Followers

Showing posts with label resipi/makan. Show all posts
Showing posts with label resipi/makan. Show all posts

Wednesday, 29 October 2014

Menjala pada Musim Hujan

As-salam.

Kalau musim hujan selalulah berlaku banjir dan apabila air melimpah tebing, banyaklah ikan untuk dijala ya! Apapun Mak Aji tidak pandai menjala ikan. Kalau menjala pun sekadar menjala roti jala sahaja. Itupun belum pernah Mak Aji buat sebelum ini. Resepinya sekadar disimpan menunggu untuk dibuat. 

Tengah hari tadi Mak Aji masak kari ayam, jadi untuk makan malam bolehlah Mak Aji menjala pula. Maka itulah yang Mak Aji buat sebelum Maghrib tadi dan inilah hasilnya - sepinggan roti jala!:

Dari segi rupa, bolehlah! 

Melihatkan rupa roti jala Mak Aji teringat pula akan catatan guru kelas pada buku rekod sekolah semasa bersekolah dahulu - masih ada ruang untuk penambahkaikan. Tambahkan usaha! Jadi, Mak Aji pun perlu juga banyak berlatih menjala agar hasilnya lebih cantik!  

Berikut bahan dan alat menjala:

Tepung, susu segar, telur, pewarna serta air.

Catatan: Lesson learnt today - make sure the batter is very smooth so as to get nice and fine roti jala (no blobs!) Peringatan untuk diri sendiri!



Thursday, 16 October 2014

Roti Sarang Tebuan - Jom Sarapan!

As-salam.

Selamat pagi semua! Sudah sarapan? Mak Aji baru selesai alhamdulillah, dengan roti sarang tebuan yang dibikin sendiri bertemankan sekole Horlicks yang dicampur sesudu (yang disediakan di dalam tin) OATMAX BG 20 (fotonya di bawah). Mak Aji minum ini atas cadangan doktor untuk tujuan menurunkan paras kolesterol dalam darah.

Kalau sebelum ini Mak Aji memasang niat untuk sama-sama menyertai usaha menghasilkan roti sarang tebuan ini, maka malam tadi tertunailah hasrat tersebut. Mak Aji agak kurang yakin dengan ketuhar sedia ada untuk menghasilkan roti. Ini kerana Mak Aji diberitahu yang ketuhar sedia ada kurang sesuai untuk meroti kerana roti yang dihasilkan akan sedikit kering! Walau bagaimanapun Mak Aji mencuba juga, kalau-kalaulah berhasil dengan baik! Nothing to lose! Jom lihat roti Mak Aji:


Dua ketul yang cukup mengenyangkan! Alhamdulillah sedap!!
Tambahkan sesudu oat ini dengan minuman kegemaran anda
sebelum anda bersarapan setiap pagi untuk menurunkan
paras kolesterol, insya-Allah.
Siap dibakar!
Ini sos butterscotch yang agak pucat (tiada gula perang, guna gula biasa sahaja).
Sesudah dijirus sos butterscotch sehingga sedikit banjir!!
Alhamdulillah segebu yang diinginkan!

Anda mahukan resepinya? (Asal-usul resepi ini daripada Kelab Roti di FB). Sila ke pautan berikut:


Catatan: Mak Aji punya tiadalah rupa sarang tebuan sangat - percubaan pertama! Insya-Allah nanti Mak Aji buatkan yang lebih cantik ya. Warna sos butterscotch juga agak pucat sebab ketiadaan gula perang. Yang Cik Manggis punya ini memanglah cantik! Oh ya, pun Mak Aji pakai sahaja apa-apa kacang dan bijian yang ada - kena beli stok bijan hitam biar cantik nanti! Alhamdulillah roti tidak kering, cukup lembab.

Jom meroti!!




Sunday, 14 September 2014

Oreo No-bake Cheese Cake

As-salam.

Mak Aji sekeluarga memang hantu keju - asal ada keju pasti menjadi kegemaran kami! Oleh sebab itulah Mak Aji sentiasa ada simpan stok keju yang disejuk beku. Biasanya jenis keju yang disimpan, mozarella dan cream cheese. Mozarella untuk bikin lasagna dan cream cheese untuk kek keju. 

Minggu lepas Mak Aji diminta oleh Boy untuk membuat kek keju Oreo yang tidak perlu dimasak, sekadar sejuk beku sahaja. Untuk jamuan ulang tahun rakan sepejabatnya, katanya. Ini yang Mak Aji hasilkan:

Bahagian tepi agak sumbing sebahagiannya kerana Boy lalukan pisau agar tidak
melekat pada acuannya (tidak melekat pun sebenarnya). 

Dari segi rasa alhamdulillah sedap katanya! Insya-Allah bolehlah dibikin lagi selepas ini. Kali ini Mak Aji perlu dapatkan 5 inch springform pan seperti yang disebut dalam resepi asal, agar keknya agak tinggi sampai ke birai acuannya! Mak Aji dapatkan resepinya di sini:




Cukup mudah untuk menghasilkannya. Rasanya cukup sedap sekali! Cubalah!



Tuesday, 18 June 2013

Aye (ayam) Percik Mak Aji

As-salam.

