Followers

Showing posts with label kenduri kahwin. Show all posts
Showing posts with label kenduri kahwin. Show all posts

Saturday, 23 November 2013

Kalau Dapat Baru Betul Kenduri!

As-salam.

Pada hari ini ada tiga jemputan kenduri. Memang musim kenduri selalunya selari dengan musim cuti sekolah. Kenduri pertama merupakan kenduri kahwin anak jiran Mak Aji. Selesai makan (simpan perut untuk kenduri seterusnya pula) kami terus ke kenduri kedua.

Selesai kenduri pertama.

Sambil berjalan menuju kereta, Mak Aji melihat ke atas dan terpandang yang berikut ini!:

Buah durian yang dahannya merentang jalan kecil menuju ke kenduri
kahwin pertama ini!

Melihatkan buah durian yang bergayut-gayutan dengan banyaknya di pokok, terdetik di hati, 'kalau aku dapat yang ini, barulah betul-betul kenduri!!' Nasib baiklah sekarang musim cuti sekolah, kalau tidak, anak-anak sekolahlah yang melalui jalan ini! Jangan ada yang tertimpa durian sudah!





Monday, 12 August 2013

Majlis Kahwin Zhafran

As-salam.

Pagi semalam kami sekeluarga bersiap untuk bertolak ke Hutan Melintang untuk majlis kenduri kahwin Zhafran (majlis di pihak perempuan). Berikut beberapa foto sekitar majlis. Foto hanya sedikit sebab Mak Aji diminta untuk duduk di meja pengantin selaku ibu pengantin lelaki. Layan sahajalah foto berikut:

Selamat pengantin bari Zhafran dan Mida!
Bergambar dengan kawan-kawan mereka.
Mak Aji serta Pak Aji serta abang dan adik ipar (biras-biras Pak Aji) Mak Aji.
Anak-anak saudara serta kakak Mak Aji, Cik Ning.
Anak-anak saudara, adik serta menantu Mak Aji.
Pelamin bertema kuning.
Sempat lagi melawak tu!
Aleesya Nur Damia, dua pupu Aleesya.
Mak Aji sempat mendukung Damia, 'kembar 'Aleesya!
Sempat kami singgah untuk makan mentarang sebelum pulang ke rumah.

Insya-Allah akan dimuat naik lagi foto-foto lain selepas ini. Sekarang tahulah anda mengapa Mak Aji tidak pulang beraya di kampung ya! Insya-Allah Sabtu nanti kami akan mengadakan kenduri sambut menantu (kecil-kecilan sahaja) di rumah kami di Sungai Buloh.





Tuesday, 28 May 2013

Kenduri Kahwin Anak Buah Pak Aji

As-salam.

Pada akhir minggu lepas saudara sebelah Pak Aji yang juga jiran kami mengahwinkan anak perempuan mereka. Akad nikahnya pada hari Jumaat malamnya dan kendurinya pada hari Sabtu. Kenduri sebelah lelaki pula diadakan pada hari Ahad di Kampung Bukit Gajah, Simpang Pelangai, Bentong, Pahang. Itulah kali pertama kami sampai ke daerah tersebut. Usai sahaja kelas kami pada jam 11.00 pagi, Pak Aji terus memecut ke Bentong untuk berkumpul bersama-sama rombongan pengantin perempuan yang bertolak ke sana jauh lebih awal lagi. Apa lagi, kereta dipecut bagai nak rak sehinggakan hendak termuntah penumpang di sisi pemandu! Sesampai sahaja ke sana terasa bagaikan mabuk laut! Dek kerana itulah tiada langsung foto di Bentong.

Layanlan beberapa foto yang sempat dirakam:

Nor Fatimah dan pasangannya selepas akad nikah.
Bersalaman setelah selamat bergelar suami isteri.
Pada hari kenduri kahwin di pihak perempuan.
Semoga Nor Fatimah dan suami berbahagia hendaknya hingga ke ahir hayat!


Pada hari Sabtu itu juga kami hadir satu lagi majlis kenduri kahwin - cucu kepada besan Mak Aji/anak buah suami Along di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam. Mak Aji suka hiasan pelaminnya yang agak simple tetapi cantik dan menarik sekali:
Agak ringkas pelaminnya tetapi cantik.

Semoga Diana dan pasangan juga berbahagia hidup suami isteri hinggalah ke akhir hayat.



Monday, 7 January 2013

Kenduri Kahwin di Besut

As-salam.

Semasa berada di kampung tempoh hari, Mak Aji sempat meraikan perkahwinan anak sepupu Pak Aji di Kampung Gong Tanah Merah, Besut, Terengganu. 

Menu kenduri ada sedikit kelainan daripada biasa. Begitu juga dengan persembahan dikir barat yang anggotanya perempuan kecuali juaranya. Saksikan:


Gulai kawah sedang dimasak.

