Followers

Showing posts with label resepi/makan. Show all posts
Showing posts with label resepi/makan. Show all posts

Wednesday, 29 October 2014

Creme Brulee

As-salam.

Sudah lama Mak Aji teringin untuk menghasilkan creme brulee selepas berkali-kali memerhatikan Ina Garten menghasilkannya di TV. Yang paling Mak Aji suka, saat apabila Ina menggunakan blow torch untuk menghasilkan kerak karamel di atasnya! Apabila Pak Aji membeli blow torch untuk membakar wangian gaharu antara lainnya, Mak Aji menyimpan niat untuk menggunakannya untuk creme brulee!

Sejak malam tadi Mak Aji berniat membuatnya pada hari ini dan pada petang tadi niat itu tertunai. Mari kita lihat hasilnya:

Creme brulee yang dihasilkan.
Let's dig in! Yummylicious!!!
Mari kita lihat prosesnya:


Bahan-bahan yang diperlukan, susu segar, whipping cream, telur
serta esen vanila.
Bancuhan kastad yang siap dituang ke dalam ramekin.
Ini dia blow torch Pak Aji - pinjam jap eh!
Yang siap masak. 
Setelah ditabur gula, dibakar dengan blow torch!

Itulah dia creme brulee yang dihasilkan petang tadi. Jika anda berminat untuk mencuba berikut resepinya (sumbernya entah dari mana Mak Aji sudah lupa):

Bahan-bahannya:

200gm susu segar
200gm whipping cream
1/4 cawan gula kaster
3 biji telur dicampur dengan 2 biji telur merah sahaja
Gula untuk ditabur di atasnya

Cara-caranya:

1. Panaskan ketuhar hingga ke suhu 150 darjah Selsius. 
2. Campurkan susu segar dan whipping cream ke dalam saucepan. 
3. Panaskan dan kacau hingga sedikit mendidih. 
4. Sejukkan sedikit. 
5. Pukul telur dan gula tetapi jangan sampai berbuih. 
6.Tuangkan bancuhan telur ke dalam bancuhan susu tadi dan terus kacau agar tidak berketul. 7.Sediakan 4 biji ramekin yang diletakkan di dalam dulang. 
8. Masukkan ke dalam ketuhar dan tuangkan air mendidih ke dalam dulang tadi (bain marie)
9. Masak selama 35-40 minit sehingga kastad mengeras. 
10. Sejukkan.
11. Taburkan gula dan bakar permukaan dengan blow torch.

Siap untuk dihidangkan!




Saturday, 25 October 2014

Roti Bikin Sendiri Cicah Gulai Daging dengan Mumbang Kelapa

As-salam.

Menu malam ini memang agak ringkas - roti cicah gulai daging dengan mumbang kelapa. Walaupun ringkas, alhamdulillah rasanya cukup sedap dan mengenyangkan! Kami makan berdua sahaja - malas pula Mak Aji mahu masak kalau sekadar berdua sahaja.

Roti bantal (loaf) Mak Aji bikin sendiri menggunakan resepi daripada blog Dorina's Delight. Anda boleh semak resepinya di alamat berikut:


Berikut yang kami makan:

Roti bantal yang gebus gebasss!
Gulai daging dengan mumbang kelapa pemberian saudara yang juga jiran kami.

Berikut beberapa foto roti semasa dalam proses pembikinan:


Selesai proofing dan menunggu untuk masuk ke dalam ketuhar.
Baru keluar dari ketuhar.
Roti bantal pertama dihasilkan menggunakan resepi Dorina.
Cewah gebus gebas roti Mak Aji!!
Mak Aji cukup berpuas hati dengan roti yang dihasilkan dengan resepi ini. Mak Aji tidak menguli secara manual dan sebaliknya memohon bantuan BM untuk menguli doh sehingga elastik. Kalau Mak Aji menguli sendiri nescaya dohnya tidaklah seelastik ini! 