Lauk untuk tengah hari ini, ayam percik, atas permintaan anak-anak yang memang sukakan menu ini. Apabila diperiksa dan didapati arang sudah habis, Pak Aji suruh Mak Aji gunakan magic pan sahaja. Malaslah pula mahu dikeluarkan pemanggang elektrik kalau sekadar untuk memasak seekor ayam sahaja - (tidak berbaloi membasuh dan menyimpannya semula, lainlah kalau barbeku beberapa ekor ayam!) 

Makanya, ayam percik kali ini paling ringkas kerana menggunakan magic pan sahaja ya! Mahu Mak Aji kongsikan resepinya? Ini dia versi Mak Aji yang tidak terasa manis seperti ayam percik Yatie di Kota Bharu, pun bukan yang berkuah merah seperti di pasar malam. Kami suka, mungkin anda juga suka!

Bahan-bahannya:

Seekor ayam bersaiz sederhana dipotong 4 bahagian (dibuang kulit serta lemaknya dan dikelar)
bawang merah 10 ulas
bawang putih 3 ulas
separuh sudu kecil serbuk jintan putih
1 cm halia
santan pekat daripada sebiji kelapa
tiga perempat sudu kecil asam jawa (tanpa biji)
1 sudu besar tepung jagung (untuk pekatkan kuah) 
garam
secubit gula (sebagai ganti ajinomoto)

Cara-caranya:

1. Tumbuk halia, masukkan serbuk jintan putih, 2 ulas bawang putih, 4 ulas bawang merah, garam. Gunakan bahan tumbuk ini untuk perapkan ayam untuk seketika.

2. Kukus ayam sampai tiga suku masak (air ayam boleh disimpan untuk menjadi perasa bila masak sayur). 

3. Sambil ayam dikukus, perah santan dan tuangkan ke dalam kuali. Tumbuk 6 ulas bawang merah dan 1 ulas bawang putih. Masukkan ke dalam kuali. Masukkan asam jawa, garam dan secubit gula. Bancuh tepung gamdum dengan sedikit santan tadi. Masukkan air asam jawa tadi. Panaskan kuali dan masak hingga menggelegak (jangan sampai pecah minyak). Kacau sentiasa hingga pekat. Simpan sebahagian kuah di dalam mangkuk untuk dihidangkan bersama-sama ayam percik dan sebahagian lagi untuk disiram keatas ayam. 

4. Keluarkan magic pan dan bakar ayam sekitar 5 minit untuk menampakkan kesan bakar pada ayam dan sehingga ayam masak sepenuhnya. 

5. Curahkan kuah percik ke atas ayam. Balik-balikkan beberapa kali sambil mencurah kuahnya beberapa kali.

6.Angkat dan hidangkan bersama-sama kuah tadi (anak-anak suka kuahnya dimakan dengan nasi).

Aye percik yang dipangge denga magic pan! (ayam percik yang dipanggang dengan magic pan).

Catatan: Resepi ini tinggalan arwah ibu Mak Aji, cuma Mak Aji tambah tepung jagung (arwah ibu Mak Aji tidak menggunakannya).



Saturday, 15 October 2011

Mentarang

Pernah dengar nama mentarang?? Kalau nak tahu, ia sejenis cengkerang yang Mak Aji baru kenal. Pertama kali dengar nama dan lihat rupanya semasa pergi ke Sabak Bernam. Mentarang dijual mentah, saiz sederhana RM7.00 sekilo manakala yang bersaiz besar, RM9.00 sekilo. Mak Aji beli tiga kilo dan lepas sampai rumah saja terus bersilat mengopeknya sendirian hinggakan naik kecut tangan. 
3 kilo mentarang dengan kulit

3 kilo mentarang selepas di kopek
Mak Aji masak mudah aja - letak bawang merah dan bawang putih dihiris, cili kering yang dikisar, serai diketuk, sedikit santan, garam, sedikit gula. Hasilnya, sedappp!!!

Cuma satu peringatan, mentarang ni, sama dengan jenis cengkerang lain, kalau perut tak tahan atau kalau silap haribulan, boleh cirit-birit!

Wednesday, 5 October 2011

Itik Lagi

Makan malam ini itik goreng,  tenggiri  masak singgang, ulam pucuk gajus dan midin cicah budu. Pak Aji berselera makan sampai bertambah nasi. Mak Aji kalau ikutkan hati nak juga tambah, tapi akal kata cukuplah tu. Ingat, masuk kena kurang daripada yang keluar! Eh, pembetulan, nanti salah faham pulak. Makan kalorinya kena kurang daripada  kalori yang dibakar. Kalau tidak, nanti makin lama makin kembang, mengempis jangan haraplah. 
Sebenarnya siang tadi Pak Aji jumpa kawan dia yang bela itik (untuk mendapatkan telur) di Kg. Melayu Subang. Orang itu dia beri percuma seekor. Masa Pak Aji datang jemput Mak Aji, dia kata kawan beri itik. Ingatkan yang dah mati, rupanya bila sampai rumah, elok saja dia jinjing itik yang masih hidup untuk dibawa ke belakang untuk disembelih. Nak tak nak terpaksalah bantu dia pegang itik. Mak Aji seram sikit sebenarnya! Baki itik kenalah tunggu hujung minggu ni nak masak apa - itupun kalau sempat. Nampak gaya hari minggu ni kena kerja. Tengoklah kalau-kalau sempat masak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...