Followers

Showing posts with label kisah lucu. Show all posts
Showing posts with label kisah lucu. Show all posts

Wednesday, 29 October 2014

Gara-gara Mahu Cepat

As-salam.

Mak Aji masih tersenyum apabila teringat entri kawan blogger yang tersarung stokin berlainan warna. Dia hanya perasan apabila mahu menanggalkan stokin untuk solat! Entah silap tukang lipat atau tukang pakai, Allahualam.

Teringat pula Mak Aji akan pengalaman sendiri semasa masih berkhidmat dahulu. Macam biasalah kalau namanya bekerja di kota raya yang terkenal dengan kesesakan lalu lintas, maka semua orang tergesa-gesa mengejar punch card. Dalam keadaan tergesa-gesa itulah kita sering melakukan kesilapan, yang antara lainnya kesilapan di atas.

Mak Aji menyimpan beberapa pasang kasut di dalam kereta agar senang untuk mengenakannya setelah sampai ke ofis. Warnanya biasa yang neutral, hitam, coklat dan juga krim - senang disesuaikan mengikut warna baju kurung yang dipakai. Ketinggiannya juga sama - orang muda sahajalah yang masih mampu mengenakan kasut tumit tinggi, Mak Aji sudah lama meninggalkannya! 

Pada suatu hari dalam kekalutan untuk cepat sampai ke punch card (dalam tempoh yang bersisa seminit dua), Mak Aji main sarung sahaja kasut dan berlari mengejar masa. Dalam ke hulu ke hilir menjalankan tugas ada kawan yang menegur sambil menuding ke kasut Mak Aji - alamak, kasutku berlainan warna! Kami tergelak besar. Mak Aji berlari ke kereta untuk menukarnya.

Mak Aji juga pernah ke ofis dengan memakai baju terbalik! Pakaian seharian Mak Aji ialah baju kurung Johor yang disembat, yang dijahit oleh tukang jahit dari Batu Pahat (kakaknya rakan ofis). Mak Aji sudah berpuluh tahun menggunakan khidmatnya sehinggalah Mak Aji berpencen - hampir 30 tahun! Dari harga upah yang entah berapa hinggalah RM60 sepasang semasa Mak Aji hampir berpencen pada tahun 2012. 

Jika anda biasa dengan baju kurung sembat tahulah anda bahawa jahitannya cukup kemas sehinggakan anda sukar menentukan mana yang luar dan mana yang dalamnya! Apabila Mak Aji perasan sahaja, ke bilik airlah perginya untuk membetulkannya! Nasib baik diri sendiri yang perasan, kalau tidak malu lagi muka ini!

Sekadar hiasan - Malunya!!
Sumber foto: www.india-forums.com


Thursday, 28 February 2013

Kalau Namanya Doktor, ......

As-salam.

Beberapa minggu lepas Mak Aji membuat pemeriksaan darah (termasuk air kencing) tahunan dan untuk itu Mak Aji terpaksa membayar sendiri sebab tidak ditanggung oleh bekas majikan. Kosnya sekitar antara hampir RM200 hingga RM250. Ini termasuklah ujian cancer marker yang mengukur bilangan sel kanser di dalam badan.

Berdasarkan hasil ujian, paras kolesterol masih melepasi tahap normal (5 lebih), tekanan darah agak rendah dan paras gula dalam darah juga rendah sedikit. Padanlah badan rasa lemah longlai hinggakan solat pun terpaksa dilaksanakan secara duduk kecuali untuk rakaat pertama. Setelah sekitar seminggu memakan B Complex serta makan supplement lain, alhamdulillah badan sudah sihat sepenuhnya. 

Ini rupa surat rujukan doktor swasta ke Hospital Sungai Buloh (kita tidak boleh terus berjumpa pakar kecuali dirujuk oleh klinik kesihatan terlebih dahulu - proses tapisan).

Agak-agak boleh baca ke???

Satu masalah yang sudah agak lama dialami ialah keadaan otot bahu yang sentiasa tegang. Kakak Mak Aji dan juga seorang kawan ofis mengalami perkara sama. Jadi beberapa hari lepas kami ke Klinik Kesihatan di Sungai Buloh dan doktor itu seterusnya merujuk Mak Aji ke pakar di Hospital Sungai Buloh. Ini pula rupanya:

Surat rujukan.

Dalam kedua-dua surat jelaslah betapa 'cantik'nya tulisan doktor! Kalau 'kecantikan' tulisan doktor ini menjadi salah satu ciri untuk melayakkan seseorang ,enjadi doktor, Mak Aji rasa Pak Aji terutamanya dan Mak Aji juga layak! Tulisan kami tidak kurang 'cantik'nya!