Terima kasih Honey dari blog Dorina's Delight kerana resepi yang cukup bagus sekali! Sekali makan sahaja sudah habis separuh bantal! Tidak sempat untuk dibuat sandwic esok. 




Tuesday, 15 July 2014

East Meets West During Iftar

As-salam.

Beberapa hari lepas Mak Aji menyediakan juadah bukan nasi untuk berbuka - pan-grilled ikan tongkol dan sebagai kuih manis, butir nangka - sejenis kuih tradisi Kelantan! Agak luar biasa kombinasinya tetapi tetap sedap, he he! 

Pan-grilled ikan tongkol, kentang lecek, nuget ayam dan kentang goreng bertemankan butir nangka!!
Secara peribadi, Mak Aji rasa butir nangka yang menjadi bintangnya, he he!



One Down, More to Go!

As-salam.

Ini bukanlah count down apa, cuma sekadar baru menyelesaikan salah satu daripada projek biskut raya. Biskut kegemaran semua ahli keluarga - Triple C Cik Ning - Chocolate Chip Cookies. Mak Aji buat adunan yang agak banyak lalu menyimpan sebahagian secara sejuk beku - bila-bila mahu bakar keluarkan sahaja agar lembut dan terus bakar sahaja! 

Kumpulan pertama biskut kegemaran semua orang!

Mak Aji ada banyak lagi botol kosong untuk diisi biskut tetapi sempat/larat atau tidak membuatnya untuk memenuhkannya, hanya masa yang akan menentukannya!!




Saturday, 24 May 2014

Carrot Cake yang Sedap!

As-salam.

Mak Aji pernahlah sekali dua bikin carrot cake, cuma resepi yang digunakan menghasilkan kek yang agak sedikit kering dan kurang lembab. Jadi Mak Aji biasa makan kek yang ditempah daripada jiran setaman perumahan di rumah lama dahulu. Kek yang dihasilkannya cukup sedap, lembab dan kurang manis cream cheesenya - memang sesuai dengan selera kami. 

Semasa blogwalking Mak Aji terjumpa resepi yang katanya dan kelihatannya cukup lembab lalu Mak Aji memcubanya. Hasilnya alhamdulillah menepati selera kami!: 

Nampak pun sedap, kan!!
Mak Aji ambil resepinya dari SINI. Kalau anda memang sukan carrot cake, anda patut cuba resepi ini! Selamat mencuba!




Friday, 23 May 2014

Light Blueberry Cheese Cake

As-salam.

Dalam asyik share resepi kek dan masakan lain di FB agar tersimpan di timeline, sesekali Mak Aji masuk juga dapur untuk mencubanya. 

Entah apa angin, apa ribut, pagi-pagi lagi Pak Aji bertanya - "Ada kek ke?" Manalah ada sebab sehari dua ini agak sibuk dan dengan semalam puasa dan dengan melepeknya, mana ada kek yang dibuat. Memandangkan Pak Aji sudah teringin untuk makan kek, maka Mak Aji pun beleklah timeline dan usai solat Jumaat, Pak Aji dapatlah merasa cubaan pertama Mak Aji - Light blueberry cheese cake yang berikut:

Kek yang dihasilkan - please excuse the uneven surface - lesson learnt - pastikan anda ratakan permukaan dahulu sebelum memasukkan kek ke ketuhar!

LIGHT CHEESE CAKE.

Bahan2:

300ml susu segar
6 keping keju kraft(Mak Aji pakai 150gm cream cheese)
3 biji telur gred A (Mak Aji pakai 4 biji telur gred B)
90g gula halus
110g tepung gandum
1 sudu kecil esen vanilla
110g mentega
Blueberry filling secukupnya

Cara2:

Panaskan oven pada suhu 180c, gris loyang dgn mentega dan tabur tepung atau alaskan dengan baking paper.
Dengan api perlahan,panaskan susu dalam periuk dan masukkan kepingan keju. Kacau sehingga cair dan masukkan mentega/marjerin.Kacau sehingga mencair dan ketepikan.
Asingkan putih dan kuning telur(kuning telur diletak di dalam bekas yg agak besar untuk 1 adunan)
Pukul putih telur bersama gula halus sehingga menjadi meringue(adunan betul2 ringan sehingga bekas diterbalikkan adunan x tumpah)
Pukul kuning telur sehingga berkrim dan tambahkan adunan susu yg dipanaskan tadi..kacau perlahan.
Ayakkan tepung gandum ke dalam adunan dan kaup balik sehingga sebati.
Setelah itu masukkan adunan meringue dan kaup balik lagi sehingga sekata
Masukkan esen vanilla dan sebatikan adunan
Ambil loyang yg sudah digris tadi dan masukkan 2 senduk adunan,picitkan blueberry filling (gunakan icing bag atau plastik bersih yg digunting sedikit hujungnya)dengan cara bulatan di sekeliling adunan.
Setelah itu cedukkan lagi 2 sudu dan ulang langkah 9 sehingga adunan habis
Bakar pada suhu 175c menggunakan kaedah bain marie(letakkan loyang adunan di dalam loyang lebih besar yg berisi air panas ketika membakar) selama 50 minit atau sehingga masak(bergantung pada jenis oven)

Sumber resepi: http://sue-hasue.blogspot.com/2010/04/light-blueberry-cheese-cake.html

Catatan: Resepi diambil secara bulat-bulat (tidak diedit terlebih dahulu!).

Peringatan: Pastikan bila anda picit filling tu, buatkan lubang kecil sebab kalau blob-blob (banyak) yang keluar, filling akan turun ke bawah sebab berat (thus the uneven surface on my cake!!). Oh ya, ratakan seboleh mungkin permukaan kek sebelum membakarnya agar permukaannya licin! 

Selamat mencuba! Tidak cuba rugilah sebab kek ini memang sedap. gebu gebasss!!






Tuesday, 29 April 2014

Kari Ikan Mangga Telur

As-salam.

Semalam Mak Aji masak kari ikan kembung dengan mangga telur (orang Kelantan gelar pauh ringan). Itu merupakan salah masakan kegemaran Mak Aji. Kalau inilah hidangan yang arwah ibu Mak Aji masak, alamat makan nasi dengan tangan dan juga sudu (untuk menghirup kuahnya). Alamat banjirlah kari di dalam pinggan! 

Semasa balik kampung tempoh hari ada kawan Pak Aji memberikan beberapa biji mangga telur dan juga 3 biji mangga jenis lain. Asala nampak mangga telur memang terbayang kari ikan! Cuba lihat karinya:

Kari ikan mangga telur!
Mak Aji masak kari ini seperti juga kari ikan lain, cuma Mak Aji tambah biji sawi dan mangga telur sahaja untuk menggantikan bendi.

Alhamdulillah karinya cukup sedap - terasa masam mangga telur, jadi asam jawa perlu dikurangkan. Makan nasi bertambah-tambah. Ke laut lagilah dietku!!

Catatan: Mak Aji gunakan ikan kembung sebab kebetulan itu sahaja ikan yang ada dalam stok. Kalau tenggiri lagi sedap!




Monday, 28 April 2014

Kerang-kerangan

As-salam.

Mak Aji lahir di Wakaf Che Yeh (kalau pergi ke Kelantan dan tidak menyinggah ke sini, alamat anda kena pergi lagi!) dan membesar di sebuah bandar kecil di Pantai Timur, di Pasir Puteh, Kelantan. Pada hujung minggu kami sering ke Pantai Dalam Ru (sekarang digelar Pantai Bisikan Bayu). Di situ kami biasa berkhemah dan bermalam. Selain mandi-manda kami juga biasa mengutip remis di tepi pantai. Pada hari Ahad berikutnya kami ke sekolah dengan kulit hangus terbakar dek matahari dan ada ketikanya hidung pun berbelak-belak apabila kulitnya terkopek - pedihnya tak terkata! Apabila Mak Aji meningkat anak dara, Mak Aji sudah tidak ingin berpanas sebab malu apabila diejek di sekolah kerana kulit terbakar!

