Followers

Saturday, 10 August 2013

Menyambut Lebaran 2013

As-salam.

Untuk kali kedua berturut-turut kami beraya lagi tanpa balik ke kampung. Walaupun beraya di KL tidak semeriah di kampung, kehadiran hampir kesemua ahli keluarga (kecuali Along serta keluarganya yang balik beraya dengan keluarga mertuanya di Kota Bharu) cukup meriah juga, apa lagi dengan kehadiran Aleesya, cucu perempuan Mak Aji yang pertama! Jom layan foto raya kami!:

Kami sekeluarga.
Permata hati kami semua, Aleesya!!
Dahulu berdua, sekarang bertiga!
Masuk lalat Yang ooi!
Zhafran serta isterinya, Mida.
Pengantin lama, Mak Aji dan Pak Aji!
Kami dengan Zhafran serta Mida.
Kami dengan Madihah.
Madihah dengan kakak-kakak iparnya.
Nyenyaknya tidur Aleesya!
Uncle Boy berlatih dengan memangku Aleesya. Kalau sudah cukup
mahir bolehlah cari calon isteri ya!
Kami dengan keluarga Hanif.
Hero Malaya yang kacak-kacak semuanya!
Heroin Malaya yang tidak kurang manis semuanya ya, he he!!
Seronok kami dengan cucu baru!

Sibuk merakam foto lupa pula tentang makan ya. Mak Aji masak rendang daging bercampur paru-paru. Juga rendang ayam (pencen) serta ketupat (kurang ori sebab segera sahaja). Ketupat palas berinti daging juga ada (bukan bikinan sendiri tetapi ditempah). Oh ya, juga pulut kuning hasil resepi (di sini) rakan blogger, SmRose yang dimasak dalam tempoh kurang setengah jam menggunakan ketuhar gelombang mikro! (Terima kasih Rose, menjadi pulut Mak Aji!) 

Sekadar itu sahaja perkongsiaan buat kali ini! Selamat menyambut aidilfitri untuk semua, maaf zahir batin daripada kami sekeluarga buat anda semua!

 

Saturday, 3 August 2013

Nganya Jangan Tak Nganga!

As-salam.

Cukup menyeronokkan pengalaman menjaga cucu, apalagi dengan pelbagai aksinya yang cukup comel dan kadangkala melucukan!:

Punyalah lenanya anak dara ni, sampai ternganya!



Memandu dengan Tangki Minyak Kosong

As-salam.

Sekitar minggu lepas sebelum Mak Aji keluar dari rumah  Mak Aji sudah pun perasan yang minyak kereta sudah hampir tinggal kosong. Sambil menunggu lampu isyarat bertukar hijau, niat untuk membelok kanan untuk terus ke stesen minyak berubah apabila Mak Aji bertukar fikiran untuk memandu terus ke pejabat pos mini di Kuang. Niat untuk mengisi minyak dilupai terus semasa melintas lalu stesen minyak Petronas. Setelah keluar dari pejabat pos dan menghala ke Bukit Rahman Putra, barulah Mak Aji teringat akan minyak yang hampir kosong. Meter minyak ketika itu sudah menunjukkan angka 0!!! 

Minyak tinggal 0 wei!!

Apa lagi, muka Mak Aji berasa panas serta-merta (warna muka agaknya sudah bertukar ke macam-macam warna, hijau, biru merah agaknya!), panik tidak terkata. Pendingin hawa terus dipadamkan untuk menjimatkan minyak sehinggalah Mak Aji selamat sampai ke stesen minyak terdekat. Setelah mengisi minyak RM50 dan meter menunjukkan angka 400 lebih, barulah Mak Aji menarik nafas lega! Pucat putih den!  


Yang Menunda Ditunda

As-salam.

Beberapa minggu lepas semasa Mak Aji berada di lampu isyarat berdekatan rumah, Mak Aji terlihat ini:

Trak tunda yang ditunda!

Mak Aji tergelak melihatkan aksi ini. Kalau biasanya dia yang menunda kenderaan lain, ini dia pula yang ditunda!


Friday, 26 July 2013

Layan Butir Nangka

As-salam.