Berbalik ke isu di atas, entahlah bila pula Mak Aji akan ke Hospital Sungai Buloh. Insya-Allah minggu hadapanlah agaknya. Entah macam manalah temu janji dengan pakar fisioterapi ya?? Wallahualam.


Catatan: Semasa belajar dahulu Pak Aji pernah dipanggil pensyarah untuk menulis semula jawapan peperiksaannya kerana pensyarah tidak dapat membacanya!!





Saturday, 9 February 2013

Aiseh Man!!

As-salam.

Pada  malam tadi sebelum tidur, Mak Aji membuka aplikasi Waze di telefon bimbit dengan tujuan mencari jalan mengarah ke Teluk Intan sebab insya-Allah itulah tujuan kami pada hari Isnin ini. Niat kami, untuk menghantar rombongan meminang untuk anak ketiga Mak Aji, Zhafran. Insya-Allah persiapan sudah hampir selesai dan akan siap insya-Allah esok.

Dalam tercari-cari jalan ada seorang Wazer (pengguna aplikasi ini juga) yang kebetulan berada di sekitar kawasan rumah Mak Aji ada menegur (bila kita masuk, kita akan kelihatan pada telefon bimbit Wazer lain, kecuali jika kita tidak benarkan kehadiran kita  kelihatan), dan bertanyakan sama ada jalan sesak atau tidak. Mak Aji jawab yang Mak Aji tidak tahu sebab sebenarnya berada di rumah bukan di kereta. Setelah berchatting seminit dua, selepas itu ditanyanya - "married?" Punyalah terkejut badak dibuatnya, elok saja tanya pasal jalan sesak atau tidak, kita ucapkanlah selamat raya Cina dan semoga selamat dalam perjalanan, alih-alih ditanya dah kahwin? Mak ai, apa lagi Mak Aji punya terkejut lalu tutup terus aplikasi!!

Hendak tergelak pun ada juga. Rupa-rupanya ruang seperti ini boleh juga digunakan untuk memancing di darat ya?? Alahai dunia maya ini, orang sebelah sana tidak tahu yang orang yang sebelah sini berstatus nenek!! Kesian ya!

Bagi anda yang belum pernah menggunakan aplikasi ini mari Mak Aji tunjukkan sedikit foto tentangnya:

Pertamanya kita perlu muat naik aplikasi percuma ini.
Begini rupa aplikasi ini.


Boleh bantu kita kesan polis, kecelakaan, jalan sesak dsbnya!!

Begini rupa contoh peta laluan kita.

Sebelum ini Mak Aji menggunakan aplikasi Garmin yang dibeli dan dimuat naik ke telefon bimbit. Bila bertukar telefon, terpaksalah dicari aplikasi lain. Ada anak buah mencadangkan aplikasi ini (perlu ada talian internet). Mak Aji juga ada memuat naik Navitotal, satu lagi aplikasi untuk tujuan yang sama yang tidak memerlukan talian internet. 

Berbalik ke Waze, setakat ini Mak Aji rasa agak puas hatilah juga sebab kita boleh dengan mudah mengesan kehadiran polis (perangkap laju!), adanya kesesakan lalu lintas, ada kecelakaan jalan raya dan sebagainya! Yang bagusnya tentunya sebab aplikasi ini percuma. Jadi, bagi mereka yang belum ada, usah beli alat GPS, muat naik sahaja Waze!

 

Wednesday, 6 June 2012

Orang Malaysia Makan Bangkai

Seorang ustaz pernah bercerita tentang pengalamannya semasa belajar di sebuah negara Arab. Ustaz ini sudah berkeluarga ketika itu, jadi dapurnya sentiasa berasap. Pada suatu hari isterinya menggoreng ikan masin dan seorang Arab lalu di tepi rumahnya lalu terus bising kerana terhidu 'aroma' ikan masin!! Apabila mengetahui kisah di sebalik aroma ikan masin itu, Arab itu lalu berkata, "Orang Malaysia makan bangkai!!"

Inilah dia bangkai yang orang Malaysia makan!!

Mak Aji teringatkan kisah ini sebab untuk makan malam kami makan asam rebus kepala ikan merah, ikan tamban masin (yang agak lembab, 'banga' kata orang Kelantan - seperti busuk banga!!) goreng serta ulam kacang panjang dengan sambal tempoyak (buatan Pak Aji - sedap!!!). Konon banyak sangat nasi yang Pak Aji isi dalam pinggan Mak Aji, rupa-rupanya licin sepinggan, sampai hirup kuahnya. Hendak bertambah segan pulak dengan Pak Aji sebab terlepas cakap!!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...