Followers

Showing posts with label raya. Show all posts
Showing posts with label raya. Show all posts

Thursday, 7 August 2014

Raya Sakan di Kampung

As-salam.

Kalau di kampung raya sudah selesai selepas masing-masing beraya enam. Kalau di KL pula raya boleh menjangkau hingga sebulan, malah ada ketikanya melangkau ke bulan Zulkaedah! - gara-gara tidak cukup hujung minggu untuk mengadakan rumah terbuka!! 

Mak Aji sudah 3 tahun berturut-turut tidak beraya puasa di kampung sebab anak kahwin dua tahun berturut-turut dan pada tahun lepas (tahun ketiga) menantu Mak Aji berpantang di rumah. Jadi, walaupun Pak Aji tiada di samping Mak Aji serta Madihah serta Boy balik beraya dengan keluarga di kampung. Zhafran serta Mida dan cucu Mak Aji, Mikhail juga balik ke KB dengan kereta lain kerana mereka akan ke Hutan Melintang pula untuk beraya di sana. Mari Mak Aji kongsikan foto kami semasa raya pertama:

Boy, Zhafran serta Mikhail, Mak Aji, Mida dan Madihah.
Kami berlima (berenam - maaf ya Mikhail!) sahaja tahun ini tanpa Pak Aji dan Asyraf. Berikut pula keluarga besar kami - Mak Aji ada tujuh beradik (seemak dan sebapa) dan di dalam foto ini cuma dua beradik (serta keluarga) yang tiada. 

Beraya dengan adik-beradiklah kami yang sudah yatim piatu! Kepada kakak sulung serta suamilah kami menumpang kasih! Sedihlah pulak!
Pada tahun ini setelah bersarapan, kami ke masjid. Balik dari masjid, kami terus ke Pasir Puteh untuk menziarah kubur arwah ayah, langsung ke rumah mak tiri Mak Aji. Kami juga ke rumah mak saudara, satu-satunya adik arwah ayah yang masih ada. Setelah meredah kesesakan, kami balik semula ke Pasir Tumboh (rumah kakak sulung, Cik Ning). 

Program lazim raya kedua, ziarah kubur arwah datuk dan nenek Mak Aji di Wakaf Che Yeh. Di rumah salah seorang bapa saudara kami semua berkumpul untuk beraya sambil menjamu selera - menu nasi dagang! 

Malamnya pula kami ke Pasir Puteh lagi untuk majlis akad nikah adik Pak Aji:

Majlis akad nikah di masjid.
Adik Pak Aji.
Sebelum melafaz akad nikah.
Mak Aji mendoakan agar adik ipar serta suami akan beroleh kebahagian hingga ke Jannah, amin! Ini merupakan perkahwinan kedua bagi mereka berdua. Semoga berbahagialah hendaknya. 

Pada hari raya keempat kami hadir pula majlis kenduri untuk anak saudara Pak Aji (yang akad nikahnya di Felda Tasik Chini yang lalu) yang disekalikan dengan kenduri adik Pak Aji (2-dalam-1). Berikut foto pengantin baru:



Sepanjang di kampung kami menjamulah selera dengan makanan yang biasa dihidangkan pada musim raya. Setelah beberapa hari timbullah rasa jemu dan selera beralih ke nasi berlauk dan yang seumpamanya. Nantikan entri berikutnya ya!





Thursday, 17 October 2013

Perjalanan 12 Jam Berkereta!

As-salam.

Selamat hari raya aidiladha semua!

Kami baru kembali dari kampung dan kami tiba ke rumah pada jam 11.30 malam tadi. Perjalanan bermula dari Wakaf Che Yeh sekitar jam 11.00 pagi semalam! Percayalah, perjalanan yang cukup panjang!!!

