As-salam.
Mak Aji sebenarnya kurang tahu sangat tentang spa ini. Yang Mak Aji pernah cuba, panggil tukang urut yang bagus ke rumah, Mak Aji cuba cipta suasana spa di bilik tidur dengan memasang burner dengan menitikkan beberapa titik pati minyak lavender ke dalam mangkuk burner tersebut. Bau yang harum semerbak cukup menyelesakan dan menyamankan, apa lagi dengan merasa tangan-tangan memicit seluruh badan! Mak Aji terus tutup mata dan bayangkan diri diurut di spa, di Bali!!
Satu lagi pengalaman spa - Mak Aji pernah dibelanja oleh anak, Zhafran semasa menyambut ulang tahun beberapa tahun lepas (semasa bertugas di JB). Dia kirim duit beberapa ratus dan Mak Aji dapatkan pakej yang cukup-cukup dengan duit yang dikirim! Betapa seronok dan nyamannya bila badan dibelai begitu. Terasa cukup dihargai.
Ok, sekarang kita balik ke tajuk entri. Sebenarnya kalau di negara kita, tanpa kocek yang tebal, janganlah harap kita mampu memanjakan diri di spa, kecuali once in a blue moon sahaja. Lain pula halnya di seberang! Semasa Mak Aji di kota Pasuruan, Jawa Timur tempoh hari, Mak Aji, Cik Ning dan Madihah (sebagai penunjuk arah) berpeluang mencuba spa pada harga yang cukup luar biasa murah - cuba bayangkan pakej spa yang semurah 100,000 rupiah (sekitar kurang daripada RM40!!).
Kami telah berkunjung ke Salon Yaya, sebuah salon yang menawarkan pakej Indonesia pada harga 100,000 rupiah, pakej Malaysia pada harga 150,000 rupiah dan harga pakej Arab pada harga 200,000 rupiah!
Yang kami ambil, pakej Malaysia. Alasannya, sebab kami warga Malaysialah, he he! Pakej ini menawarkan 9 perkara iaitu urut, sauna, lulur, masker susu, manicure dan pedicure, berendam rempah (air panas), ratus (semacam bertangas), syampu rambut, rawatan rambut (letak vitamin). Tempoh masa keseluruhannya - 3 jam. Terasa diri umpama ratu dengan hanya membayar sekitar RM50!!! Mana hendak dapat sebegitu di tanah air kita???!!!
Oh ya, seperkara lagi, taukenya memberi kami minum secara gratis, secawan seorang, air temulawak yang diproses bersama-sama gula merah - sebabnya Mak Aji terlalu banyak angin, sendawa sepanjang-panjang 3 jam tersebut. Cik Ning juga mendapat manfaat, tempias daripada Mak Aji!
Setelah selesai, kami berjanji untuk berkunjung lagi bila berpeluang! Amacam, ada sesiapa nak ikut serta? he he!!

