Followers

Tuesday 31 July 2012

A Close Encounter of the Scary Kind

Sejak pencen ini Mak Aji sudah dua kali bertembung dengan monyet yang datang dari dusun belakang rumah (bukan Mak Aji punya, jiran punya). 

Dua hari lepas ibu ayam bising sekali dan apabila anak Mak Aji jenguk, katanya ada sesuatu sudah tangkap salah seekor anak ayam. Ibu ayam tidak tentu arah dibuatnya! 

Pagi-pagi ini semasa Mak Aji mahu menyiram pokok bunga, dua ekor monyet turun dari bumbung ke pergola, terus ke bawah. Buah mangga yang belum masak menjadi mangsa kali ini. Mak Aji terkejut lalu terus menjerit memanggil anak supaya keluar untuk menghalau monyet. Di balingnya batu ke arah monyet-monyet itu dan monyet besar nampak melawan dengan menunjukkan giginya! Hilang terus keinginan untuk menyiram pokok! Seram dibuatnya!!

Apa hendak dibuat ya?? Kasihan pokok-pokokku yang haus dalam cuaca yang cukup panas sekarang - hendak keluar rumah pun takut disergah monyet lagi!




Monday 30 July 2012

My Asam Pedas Linda Onn

Hari Sabtu lepas Mak Aji sibuk dengan persiapan untuk perkahwinan Hanif di rumah adik di Ampang. Seharian di situ, langsung mereka mengajak Mak Aji berbuka sekali dengan mereka di My Asam Pedas Linda Onn berhampiran TESCO Ampang, cuba seberang lebuh raya MRR2 dari rumah mereka.

Mak Aji cuma pernah dengar tentang restoran ini dan mencubanya belum pernah. Pelbagai komen positif dan negatif diberikan rakan-rakan yang pernah berkunjung. Elok rasa sendiri!

Tempahan awal perlu dibuat kerana katanya restoran penuh pada bulan puasa. Adik memesan asam pedas ikan pari, ayam goreng, serta sotong bakar. 

Mak Aji tidak sempat merakam foto, jadi untuk entri kali ini, foto sumber lain digunakan: 

Taukenya di hadapan restoran.
Restoran Asam Pedas Linda Onn.
Sebesar-besar foto Linda Onn di hadapan restoran.
Asam pedas claypotnya.
Layannnnn!!

Semasa kami mula makan, Mak Aji perasan meja sebelah dipenuhi satu keluarga dan secara kebetulan semasa menoleh, Mak Aji ternampak Fauzi Nawawi dan keluarganya yang makan di sebelah meja kami. Lisdawati isterinya cukup sempoi dengan tanpa secalit mekap, jauh berbeza daripada rupa dalam TV. Tinggi rupanya mak cik ni, agak-agak lebih tinggi daripada suaminya!

Asam pedas ini pada Mak Aji agak sederhana dari segi rasanya. Harganya wallahualam sebab makan orang belanja. Mak Aji pernah makan asam pedas lain yang jauh lebih sedap. Yang tertinggi dari segi rasa pada senarai Mak Aji - Asam Pedas Pokok Besar di Taman Kota Laksamana, bandar Melaka (berhadapan dengan Asam Pedas Claypot - juga ramai pengunjung).

Selain itu Mak Aji masih terbayang-bayang kuah asam pedas yang disediakan oleh arwah Kak Nab dari Bahagian Buku Sekolah, tempat Mak Aji kerja dahulu (mantanlah katakan!). Semoga ruhnya dicucuri rahmat, al-Fatihah. Berapa ramai orang yang arwah bantu memudahkan kerja memasak (tuang sahaja kuahnya ke periuk, tunggu mengelegak, masukkan ikan. Tunggu masak - sedap sampai tak ingat dunia!!). 

Catatan: Rencah asam pedas dari Takbai masih ada, bolehlah pekena asam pedas Siam pula untuk berbuka, ya!