Alhamdulillah Aleesya tidak meragam sepanjang perjalanan!
Kami bertolak ke kampung pada pagi Sabtu lepas dan kami menyusuri Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan sempat menyinggah di Pantai Penarik untuk pekena keropok lekor dan juga ikan serta sotong celup tepung (cicah dengan sos cili) - sedap hingga menjilat jari! Setelah cukup kenyang baru kami meneruskan perjalanan ke kampung Pak Aji di Jerteh. Selesai makan malam kami ke rumah Cik Ning di Pasir Tumboh, Kota Bharu untuk bermalam di situ. 

Kami balik kampung dengan tujuan utama memperkenalkan menantu baru kami, Mida kepada sanak saudara yang sebahagiannya tidak dapat hadir majlis kenduri kahwin selepas raya puasa tempoh hari. Mida juga kebetulannya belum pernah ke Kelantan. 

Perjalanan sepanjang balik kampung, sepanjang berada di sana serta perjalanan balik cukup menduga kekuatan fizikal kami semua - cukup meletihkan, namun cukup menggembirakan!

Puas kami makan daging korban dan puas juga kami berziarah sanak saudara demi menjaga hubungan silaturrahim antara kami semua, alhamdulillah!



Saturday, 10 August 2013

Menyambut Lebaran 2013

As-salam.

Untuk kali kedua berturut-turut kami beraya lagi tanpa balik ke kampung. Walaupun beraya di KL tidak semeriah di kampung, kehadiran hampir kesemua ahli keluarga (kecuali Along serta keluarganya yang balik beraya dengan keluarga mertuanya di Kota Bharu) cukup meriah juga, apa lagi dengan kehadiran Aleesya, cucu perempuan Mak Aji yang pertama! Jom layan foto raya kami!:

Kami sekeluarga.
Permata hati kami semua, Aleesya!!
Dahulu berdua, sekarang bertiga!
Masuk lalat Yang ooi!
Zhafran serta isterinya, Mida.
Pengantin lama, Mak Aji dan Pak Aji!
Kami dengan Zhafran serta Mida.
Kami dengan Madihah.
Madihah dengan kakak-kakak iparnya.
Nyenyaknya tidur Aleesya!
Uncle Boy berlatih dengan memangku Aleesya. Kalau sudah cukup
mahir bolehlah cari calon isteri ya!
Kami dengan keluarga Hanif.
Hero Malaya yang kacak-kacak semuanya!
Heroin Malaya yang tidak kurang manis semuanya ya, he he!!
Seronok kami dengan cucu baru!

Sibuk merakam foto lupa pula tentang makan ya. Mak Aji masak rendang daging bercampur paru-paru. Juga rendang ayam (pencen) serta ketupat (kurang ori sebab segera sahaja). Ketupat palas berinti daging juga ada (bukan bikinan sendiri tetapi ditempah). Oh ya, juga pulut kuning hasil resepi (di sini) rakan blogger, SmRose yang dimasak dalam tempoh kurang setengah jam menggunakan ketuhar gelombang mikro! (Terima kasih Rose, menjadi pulut Mak Aji!) 

Sekadar itu sahaja perkongsiaan buat kali ini! Selamat menyambut aidilfitri untuk semua, maaf zahir batin daripada kami sekeluarga buat anda semua!

 

Thursday, 25 October 2012

Salam Aidiladha untuk Semua

As-salam.

Sebelum apa-apa Mak Aji sekeluarga ingin mengucapkan salam aidiladha kepada semua kaum kerabat, sanak saudara, ipar-duai serta rakan taulan baik yang jauh mahupun dekat! Maaf zahir dan batin. 

Malam tadi untuk pertama kalinya Cik Ning (kakak sulung Mak Aji) beraya di rumah anaknya di Skudai, Johor. Anak-anak lain juga turun ke Skudai untuk merayakannya bersama-sama. Mereka sampai ke rumah Mak Aji malam tadi untuk tidur semalam sebelum bertolak ke Johor pagi tadi. Kata mereka sejak dari KB lagi kereta bertali arus menghala ke KB, yang adakalanya terberhenti terus. Dari KL pula semasa mereka tiba di tol Gombak, kereta bersusun-susun menghala ke Timur - seram Mak Aji mendengarkannya! Teringat di kala terpaksa meredah perjalanan berbelas jam untuk balik dari KL ke KB!

