Followers

Showing posts with label bercuti. Show all posts
Showing posts with label bercuti. Show all posts

Friday, 4 April 2014

Jalan-jalan Orang Pencen

As-salam.

Mak Aji dan Pak Aji balik kampung lagi semasa cuti sekolah yang baru berlalu. Sebelum itu kami menyinggah ke rumah adik Mak Aji di Batu Gajah, Perak untuk menziarahinya yang kurang sihat - ada bengkak serta bernanah di dadanya! Sebenarnya adik Mak Aji ini pernah mengalami kemalangan motorsikal beberapa tahun lalu yang hampir meragut nyawanya. Alhamdulillah umurnya masih panjang. Dia sudah kembali bekerja (sebagai guru) namun terpaksalah bertongkat (dimasukkan besi ke tulang belakangnya). Harap-harap tiadalah apa yang serius dengannya. Dengar khabar, keadaan seperti ini agak biasa berlaku untuk mereka yang pernah menjalani pembedahan! Pertama kali Mak Aji mendapat tahu perkara ini!

Usai solat Jumaat, kami bergerak ke Kelantan melalui jalan ke Cameron Highlands. Kami berhenti sebentar di sebuah tempat rehat di Tapah - Lata Iskandar:

Air terjunnya tidak sebanyak biasa, musim panas agaknya.
Di tempat itu juga Pak Aji leka memerhati pelbagai jenis tongkat yang dijual oleh seorang wanita orang asli - harganya boleh tahan mahalnya, ada yang berharga RM400 lebih sebatang, jenis kayu teras gemunggal. Pak Aji menjeling-jeling pada Mak Aji (minta kelulusan ke??, 'tak payahhh,!' Mak Aji balas dengan jelingan juga!) Akhirnya tongkat tidak dibeli tetapi Pak Aji asyiklah menyebut-nyebut tentang tongkat kayu teras gemunggal tersebut! 

Dalam perjalanan ke Tanah Rata, kami menyinggah lagi di tempat menjual barang-barang kraf. Apa lagi, seronoklah Pak Aji! Dibeleknya sejenis tongkat, kayu kemuning hitam. Apabila ditanya harganya, Pak Aji tersenyum panjang sambil menjeling dan mengangguk lagi! - RM100! Di kedai yang terdahulu harganya jauh lebih mahal lagi!

Tersenyum puas dengan kayu kemuning hitam di tangannya!
Ini pula tongkat penunduk gajah! Entah bertemu tidak dengan
gajah yang bakal ditundukkannya, he he!
Apabila Pak Aji cukup seronok mendapat apa yang dimahukannya, Mak Aji pun minta agar dibeli bahagian Mak Aji pula, ini dia:

Wind chime Mak Aji punya!
Seperti biasa asalkan ke Cameron, tentu sahaja kami mahu pekena teh masalanya!:

Nampak tidak masala chai di tengah-tengah tu??
Tarik jangan tak tarik Pak Aji - alhamdulillah sedapnya teh masala panas dalam
sejuk dingin cuaca Cameron Highlands!!
Tanpa membuat tempahan hotel apa-apa (Pak Aji punya idealah tu!) kami main terpa sahaja ke mana-mana hotel untuk bermalam. Secara kebetulan kami terjumpa Hotel Medina, sebuah hotel muslim. Ditanya kadar, hanyalah RM145 semalam tanpa minum pagi. Oklah tu. Dek kerana sekolah sudah mula cuti, hotel agak penuh dan kami terpaksa menginap di tingkat 2 - naik tangga weh, tiada lif - sedikit longgar lutut ini! Apapun biliknya selesa walau agak kecil. Di luar bilik kami terdapat satu ruang kecil untuk solat - mini surau - cukup untuk kami berdua solat berjamaah!

Selepas pekena teh tarik secawan!






Pagi esoknya kami bertolak ke Chuchoh Puteri di Kuala Krai, iaitu ke rumah kakak Pak Aji untuk majlis kenduri kahwin anak saudaranya.:


Usai majlis kenduri kami ke Pasir Puteh untuk menghadiri satu lagi kenduri kahwin. Kami juga mengambil peluang berziarah sanak saudara di kampung. Pada malamnya kami bermalam di Bisikan Bayu Beach Resort, sebuah penginapan yang baru sehari dua dibuka sempena cuti sekolah ini. Menurut kata kakitangannya, penginapan itu sebenarnya dijangka dibuka pada awal April tetapi oleh kerana terlalu banyak permintaan agar ia dibuka sempena cuti sekolah, maka mereka terpaksa beralah.

Mak Aji tidak sempat mengambil foto tempat penginapan ini kerana tergesa-gesa bertolak balik ke KL. Walaupun begitu, penginapan ini memang jauh berbeza daripada Tok Aman Bali Resort dari segi 'bintang'nya dan tentu sekali dari segi harganya! Jika anda inginkan penginapan yang lebih murah apabila bermalam di Pantai Bisikan Bayu, maka inilah pilihan yang baik. Kami dicaj harga promosi sebanyak RM100 sahaja manakala kadar biasa ialah sekitar RM125.00 semalam.

Pantai Bisikan Bayu.
Setelah mendaftar keluar kami ke Terengganu mengikut jalan pantai - apa lagi kalau bukan untuk merasa ikan celup tepung! Sambil menikmati keindahan suasana di tepi pantai, kami menikmati ikan celup tepung. Menjelang malam kami mencari-cari tempat menginap di kawasan Merang. Kami terpandang papan tanda Merang Suria Resort. Kami bernasib baik kerana mereka ada satu bilik kosong untuk kami.