Sumber foto  : http://kerabatkenshiro.blogspot.com/2012/02/my-asam-pedas-linda-onn.html

                        http://knizam.com/full-set-asam-pedas-ikan-pari-linda-onn-asam-pedas-restaurant-ampang-                         kuala-lumpur-malaysia/


Friday 27 July 2012

Juadah di Restoran Kartini

Pada minggu lepas Mak Aji ada urusan di Shah Alam dan setelah urusan selesai, waktu sudah petang, maka Mak Aji menyinggah di Restoran Kartini, di seksyen 10 Shah Alam (berdekatan Masjid negeri). 

Saban tahun pada bulan puasa restoran ini menyediakan segala macam lauk pauk Kelantan - sebut sahaja lauk apa, insya-Allah adalah tu! (ini yang dikatakan semua ada, mak bapa sahaja yang tiada).  

Dari luar lagi Mak Aji nampak restoran penuh dengan pengunjung. Pelbagai kuih seperti buah tanjung, tahi itik, lompat tikam, pelbagai pengat, (cream puff pun ada), .......! Senarai kuihnya tidak berkesudahan. Kalau tidak silap disediakan 3 stesen/kaunter bayaran! (the owner must be laughing all the way to the bank!!). 

Kami memilih kerutup limpa, sambal tumis ikan bilis, ayam percik, kuih lompat tikam, buah tanjung dan tahi itik. Kesemuanya RM60! Harganya boleh tahan jugalah ya - tidak boleh diamalkan hari-hari, nanti bankrap dibuatnya!! 


Catatan: Kalau berminat untuk berkunjung, sila lihat link pada namanya yang dipautkan kepada facebooknya. Di situ ada disediakan petanya sekali! Cuma Mak Aji tak perasan ada atau tidak kerabu sare??!! 



Bonus - Upah Redah Jam

Untuk kawan-kawan di ofis lama Mak Aji, juga semua kakitangan awam, alhamdulillah sebab semuanya akan merasa bonus sempena raya yang akan menjelang!

Kalau Aieyda agak tension kerana kesesakan lalu lintas pergi balik kerja semasa puasa, Mak Aji fikir macam ini - anggaplah bonus ini sebagai ganjaran kerana terpaksa meredah kesesakan sepanjang puasa! Bila terbayang kerceng-kerceng (duitlah tu!), redalah sedikit tension!!

Minta sikit!!
Mak Aji pernah bertugas di luar pejabat pada tahun lepas di Sabak Bernam. Keadaannya cukup tenang, kalau waktu tengah hari boleh balik makan di rumah!! Tidakkah bahagia begitu?? Agaknya kalau masuk kerja jam 7.30, keluar rumah jam 7.20 pagi!! Agaknya cuma jumpa dua lampu isyarat sudah sampai ke pejabat! How wonderful life is .....!!

Pesanan untuk Aieyda, relakslah, cuba bertenang, jangan sampai mahu naik motor, simpan sahaja air dan biskut kering, takut terbuka puasa dalam kereta. Satu perkara lagi, cuba bayangkan yang 9 Ogos, duit masyuk!! He he he!!


Catatan: Tentu meriah tingkat 5 setiap hari bulan puasa ini ya! 

Wednesday 25 July 2012

Idris Tawfiq - Daripada Paderi ke Pendakwah

Sambil blogwalking, Mak Aji terjumpa suatu video dalam youtube yang ingin dikongsi. Semoga sama-sama kita beroleh manfaat daripadanya, terutama sekali kita yang memang dilahirkan sebagai umat Muhanmmad SAW. 



Cek Mek Molek

Kuih untuk berbuka petang ini, cek mek molek. Anak Mak Aji, Madihah hantu kuih ini. Sejak kecil inilah kuih kegemarannya.