Esok kami hanya beraya di KL sahaja. Insya-Allah pada hari raya ketiga barulah kami bertolak balik KB kerana membuat korban pada raya keempat.

Pagi-pagi lagi Mak Aji masuk ke dapur untuk membuat kek marble yang pernah dibuat sebelum ini berdasarkan resepi Dari Dapur Kecah. Kali ini memang mengikut arahan agar dibuat design pada permukaan kek sebelum membakarnya. Ini dia: 

Sebelum - cantik tak design yang dibuat? he he!
Selepas - design entah ke mana! Macam Gunung Bromo yang baru meletus!

Selepas kek siap projek kedua, lasagna lagi. kali ini menggunakan ayam pula:

Lasagna ayam.
Dari dekat - yang tak puasa buat sarapan pagi, yang puasa untuk berbuka.

Petang nanti persiapan lauk untuk dimakan pada hari raya pertama - nasi beriani lauk kambing (lagi!!) dan ayam (organik). 

Untuk yang berpuasa selamat berpuasa dan selamat berbuka!







Wednesday, 28 September 2011

Hari Terakhir Syawal

Rumah terbuka sepatutnya berakhir malam ni. Esok dah Zulkaedah, bukan Syawal lagi. Namun begitu, kalau nak buat juga rumah terbuka, boleh aja ajak Mak Aji, takde hal, insya-Allah makan tak tolak! Kami kat ofis tak sempat nak buat pun, jadinya asyik makan kat rumah terbuka orang saja, rumah/bahagian sendiri tak buka pun. Bukan apa, hari tu dah rancang cantik-cantik, tiba-tiba Mak Aji perlu hadir kursus. Kursus kalau ditangguh, tak tahu bila nak hadir lagi, takut tak sempat saja sebelum pencen. Bila dah tangguh, tangguh sampai sudah habis masa. Takpelah, lain kali aja, mungkin boleh buka waktu raya haji nanti?! Waktu tu orang lain tak buat, kita aja yang buat. Sambutan tentu baik punya, cuma kena siap makanan biar lebih, nanti tak cukup pulak!

Saturday, 10 September 2011

Puasa Sebulan Raya Pun Sebulan

Masa balik raya kat kampung tempoh hari, ada orang yang benar-benar raya sakan - pengantin baharu!! Alif dan Yati, Selamat Pengantin Baharu - honeymoon yer!!  Mak Aji sampai betul-betul nak termuntah kerana bau gulai (dalam kereta) yang dibekalkan selepas kenduri kahwin. Semasa dalam tempoh lebih kurang seminggu tu, hampir hari-hari kenduri. Kak Long dan ahli keluarga lain ada yang sampai empat lima kenduri dalam sehari!! Mana nak boh banyak-banyak tu?? 

Bila balik KL pulak, bermulalah raya kat KL pulak! Hari minggu aje penuh juga open house dan juga kenduri kahwin. Pak Aji awal-awal pagi lagi mencari ayam untuk dibuat lauk hari minggu tapi tak sempat beli di tempat biasa - habis - kerana banyak sangat open house!!  Terpaksa beli kat tempat lain. 

Di ofis pun sama, ada  sahaja jamuan raya bahagian. Alamat ramailah yang makin 'berkembang makmur' sepanjang Syawal ni! Diet kira hancuss berderaii! Asyik-asyik nasi impit, rendang, lemang, masak lodeh, sate aje, apa kata open house tukar menu pulak - nasi kerabu ke, laksam ke,kebab ke,  nasi mandy ke, nasi khabsa ke, sup ekor ke, sup cendawan dengan roti perancis ke???

