Followers

Tuesday, 30 April 2013

Ole-ole dari Kampung - Buah Tanjung dan Jala Mas

As-salam.

Sebelum bertolak balik ke KL kakak Mak Aji, Cik Ning membawa kami ke restoran Nasi Kerabu Yati dalam perjalanan ke lapangan terbang. Sempat pula Mak Aji beli kuih kegemaran (terutama untuk berbuka puasa di bulan puasa), buah tanjung dan jala mas! Melihatkan sahaja fotonya membuat Mak Aji kecur air liur. Saksikan fotonya!:

Di kiri jala mas dan di kanan buah tanjung!
Memang sedap!!
Apapun Mak Aji cuma makan buah tanjung sebiji sahaja dan secubit sahaja jala mas sekali makan sebab kedua-duanya memang manis! Kena pastikan senaman untuk membakar kalorinya pula!!




Kalau Macam Awan Dania, kan Bagus??


As-salam.

Mak Aji baru balik dari kampung petang semalam. Mak Aji balik dengan Firefly sebab jarak yang dekat dengan rumah berbanding ke LCCT. Jarak jauh serta masa yang dijimatkan agak-agak lebih kurang sahaja berbanding penjimatan jika mengambil tiket AirAsia.

Sudah beberapa kali Mak Aji menggunakan Skybus (Terminal Sultan Abdul Aziz - Subang). Suasana memang agak lengang dan tidak sesibuk di LCCT, jadi agak selesalah di situ. Yang Mak Aji kurang suka tangga naik ke pesawat yang agak sempit dan curam (kapalterbang kecil makcik oii, what do you expect??).

Jika anda biasa dengan siri Awan Dania yang pernah bersiaran tidak berapa dahulu, tentu kita sentiasa teringat-ingatkan Scha al-Yahya yang cukup comel itu dengan gelagatnya dan juga gelagat penumpang pesawat. Jika pramugari dalam siri itu suka senyum, lain pula pengalamannya kali ini. Ada seorang pramugari Melayu yang apabila menghulur kacang/bun dan minuman tidak sedikit pun senyum. Mulutnya mumble entah apa-apa dan apa yang didengar cuma ekor-ekornya sahaja - cang untuk kacang, bla bla bla bla, soya untuk guava ke kacang soya?. Bila kita terpinga-pinga kerana tidak faham, dibuatnya muka pelik kepada kita (dengan kata lain, umpama berkata "orang cakap pun tak faham ke??").   

Mak Aji rasa kalau orang seperti ini rasa tidak seronok bekerja, jadi elok duduk sahaja di rumah (macam Mak Aji, boleh goyang kaki!). Mak Aji sebagai pelanggan berasa - we pay for your service and good service is what we expect from you!!

Tak ke bagus kalau senyum macam ni? Jangan setakat senyum dalam
iklan sahaja!! Bukankah senyum itu sedekah??



Saturday, 27 April 2013

Jiran Sebelah Kembali ke Rahmatullah

As-salam.

Seperti biasa hari Sabtu merupakan hari operasi bersih rumah. Mak Aji dibantu oleh Salina yang datang ke rumah setiap Sabtu untuk membersihkan rumah selain membantu apa-apa yang patut. Rumah Mak Aji bukanlah besar, sekadar cukup sahaja keluasannya untuk kami, jadi memang boleh sahaja diusahakan sendiri. Namun, demi membantu sebuah keluarga mualaf yang suaminya baru kehilanga pekerjaan dan tidak sihat sejak seminggu dua ini, Mak Aji sangguplah mengambil pembantu mingguan.

Balik sahaja Salina setelah selesai kerja, dan dengan Mak Aji ber'kelawar' (pakai baju kelawar/daster) dan berlengas satu badan, jiran sebelah memberi salam dengan muka yang agak cemas. "Suami pengsan," katanya! Apalagi Mak Aji terus menukar pakaian dan bergegas ke rumah sebelah. Suaminya terbaring kejung di katil. Nadinya masih ada. Kami merancang membawanya ke hospital. Setelah memanggil anak Mak Aji, Boy (ada di rumah sebab kerja syif malam - graveyard shift), kami berusaha mengangkat tetapi tidak berjaya. Akhirnya kami menelefon ambulans.

Petugas di talian menanyakan pelbagai soalan kepada Mak Aji (isterinya sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi). Kami diarahkan membuat CPR dengan arahan dari telefon yang dipasang pembesar suaranya. Boy melakukan CPR sehinggalah ambulans tiba tidak lama selepas itu. 