Cek mek molek

Walau bagaimanapun, cek mek molek yang dihasilkan petang ini agak sedikit 'kekerasan'. Memang tidak puas hati dibuatnya. Mak Aji rebus keledek agak terlewat sedikit. Jadi, keledek tidak sempat sejuk. Ubi dilecek semasa masih panas lagi. Berbanding biasa, banyak tepung yang terpaksa digunakan untuk menghasilkan dohnya (dalam hati, jangan keras kuih ini, sudah!). Memang kerisauan menjadi kenyataan! Memang keras! Di manakan silapnya?? Adakah kerana ubi dilecek ketika masih panas? Sesiapa boleh bantu?


Sumber foto: Google Images (sebab kuih walau sedikit keras licin juga dimakan anak-anak, jadi terpaksalah guna gambar orang!)

Tuesday 24 July 2012

Syabas Raja Muda Perlis!


Mak Aji cukup gembira dengan titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail supaya bekas makanan dan minuman polistirena tidak lagi digunakan dimajlis yang baginda hadiri kerana bahan tersebut membahayakan kesihatan!

Raja Muda Perlis.

Baginda juga bertitah dan menyeru agar jabatan serta agensi kerajaan, pusat pengajian tinggi dan juga sekolah berbuat demikian juga.

Baginda bertitah semasa merasmikan kempen kesedaran kesihatan dan majlis berbuka puasa serta solat Terawih di Istana Arau malam tadi. Raja Muda Perlis menyarankan agar bahan plastik terbiodegradasikan (biodegradable!) serta pembalut kertas pakai buang harus dijadikan alternatif. 

Syabas Mak Aji ucapkan kepada Raja Muda Perlis kerana (seperti biasalah), kerana apabila orang penting bercakap tentang sesuatu, maka barulah orang ramai buka mata dan cuba untuk berubah. Kalau setakat menteri atau orang biasa-biasa sahaja yang bersuara, kempen tinggal kempen semata-mata!


Sumber Berita: BERNAMA
Sumber Foto: Google Images

Monday 23 July 2012

Layan Bunga Tiruan

Hari Sabtu lepas Mak Aji mengikut adik dari Berdua Bridal  ke sebuah kedai pemborong/gudang menjual bunga tiruan di Balakong. Adik merupakan pemegang kad ahli (syarat masuk ahli perlu membeli beberapa ribu nilai bunga tiruan terlebih dahulu!) dan untuk belian bunga sebanyak kuantiti tertentu, dia boleh mendapat diskaun sehingga 40%! Selain bunga tiruan tempat ini juga menjual barang-barang lain yang digunakan untuk persiapan hantaran seperti beg door gift, contoh hantaran, barang-barang hiasan untuk hantaran dan pelbagai lagi. Begitu banyak pilihan yang terdapat di gudang dua tingkat ini. Memang boleh leka seharian di sini! Berikut beberapa foto yang sempat dirakam. Mak Aji kurang berani sebab ada CCTV di situ, takut tidak dibenarkan pula merakam foto (tiada papan tanda yang menyebut jangan ambil gambar!)!!:

Ini tempatnya, Fah Lean Floral Trading Sdn. Bhd.
Tempat letak cincin pertunangan atau perkahwinan.
Anak buah berposing dengan bunga matahari saiz gergasi!
Contoh hantaran sirih.
Juga contoh hantaran sirih.
Bunga hiasan yang cantik.

Di tempat ini Mak Aji selesai membeli beg door gift untuk tetamu majlis kahwin Hanif nanti, juga kotak gula-gula untuk tamu kecil. Bunga-bunga untuk hantaran juga siap dibeli di sini mengikut warna tema yang sudah ditentukan. 

Untung ada adik yang memang pakar bab-bab seperti ini, bolehlah tumpang sekaki! Terima kasih banyak-banyak Ya!


Catatan: Anda boleh meninjau kedai borong ini melalui pautan yang Mak Aji buatkan khas untuk anda pada gambar kedai.



