Followers

Showing posts with label jalan-jalan. Show all posts
Showing posts with label jalan-jalan. Show all posts

Tuesday, 14 October 2014

Cuci Mata di Jalan TAR

As-salam.

Mak Aji jarang turun ke KL - al-maklumlah orang pencen, malas Mak Aji meredah kesesakan KL kalau tiada hal penting. Lewat pagi tadi Pak Aji ajak menemankan dia untuk menghantar tamu balik ke Singapura. Tamu bertandang selama sehari dua di rumah - kawan kepada Asraf, anak bongsu Mak Aji. Mak Aji mahu juga keluar sebab Pak Aji pancing dengan nasi kandar (Jomlah ikut, nanti kita makan nasi kandar! Begitu kata-kata manisnya! Terbayang kesedapan nasi kandar, Mak Aji pun ikutlah).

Masuk sahaja ke lebuhraya PLUS, di kiri kanan jalan terdapat pelebaran jalan hingga ke 4 lajur! Terkejut Mak Aji - punyalah lama tidak keluar rumah! Mak Aji percaya, kesesakan akan reda sedikit sekejap sahaja tu, nanti sesak juga lagi tu - kereta makin banyak! 

Makin banyaklah bahagian sisi jalan termasuklah bukit yang ditarah untuk tujuan pelebaran jalan tersebut. Jalan lengang sebab masing-masing sudah sibuk di pejabat (balik ke rumah perlu sebelum mereka keluar pejabat!) 

Setelah menghantar tamu ke KL Sentral, kami terus ke Jalan TAR. Pak Aji mahu cari buku di Pustaka Mukmin - keluar tangan kosong sebab katanya buku yang dimahukan agak mahal - beli sahaja nanti di Surabaya waktu kami ke sana nanti pada awal Januari, insya-Allah - jauh lebih murah! Sementara Pak Aji di kedai buku, Mak Aji meninjau-ninjau kedai berdekatan - ke Princess (ada jualan hingga 30% Scholl namun tiada yang betul-betul berkenan di hati. Tinjau lagi jubah - pun tiada yang berkenan - agak sempit di pinggul (kena beli jubah Arab jugalah yang berpotongan payung). Mak Aji masuk ke kawasan arked - kain pasang RM10 sepasang?? Puas jurujual mengecek Mak Aji untuk membeli - Mak Aji sudah tidak pakai baju bunga-bunga, sekarang pakai seragam hitam sahaja! Bagus juga ya, selamat duit aku! He he!! 

Mak Aji menyeberang ke Bata sebab kelihatan ada jual murah - keluar tangan kosong juga sebab tiada yang berkenan dan jurujual juga sibuk berborak sesama mereka! Apa daaaa!

Sebelum kembali ke kereta kami sempat mencari rempah beriani di bangunan sebelah Semua House. Dapatlah beberapa kotak rempah beriani daging/kambing serta ayam. Suasana di sekitar Jalan Bunus agak meriah sebab raya Deepavali sudah dekat - banyaklah barang keperluan untuk Deepavali dijual. Akhirnya sebelum balik kami mencari nasi kandar di kedai nasi kandar Mohd Yaseen, juga di Jalan TAR.  

Kali ini kami tidak perlu beratur sebab waktu sudah hampir jam dua petang.
Mak Aji makan lagi lauk yang sama seperti kali akhir ke sini.

Sebelum balik, kami sempat menyinggah ke sebuah kedai yang menjual barang makanan dan sebagainya dari negara Arab - betul-betul setentang dengan restoran nasi kandar ini. Namanya Suria Wholesalers - mereka menjual dari makanan, pakaian, barang dapur serta ayat-ayat suci sebagai hiasan dinding. Sempat kami beli sedikit barang dapur - kacang pol dalam tin, rempah ratus, pes tomato, buah zaitun, serta beberapa jenis teh. 

Setelah selesai kami terus balik agar sempat Zuhur di rumah. Seronok juga sesekali cuci mata di Jalan TAR!




Wednesday, 23 April 2014

Jalan-jalan Cari Tukang Urut

As-salam.

Seperti juga resminya kereta lama, kenalah lebih kerap dibuat servis, silap haribulan kena buat overhaul, maka begitu jugalah badan Mak Aji yang semakin dimamah usia ini!

Pada hari Jumaat lepas, badan Mak Aji berasa kurang sedap, seperti hendak (tidak mahu sebenarnya) demam sahaja, demam uratlah agaknya. Mak Aji menyebut hal itu kepada Pak Aji. Disuruhnya Mak Aji mencari tukang urut. Yang Mak Aji teringat tukang urut Ros nun jauh di Johor Bahru. "Jom kita pergi," kata Pak Aji!

