Followers

Showing posts with label etika. Show all posts
Showing posts with label etika. Show all posts

Tuesday, 3 April 2012

How Tempers Flare!

Apabila cuaca agak kurang menyelesakan dek kerana pagi-pagi lagi hujan turun, (dan ada kalanya sehingga sehari suntuk dan menyebabkan banjir sana-sini) maka sebagai pemandu kenderaan di KL ini, stres semasa memandu semakin terasa. Dengan cuaca yang kurang baik serta jalan agak licin, maka kecenderungan untuk berlakunya kemalangan jalan raya agak tinggi. Sejak sehari dua ini ada sahaja kemalangan di jalan raya menuju ke KL. Yang paling banyak kemalangan berangkai (chain collision - istilah baharu ciptaan sendiri!). 

Semasa balik petang tadi, di kawasan berdekatan dengan stesen komuter Sungai Buloh (menghala ke Kepong), berlaku lagi chain collision. Semasa Mak Aji melewatinya beberapa orang berdiri di luar tiga buah kereta. Seorang lelaki India sedang menerkam untuk menumbuk pemandu kereta yang melanggarnya (agaknyalah!). Sudahlah kereta 'cedera', silap gaya tuan kereta pula cedera kena belasah. Nasib baiklah beberapa orang lain berjaya menenangkannya! 

Di luar negara.
Di dalam negara kut?
Kesimpulannya: Dalam keadaan cuaca yang sebegini, amalkan pemanduan berhemah, perlahankan kenderaan, pastikan jarak antara kenderaan yang selamat! Keluarlah ke tempat kerja lebih awal agar tidak terkejar-kejar ke pejabat - biar lambat asal selamat!!      

Tuesday, 1 November 2011

Gelagat Jiran

Sudah dua tiga hari mengulang makan ubat untuk migraine. Petang semalam ditambah pula dengan gastrik - macam mana nak puasa nih?? Kawan recommend tukang urut dia, sempat diurut belakang, sekali dengan keruk guna duit syiling 10 sen - berbelang-belang merah di belakang dibuatnya! Walau bagaimanapun, hairan bin ajaib, banyak angin keluar, ingatkan nak muntah rupanya angin sendawa besar punya! Balik rumah Pak Aji tanya - Mak Aji jawab, 'kena belasah!' Menjelang pagi, tekak sakit, perit, tak boleh bangun bagai dipaku-paku! 

Jiran belakang rumah pulak jenis yang kurang bertamadun - melalak-lalak berkaraoke siang-siang buta - ada juga manusia jenis yang macam ini ya?? Pernah mereka berkaraoke malam jumaat - waktu orang lain sibuk buat ibadat, mereka buat yang sebaliknya. Macam mana nak buat ni???? 

Thursday, 29 September 2011

Hargailah Harta Orang

Mak Aji masa muda-muda dulu selalu pinjam buku (cerita, bukan buku sekolah) daripada kawan-kawan, dari perpustakaan, juga daripada cikgu yang merupakan guru tuition matematik. Sebelum mula membaca, biasanya Mak Aji gunakan surat khabar lama dan balut kulit buku itu, macam anak-anak kita balut buku teks masa baru nak mula sekolah. Gunanya, untuk memastikan novel tak lunyai di tangan Mak Aji semasa Mak Aji baca. Mak Aji nak pulangkan buku itu dalam keadaan yang hampir sama dengan keadaannya semasa Mak Aji pinjam! Selain itu, kalau baca sekerat jalan, guna penanda buku atau cebisan surat khabar buat penanda, tak ada main kelepet-kelepet kat tepi - sayang wei, lagipun harta orang! Bila sudah biasa buat, tak ada yang luar biasa dengan hal itu. Bila orang lain pula pinjam buku kita, biasanya dari buku yang baru, terus lunyai dibuatnya!

Kalau membeli barang lain pun Mak Aji sanggup beli yang agak berkualiti, biar bayar lebih sedikit tapi tahan lama dan susah rosak. Ada pulak orang yang kedekut sangat nak keluar duit tapi kalau bab meminjam laju saja! Sudahlah pinjam, dilayannya barang kita macam harga 20 sen saja! Mana tak berasap telinga! Macam-macam perangai manusia!

Kita ni nak kena hormat harta benda orang, namanya pun pinjam. Lainlah kalau harta sendiri, nak buat sesuka hati, silakan, tak ada siapa yang nak marah! 

Soal hormat harta orang ke, hormat orang ke, tak perlu diminta baru kita nak hormat. Hormat juga bukan secara automatik - asal lebih dari segala segi terus kena hormat. Macam orang putih kata, "We have to earn our respect!" Waima kita ni harta menimbun, bergelar ke, berpangkat setinggi mana pun, anak ulama besar mana ke, kalau tak tahu hormat orang, maka jangan terkejut kalau orang tak hormat kita.   Tanpa harta, tanpa gelaran, tanpa pangkat, tanpa keturunan yang baik pun kalau tahu hormat orang, maka orang itu patut dihormati juga, waima tukang sapu di tepi jalan.