Masak pedas ubi dan daun keladi.

Sira labu.
Gulai kawah.
Nangka muda yang dicelur sebagai ulam.
Tentunya budu!
Pelbagai ulaman.
Pinggan Mak Aji.
Perhatikan buah ara  yang ditambah kepada gulai kawah.
Kumpulan dikir barat.   
Sawah padi yang digenangi air.
Pemandangan dari seberang jalan yang cukup mendamaikan!

Selain foto di atas, ada lagi lauk lain seperti ayam masak merah. Sengaja tidak dirakam sebab lauknya biasa kita temui. Yang paling unik ialah masak pedas ubi dan daun keladi. Mak Aji dimaklumkan bahawa lauk ini biasa dihidangkan semasa kenduri kahwin. Yang cukup menyelerakan juga ialah budu serta pelbagai ulaman yang dihidangkan! 

Semasa Mak Aji masih budak-budak, setiap kali makan kenduri, Mak Aji selaly tercari-cari 'hati' dalam gulai kawah. Apabila sudah dewasa sedikit barulah ketahuan bahawa 'hati' itu sebenarnya buah ara! Kena tipu rupanya!


 

Sunday, 15 July 2012

Walimatul Urus

Semalam Mak Aji dan Madihah memenuhi undangan walimah anak seorang kawan baik semasa bekerja di ofis yang sama. Kawan ini sudah lama mengambil pencen pilihan dan anak yang dikahwinkan merupakan anak bongsunya. 

Kami keluar dari rumah agak lewat sedikit kerana menunggu solat Zuhur dahulu. Sebenarnya Mak Aji lebih suka keluar pukul 11.30 pagi untuk sampai sekitar jam 12.00 kerana ketika itu biasanya tetamu belum begitu ramai. Sedang elok balik untuk solat Zuhur di rumah.

Kami menggunakan lebuhraya persekutuan. Oleh kerana SmartTag masih belum siap dibaiki, maka terpaksalah Mak Aji beratur panjang (kebetulan Touch n Go juga terlupa diisi semula) di tol Batu Tiga - serik!!!!!  

Kami sampai sekitar jam 3.00 lebih petang, tetamu pun sudah berkurang sebab majlis selesai jam 4.00 petang. Sudahlah begitu kami sesat jalan, terlajak entah ke mana-mana! 

Walau bagaimanapun alhamdulillah jemputan dapat dipenuhi dan berikut foto majlis tersebut:

Latar yang cukup simple, tiada acara sanding.
Pasangan mempelai muda belia - semoga berbahagia ke akhir hayat!!
Dengan mak pengantin di tengah dan kawan lama, Normah Ahmad.
Seronok emak pengantin (Fuziah Kadir - Ogy) menerima menantu.



Sunday, 1 April 2012

Berhari Minggu di JB

Hari Jumaat malam Mak Aji, Hanif dan Nadya bertolak ke JB untuk berhari minggu di sana. Banyak hal sebenarnya yang ingin diselesaikan di JB. Antara lain, pada hari Sabtu ada jemputan kenduri kahwin mantan anak buah semasa Mak Aji bertugas di JB dahulu (di Mersing), hendak ke rumah anak buah Syaida yang kahwin pada raya Cina lepas dan masih menyambung pengajian peringkat PhD di UTM Skudai, hendak temankan Along membeli pinggan mangkuk (mohon nasihat Mak Aji yang konon serba tahu - he he!!), hendak ke nurseri untuk memilih pokok untuk Along tanam di rumah barunya (juga nasihat daripada prof. serba tahu ini!!), dan yang terakhir dan yang paling penting - mencari barang untuk hantaran Hanif kahwin nanti. Mak Aji bawa sekali bakal menantu, Nadya untuk memilihnya - dia yang hendak pakai nanti, eloklah dia sendiri yang pilih apa yang dia berkenan! 

Kami bertolak dari rumah sekitar jam 9.00 malam. Kenalah beri makan Pak Aji dahulu - dia tidak dapat pergi sama sebab menengokkan orang buat kerja di rumah. Kami tiba ke rumah Along di Impian Emas, Skudai sekitar jam 1.30 pagi. Elok sampai sahaja, solat Isyak, terus cari bantal! - kepenatan. 

Jadi, seperti yang dirancang, selesai sahaja bersarapan, kami bertolak ke Mersing. Kami sampai sekitar jam 1.30 petang - sedang elok untuk mengisi perut yang sudah mula mohon agar diisi semula! Ini foto yang sempat dirakam dengan pengantin baru!: 

Senyum berseri seorang pengantin baru! 
Foto kenangan dengan Mak Aji
Along, Sheilla dan Nadya.
Foto pelamin sahaja sebab pengantin lelaki belum sampai!
Kepada Sheilla, Mak Aji ucapkan selamat pengantin baru, semoga berbahagia sampai bila-bila! Makan kendurinya cukup sedap, alhamdulillah - berbaloi kami datang dari jauh!