Jadi, gara-gara mencari tukang urut kami pun bertolak ke JB pada pagi Sabtu (Mak Aji off jaga cucu pada hari minggu). Apapun kami terpaksa balik pada keesokan harinya (untuk memulakan tugas Mak Aji balik pada Isninnya!). Maka dengan santainya kami berhenti makan minum serta berehat sebelum sampai ke Skudai, ke rumah anak sulung Mak Aji. Tukang urut sudah ditempah awal-awal lagi. 

Sepanjang kami di rumah Along sempatlah kami bermesra dengan cucunda berdua, Naufal dan Imran. Sempatlah juga Mak Aji menghantar mereka ke sekolah pada pagi Ahad itu - seronoknya mereka! 

Petang Sabtu selesai sesi urut untuk Mak Aji dan malamnya Pak Aji pula berurut. Esoknya berangkatlah kami balik ke KL.

Dalam perjalanan balik ke KL kami menyinggah untuk pekena asam pedas Melaka - kegemaran kami berdua (juga seisi keluarga sebenarnya!). Kami ini kami main terjah sahaja dan setelah meng-Google kami memilih Asam Pedas Hajah Mona di Kota Laksamana - terbukti sedap sehinggakan kami tapau asam pedas tetel dan ikan parinya!

Asam pedas Hajah Mona - tetel dan ikan tenggiri.

Kalau kami menyinggah ke Melaka pada waktu malam, tentunya kami akan ke restoran Asam Pedas Pokok Besar, juga di Kota Laksamana!



Monday, 13 January 2014

Apa yang Menarik di Jepun?

 As-salam.

Kakak sulung Mak Aji baru balik dari Jepun bersama-sama suami dan dua anak bujangnya. Seronok juga mendengar cerita daripada mereka tentang pengalaman mereka sepanjang di sana. 

Kita sering dengar orang mahu ke Jepun untuk ke Tokyo Disneyland, untuk melihat Gunung Fuji serta lain-lainnya. Kakak Mak Aji banyaklah melawat tempat-tempat menarik termasuklah ke Gunung Fuji.  Mak Aji tidak mahu berita panjang tentang tempat-tempat istimewa di sana tetapi perkara lain yang jarang disebut oleh pengunjung ke sana. Mak Aji ingin kongsikan beberapa foto yang mereka bawa balik:

Apa yang luar biasa dengan foto ini???
Jika anda perhati betul-betul anda akan melihat dua kotak kertas yang di panjang di tengah dan kanan foto. Cuba teka apa yang di dalam kotak itu! Ada orang tidur di dalamnya! Orang yang tidak berumah!! (homeless) Betapalah kemas dan bersihnya orang Jepun sehinggakan orang tanpa rumah pun masih kemas kotak/tempat tidurnya itu! Foto ini dirakam di tepi jalan di kota Tokyo.

Inilah dia bilik mandi terbuka (common bath) di hotel tempat kakak Mak Aji
sekeluarga menginap! Mereka bernasib baik kerana bilik mereka
mempunyai bilik airnya sendiri! 
Kata mereka, bilik air ini untuk lelaki dan juga wanita dan mereka mandi tanpa memakai apa-apa! Nanti dahulu jangan terlopong mulut anda! Waktu untuk wanita dan lelaki mandi berbeza - ada jadual waktunya! Apa macam, boleh anda mandi di sini??? Ada berani? Masuk kandang kambing kena mengembek tau!

Cuba anda teka kenderaan apakah ini!
Inilah dia lori sampah yang bersih berkilat! Cuba bandingkan rupa lori sampah kita! Semacam bumi dengan langit, bukan!

PAS pun mendapat sambutan di Jepun!
Siapa kata PAS hanya ada di Malaysia? Foto di atas membuktikan kenyataan yang sebaliknya!! Ini dia basikal Yamaha PAS!

Sekadar tambahan kepada foto-foto di atas, ingin Mak Aji menambah kata - untuk pengetahuan anda, restoran di kota Tokyo sememangnya bersaiz kecil sehimggakan pelanggan terpaksa beratur di luarnya menunggu giliran untuk masuk. Berdasarkan pemerhatian Mak Aji sendiri restoran biasa hanya mampu memuatkan beberapa orang sahaja sekali makan. Jadi yang selebihnya beraturlah di luar restoran! Yang Mak Aji lihat itu restoran yang menjual sushi. Sebuah lagi restoran Pakistan yang pernah Mak Aji masuk pula hanya boleh memuatkan sekitar 4 biji meja makan sahaja dengan 4 kerusi setiap satu meja. Cenonet amat saiznya!

Mereka beratur untuk masuk makan sushi rasanya!
Foto di atas ini sebenarnya foto yang Mak Aji rakam semasa ke Tokyo pada akhir tahun 2002 atas urusan kerja.

