Followers

Tuesday 30 April 2013

Ole-ole dari Kampung - Buah Tanjung dan Jala Mas

As-salam.

Sebelum bertolak balik ke KL kakak Mak Aji, Cik Ning membawa kami ke restoran Nasi Kerabu Yati dalam perjalanan ke lapangan terbang. Sempat pula Mak Aji beli kuih kegemaran (terutama untuk berbuka puasa di bulan puasa), buah tanjung dan jala mas! Melihatkan sahaja fotonya membuat Mak Aji kecur air liur. Saksikan fotonya!:

Di kiri jala mas dan di kanan buah tanjung!
Memang sedap!!
Apapun Mak Aji cuma makan buah tanjung sebiji sahaja dan secubit sahaja jala mas sekali makan sebab kedua-duanya memang manis! Kena pastikan senaman untuk membakar kalorinya pula!!




Kalau Macam Awan Dania, kan Bagus??


As-salam.

Mak Aji baru balik dari kampung petang semalam. Mak Aji balik dengan Firefly sebab jarak yang dekat dengan rumah berbanding ke LCCT. Jarak jauh serta masa yang dijimatkan agak-agak lebih kurang sahaja berbanding penjimatan jika mengambil tiket AirAsia.

Sudah beberapa kali Mak Aji menggunakan Skybus (Terminal Sultan Abdul Aziz - Subang). Suasana memang agak lengang dan tidak sesibuk di LCCT, jadi agak selesalah di situ. Yang Mak Aji kurang suka tangga naik ke pesawat yang agak sempit dan curam (kapalterbang kecil makcik oii, what do you expect??).

Jika anda biasa dengan siri Awan Dania yang pernah bersiaran tidak berapa dahulu, tentu kita sentiasa teringat-ingatkan Scha al-Yahya yang cukup comel itu dengan gelagatnya dan juga gelagat penumpang pesawat. Jika pramugari dalam siri itu suka senyum, lain pula pengalamannya kali ini. Ada seorang pramugari Melayu yang apabila menghulur kacang/bun dan minuman tidak sedikit pun senyum. Mulutnya mumble entah apa-apa dan apa yang didengar cuma ekor-ekornya sahaja - cang untuk kacang, bla bla bla bla, soya untuk guava ke kacang soya?. Bila kita terpinga-pinga kerana tidak faham, dibuatnya muka pelik kepada kita (dengan kata lain, umpama berkata "orang cakap pun tak faham ke??").   

Mak Aji rasa kalau orang seperti ini rasa tidak seronok bekerja, jadi elok duduk sahaja di rumah (macam Mak Aji, boleh goyang kaki!). Mak Aji sebagai pelanggan berasa - we pay for your service and good service is what we expect from you!!

Tak ke bagus kalau senyum macam ni? Jangan setakat senyum dalam
iklan sahaja!! Bukankah senyum itu sedekah??



Saturday 27 April 2013

Jiran Sebelah Kembali ke Rahmatullah

As-salam.

Seperti biasa hari Sabtu merupakan hari operasi bersih rumah. Mak Aji dibantu oleh Salina yang datang ke rumah setiap Sabtu untuk membersihkan rumah selain membantu apa-apa yang patut. Rumah Mak Aji bukanlah besar, sekadar cukup sahaja keluasannya untuk kami, jadi memang boleh sahaja diusahakan sendiri. Namun, demi membantu sebuah keluarga mualaf yang suaminya baru kehilanga pekerjaan dan tidak sihat sejak seminggu dua ini, Mak Aji sangguplah mengambil pembantu mingguan.

Balik sahaja Salina setelah selesai kerja, dan dengan Mak Aji ber'kelawar' (pakai baju kelawar/daster) dan berlengas satu badan, jiran sebelah memberi salam dengan muka yang agak cemas. "Suami pengsan," katanya! Apalagi Mak Aji terus menukar pakaian dan bergegas ke rumah sebelah. Suaminya terbaring kejung di katil. Nadinya masih ada. Kami merancang membawanya ke hospital. Setelah memanggil anak Mak Aji, Boy (ada di rumah sebab kerja syif malam - graveyard shift), kami berusaha mengangkat tetapi tidak berjaya. Akhirnya kami menelefon ambulans.

Petugas di talian menanyakan pelbagai soalan kepada Mak Aji (isterinya sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi). Kami diarahkan membuat CPR dengan arahan dari telefon yang dipasang pembesar suaranya. Boy melakukan CPR sehinggalah ambulans tiba tidak lama selepas itu. 