Friday 20 July 2012

Hadiah Sempena Pencen

Mak Aji asyik tidak berkesempatan untuk berkongsi dengan anda hadiah yang Mak Aji terima daripada rakan-rakan di ofis sempena pencen tempoh hari. Berikut foto gambar-gambar tersebut:

Daripada Aida Salleh.
Daripada PUSPANITA.
Daripada KESPA bahagian.
Daripada rakan baik.
Daripada Hasliha.
Daripada Dr. Fadhilah Jasmani.
Daripada Suzanti.
Jam daripada Azilzh (dah siap gantung bertemankan
kalimah Allah dan Muhammad).
Daripada Azura.
Daripada Nawal (kerongsang lupa hendak dirakam sekali),
Daripada Azizul.
Daripada Asiah Kassim.
Daripada Seri Banon dan Nazmah (ada dua yang sama).
Tupperware (buka tipuware) daripada Norimah dan Kit.
Daripada Filzah.

Kepada rakan-rakan semua di ofis yang Mak Aji tinggalkan, ucapan berbanyak-banyak terima kasih dihulurkan atas ingatan kalian. Alhamdulillah kita diberi peluang untuk mengenali diri masing-masing sepanjang berkhidmat di ofis. Semoga kenangan sentiasa berkekalan seperti juga persahabatan yang sedia terjalin!! Mak Aji rindu akan anda semua!!



Thursday 19 July 2012

Ramadan al-Mubarak

Insya-Allah umat Islam di Malaysia akan mula menjalani ibadah puasa pada hari Sabtu, 20 Julai 2012 bersamaan 1 Ramadan 1433 H. 




Sempena kedatangan bulan yang penuh keberkatan, Mak Aji ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada semua umat Islam yang sudi mengunjungi blog Mak Aji. Tidak lupa juga Mak Aji ingin memohon berbanyak-banyak kemaafan jika ada kata-kata Mak Aji di sini yang telah mengguris rasa sesiapa yang hadir di sini. Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah SWT dan segala yang tidak baik itu datang daripada Mak Aji sendiri. 

Alhamdulillah kita masih diberikan kesempatan untuk hadir pada Ramadan ini.  Semoga kedatangan Ramadan kali ini juga bukanlah yang terakhir buat kita dan semoga kita akan memanfaatkannya sebaik mungkin demi kehidupan kita yang kekal di akhirat nanti, insya-Allah! 

Ahlan wa sahlan, ya Ramadan!!

Sumber foto: Google Images

Tukar Alamat

Mak Aji sudah berpindah ke rumah sekarang sekitar hampir dua tahun tetapi masih belum menukar alamat tetap pada kad pengenalan. Jadi setiap kali Mak Aji perlu menyerahkan kad pengenalan untuk apa-apa tujuan Mak Aji terpaksa maklumkan alamat baru kepada pihak berkenaan.

Sehari dua ini baru Mak Aji perasan betapa pentingnya kita menukar alamat terakhir kita pada kad pengenalan. Ceritanya begini. Anak Mak Aji, Hanif insya-Allah akan menikah seminggu selepas raya puasa. Jadi dia perlu menyiapkan segala dokumen berkaitan dengan Jabatan Agama Islam untuk urusan pernikahan. Rupa-rupanya jika alamat pada kad pengenalan tidak sama dengan alamat sekarang, maka terpaksalah diisi borang tambahan pengesahan pemastautin siap dengan beberapa salinan dokumen lain. Pula itu, kena dapatkan tandatangan pengesahan daripada penghulu/ketua kampung/pengerusi JKKK/pegawai kerajaan kumpulan A.......  

Baru tahu yang Mr. Bean asalnya dari Keningau ya!!

Hanif terpaksa cuti separuh hari untuk menguruskannya namun tidak berjaya mendapatkan tandatangan pengesahan kerana pejabat penghulu tiada penghuni, rumah ketua kampung tidak diketahui, guru dari Sekolah Menengah Bukit Gading enggan menurunkan tandatangan (jaraknya dalam 50 tapak dari rumah!)..... 