Jom layan lagi beberapa foto lain semasa Mak Aji di Tokyo ketika musim luruh:

Daun tengah menguning. Di luar pejabat ACCU, tempat berlangsungnya mesyuarat.
Pantang nampak bunga nak bergambar!
Ini kedai bunga di lobi hotel.
Keluar pintu hadapan rumah dan  jalan selangkah dua sudah
pijak jalan raya! Ini salah satu rumah orang Jepun di Tokyo.
Kedai bunga lagi, he he! Malu sendiri.
Tumpang semangkuk! Kereta di hadapan hotel.
Bersama Ibu Amien dari Jakarta. Jalan-jalan cari buah tangan.
Ibu Amien dan Azra dari Maldives.
Ada kawan kirim kimono, mak aaii, mahal bagai apa weh. Yang murah sedikit
yukata, maka itulah yang dibeli.
Jumpa minah Jepun yang jalannya terkepit-kepit
kerana  pakai kimono!
Window shopping - baju apa entah?
Jalan nak masuk ke subway. Maaf ya, foto bullet train hilang entah ke mana!
Di sebuah restoran Jepun.
Apabila Mak Aji ke sana atas urusan kerja, maka tentunya ada foto kerja dan yang berkaitan kerja:


Dengan sebahagian wakil negara lain.
Dengan seorang lagi ahli mesyuarat dari Jepun.




Dengan seorang pakar kanak-kanak yang begitu
kreatif menghasilkan origami!
Dengan pegawai dari ACCU.
Sebagai wakil institusi dari Malaysia.
Duduk di sebelah Azra sepanjang mesyuarat.

Untuk pengetahuan, Mak Aji berada di sana ketika hujung bulan puasa - ketika menyanggup untuk pergi tidak pula Mak Aji perasan! Mak Aji baru perasan apabila segala persiapan sudah dibuat, apakan daya, teruskanlah juga. Pada tahun itu jugalah berlakunya tragedi 11 September - nasib baiklah ke Jepun, kalau ke Amerika Syarikat alamat takut juga kalau-kalau dicap pengganas!

Yang bagusnya (menitis juga air mata!) pada ketika keluarga di Malaysia sedang solat raya Aidiladha, Mak Aji bersiap untuk pulang. Mak Aji sempat menelefon sebelum bertolak ke Lapangan Terbang Narita. Ketika itu Pak Aji sudah pun berada di kampung bersama-sama anak-anak! Sedihnya!

Dalam pesawat, sedang Mak Aji leka melayan rasa sayu di pagi raya sambil makan mi Jepun yang berwarna hijau tu yang disiram kicap cair, Mak Aji disapa seorang pramugara yang tersenyum - "Selamat hari raya puan! Sama-samalah kita beraya di sinilah ya!" Lega sedikit rasa hati sebab sekurang-kurangnya adalah kawan yang senasib!

Sampai sahaja Mak Aji di KLIA, Mak Aji mendaftar masuk ke hotel di KLIA sementara menunggu  penerbangan ke Kota Bharu awal pagi esoknya. Masuk sahaja ke bilik Mak Aji terus pasang TV untuk mendengar takbir raya. Sampailah ke malamnya tiada sekalipun kedengaran takbir. Bertambah lagi sedih di hati!

Setelah tiba di Kota Bharu Mak Aji dimaklumkan pula oleh Pak Aji yang dia tidak membawa balik beg baju Mak Aji - terasa ringan (dia ingat kosong!) katanya, lalu tidaklah dibawa balik kampung! Mak Aji pula ada satu beg penuh baju kotor! Terpaksalah Mak Aji beraya dengan baju pinjam, termasuklah beg tangannya sekali! Ada kenduri kahwin pulak tu sepanjang cuti raya tu! Haru betul!

Setiap kali orang sebut Jepun, setiap kali itulah Mak Aji ingat pengalaman ini!


Thursday, 14 March 2013

Wisata Tiga 'Dara' ke Surabaya

As-salam.

Alhamdulillah Mak Aji serta kakak, Cik Ning serta seorang kawan baik, Wan selamat pulang dari wisata di Surabaya. Kami bertolak dari LCCT pada petang 9 Mac manakala kami pulang dan tiba di LCCT menjelang tengah malam tadi. 

Rupa-rupanya berjalan sesama perempuan memang menyeronokkan, meskipun ada ketikanya kami sedikit termengah-mengah apabila terpaksa mengangkat beg berat ke hulu ke hilir. Sekiranya bersama kaum lelaki, mereka tidak betah menunggu kaum wanita membeli-belah tetapi mereka tetap setia menjadi tukang angkat barang. Dalam ketiadaan mereka terpaksalah kami membuat semuanya, kecuali apabila sampai ke kenderaan - tukang supir akan mengambil alih.