Setelah dibuat pemeriksaan jiran kami disahkan meninggal dunia secara mengejut!! Semacam tidak percaya kami dibuatnya. Masing-masing terpinga-pinga. Mak Aji terpaksa mengambil alih kerana isterinya sudah terdiam kaku. Dalam kepala Mak Aji, 'kenapalah Pak Aji tak ada pada waktu kritikal sebegini????' Mak Aji hubungi khairat kematian masjid kami dan membantu mendapatkan kain batik lepas serta batik sarung serta lain-lainnya yang diperlukan (sekadar termampu, pun bukanlah tahu sangat). Setelah keluarganya mulai datang Mak Aji berasa lega. Biarlah mereka pula yang mengambil alih.

Janji yang pasti kita semua tepati - kematian!!
Sumber foto:  ustaznaim.blogspot.com

Esok tiadalah lagi bunyi ketuk-mengetuk, maku-memaku serta kelibat jiran sebelah yang bermula sejak pagi-pagi lagi. Arwah jiran ini memang rajin bertukang, ada-ada sahaja yang dibuatnya, projek para pokoklah, bertanam pokoklah dan macam-macam lagi. 

Dua tiga hari lagi Pak Aji balik (dari menziarah anak di Surabaya), maka tiadalah sempat dia berjumpa lagi dengan jiran sebelah. Itulah kehidupan, yang memisahkan kita antara hidup dan mati hanyalah seumpama sesuatu yang senipis kulit bawang - sebentar di sini, sebentar lagi sudah di sana!! Sudahkah kita semua bersedia untuk kembali?? Janji Allah SWT memang pasti. Kita juga akan menyusul, entah esok, entah lusa, wallahualam! 

Al-Fatihah untuk arwah Haji Rahman bin Razak. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang salih, aminn!!








Friday 26 April 2013

Laura & Daddy's Sweet Touch

As-salam.

Sejak pencen ini, seperkara yang Mak Aji rindu - membeli-belah di ofis! Dengan kata lain, hampir apa sahaja (kata orang mak dengan bapa aja yang tiada dijual!) boleh kita beli dari ofis - 'kedai' datang kepada kita. Sebut sahaja, kek, kek cawan, pai, kain baju, beg tangan serta jam berjenama (lebih murah berbanding di kedai pulak tu!). Senarainya cukup panjang hinggakan tidak tertulis! Sebut sahaja, insya-Allah ada yang menjualnya!

Kalau anak-anak mahukan kek, sebut sahaja kepada kawan yang membuatnya dari rumah. Pada waktu yang dijanjikan kek berada di hadapan mata untuk dibawa pulang. Begitu juga jika ada acara istimewa, boleh siap tempah corak bagaimana, kek jenis apa, warna apa dan sebagainya. Selepas pencen agak susahlah sedikit.

Walau bagaimanapun, apabila kami mengadakan bbq tempoh hari, Along telah memperkenalkan sebuah bakeri yang paling dekat dengan rumah Mak Aji di Denai Alam, Shah Alam. Namanya Laura & Daddy's Sweet Touch! 

Beberapa hari lepas Mak Aji kepinginkan durian crepe yang mereka hasilkan - pertama kali makan, Mak Aji sudah mahu makan lagi dan lagi dan lagi.....! Jom layan foto yang Mak Aji ambil di bakeri itu:

Logo bakeri yang Mak Aji maksudkan.
Ada durian crepe, strawberry crepe, pandan crepe (agaknya sebab hijau).
Juga ada scones, brownies dan lain-lain lagi.
Peragaan di cermin bakeri.
Sebut sahaja kek apa, insya-Allah ada! Kami sempat makan
(di situ dua potong kek keju bluberi). Memang sedap!! 
Nampak tidak lampu tu? Beli kat Puchong eh?? Sama dengan Mak Aji punya ya!
Pavlova yang menawan hati! Belum cuba sebab takut manis yang amat.
 Di bawah pula deretan kek cawan - looks like Cupcake Wars is about to begin!!

Comel-comel kek cawannya.
Ini tentunya red velvet.
Yang ini coklat kut?
Yang ini idaman hatiku, my feveret!!
Lihatlah betapa nipisnya kulit crepe ini! Marvellous!!
Selain yang siap dimakan, ini yang kami bawa balik.
Alhamdulillah sudah terjumpa bakeri yang berdekatan, maka mudahlah untuk membeli terus atau membuat tempahan. Nampak gaya kawan-kawan di ofis lama sudah hilang seorang pelanggan dek jauh jarak Mak Aji dengan ofis! Maaflah ya.



