Followers

Showing posts with label jenayah berleluasa. Show all posts
Showing posts with label jenayah berleluasa. Show all posts

Tuesday, 25 September 2012

Jenayah Lagi

As-salam.

Pagi-pagi lagi Mak Aji berasa terkesan dengan dua berita yang berbeza yang berlaku di Pasir Puteh Kelantan dan juga yang berlaku di Taman Mount Austin, Johor Bahru.

Yang pertamanya Pasir Puteh tempat Mak Aji membesar dan kenangan manis sahaja (ada jugalah yang pahit kelat) yang ada di situ. Rupa-rupanya di sebuah kampung di situ sekeluarga ditangkap kerana kes ragut, pecah rumah dan sebagainya!

Yang kedua pula berlaku di Mount Austin. Seorang lelaki ditembak mati di hadapan isterinya beberapa jam selepas melangsungkan perkahwinannya (dipercayai kaerana kes dendam). Kawasan perumahan ini kedudukannya bersebelahan dengan Taman Daya, tempat Mak Aji tinggal (di rumah yang disediakan oleh ofis) semasa bertugas di JB tempoh hari. Di Mount Austin jugalah Mak Aji dan Pak Aji serta Madihah pada setiap hari minggu meluangkan masa untuk beriadah - brisk-walking, juga bermain badminton sekali- sekala. 

Sebenarnya sebelum Mak Aji berpindah tugas ke sana lagi Mak Aji diberi maklum oleh rakan yang menduduki rumah itu sebelum Mak Aji agar sentiasa berhati-hati semasa keluar dan masuk ke pagar rumah - pastikan pintu kereta berkunci sebelum pintu pagar dibuka (automatik) atau ditutup apabila pulang kerja! Ini kerana mengikut katanya banyak kes samun berlaku semasa penghuni keluar dan masuk pagar rumah! Kawan itu juga pernah ke kedai runcit sejurus selepas pekedai runcit itu disamun dan ditetak penyamun!! Memang agak menakutkan apatah lagi pada awalnya Mak Aji menghuni rumah itu bersama-sama Madihah sahaja sebelum Pak Aji turut pindah ke JB!

Seperti yang pernah Mak Aji sebut sebelum ini, keadaan sekarang memang menakutkan sekali, kes bunuh, samun, rogol dan sebagainya cukup berleluasa! Entah apalah yang akan jadi dengan masyarakat kita??

Sekadar hiasan
Sumber


Friday, 13 July 2012

Jenayah Menjadi-jadi

Pagi semalam Mak Aji ke rumah Cik Yah, mak cik (adik arwah mak) kerana saudara kami, Moksu tukang urut dari kampung, Wakaf Che Yeh, berada di rumahnya (Cik Yah yang menjaga jadual mengurutnya).

Cik Yah sempat memaklumkan bahawa anak jirannya baru-baru ini kena samun di hadapan rumahnya! (yang selang beberapa pintu dari rumah Cik Yah). Ketika itu anak jirannya berjalan ke kereta MyVinya tanpa menyedari bahawa seorang berbangsa India bersembunyi di belakang keretanya dengan sebilah pisau. Sesampainya dipintu kereta orang itu muncul dengan meletakkan pisau di lehernya, menolaknya ke dalam kereta dan terus memandu kereta itu keluar dari kawasan itu. Tidak jauh dari situ, kereta diberhentikan, anak jiran itu ditolak keluar kereta setelah dikelar pada mukanya!!! 

Seriau Mak Aji mendengar kisah itu. Tambah Cik Yah lagi, kawasan di hadapan Secret Recipe, di Jalan Burhanuddin Helmi ( bersebelahan 7-Eleven) memang tempat yang kerap berlaku jenayah seperti itu. Jadi bagi mereka yang sering ke kawasan itu, berhati-hatilah!!

Untuk pengetahuan, rumah Cik Yah lokasinya di atas bukit, betul-betul berhadap dengan One-Utama. Kawasan itu dahulu cukup aman dan Mak Aji tidak pula menyangka begitu keadaannya sekarang!


Penjenayah - sekadar hiasan.

Sumber foto: Google Images.


Sunday, 17 June 2012

Selamatkah Kita?

Sehari dua ini timbul pula kerisauan di hati dek kerana pelbagai cerita buruk yang kita dengar dalam berita. Kalau dahulu jarang kita dengar orang dibunuh, sekarang orang bukan sahaja dibunuh, malah dikerat-kerat, dibakar lagi!! Juga timbul kisah beberapa perempuan yang diculik, disamun dan dirogol semasa di tempat letak kereta pusat beli-belah! Siang-siang buta pulak tu! Ke manakah perginya nilai-nilai kemanusiaan?? 

Sekadar hiasan sahaja

Ada seorang kawan yang menghantar e-mel tentang kejadian seorang wanita yang memasuki tandas lantas menyangkut tas tangan dicangkuk pada belakang pintu tandas. Tiba-tiba tas tangan direntap dari atas pintu dan dibawa lari. Setelah itu, penyamun tersebut telah mendapatkan maklumat diri wanita itu lantas ke rumahnya dan rumahnya pula disamun!



Tidak lama dahulu Mak Aji terbaca suatu rencana tentang GPS. Jika anda memilikinya, awas kerana mungkin anda mengundang celaka jika anda kurang berhati-hati!. Anda tentunya memasukkan alamat rumah sebagai home pada GPS agar anda boleh pergi ke tempat yang anda ingin tujui dan kambali ke rumah tanpa sesat di jalanan. Sebenarnya anda tidak boleh memasukkan alamat rumah anda. Sebaliknya letakkan alamat lain seperti stesen minyak yang terdekat dari rumah anda. Ini kerana sekiranya pencuri masuk ke kereta anda, dia akan dapat mengesan rumah anda (apalagi jika anda bermurah hati dengan 'menghadiahkannya' kunci rumah sekali di dalam kereta!! Beraya sakanlah dia!).

GPS jangan sekali-kali ditinggalkan di dalam kereta
kecuali yang memang terpasang di kereta. 

Catatan: Sama-samalah kita sentiasa berhati-hati terutama sekali kaum wanita!

Sumber foto: Google images.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...