Mak Aji biasa dengan remis (yang dibubuh garam dan diperap. Dimakan begitu sahaja!), etok, kepah dan juga lokan. Mari kita lihat perbezaan antara kesemuanya:

Kepah.
Sumber foto:  http://dayangjack.blogspot.com/2010/08/kepah-serai-bercili.html
Kerang.
Sumber foto:  http://apakehei.blogspot.com/2014/01/petua-untuk-mudah-kopek-kerang.html 
Kupang.
Sumber foto: http://lindarahim-ummyaisy.blogspot.com/2011/05/kupang-tumis.html

Remis.
Sumber foto: http://blog-perak.blogspot.com/2012/02/07-di-lumut-google-blog-search_12.html
Lokan. Sumber foto:
http://watiermanlife.blogspot.com/2012/04/lokan-kepahapa-bezanya.html
Mentarang.
Sumber foto: http://dairykusaf.blogspot.com/2011/05/panggilan-mentarang.html
Etok.
Kalau kepah, kerang, kupang dan mentarang Mak Aji biasa masak serai sahaja. Remis pula tidak perlu dimasak. Arwah ibu Mak Aji cuma bersihkan, kemudian digaul dengan garam kasar dan perap (entah berapa lama kurang pastilah pula). Boleh dimakan begitu sahaja seperti juga etok salai. 

Lokan pula kegemaran kami sebab itu bahan utama untuk bubur lambuk Pantai Timur, lain daripada versi Kampung Baru setiap Ramadan itu! Versi kami diletak santan, isi ikan, lada hitam, bawang merah, halia, udang (basah dan kering), lokan, pucuk miding (6,7 ikat untuk satu pot beras). Percayalah versi kami jauh lebih sedap!! Sekali cuba anda tidak akan lupa sampai bila-bila!

Mak Aji kenal kupang setelah bertahun-tahun tinggal di KL (bukan KL pun, di Selangor, Sungai Buloh, he he!) Mentarang pula Mak Aji baru kenal, sejak beberapa tahun lepas - ada tugas rasmi di Sabak Bernam. Berulang-alik ke sana kami menyinggah makan memntarang bakar - boleh tahan sedapnya!

Amacam, ada faham sedikit perbezaan antara beberapa jenis kerang-kerangan yang Mak Aji tunjuk ini? Semacam tutorial pulak ya! Kasi can Mak Aji jadi cikgi ya!





Sunday, 27 April 2014

Etok Bersaiz XL Masak Serai

As-salam.

Dua tiga hari lepas Pak Aji terjumpa etok (Ini kata Kamus Dewan Edisi Keempat:  etok - Kl, Tr sejenis kerang sungai, gayam, Asaphis spp.: kalau kamu rebus ~ itu, jangan lupa bubuh serai.) Anda belum kenal ke? Ok, Mak Aji tunjukkan fotonya ya:

Etok masak serai.
Untuk yang pertama kali melihatnya, rupanya kelihatan seperti kerang cuma tanpa cengkerangnya yang tajam-tajam tu. Etok yang Mak Aji masak ini agak luar biasa kerana saiznya agak besar daripada biasa. Saiz etok yang biasa dimasak salai di Kelantan paling besar pun hanya bersaiz ibu jari. Yang Mak Aji dapat ini bersaiz ibu jari kaki! Yang paling besar Mak Aji jumpa sepanjang hayat ini!

Pak Aji minta agar dimasak serai, maka yang di atas itulah hasilnya - alhamdulillah cukup sedap walaupun dimasak dengan mudah dan ringkas!