Mak Aji sebenarnya tengah berasap telinga sebab orang yang pinjam kamera baru pulangkan - dalam keadaan rosak dan dengan kesan-kesan terjatuh! Bilalah lagi Mak Aji nak beli kamera, yang itu dulu pun sekitar seribu. Beli itupun sebab kamera lama rosak. Pertama kali nak ke Tokyo takkan tak bawa kamera, jadi beli yang all weather, takut beku. Sayang wei duit seribu down the drain. Ada sesiapa nak derma kamera DSLR yang baru untuk Mak Aji - manalah tahu kutlah ada dermawan di luar sana??

Monday, 8 August 2011

Memandu di Bulan Puasa

Mak Aji perhatikan pemandu pada bulan puasa ni memandu lain macam sikit - pandu kereta lebih laju (nak hilangkan mengantuk agaknya), lebih mudah melenting (lebih kerap nak buli pemandu lain, terutama yang perempuan dan yang berkereta saiz kecil atau sederhana), .... Kalau balik kerja, lepas saja bayar tol, menerkam bagai harimau, makan jalan orang, buat selamba aja. Yang hairannya yang memecut tu, lelaki, bukannya perempuan. Entah apa yang nak dikejarkan. Bukannya nak balik cepat nak masak untuk berbuka. Kalau isteri tak kerja, makan memang dah dimasak awal-awal. Isteri yang bekerja rata-ratanya beli saja lauk (kalau kat ofis Mak Ajilah), kecualilah Mak Aji yang kena masak juga, tak banyak sikit, mana-mana aja yang sempat, itupun kalau Pak Aji ngan anak dara belum masak lagi. Habis tu, awat yang memecut bagai nak rak tu?? Rasanya kalau kita hon bila mereka bawa kereta tak tentu arah tu, mahu kita dilempangnya!! Perut lapar, mengantuk, nak hisap rokok tak boleh, apa lagi, makan oranglah!! Sabar, sabar, itulah dugaan harian yang terpaksa dihadapi sepanjang puasa ni. Alangkah bagusnya bila memikirkan yang puasa tahun depan, insya-Allah Mak Aji tak perlu  lagi mengharungi semua ni. Memang yang Allah rancang itulah yang terbaik!! Orang-orang tua macam Mak Aji ni yang tekanan darah mudah naik, cepat kejang kaki bila lama bawa kereta walaupun bawa kereta auto, dan mereka yang menghadapi banyak masalah lain, cepat duduk rumah, berpencen, diberi-Nya orang muda-muda yang berketahanan tinggi untuk terus mengharung rat race ini. 

Memang betullah kata Pak Aji, "Sementara diberi waktu yang badan masih sihat, masih mampu beribadat, boleh ruku' dan sujud dengan sempurna, pencenlah, jangan sampai tak sempat nak buat bekal kerana terlalu sibuk kerja, di'pencenkan' terus oleh Allah (kembali kepada-Nya)!! Ya, ya, Mak Aji dengar cakaplah ni!! Insya-Allah tak lama lagi ya, tak sampai setahun lagi. Tak sabar rasanya nak dok saja-saja.

Tuesday, 5 July 2011

Etika Semasa Memandu

Jam 6.30 pagi kaki dah menekan minyak kereta, menuju ke pejabat. Dalam perjalanan ke pejabat pelbagai gelagat pemandu diperhatikan. Ada yang menjadi 'polis', atau melenggang kangkung memandu di laluan laju tetapi pada kelajuan 110 km sejam atau kurang; yang memandu laju mengalahkan kelajuan jet, lalu seakan-akan menerkam bak harimau (sakit perut agaknya); yang keluar masuk laluan kiri, ke tengah, langsung ke paling kanan dalam tempoh 3 saat!?; yang membiarkan anak-anak kecil tanpa pengawasan orang dewasa di kerusi belakang dengan tingkap terbuka!! (macam tak percaya!! - betul!) ; penunggang motosikal yang tak sayang nyawa hinggakan pemandu kereta yang terpaksa menahan jangan terlalu ke kiri atau ke kanan kerana mereka berada di depan, belakang, kiri dan juga kanan. Kalau police escort takpelah! Saya pernah terpaksa berbelanja RM500 untuk mengganti cermin sisi kerana dilanggar motosikal. Bertuah betul, anak siapalah agaknya yang buat perangai macam tu?? Ada juga yang nak tukar laluan macam jalan bapa dia sorang yang punya, suka hati aje, langsung tiada timbang rasa.  Ramai sangat yang beri pendapat bahawa orang Malaysia ni baik, ramah, dsbnya, tapi kalau sudah duduk di belakang stereng, terus jadi monster! Negara maju macam mana pun kalau mentaliti kelas ketiga, takde maknanya! Inilah dia first-class facility, third-class mentality. Jadi, lain kali bila memandu, memandulah seperti mana yang kita suka orang lain memandu, penuh beretika, bertimbang rasa, mematuhi peraturan. Nescaya dunia ini akan lebih aman, kuranglah sedikit tekanan. Baharulah tiba pejabat dengan tenang, agar lebih selesa untuk memulakan kerja.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...