Sunday 21 April 2013

Nasi Kerabu Golok

As-salam.

Ini merupakan entri tertunda sebab Mak Aji makan nasi kerabu ini kali terakhir balik kampung, iaitu beberapa minggu lepas (tidaklah lama sangat pun). 

Pak Aji sudah beberapa kali bercerita tentang betapa sedapnya nasi kerabu ini dan kami pernah menyinggah beberapa kali tetapi setiap kali itulah ditutup (tidak tahu kenapa) - senang cakap tiada rezeki! 

Apapun semasa kami dalam perjalanan balik ke KL sempatlah kami menyinggah dan alhamdulillah dibuka pula kedai makan tersebut. Mari lita lihat fotonya:

Nasi kerabu golok dengan ayam bakar serta bawang putih jeruk!!
Banyak pilihan lauk untuk dimakan bersama-sama nasi kerabu.
Taukenya berbaju ungu serta pekerjanya memanggang ayam.
Ini papan tandanya.
Lokasinya di Machang, berhadapan dengan litar memandu Machang (kalau dari jalan Kuala Krai ke KL, perlu masuk kiri).

Sebelum menjamu selera dengan nasi ini Mak Aji terlihat sebiji buah gomok (kuih tepung gomak) tergolek-golek dalam bekasnya. Sebenarnya itu kuih kegemaran Mak Aji semasa kecil. Mak Aji terus ambil dan mengikut taukenya, percuma sebab Mak Aji tukang perhabis! Alhamdulillah, murah rezeki! Ini rupa kuihnya yang digoogle dari internet:

Buah gomok - sungguh sedap sehingga menggamit memori semasa kecil!
Sumber foto:  malliciousdelight.blogspot.com
Kalau anda belum tahu, nasi kerabu Siam/Golok ini berbeza daripada nasi kerabu Kelantan kerana nasinya tanpa tumis/kuah. Jadi, nasinya agak kering dan tidak basah seperti nasi kerabu Kelantan. Dari segi rasa, kedua-duanya sedap mengikut caranya yang tersendiri! Jom cuba!!



Saturday 20 April 2013

Panjat Pokok Selepas Bersalin!

As-salam.

Mak Aji ingin berkongsi suatu cerita benar yang diceritakan seseorang yang sebelum itu diceritakan oleh anaknya, seorang doktor perubatan yang bertugas di pedalaman, iaitu di penempatan orang asli di Kelantan. 

Begini ceritanya. Seorang wanita muda berketurunan orang asli telah melahirkan anak sulungnya. Kelahiran itu agak sukar sehinggakan ibu tersebut mengalami luka (koyak) yang banyak dan seharusnya dibawa segera ke hospital untuk dijahit. Setelah diberitahu keadaan itu kepadanya dia terus lari keluar rumah dan dengan secepat kilat terus memanjat sebatang pokok tinggi yang berdekatan. Puas keluarganya memujuk tetapi perempuan itu tetap tidak mahu turun dari pokok kerana takut dijahit. Dua hari berlalu dan bomba terpaksa dipanggil untuk membantu. Akhirnya, dek kepenatan perempuan itu turun dan menerima rawatan yang sewajarnya! 

Cuba bayangkan diri memanjat pokok tinggi sejurus selepas bersalin!!
Sumber foto:  www.retroland.com



Sebut Betul-betul!

As-salam.

Kalau di rumah Mak Aji ini tukang sakat orang nombor satu tentunya Pak Aji. Kalau anak-anak berkumpul ada-ada sahaja yang diusiknya. Mak Aji juga tidaklah terkecuali kena sakat. Jadi, bila ada sahaja peluang untuk Mak Aji pulangkan paku buah keras, Mak Aji tidak lupa mengambil peluang itu! 'Kita kasi kena dia balik!' 

Yang terkini, Pak Aji tersilap sebut astroartritis yang sepatutnya osteoartritis! Mak Aji gelak besar mendengarnya dan Pak Aji tidak perasan pun yang sebutannya salah! Jadi apabila timbul sahaja artritis, Mak Aji kata, "Sebut betul-betul, astroartritis, itu saluran baru di Astro, he he!!" 

Sekadar hiasan.
Sumber foto: www.themarlincompany.com


Nasi Beriani Mohd Shah, Batu Pahat

As-salam.