Setelah dibuat pemeriksaan jiran kami disahkan meninggal dunia secara mengejut!! Semacam tidak percaya kami dibuatnya. Masing-masing terpinga-pinga. Mak Aji terpaksa mengambil alih kerana isterinya sudah terdiam kaku. Dalam kepala Mak Aji, 'kenapalah Pak Aji tak ada pada waktu kritikal sebegini????' Mak Aji hubungi khairat kematian masjid kami dan membantu mendapatkan kain batik lepas serta batik sarung serta lain-lainnya yang diperlukan (sekadar termampu, pun bukanlah tahu sangat). Setelah keluarganya mulai datang Mak Aji berasa lega. Biarlah mereka pula yang mengambil alih.

Janji yang pasti kita semua tepati - kematian!!
Sumber foto:  ustaznaim.blogspot.com

Esok tiadalah lagi bunyi ketuk-mengetuk, maku-memaku serta kelibat jiran sebelah yang bermula sejak pagi-pagi lagi. Arwah jiran ini memang rajin bertukang, ada-ada sahaja yang dibuatnya, projek para pokoklah, bertanam pokoklah dan macam-macam lagi. 

Dua tiga hari lagi Pak Aji balik (dari menziarah anak di Surabaya), maka tiadalah sempat dia berjumpa lagi dengan jiran sebelah. Itulah kehidupan, yang memisahkan kita antara hidup dan mati hanyalah seumpama sesuatu yang senipis kulit bawang - sebentar di sini, sebentar lagi sudah di sana!! Sudahkah kita semua bersedia untuk kembali?? Janji Allah SWT memang pasti. Kita juga akan menyusul, entah esok, entah lusa, wallahualam! 

Al-Fatihah untuk arwah Haji Rahman bin Razak. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang salih, aminn!!








Friday, 26 April 2013

Laura & Daddy's Sweet Touch

As-salam.

Sejak pencen ini, seperkara yang Mak Aji rindu - membeli-belah di ofis! Dengan kata lain, hampir apa sahaja (kata orang mak dengan bapa aja yang tiada dijual!) boleh kita beli dari ofis - 'kedai' datang kepada kita. Sebut sahaja, kek, kek cawan, pai, kain baju, beg tangan serta jam berjenama (lebih murah berbanding di kedai pulak tu!). Senarainya cukup panjang hinggakan tidak tertulis! Sebut sahaja, insya-Allah ada yang menjualnya!

Kalau anak-anak mahukan kek, sebut sahaja kepada kawan yang membuatnya dari rumah. Pada waktu yang dijanjikan kek berada di hadapan mata untuk dibawa pulang. Begitu juga jika ada acara istimewa, boleh siap tempah corak bagaimana, kek jenis apa, warna apa dan sebagainya. Selepas pencen agak susahlah sedikit.

Walau bagaimanapun, apabila kami mengadakan bbq tempoh hari, Along telah memperkenalkan sebuah bakeri yang paling dekat dengan rumah Mak Aji di Denai Alam, Shah Alam. Namanya Laura & Daddy's Sweet Touch! 

Beberapa hari lepas Mak Aji kepinginkan durian crepe yang mereka hasilkan - pertama kali makan, Mak Aji sudah mahu makan lagi dan lagi dan lagi.....! Jom layan foto yang Mak Aji ambil di bakeri itu:

Logo bakeri yang Mak Aji maksudkan.
Ada durian crepe, strawberry crepe, pandan crepe (agaknya sebab hijau).
Juga ada scones, brownies dan lain-lain lagi.
Peragaan di cermin bakeri.
Sebut sahaja kek apa, insya-Allah ada! Kami sempat makan
(di situ dua potong kek keju bluberi). Memang sedap!! 
Nampak tidak lampu tu? Beli kat Puchong eh?? Sama dengan Mak Aji punya ya!
Pavlova yang menawan hati! Belum cuba sebab takut manis yang amat.
 Di bawah pula deretan kek cawan - looks like Cupcake Wars is about to begin!!

Comel-comel kek cawannya.
Ini tentunya red velvet.
Yang ini coklat kut?
Yang ini idaman hatiku, my feveret!!
Lihatlah betapa nipisnya kulit crepe ini! Marvellous!!
Selain yang siap dimakan, ini yang kami bawa balik.
Alhamdulillah sudah terjumpa bakeri yang berdekatan, maka mudahlah untuk membeli terus atau membuat tempahan. Nampak gaya kawan-kawan di ofis lama sudah hilang seorang pelanggan dek jauh jarak Mak Aji dengan ofis! Maaflah ya.