Acara kami boleh dikatakan agak selesa, tidak terlalu padat dan tidak terlalu longgar. Ada juga hajat kami yang tidak kesampaian dek kerana perancangan yang sedikit kurang kemas tetapi alhamdulillah kami agak berpuas hati. Kalau ada rezeki rasanya pada tahun hadapan kami akan merancang untuk berjalan lagi!! Itupun tentunya setelah mendapat kelulusan bos masing-masing! 

Layanlah foto kami bertiga semasa wisata singkat kami itu:

Destinasi kami - Surabaya!
Surabaya here we come!! Dalam pesawat ke Surabaya.

Sesampai kami di Bandara Juanda, kami terus ke Pasuruan dan mendaftar masuk ke Hotel Pasuruan. Madihah serta Nadia dan Mawaddah sudah sedia menunggu kami di situ.

Keesokan harinya oleh kerana spa tidak dibuka pada hari Ahad, maka kami menukar rencana dengan menempah kenderaan untuk ke Surabaya. Kami sempat ke Pusat Grosir Surabaya, ke Ampel, ke Sidoarjo untuk makan malam dan selepas itu kembali ke Pasuruan.


Menunggu pesanan makan tengah hari di Ampel.
Bergembira dengan minum Soda Gembira!
Ini rupanya soda gembira - gembira masing-masingnya!!

Hari Isnin kami ke Spa Yaya seperti yang dijanjikan dengan lebih awal lagi. Dua orang mendapat rawatan di sebelah lewat pagi hingga awal petang. Setelah siap kami memenuhi undangan makan tengah hari di rumah Aisha, kawan Madihah.


Kerusi tangas di Spa Yaya, Pasuruan.
Sungguh unik dan kreatif rupa singki di spa tersebut.
Ini brosurnya.
Jenis rawatan serta harganya - lebih mahal sedikit berbanding tahun lepas.
Selepas makan tengah hari di rumah Aisha.
Bergilir-gilir tukang fotonya.

Setelah siap makan tengah hari pada lewat petangnya dua lagi menerima rawatan yang sama. Setelah selesai kami memenuhi lagi undangan makan malam di rumah Fatimah pula!


Kuih-muih sebelum makan malam di rumah Fatimah.
Logo kedai roti yang diusahakan keluarga Fatimah.

Pada hari Selasa sebelum kami bertolak ke rumah Ibu Dewi di Sidoarjo, kami sempat membeli-belah sedikit sebanyak di Pasuruan. Ini antara kedai yang kami kunjungi:


Sungguh unik ketayapnya - di sebuah kedai di Pasuruan.
Dua rak atas menempatkan dupa/bohor/l.
Ini duanya dari dekat.

Kami juga menyinggah di Raci, Bangil untuk bertemu dengan anak bongsu Mak Aji, Asyraf yang belajar di Pondok DarulLughah Waddawah, Raci, Bangil. Sementara menunggu waktu melawat, kami singgah solat di masjid di Bangil. Sempat juga kami ke sebuah kedai yang menghasilkan telekung (di sini disebut mukena atau rokuh). Harga telekung mahupun daster (housecoat/baju kelawar) memang paling murah di sini berbanding di tempat lain yang pernah kami kunjungi.


Singgah solat di Masjid, Bangil.
Giliran Mak Aji pula posing.
Bersama-sama anak bongsu Mak Aji, Asyraf yang memondok di Raci, Bangil.


Sesampai kami ke rumah Ibu Dewi, beliau sedang sibuk menguruskan persiapan untuk perkahwinan adiknya di Jawa Tengah. Sempatlah kami merasa masakan lazat yang disediakan Ibu Dewi - mi kari! Licin semangkuk besar seorang kami makan!


Wan, Ibu Dewi dan Cik Ning.
Mak Aji, Ibu Dewi dan Cik Ning.

Ibu Dewi serta keluarga bertolak ke Jawa tengah pada tengah malamnya sementara kami disuruh tinggal sahaja di rumahnya walaupun semasa ketiadaannya. Kami bertiga mengambil kesempatan berehat sebelum bertolak pulang keesokan harinya. Berikut kami diberi sarapan oleh anak-anak yatim dari yayasan yang ditubuhkan oleh Ibu Dewi serta suaminya. Merekalah yang melayan kami semasa ketiadaan Ibu Dewi. Kami juga dihantar ke bandara oleh salah seorang yang berkhidmat dengan Ibu Dewi.


Posing sementara ,menunggu sarapan.



Berikut pula kami di kafe di bandara sementara menunggu untuk mendaftar masuk untuk penerbangan balik ke KL:








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...