Dalam perjalanan balik ke KL dari Skudai, kami menyinggah di Batu Pahat untuk menziarah makam Habib Ali bin Zaenal Abidin al-Idrus di Tanah Perkuburan Bukit Cermai, Batu Pahat. Selesai ziarah kami terus ke Kompleks Niaga Benteng Peserai yang bersetentangan dengan Hospital Pakar Putra, Batu Pahat. Tujuan kami, Nasi beriani Mohd Shah!

Seingat Mak Aji inilah nasi beriani yang paling sedap yang pernah dimakan di mana-mana sekalipun. Sekali makan memang teringat-ingat! Kami mula makan nasi beriani ini semasa menghantar anak kedua kami, Boy untuk belajar di kolej di bandar ini. Sejak saat itu, memang inilah yang nombor satu! Lihatkan foto ini!:

Nasi beriani kambing yang lazat!
Perhatikan saiz periuknya! Terpaksa minta bungkus untuk anak cepat-cepat takut habis!!
Kalau anda belum pernah merasanya, cubalah, pasti pengalaman itu akan anda ingat sampai bila-bila! (tak dapat upah pun buat iklan ini, he he!!) Jom pekena!



Saturday 13 April 2013

It's a Girl!

As-salam.

Beberapa hari lepas menantu Mak Aji, Nadia ada membuat imbasan pada bayi dalam kandungannya. Menurut doktor bayi sihat dan mengikut ramalannya berdasarkan pengamatannya bayi itu insya-Allah akan keluarnya perempuan! Tambah doktor lagi, rupanya iras bapanya, Hanif (anak Mak Ajilah tu). Hanif pula lebih iras Mak Aji berbanding Pak Aji. Jadi, iras Mak Ajilah ya, he he!!!

Dalam menunggu detik kelahiran cucu ketiga ini, kami cukup gembira dengan penambahan cucu ketiga ini, apalagi jika benar telahan doktor itu - keluarga kami lebih ramai anggota lelaki berbanding perempuan, jadi pertambahan perempuan amatlah dialu-alukan!

Sekadar hiasan.
Sumber foto: http://blog.boutiquesignorelli.com/2012/03/mayoral-baby-and-kids-clothing-summer.html



Thursday 11 April 2013

Masihkah Kauingat???

As-salam.

Pernahkah anda menggunakan benda itu pada masa lalu??

Gayung yang dijual pada harga RM20.00!
Ini dia foto keseluruhannya!

Seingat Mak Aji setiap kali ke rumah atuk saudara di kampung sebelah arwah ayah, Mak Aji paling suka menaiki tangga rumahnya yang diperbuat daripada kayu bulat dan begitu juga tempat pemegangnya! Sebelum menaiki tangga ada di sisi kiri atau kanannya tempayan berisi air dan di dalamnya ada gayung untuk mencuci kaki. Selepas menaiki tangga ada jemuran dahulu sebelum naik ke rumah.

Apabila Mak Aji masuk ke pasar Siti Khadijah, terpandang pula gayung ini. Nostalgia punya pasal, gayung ini dibeli dengan harga (setelah tawar-menawar) - ingat-ingat lupa ni - RM15.00. 

Apabila dibawa balik gayung menjadi hiasan semata-mata. Semalam Pak Aji menggunakannya untuk menyiram pokok-pokok gantung di beranda belakang - akhirnya ada juga kegunaan praktisnya!!

Pokok-pokok gantung di tempat baru mereka.
Yang paling disukai, spider plant ini.



Wednesday 10 April 2013

Catatan dari Ofis (SOHO)

As-salam.

Ini merupakan entri pertama Mak Aji dari ofis Mak Aji yang sejak akhir tahun lepas (bulan Disember) ditinggalkan berhabuk gara-gara pelbagai masalah yang dihadapi - monitor rosak, modem rosak (yang digunakan sekarang merupakan modem keempat setelah semuanya dipanah petir!), wayar sambungan ke monitor rosak (juga dek petir). 

Jadi, sejak akhir tahun lepas Mak Aji berblogging menggunakan komputer riba yang saiznya agak cenonet sehinggakan mata yang kurang sempurna ini agak letih dibuatnya. Apakan daya blogging tetap blogging juga. Sekarang alhamdulillah lapang mata dan diri agak kurang percaya - besarnya skrin!! 

It's good to be back here!!


Lori Pasir - Hendak Dibawa ke Mana Tu?

As-salam.