Sapa-sapa yang nak buat open house bolehlah fikir-fikirkan ya, jangan lupa jemput Mak Aji ya!!

Ni gambar raya kami sekeluarga:

Hanif, Firdaus Zhafran
Orang Lain sibuk bersalam Imran sibuk makan biskut raya
Along, Mak Aji, Madihah dan Imran
ALL IN THE FAMILY
Pak Aji, Mak Aji dan Cucu
Along dan Keluarga

Thursday, 8 September 2011

Ucapan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin

Kalau tak malam esok, pagi Ahad Mak Aji akan balik kampung. Terpaksalah redah perjalanan jauh untuk sampai. Janganlah pengalaman berada dalam kereta selama 17 jam seperti yang berlaku beberapa tahun lepas berulang lagi! Naik serik dibuatnya. Takut tak sempat buat posting lagi, Mak Aji nak ucapkan Salam Ramadan dan Salam Aidilfitri untuk semua pengunjung blog Mak Aji. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan keberkatan-Nya kepada kita dan agar segala amal ibadah yang dilaksanakan sepanjang bulan ini akan memperoleh ganjaran yang setimpal. Amin. Mak Aji mohon ampun dan maaf kiranya terkasar bahasa dalam mana-mana posting yang dibuat. Sesungguhnya yang baik itu daripada Allah swt dan yang buruk itu daripada diri Mak Aji sendiri. Moga selamat perjalanan pergi dan balik. Yang tak balik kampung sebab memang orang KL, you can have all of KL to yourselves (agaknya boleh baring kat tengah Jalan TAR??)


Monday, 15 August 2011

Raya Dah Dekat

Semua orang agaknya ada warna tema untuk raya. Agar manis dipandang, sedondon aje. Bila ambil gambar raya tahun 2011 baru jelas. Mak Aji sebenarnya tak mengisah sangat tentang hal ini. Yang kisah Kak Long Mak Aji. Bila tengok gambar raya, nampak cantik aje, tak macam Mak Aji, berterabur aje, masing-masing baju Melayu warna ikut dan aje. Bermula dari situlah Mak Aji mula ikut ada tema, sekurang-kurangnya untuk baju Melayu anak-anak Mak Aji yang lelaki (4 hero wei - jejaka idaman. Masih ada dua opening, dua lagi dah kena book, dah bermakwe!).  

Bila membelek-belek baju Melayu Mak Aji naik ngeri tengok harga sepasang. Semurah-murahnya dapatlah sekitar RM130.00 sepasang. Kalau kainnya lebih berkualiti, tentulah lebih mahal. Sebenarnya Mak Aji dah bertahun-tahun membeli baju Melayu di Kota Bharu. Mak Aji minta aja Kak Long belikan di sana. Nak tahu berapa regenya?? Untuk kualiti kain yang agak sederhana, Mak Aji dapat sekitar RM60 sepasang!! Tak percaya? Jom kita ke Kota Bharu lihat sendiri! Banyak wei roti Gardenia yang Mak Aji dapat beli dengan jumlah wang yang dapat dijimatkan! Walau bagaimanapun, untuk mereka yang banyak duit, belilah di KL dengan harga yang lebih mahal tu! Mak Aji nak tengok duit Mak Aji stretch lebih lama lagi. Apa lagilah dengan rege barang yang semakin naik, yang tak tahu nak turun. Gaji saja yang tak naik-naik! Mak Aji dengar khabar angin yang gaji kakitangan akan naik awal tahun depan, entah betul entah tidak. Harap-harap betullah sebab orang gomen ni dah lama tak merasa semakan gaji. Kalau ada rezeki, sempatlah Mak Aji pencen dengan gaji pokok yang baru tu??!! Insya-Allah, kalau ada rezeki yang dah dijanjikan Allah, takkan ke mana!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...