Followers

Wednesday, 1 April 2015

Hasil Meroti Sepanjang Ketiadaanku

As-salam.

Sepanjang kehilangan Mak Aji dari blog, boleh tahan jugalah banyaknya roti yang dihasilkan. Ada yang elok dan ada juga yang macam kena accident! (he he!!). Jom kita tengok!:

Ban dengan topping keju.
Ban dengan topping keju yang siap.
Pau berinti krim mentega.
Mexican bun/roti boy - sebelum bakar.
Mexican bun/roti boy - siap.
Ban dengan topping krim mentega.
Ban dengan topping serunding daging.
Piza mini. 
Ban pandan.
Bun with blueberry cheese topping - yang ini
serupa lepas accident apabila siap dibakar!!
Siaran ulangan ban seperti di atas sebab Pak Aji suka!
Blueberry cheese buns dengan bentuk yang lain.

Sekianlah adanya agar anda dikemas kini akan usaha 'keras' Mak Aji menyediakan hidangan roti untuk keluarga tercinta!! Mak Aji tidaklah risau sangat apabila rupa roti tidak seberapa asalkan keluarga suka. Itupun sudah cukup memuaskan hati ini - terbayar sudah lelahku!



Tumpang Sekaki

As-salam.

Dalam kemeriahan sambutan hari kemahkotaan Sultan Johor tempoh hari, Mak Aji juga ingin berkongsi rasa seronok apabila menyaksikan majlis tersebut di kaca TV, walaupun Mak Aji bukannya rakyat Johor. Mak Aji cuma sempat menyumbang khidmat sebagai penjawat awam di Johor (dan juga Melaka) selama satu setengah tahun sahaja. Dalam tempoh tersebut Mak Aji sempat ke Istana Pasir Pelangi untuk menghadap baginda berdua. Sebenarnya kami berurusan dengan YM Raja Zarith Sofia dan berpeluang berjumpa dengan Tengku Mahkota (ketika itu) di pintu masuk ke istana.

Mak Aji kongsikan fotonya ya!:         

Cuba teka siapa di kanan itu - siapa lagi bukan yours truly!!
Mak Aji serta seorang pegawai dari institusi kami serta pegawai dari
Jabatan Kebudayaan Negeri Johor serta pihak UTHM.



Itu antara pengalaman manis semasa berkhidmat dahulu. Alhamdulillah berpeluanglah Mak Aji menemui figura yang amat dikagumi, salah satunya kerana kecantikannya, juga tutur kata serta berbudi pekerti tinggi! 


Kek Keju untuk Ulang Tahun

As-salam.

Begitu lama Mak Aji menyepi, baru sekarang menjengah blog yang sudah bersawang ini!

Mak Aji ingin kongsikan kek keju strawberi yang ditempah khas untuk birthday boy yang menyambut ulang tahun ke-30!:

Light strawberry cheese cake with buttercream frosting and butterscotch chips!
Ulang tahun ke -30.

Sebelum anda terkejut yang Mak Aji menerima tempahan kek pula, elok Mak Aji jelaskan - tempahan dibuat oleh anak bujang Mak Aji - tempah dengan mulut saja, bukannya dengan duit ya! Kalau beginilah Mak Aji berniaga, nescaya tidak sampai sebulan Mak Aji tutup kedai ya!!

Jika anda berminat untuk cuba membuatnya sendiri, Mak Aji perturunkan  resepinya di bawah:

LIGHT CHEESE CAKE

Bahan2:

300ml susu segar
6 keping keju kraft (Mak Aji pakai jenama lain)
3 biji telur gred A (Mak Aji pakai 4 biji telur gred B)
90g gula halus
110g tepung gandum
1 sudu kecil esen vanilla
110g mentega
Strawberry filling secukupnya

Cara2:

Panaskan ketuhar ke suhu 170c, lenserkan loyang dgn mentega dan tabur tepung atau alaskan dengan kertas minyak.
Dengan api perlahan, panaskan susu dalam periuk dan masukkan kepingan keju. Kacau sehingga cair dan masukkan mentega/marjerin.Kacau sehingga mencair dan ketepikan.
Asingkan putih dan kuning telur (kuning telur diletak di dalam bekas yg agak besar untuk 1 adunan)
Pukul putih telur bersama gula halus sehingga menjadi meringue (adunan betul2 ringan sehingga bekas diterbalikkan adunan x tumpah. Jangan overbeat ya!)
Pukul kuning telur sehingga berkrim dan tambahkan adunan susu yg dipanaskan tadi..kacau perlahan.
Ayakkan tepung gandum ke dalam adunan dan kaup balik sehingga sebati.
Setelah itu masukkan adunan meringue dan kaup balik lagi sehingga sekata
Masukkan esen vanilla dan sebatikan adunan
Ambil loyang yg sudah dilenserkan tadi dan tuangkan adunan kek tadi. 
Bakar pada suhu 170c menggunakan kaedah bain-marie (letakkan loyang adunan di dalam loyang lebih besar yg berisi air panas ketika membakar) selama 60 minit atau sehingga masak (bergantung pada jenis oven)

Setelah kek masak, sejukkan di atas redai. Apabila sejuk paipkan buttercream frosting di sekeliling kek sebagai sempadan. Hiaskan dengan butterscotch chips. Tuangkan strawberry filling di tengah-tengah kek. 

