gembira.
Give! terdapat di lokasi ini: C34, Concourse Level, Suria KLCC.

Catatan: Berita ini mengingatkan Mak Aji tentang kain saprah yang digunakan oleh orang-orang tua kita pada masa lalu. Kain ini bukan sahaja untuk menjadi alas makanan semasa makan bersila/bersimpuh, malah juga dijadikan pembungkus buah tangan/hadiah apabila berkunjung ke rumah rakan taulan!! Macam sama saja!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...