Pada hari ini selepas hampir setengah hari dan selepas beberapa panggilan telefon serta ke hulu ke hilir, Mak Aji berjaya mendapatkan pengesahan tersebut daripada Ketua Kampung! Leganya!! Tinggal lagi Hanif terpaksa ke Pejabat Agama bersama-sama dua saksi (Boy dan Zhafran) untuk urusan selanjutnya. Selepas itu barulah segala borang diserahkan kepada pihak pengantin perempuan untuk urusan selanjutnya.  

Kalau begitulah halnya, bila agak lapang Mak Aji perlu ke JPN untuk menukar alamat tetap. Mak Aji sudah semak dengan JPN, cuma isi borang tukar alamat, bawa KP asal dan salinan serta bayar RM10 untuk keluarkan KP baru (boleh tukar gambar muka yang masam macam nak makan orang pada KP lama!!).



Projek Balkoni - Bidai Siap

Pada tengah hari ini Nick dari Nick Designs siap memasang bidai untuk beranda belakang rumah. Sekarang apabila diturunkan bidai, tidaklah Mak Aji perlu bertudung di dalam rumah setiap kali melintas pintu untuk keluar ke beranda. Selesalah sedikit. Bidai itu juga berfungsi untuk menahan cahaya matahari, jika terik. 

Langkah seterusnya, untuk meninjau kemasan lantai - tikar getah sahaja - agar tidak perlu berselipar di ruang tersebut. Juga Mak Aji perlu tempah pintu kecil untuk laluan masuk ke beranda dari luar. Mak Aji sukakan corak filigree seperti di bawah ini - mahu ke agaknya orang grill membuatnya sebab nampak leceh (tentunya Mak Aji mahukan kos seminimum mungkin)??  

Warna hijau lagi??!!
Ini sebenarnya untuk menutup pendiang tetapi reka bentuknya boleh dimanfaatkan.
Ini pula pintu untuk taman - menarik, kan!

Bagaikan tempat puteri beradu .......!

Dalam mencari-cari reka bentuk filigree, terjumpa pula reka bentuk katil di atas! Cantik bukan! Kalau tidur di sini, tentu rasa macam tuan puteri, ya!! 


Wednesday 18 July 2012

POP

Mak Aji sudah menganggotai Persatuan Orang Pencen dan 'mesyuarat' pertama berlangsung pada pagi ini dan ahli mesyuarat cuma dua orang sahaja - Mak Aji dan Ogy, kawan yang sudah lama pencen pilihan dan baru hujung minggu hari itu mengahwinkan anaknya yang bongsu! Kami memang rancang berjumpa dan makan-makan sebelum puasa menjelang. 

Kami ke PKNS Shah Alam dan ke SACC Mall, makan-makan, borak-borak dan ronda sekeliling - window shopping dan shopping juga. Menjelang tengah hari, keluarlah orang-orang yang bekerja memenuhi PKNS dan SACC menjenguk-jenguk persiapan awal menyambut raya (oleh mereka yang berjualan). Gerai-gerai tambahan sudah mula beroperasi di antara kedua-dua bangunan tersebut! Baju-baju raya juga sudah banyak - hari minggu nanti tentu sesak kedua-dua tempat ini. 

Seronok juga menjadi orang pencen - keluar ke mana-mana sewaktu orang lain bekerja dan balik sebelum mereka balik kerja - elak kesesakan! 

Catatan: Puasa sudah dekat sangat, sudah selesai semua ganti puasa??


Tuesday 17 July 2012

Apa Nak Buat Jika .......

Semasa Mak Aji kembali untuk mengambil kereta di tempat letak kereta di Bandar Baru Sungai Buloh, Mak Aji terpandang kereta dalam foto berikut. Kalaulah anda balik ke kereta dan ini rupa kereta anda, bagaimanakah reaksi anda agaknya????:

Kasihan tuan kereta!!