Usai sarapan kami bertolak ke rumah saudara dua pupu Mak Aji yang bakal melangsungkan perkahwinan dua orang anak perempuannya pada dua hari berikutnya (kami tidak dapat hadir). Kami tidak bersua muka sejak sekitar 30 tahun lalu!

Kami meneruskan perjalanan ke KL melalui LPT. Kami menyinggah di Ajil untuk membeli keropok lekor. Sempat juga Mak Aji menjengah benda-benda lain yang dijual.

Salak madu - rasanya taklah sesedap salak biasa.
Buah kundang madu yang dijual RM20 sekilo! Ingatkan murah, Mak Aji beli setengah kilo. Rupa-rupanya di KL lagi murah! Tipah tertipu!!
Sesudah beberapa jam perjalanan kami sampai ke rumah dengan selamat, alhamdulillah!



Sunday, 13 January 2013

Beca(k) Naik Bertiga

As-salam.

Semasa Mak Aji di Surabaya tempoh hari, kami ke hulu ke hilir (kalau jarak agak dekat) dengan menaiki beca (di sana disebut becak). Ingin dikongsi di sini foto Madihah, Nadia dan Mawaddah menaiki beca (Mak Aji naik beca di belakangnya - berdua saja!). 

Tiga dara naik beca bertiga!!
Orang berjualan seperti biasa kita lihat dalam sinetron.

Madihah ada mengingatkan agar Mak Aji jangan sampai bercakap hingga suara didengar oleh tukang beca, sebab nanti dia tahu Mak Aji dari Malaysia - asyik terlupa, terkuat sedikit suara dan asyik tangkap foto saja, pecahlah juga. Akhirnya kalau biasa kosnya cuma 5000 rp, tukang beca apabila diberi sebanyak itu, dia buat muka tidak puas hati. Jadi terpaksalah tambah 2000 rp baru mahu dia pergi.

Madihah juga ada memberitahu, kalau muat boleh saja naik beca sampai sepuluh orang, asalkan muat dan tukang beca sanggup kayuh, he he!! Kut ya pun buat naya tukang beca, bawa tiga orang tempoh hari pun bagai sampai separuh mati!



Tuesday, 4 December 2012

Cuti Lagi

As-salam.

Talian streamyx masih bermasalah di rumah. Sudah berkali-kali laporan dibuat dan sudah berkali-kali kontraktor datang, sudah ditukar modem yang baru tetapi masalah masih berlanjutan. Kata mereka kotak di luar perlu dibetulkan - entah apa-apalah mereka ini!! Kalau mengikut piagam pelanggan mereka kita akan dihubungi dalam tempoh 24 jam, tetapi sehingga kini tiada siapapun yang telefon dan talian masih problem lagi!!! Berasap kepala ini memikirkan!

 Sudahlah internet bermasalah, anak bongsu Mak Aji, Asyraf yang menuntut di Surabaya memaklumkan yang dia demam tidak baik-baik selama beberapa hari. Dia ke rumah mak angkatnya di Sidoarjo dan ke klinik lagi dan terus dimasukkan ke hospital di sana. 

Sebenarnya Mak Aji sudah membeli tiket untuk menziarah anak-anak di sana pada 13 Disember ini, tetapi dek kerana Asyraf sakit, maka Mak Aji terpaksa abaikan tiket tersebut dan akan berlepas ke sana petang ini. Jadi, blog akan bersawang lagi sehinggalah Mak Aji balik insya-Allah 19 Disember nanti. Until then, adios! Tolong doakan kesihatan Asyraf ya! Oh ya, Asyraf disahkan terkena typhoid.


Wednesday, 12 September 2012

Buai Gergasi

As-salam.

Mak Aji ingin kongsi foto menarik - buai gergasi yang terbesar pernah Mak Aji lihat. Oleh kerana saiznya memang besar, maka buat sementara waktu (agaknyalah??) buai ini diletak di lantai sahaja, dekat dengan tempat makan pagi di Tok Aman Bali Resort. Mari kita tengok:

Buai yang boleh memuatkan sekitar tiga orang dewasa!!

Tok Aman Bali Resort

As-salam.

Kami menginap untuk kali kedua di tempat peranginan ini. Kali ini tiada promosi, juga tiada kadar untuk penjawat awam (macamlah masih bekerja ya, he he!!??. Jadi, kadar yang dibayar penuh sebanyak RM298 untuk bilik deluxe.  

Sebaik masuk sahaja ke bilik air di bilik, Mak Aji berasa amat tidak puas hati - tualanya memang amat mengecewakan sekali - semacam yang sudah dipakai 10 tahun!! Benangnya sudah tertarik-tarik! Tualanya juga ada bau ikan masin!! (pernah terkena sebegini di sebuah hotel di Mersing tidak lama dahulu). Kalau begitu harga biliknya, Mak Aji jangkakan tuala yang putih bersih, tebal dan agak baru!! Macam biasa, bila Mak Aji berleter, Pak Aji buat muka selamba sahaja, leteran tinggal begitu sahaja!

Sebelum minum pagi, kami sempat berjalan-jalan di pantai menikmati suasana pantai yang cukup mendamaikan serta pemandangan matahari terbit yang cukup cantik:

Tempat penginapan.
Pak Aji di pantai.
Cukup cantik!
Cubaan yang lebih cantik lagi!!
Amacam, foto dari kamera yang bukan DSLR?? Oklah tu!!

Berikut pula foto dari tempat makan:


Dari meja makan di luar.

Tidak lupa juga, foto tong gas berskirt (tempat masak telur scrambled dan dadar), he he!!:


Tong gas berskirt - perempuan rupanya ya, he he!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...