Setiap Ramadan kuih wajib yang sentiasa perlu dibuat untuk berbuka (bukanlah setiap hari, jemulah pulak!) ialah butir nagka. Kalau versi asalnya hijau, atas permintaan anak-anak versi Mak Aji ini pelbagai warna. Mari kita saksikan!:

Amacam, cantik tidak butir nangka ni??? Selesai seperiuk!




Wednesday, 24 July 2013

Jom Dress-up Girl!!

As-salam.

Lama betul Mak Aji menyepi, rindu pula untuk ke udara. Mak Aji mencelah ke udara sementara  ada sedikit masa terluang. 

Pada Mak Aji yang secara kebetulan keluarga kami tidak ramai anggotanya perempuan, salah satu keseronokan apabila menyambut bayi perempuan ialah main dress-up! Sudah lama betul tidak membeli dress yang cantik-cantik untuk bayi perempuan - seronok, kan!!

Semalam Mak Aji menyinggah ke kedai untuk mendapatkan bedak Agnesia sebab cucu sudah mula naik ruam (dek cuaca panas agaknya). Terlintas pula di hati untuk membelikannya baju raya (mamanya akan hanya habis pantang selepas raya, makanya takut tidak sempat membelikannya baju raya). Seronoknya membelek-belek stok baju yang ada di kedai bayi itu. Teringat pula zaman anak-anak Mak Aji masih kecil. Membeli baju anak lelaki tiada keseronokannya tetapi membeli baju anak perempuan memang berbeza sekali!

Ini dua helai baju yang dibeli:

Cantik tidak baju raya saya??


Saturday, 13 July 2013

Tugas Baru - Caregiver!

As-salam.

Hari ini hari ketiga kita berpuasa alhamdulillah! Semoga kita semua dapat menjalaninya dengan baik serta akan beroleh ganjaran yang setimpal dengan ibadah yang dikerjakan sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini, amin!! 

Setahun sudah Mak Aji bersara dan melihatkan kesesakan lalu-lintas setiap hari pada waktu petang bulan puasa, Mak Aji tidak putus-putus bersyukur kerana terlepas daripada semua jenis tekanan ekoran daripada itu! Seperti juga tahun lepas bulan puasa ini penuh ketenangan, cuma pada tahun ini ada sedikit kelainan sebab Mak Aji menjaga menantu yang berpantang di rumah serta cucu baru Mak Aji. 

Cucu Mak Aji lahir beberapa hari sebelum puasa, jadi jenuhlah nanti menantu Mak Aji mengganti puasa - tak apa, insya-Allah akan dipermudahkan nanti! 

Rutin harian juga banyak bertukar sejak cucu lahir. Pagi-pagi lagi Mak Aji menyediakan air mandian untuk menantu, air tersat, itu namanya kalau di Kelantan. Sebenarnya banyak herba yang digunakan tetapi Mak Aji sekadar menggunakan serai wangi, daun pandan, daun lengkuas serta halia sahaja sebab sekadar itu sahaja yang sedia ada di rumah! Air ini digunakan sebagai bilasan terakhir setelah mandi dengan air panas, agar badan berasa segar! 

Setelah siap air mandi ibunya, Mak Aji mandikan pula cucu comel Mak Aji.

Bersiap untuk mandi!!

Seterusnya sarapan pagi disediakan untuk menantu yang tidak berpuasa, biasanya roti bakar dengan Milo atau Horlicks atau susu tepung sahaja. Makan tengah harinya pula biasanya terdiri daripada ikan (selar, haruan, salmon, tenggiri) bakar dengan nasi, ikan masin dengan nasi, dan sesekali ikan bakar dengan kentang lenyek (dan hari ini ditambah kailan celur - kata misi kailan ok untuk ibu bersalin, tidak sejuk seperti kangkung!). Menu makan malam juga agak sama juga - hai, kenalah Mak Aji cari-cari menu lain untuk menantu sebab Mak Aji yang tengok pun jemu, apalagi tuan yang makannya!

Apapun tugas baru ini memang menggembirakan - sudah lama rumah ini sunyi daripada bunyi tawa dan tangis anak kecil! 




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...