Beberapa minggu lepas anak Mak Aji, Hanif yang juga memandu Kancil, keretanya dikopak di tempat letak kereta berbayar berdekatan tempat kerjanya di Jalan Ipoh. Cermin kecil di tempat duduk belakang dipecahkan dan radio diambil. Hanif menelefon Mak Aji dan minta untuk bercakap dengan abahnya - agak pelik sebab kalau ada apa-apa biasanya Mak Ajilah tempat dia mengadu. Dia tahu agaknya Mak Aji tentu panik jika diberitahu. Abahnya selamba sahaja menyuruhnya balik ke rumah sahaja dan selesaikan hal itu di rumah. 

Sehari dua ini, macam-macam hal yang berlaku, samun berlaku di merata tempat tanpa kira waktu, baik siang malam - entahlah! Semacam terdesak segelintir manusia yang tidak berhati perut!! Semoga Allah SWT melindungi kita dan keluarga kita. Jika mahu keluar rumah, jangan lupa untuk memasang perisai doa perlindungan. Yang Mak Aji amalkan, Bismillahi tawakkaltualallah, ayat Kursi serta tentunya doa menaiki kenderaan.


Monday 16 July 2012

Layan Porch

Mak Aji ingin berkongsi beberapa foto porch yang cantik-cantik yang boleh dijadikan sumber inspirasi untuk menghias porch sedia ada atau untuk mereka yang ingin membuat porch baru!:

Perhatikan kipas yang dibuat khas untuk di luar rumah.
Siap berlangsir lagi untuk privasi.
Juga berlangsir serta berperabot rotan serta meja besi tempawan.
Perabot wicker dan kayu. Cantik ambal serta kusyen merah jambu!
Bidai untuk menghalang cahaya dan untuk privasi.
Semacam di rumah kayu kampung.
Sejuk mata memandang.
Ruang luar bersebelahan dapur.
Biru muda serta hijau yang cukup menyegarkan!

Amacam? Jom tengok porch kita, ada rupa tidak seperti dalam foto?? He he, kena buat banyak kerja lagi, kan!! Apapun, kita layan sahaja dahulu, mana tahu kalau porch kita boleh berubah wajah!!??


Sumber foto: 1. http://betweennapsontheporch.net/

                     2. Google 

Sunday 15 July 2012

Makan-makan Keluarga

Malam tadi kami rancang untuk mengadakan makan-makan keluarga dengan berhimpunnya semua anak-anak di rumah. Juga untuk meraikan hari lahir Madihah yang ke-20 (sudah bukan lagi belasan tahun). 

Sekitar tengah hari, bekalan air terputus! Pucat kami dibuatnya. Alhamdulillah sekitar 6.30 bekalan dipulihkan - kalau tidak alamat kena beli mi goreng mamak sahajalah! Jadi, dapatlah juga dimasak mihun  goreng untuk ditemankan dengan ayam, sotong serta ikan barbeku - kambing susah sangat diperoleh - tiada rezeki makan kambing! Etty juga membawa laksa kuah Kelantan untuk dimakan sama.

Berikut foto sekitar acara makan-makan tersebut:

Tukang grill yang brutal - Alif (anak buah) dan Boy.

Shikin (anak buah) dan Etty (isteri Aliff).
Tamu dari Bandung, Ahmad (kiri) dan Asyraf (anak bongsu Mak Aji).
Hanif, Madihah dan Along.
Mak Aji, Pak Aji, Madihah, Along dan Anis (anak buah).
Mana pergi gigi Naufal?? 
Peace!!
Hanif enter frame!
Seronoknya birthday girl!
Kek black forest kegemaran Madihah.

Review pemanggang elektrik:




1. Dari segi rasa, lebih kurang sama dengan dibakar dengan arang. Cuma tiada bau asap.
2. Kurang asap - boleh digunakan di dalam rumah - smoke alarm (kalau ada) tidak akan berbunyi!
3. Tidak comotkan tangan, kecuali apabila membersihkan lacinya.

Secara keseluruhan - berbaloi dengan harganya. Worth the buy!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...