Followers

Tuesday, 14 February 2012

Doktor Muda yang Profesional


Pernahkah anda kurang sihat dan pergi berjumpa doktor dan selepas balik berbekalkan ubat dan nasihat (kalau ada), anda berasa tidak berpuas hati? Mak Aji memang ada beberapa kali berasa begitu, dan seringkali perkara itu berlaku kerana kita kurang berpuas hati dengan layanan doktor. Ada doktor yang hendak pandang muka kita pun tidak hendak, ditanya - apa sakit, dah berapa hari? ..., ambil ubat ya! Dah??!! Kalau macam ini, bertambah sakit mahu!

Pada Mak Aji seorang doktor yang baik perlu sentiasa ingat bahawa hanya orang yang ada masalah kesihatan akan berjumpa mereka. Jika mereka sihat, tiada siapa pun yang akan ingat klinik, apa lagi doktornya. Jadi, pesakit datang dengan harapan agar masalah yang dihadapi boleh diselesaikan, sekurang-kurangnya diberi maklum akan cara menyelesaikannya (makan ubat dan sebagainya) dan mungkin juga cara mencegah agar penyakit dapat dielakkan daripada berulang.

Seorang doktor yang prihatin akan sentiasa membantu menjelaskan situasi kesihatan pesakit, tahap keseriusan, dan lain-lain dengan cara yang profesional. Doktor perlu sedar bahawa beban yang dipikul oleh pesakit akan sedikit sebanyak hilang setelah mendapat nasihat doktor yang prihatin - ada yang berasa begitu lega dengan penjelasan sehinggakan berasa sembuh dengan hanya berjumpa doktor!! Itulah keajaiban yang mampu diberi oleh doktor! (ada juga pesakit yang mengada-ngada, pura-pura sakit, tambah pula bila doktornya kacak, ish ish ish!).

Mak Aji sebenarnya berjumpa doktor pagi tadi untuk mengambil bekalan ubat yang terputus. Kebetulan doktor yang bertugas merupakan seorang doktor muda berbangsa Cina. Pada awalnya Mak Aji agak kurang yakin juga kerana umurnya macam sebaya dengan anak sendiri. Walau bagaimanapun, Mak Aji agak kagum dengan semangat yang ditunjukkannya. Beliau melayan segala macam pertanyaan yang diajukan dengan penuh profesional, menjelaskan secara terperinci agar Mak Aji berpuas hati - ini baru doktor!!

Gambar sekadar hiasan
Satu perkara yang disebutnya yang Mak Aji ingin kongsi ialah komen beliau terhadap langkah kerajaan menambah bilangan hospital demi memenuhi keperluan rakyat. Kata beliau kos penjagaan kesihatan semakin hari semakin meningkat (pembinaan hospital, ubat-ubatan dan sebagainya) dan semakin hari semakin ramai rakyat yang menghidap pelbagai penyakit. Jadi, apa yang dibuat sekarang ialah 'langkah mengubat' walhal langkah yang lebih bijak ialah 'langkah mencegah.'

Katanya kerajaan sepatutnya melaksanakan lebih banyak kempen  kesedaran kepada rakyat tentang gaya hidup sihat, dan sebagainya. Langkah seperti ini telah dilakukan dengan jayanya oleh kerajaan Singapura. Terima kasih Dr. Ng Sze Yee dari Klinik Medicare, Jalan Maharajalela atas perkongsian maklumat tadi. 

Mak Aji memang amat setuju dengan pendapat doktor itu, sebab antara lainnya tentulah langkah mencegah jauh lebih baik daripada mengubat!! Syabas doktor, Malaysia perlukan lebih ramai doktor seperti anda!

Sumber foto: Bing

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...