Kalau anda mahu tahu, Mak Aji cuma hiris sedikit bawang putih dan merah dan dua batang serai diketuk-ketuk. Rebus air setakat mencukupi untuk kuahnya - jangan banyak ya. Bila mendidih masukkan bawang serta serai. Selepas itu masukkan etok. Bila cengkerangnya mula terbuka, masukkan garam dan sedikit gula dan terus tutup apinya. Siap!!



Saturday, 26 April 2014

Pisang Goreng Berkeju

As-salam.

Kami sekeluarga biasa berkunjung ke sebuah gerai makan di Kuang, Sungai Buloh (dekat dengan rumah Mak Aji) yang dinamakan Cendol House. Sejak awal bulan April lalu Cendol House berpindah ke premis lain yang lebih selesa (sebelumnya sebahagiannya di bawah pokok dan sebahagian lagi berbumbung). 

Kami biasa menyinggah pada waktu petang untuk menikmati pisang goreng berkejunya (dipanggilnya goreng pisang cheese) bertemankan semangkuk cendol - alhamdulillah sedap!!

Pada petang ini Pak Aji memohon agar Mak Aji membuatnya sendiri untuk minum petang (asalnya untuk minum pagi tetapi dek kerana tepung beras habis, terpaksalah ditunda ke petang). Mari kita lihat:

Yang cair tu yang sedap tu!
Dapatlah sepinggan untuk minum petang kami, alhamdulillah!
Mak Aji hanya menggunakan dua biji pisang tanduk. Mak Aji goreng pisang macam biasa. Sebaik sahaja pisangnya masak dan diangkat, taburkan terus keju Parmigiano-Reggiano (sudah lama teringin hendak sebut nama penuh keju ini - seperti Giada di Food Network, he he!!) atau nama mudahnya keju Parmesan yang diparut sendiri) ke atas pisang goreng itu. Jangan lambat, nanti tiada keju yang cair!

Jom cuba!!



Monday, 10 March 2014

Chocolate Lava

As-salam.

Menantu Mak Aji menyebut chocolate lava setiap kali melihat ramekin yang Mak Aji beli tempoh hari (belum digunakan ketika itu). Setelah digunakan untuk membakar kek cawan pada hari minggu lepas hari ini merupakan kali kedua Mak Aji mengunakannya. Cuba lihat apa yang dihasilkan:

Siap keluar dari ketuhar.
Aiskrim perisa vanila tiada, perisa jagung pun jadilah, sedap juga!
Meleleh lavanya!

Alhamdulillah sedap rasanya! Kalau anda mahu cuba, berikut pautan resepinya:

Mak Aji cuma ubah sedikit resepinya dengan mengurangkan gula agar menjadi kurang manis, sesuai dengan usia!




Jom Fritata!

As-salam.

Dalam berkira-kira untuk menyediakan sarapan, teringat Mak Aji akan fritata. Sudah agak lama tidak menyediakannya untuk sarapan. Ayuh lihatkan fritata yang disediakan pagi tadi:

Siap untuk dibakar.
Sudah siap!
Dapatlah dua mangkuk seorang! Enak banget!!
Idea bersarapan dengan fritata tentu sahaja berpunca dari saluran Food Network Asia. Walau bagaimanapun, Mak Aji sudah mengubah suai bahan dan juga caranya mengikut kesesuaian sendiri. Maka terhasillah versi sendiri.

Fritata ini kalau ikutkan saling tak tumpah seperti telur dadar kita sahaja, cuma apabila bahannya lebih banyak jrnisnya dan dibakar, maka jadilah fritata itu. 

Untuk resepi ini Mak Aji potong dadu cili benggala merah, hijau dan kuning, juga tomato. Lobak merah dipotong umpama batang mancis. Mak Aji masukkan juga cendawan segar. Setelah itu Mak Aji masukkan bancuhan telur yang dipukul sedikit dengan garam dan lada hitam. Akhir sekali taburkan keju parmesan dan cili emping (chilli flakes). Bakar sengan suhu 170 selama 25 minit atau sehingga telurnya masak.

Selamat mencuba!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...