Monday, 12 March 2012

Kenduri Kahwin Anak Buah Suami

Pada hari Ahad lepas majlis kenduri kahwin sebelah pihak perempuan telah berlangsung di Taman Dato' Harun, Petaling Jaya. Selepas selesai solat Zohor berjamaah di masjid berhampiran, rombongan kami bergerak ke rumah pengantin perempuan dengan berjalan kaki. Cuaca pada ketika itu agak baik, nyaman, cuma agak redup sedikit. Tidak lama selepas kami sampai dan sambil kami menjamu selera, hujan lebat mulai turun dengan ribut serta petir berdentum-dentum. 

Mak Aji terpaksa beralih kerusi sebanyak tiga kali sebab hampir basah. Kalau mengikut kepercayaan orang-orang tua, kurang elok berbuat demikian sebab akan menempah petanda kurang baik bagi mereka yang sudah berkahwin - bertukar-tukar pasangan, kahwin tidak kekal dan sebagainya (orang lelaki yang ada masalah dengan isteri cukup suka beralih-alih tempat ni!!). Bagaimana pula untuk perempuan pula ya??? 

Apapun, berikut foto sekitar majlis tersebut:

Tersenyum bahagia pasangan mempelai
Semoga berbahagia
Foto keluarga pengantin lelaki
Selepas kenduri semua ahli keluarga masing-masing bercempera balik ke rumah masing-masing sebab ada yang mula kerja pada hari ini. Rumah Mak Aji kembali sunyi seperti asal. Penat tetapi seronok berkumpul dengan keluarga sekali-sekala. 

Mak Aji doakan pasangan mempelai meniti hari bahagia bersama-sama, hidup rukun damai hingga ke akhir hayat, amin!!

Sunday, 27 November 2011

Here We Go Again!!

Sambil Mak Aji membuat posting ini jiran belakang rumah sedang sibuk mengendalikan majlis kahwin anak dara mereka. Muzik serta nyanyian karaoke sudah bermula seawal hari Jumaat lagi dan entah pukul berapa baru mereka selesai berpesta. Kata Pak Aji, malam tadi ruang kawasan rumah mereka dipenuhi dengan motosikal. Agaknya kaum kerabat mereka yang datang untuk membantu, mungkin juga untuk menyaksikan 'konsert karaoke' mereka. Sehingga jam 12 malam apabila Mak Aji masuk tidur, muzik masih bingit diiringi sorakan para penontonnya (ketika itu lagu duet, lelaki dan perempuan!). 
Semalam Mak Aji sedikit 'kong' sebab migraine yang agak teruk. Usaha mengelak makan pil tahan sakit terbantut kerana sudahlah sakit, ditambah pula dengan karaoke yang membingitkan!! Mereka memasak untuk jamuan hari ini dengan iringan karaoke! Kalaulah usaha memasak diiringi doa dan selawat ke, bukankah lebih baik?? Hai, macam mana agaknya untuk memenuhi jemputan nanti?? Tentunya dengan bersanding and all the works, mahu ke Pak Aji pergi nanti?? We have yet to see.

Malam tadi tak boleh tidur, malam ini we will be in for another round of sleepless night for sure! - mata dok terkebil-kebil - nak bubuh ear-plug rasa macam terpekak terus, macam seramlah pulak! Aiyohh what are we to do?? We should take the next available flight to Siberia!

How I wish weddings were more like Nor mentioned in her entry, Syawal 1432H in her blog (of her niece's). Barulah majlis berjalan dengan penuh mawaddat dan rahmat seperti yang sepatutnya. Majlis seperti ini seharusnya begitu sebab kesudahan yang baik akan hanya muncul setelah adanya permulaan yang baik!! I do pray for such a wedding too for my children. Sebenarnya usaha seumpama itu cuba dizahirkan semasa perkahwinan Along pada tahun 2006 lepas. Walau bagaimanapun usaha tidak berjaya sepenuhnya. Para jemputan berasa agak pelik apabila dihidangkan dengan lantunan qasidah, maulid serta nasyid yang diperdengarkan. Begitu juga pengasingan tempat duduk serta tempat mengambil makanan untuk lelaki dan perempuan. Akhirnya ada segelintir yang duduk bercampur-campur juga. Apapun usaha cuba dilaksanakan tetapi ada juga masalah dari segi pelaksanaan. Harapan agar usaha yang serupa pada masa hadapan akan membuahkan kejayaan, insya-Allah!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...