SIAP!! Selamat mencuba!

Sumber resepi asal: http://sue-hasue.blogspot.com/2010/04/light-blueberry-cheese-cake.html





Friday, 16 January 2015

Ziarah Semasa Maulid di Pasuruan, Surabaya

As-salam.

Pada petang 1 Januari 2015 Mak Aji dan Pak Aji bertolak ke Surabaya menaiki pesawat AirAsia. Peristiwa nahas QZ 8501 masih basah dalam ingatan - untuk menenangkan fikiran - kalau sudah sampai ajalku, sambil Mak Aji duduk berehat di rumah, Mak Aji akan pergi jua! 

Alhamdulillah sekitar 8.00 malam waktu Surabaya, kami selamat mendarat di Terminal 2 Bandara Surabaya. Mak Aji rasa agak-agaknya kami berdua sahaja rakyat Malaysia dalam pesawat tersebut - hampir semuanya warga seberang yang pulang ke tanah air mereka! Memang begitulah setiap kali kami ke sana!

Dari bandara kami terus mengambil teksi ke Kota Pasuruan - anak dara Mak Aji, Madihah sudah sedia menunggu di hotel yang kami tempah buat dua malam. Madihah cukup teruja menerima kunjungan kami! Insya-Allah Madihah akan tamat pengajian pada bulan Syaban depan dan ini akan menjadi kunjungan terakhir kami ke sana. Sepanjang dia belajar di sana kami sering ke sana untuk menziarahnya. 

Kerja-kerja menurap permukaan sekitar lapangan terbang KLIA2.


Penerbangan tertunda selama sejam kerana ada seorang penumpang yang transit di KLIA2 menghadapi masalah bagasi (kesilapan AirAsia - mereka tunda penerbangan sehinggalah selesai masalah tersebut!). Agaknya ada betulnya kata-kata Tony Fernandez yang pada mulanya enggan menggunakan KLIA2 untuk AirAsia berlepas dan mendarat - masalah permukaan landasan yang tidak rata!

Sempat juga Mak Aji memerhati notis yang terpapar di dinding pesawat seperti berikut:


Baru Mak Aji tahu 'tuna daksa' itu orang kurang upaya, 'kursi' itu kerusi dan
 'darurat' itu kecemasan!

 Berikut pula pada helaian yang terdapat di belakang tempat duduk:


'Diskon' untuk diskaun dan 'atraksi' yang bermaksud tempat-tempat menarik!
"Berlaku' di sini bermakna sah!

Sebelum sampai ke Pasuruan, kami menyinggah makan malam di restoran/rumah makan yang biasa kami kunjungi di Bangil, sekitar 20 minit berkereta sebelum sampai ke Pasuruan. Menu kegemaran kami, kambing oven!:


Ini sebahagian menu di restoran ini.
Ini dia kambingnya!!
Kambing oven dimakan dengan kicap manis yang pekat sebagai penyicahnya.
Ini juga sup kambing.

Selesai makan kami terus ke hotel untuk berehat.


Ini foto ruang lobi hotel Semeru Park.
Masih ada Santa Claus walaupun sudah muncul tahun baru 2015!

Pada keesokan harinya selepas sarapan Mak Aji dan Madihah ke pondok Az-Zahra untuk bertemu kawan-kawannya yang masih belum pulang ke kampung untuk bercuti (mereka bercuti maulid selama 2 minggu). Kami balik ke hotel menaiki beca dan sempat kami minta tukang beca berhenti sementara kami membeli siomay - sejenis rojak. Sedap juga rasanya! 

Gerai jualan siomay dan juga batagor.
Lawa tidak sanggul tukang jual siomay tu??Lelaki ya, bukan perempuan!
Penyediaan siomay.
Inilah dia siomay yang berkuah kacang.

Berikut foto dua orang anak dara dari Malaysia yang baru beberapa bulan belajar di pondok pesantren Az-Zahra, bersama-sama dengan Madihah:


Hana dan Fatimah.

Pada 2 Januari malamnya (malam 12 Rabiul Awal) setelah selesai solat Isyak kami bertiga menuju ke Masjid Jamek Pasuruan - Pak Aji ke masjid manakala kami berdua ke pondok. Beribu-ribu jemaah datang untuk sambutan Maulid. Acara kemuncak maulid pada jam 2 pagi pada 3 Januari/12 Rabiul Awal hinggalah ke waktu Subuh. Mak Aji dan Madihah serta kawan-kawannya tidur awal untuk bangun semula pada jam 2 pagi itu. Sebenarnya maulid disambut dengan meriah sekali di sini, dengan setiap masjid mengadakan majlis secara bersambung-sambung dari malam hinggalah ke pagi!