Sunday, 21 April 2013

Nasi Kerabu Golok

As-salam.

Ini merupakan entri tertunda sebab Mak Aji makan nasi kerabu ini kali terakhir balik kampung, iaitu beberapa minggu lepas (tidaklah lama sangat pun). 

Pak Aji sudah beberapa kali bercerita tentang betapa sedapnya nasi kerabu ini dan kami pernah menyinggah beberapa kali tetapi setiap kali itulah ditutup (tidak tahu kenapa) - senang cakap tiada rezeki! 

Apapun semasa kami dalam perjalanan balik ke KL sempatlah kami menyinggah dan alhamdulillah dibuka pula kedai makan tersebut. Mari lita lihat fotonya:

Nasi kerabu golok dengan ayam bakar serta bawang putih jeruk!!
Banyak pilihan lauk untuk dimakan bersama-sama nasi kerabu.
Taukenya berbaju ungu serta pekerjanya memanggang ayam.
Ini papan tandanya.
Lokasinya di Machang, berhadapan dengan litar memandu Machang (kalau dari jalan Kuala Krai ke KL, perlu masuk kiri).

Sebelum menjamu selera dengan nasi ini Mak Aji terlihat sebiji buah gomok (kuih tepung gomak) tergolek-golek dalam bekasnya. Sebenarnya itu kuih kegemaran Mak Aji semasa kecil. Mak Aji terus ambil dan mengikut taukenya, percuma sebab Mak Aji tukang perhabis! Alhamdulillah, murah rezeki! Ini rupa kuihnya yang digoogle dari internet:

Buah gomok - sungguh sedap sehingga menggamit memori semasa kecil!
Sumber foto:  malliciousdelight.blogspot.com
Kalau anda belum tahu, nasi kerabu Siam/Golok ini berbeza daripada nasi kerabu Kelantan kerana nasinya tanpa tumis/kuah. Jadi, nasinya agak kering dan tidak basah seperti nasi kerabu Kelantan. Dari segi rasa, kedua-duanya sedap mengikut caranya yang tersendiri! Jom cuba!!



Saturday, 20 April 2013

Panjat Pokok Selepas Bersalin!

As-salam.

Mak Aji ingin berkongsi suatu cerita benar yang diceritakan seseorang yang sebelum itu diceritakan oleh anaknya, seorang doktor perubatan yang bertugas di pedalaman, iaitu di penempatan orang asli di Kelantan. 

Begini ceritanya. Seorang wanita muda berketurunan orang asli telah melahirkan anak sulungnya. Kelahiran itu agak sukar sehinggakan ibu tersebut mengalami luka (koyak) yang banyak dan seharusnya dibawa segera ke hospital untuk dijahit. Setelah diberitahu keadaan itu kepadanya dia terus lari keluar rumah dan dengan secepat kilat terus memanjat sebatang pokok tinggi yang berdekatan. Puas keluarganya memujuk tetapi perempuan itu tetap tidak mahu turun dari pokok kerana takut dijahit. Dua hari berlalu dan bomba terpaksa dipanggil untuk membantu. Akhirnya, dek kepenatan perempuan itu turun dan menerima rawatan yang sewajarnya! 

Cuba bayangkan diri memanjat pokok tinggi sejurus selepas bersalin!!
Sumber foto:  www.retroland.com



Sebut Betul-betul!

As-salam.

Kalau di rumah Mak Aji ini tukang sakat orang nombor satu tentunya Pak Aji. Kalau anak-anak berkumpul ada-ada sahaja yang diusiknya. Mak Aji juga tidaklah terkecuali kena sakat. Jadi, bila ada sahaja peluang untuk Mak Aji pulangkan paku buah keras, Mak Aji tidak lupa mengambil peluang itu! 'Kita kasi kena dia balik!' 

Yang terkini, Pak Aji tersilap sebut astroartritis yang sepatutnya osteoartritis! Mak Aji gelak besar mendengarnya dan Pak Aji tidak perasan pun yang sebutannya salah! Jadi apabila timbul sahaja artritis, Mak Aji kata, "Sebut betul-betul, astroartritis, itu saluran baru di Astro, he he!!" 

Sekadar hiasan.
Sumber foto: www.themarlincompany.com


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...