Mak Aji cuba dapatkan ceramah maulid oleh Habib Taufiq Assegaf tetapi Mak Aji cuma jumpa sambutan 2 tahun lepas, seperti berikut:




Seterusnya pada hari ke-3 kami diajak oleh kawan Madihah untuk berkunjung ke kawasan tanah tinggi Tretes, beberapa puluh kilometer dari Kota Pasuruan. Sebelum sampai kami sempat membeli buah-buahan untuk kami makan di sana. Mak Aji cukup teruja apabila melihat buah avokado yang cukup besar saiznya! Lihatkan!:


Besar kan!
Longgokan avokado - cukup sedap kalau dibikin jusnya!

Setelah sekitar sejam lebih perjalanan, kami tiba di sebuah vila milik Habib Abu Bakar. Kisah lanjut tentang vila ini terdapat pada entri sebelum ini, di sini. Kami cuma seharian di situ kerana keluarga tuan rumah akan menginap di vila tersebut keesokan harinya. Jadi setelah selesai makan malam, kami kembali ke Pasuruan. 

Pada 4 Januari kami bertiga berkunjung ke rumah bekas ustazah yang pernah mengajar Madihah, Aishah yang pernah datang ke rumah Mak Aji bersama-sama Fatimah (kawan/ustazah yang mengajak kami ke Tretes). Aishah baru kematian ayahnya, Habib Ahmad beberapa minggu lepas. Kami berkunjung untuk mengucap takziah atas kepulangan Habib Ahmad ke Rahmatullah. 


Sesekali Madihah dapat bermanja dengan abahnya.
Mak Aji dengan Madihah.
Siapa lagi kalau bukan Pak Aji dan Mak Ajilah!
Hidangan tengah hari kami di Palm Resto selepas berziarah ke rumah Aishah.
Cuma satu menu yang belum siap ketika foto dirakam, sayur asem!
Jus alpukat/avokado kegemaranku!

Pada 5 Januari kami ke Malang untuk berziarah keluarga kawan Pak Aji, Habib Asadullah di Pondok Pesantren Darutta'lim Wadda'wah di Malang. Sebelum itu kami ke Warung Sate Bang Hamid di Kraton untuk membeli buah tangan berbentuk beberapa puluh cucuk sate kambing! Kami dijamu makan tengah hari yang cukup enak sekali, juga sate kambing yang kami bawa! Habib Asadullah mempunyai acara/majlis selepas solat Maghrib, maka kami pulang ke Pasuruan selepas solat Maghrib (Mak Aji serta Alawiyah - isteri Habib Asadullah serta Madihah dan kawan-kawannya sempat membaca Ratib Al-Idrus sebaik sahaja selepas solat Maghrib!).

Anak-anak sempat mencari keperluan di sebuah pusat beli-belah
terbesar di Malang, iaitu MOG (Mall Olympic Garden).

Pada 6 Januari kami bertolak ke Surabaya dan menginap di Hotel Shariah Walisongo, berdekatan dengan Masjid Ampel. Hotel ditempah oleh Habib Soleh, sepupu Habib Ali Zaenal Abidin yang membantu Pak Aji menyelesaikan semua hal pasport serta pas pelajar anak-anak Malaysia sepanjang mereka belajar di Surabaya. Berikut foto anak-anak Habib Soleh yang comel-comel yang sempat dirakam ketika berkunjung ke rumahnya di Ampel:

Madihah dan anak-anak Habib Soleh. 

Sepanjang di Surabaya Mak Aji serta Madihah serta kawannya Nadya sempat ke ITC, kompleks beli-belah yang tidak jauh dari hotel. Sedikit ole-ole dibeli di sini selain di Ampel.

Pusat beli-belah ITC Surabaya.
Sumber foto: liburanmantapku.blogspot.com
Di Ampel mencari buah tangan untuk dibawa balik.
Jus alpukat lagi!
Mak Aji sudah tahu cara bikinnya. Tinggal lagi nak beli
avokado je (tak sempat nak beli untuk bawa pulang!)
Kat KL mahal macam beli gajah!
 Berikut foto-foto pada hari terakhir kami di Surabaya, sebelum kami berlepas pulang:

Sarapan terakhir di hotel - katanya nasi campur! Ada nasi,
 keropok, mi maggi, serunding, sambal terasi (belacan)
 serta ayam!
Water-feature di hotel.
Pak Aji nak bergambar juga.
Pak Aji dan Madihah.

Sekitar tengah hari kami terus ke Terminal 2, Bandara Surabaya. Selesai makan serba ringkas, Madihah dan Nadya pulang ke Pasuruan manakala kami mendaftar masuk untuk terbang pulang.

Nadya, Madihah, Pak Aji.
Merah mata Madihah semasa kami
berpisah!
Alhamdulillah selesai misi ziarah ke Surabaya. Ada rezeki kami ke sana lagi, insya-Allah!! Mungkin untuk konvokesyen Madihah nanti, Allahualam!




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...