Setiap hari Mak Aji keluar ke jalan utama, iaitu Jalan Kuala Selangor, berikutlah yang sering diperhatikan di simpang empat dari Kuang - lori pasir berduyun-duyun keluar dari Kuang menuju ke arah Kuala Selangor dan entah ke mana-mana?? Entah berapa banyak lori yang keluar masuk dalam tempoh sehari - beratus-ratus agaknya!! Lihatlah:




Sudahlah banyak lori yang keluar masuk, kalau ikutkan kata Pak Aji memang muatannya lebih berbanding sepatutnya - tidak hairanlah jalan ke Kuang sering rosak!





Alhamdulillah Pain-free Solat

As-salam.

Sudah sekitar seminggu Mak Aji sakit betis dan sejak semalam kami berkira-kira untuk balik kampung lagi untuk berusaha mengubatinya. Rencana untuk balik kami tangguh sebab menunggu kerusi laman yang ditempah untuk dihantar - takut tiada siapa yang akan 'menyambutnya'. 

Barang yang sepatutnya dihantar esok dapat dihantar pada hari ini, jadi kononnya selepas selesai berkemas baju akan balik kampunglah kami. Yang peliknya sebaik sahaja Mak Aji masuk ke bilik air untuk mengangkat wudu untuk solat Zuhur, sakit betis tidak terasa. Keluar dari bilik air juga tidak terasa. Ketika solat Zuhur juga tidak terasa. Alhamdulillah solat dapat disempurnakan tanpa rasa sakit lagi!!

Mak Aji terfikir-fikir balik tentang apa punca asal sakit - seingat Mak Aji sakit bermula selepas Mak Aji mengangkat batu-bata untuk membuat hiway dari arbor ke pergola tempoh hari. Sakitnya berpanjangan sehingga sebelum tengah hari tadi. Yang ajaibnya sakit hilang setelah selepas sekali lagi Mak Aji angkat batu-bata untuk menambah ruang untuk diletak kerusi laman!

Teringat pula cerita Hindustan (pun ada kawan baik Mak Aji juga yang suaminya amnesia selama 17 tahun kerana dipukul orang. Dia baik setelah terjatuh dan terhantuk kepalanya!!) yang watak hero terkena amnesia kerana terhantuk kepala (contohlah!) dan hanya pulih semula kerana terhantuk kepala juga! Mak Aji sebelum mendengar kisah kawan ini memang agak sceptical. tetapi ini memang boleh benar-benar berlaku!! Mak Aji pun agaknya mengalami perkara yang sama! 

Ini dia rupa hiway yang dimaksudkan dan batu-bata yang disusun untuk menjadi tempat letak kerusi laman:

Hiway refleksologi yang dimaksudkan.
Perhatikan batu-bata yang disusun sebagai alas kerusi laman.
Juga hiway baru untuk ke kerusi laman.

Rupa-rupanya hiway punya pasal sakit kaki akibatnya. Apapun alhamdulillah sakit sudah hilang - daripada Allah datangnya sakit dan dengan kehendak-Nya jua sakit hilang!! Alhamdulillah kerana sakit dan juga kerana hilang sakit. Kedua-duanya membawa banyak hikmah kepada diri ini!





Penangan Durian Siam dan 100 Plus

As-salam.

Lewat pagi semalam kami keluar ke Setapak untuk membeli pen bekam automatik serta jarumnya sekali daripada Che Wann dari blog ini: http://mukjizatbekam.blogspot.com/2011/03/pen-bekam-automatik-dan-jarum-bekam.html. Pak Aji mahukan pen automatik ini sebab katanya lebih mudah berbekam dengan pen ini berbanding Accucheck yang sedia ada di rumah. 

Dalam perjalanan balik ke rumah kami menyinggah untuk membeli nasi kukus di hadapan masjid Bandar Baru Sungai Buluh. Di tepi jalan pula ada jualan durian. Pak Aji meninjau dan dibelinya sebiji dengan harga RM5 sekilo - cukuplah untuk kami berdua. Sampai sahaja di rumah dikopeknya terus durian. Apa lagi, makan durianlah dengan perut yang sudah mula berkeroncong! Setelah makan barang 5 ulas, Mak Aji minum 100 Plus yang sedia ada di atas meja (dalam hati terdetik, 'boleh ke minum ni dengan durian ya??'). Apapun tidak lama selepas solat Zohor, kepala terasa kembang, berat dan panas! Sekitar jam 3.00 kepala sudah mula berdenyut dan Mak Aji langsung bawa tidur sahaja. 

Sumber foto: http://www.sxc.hu/photo/494082
100 Plus. Sumber foto: Google.


Kesan apa yang dimakan masih terasa menjelang malam. Pak Aji pun pelik melihatkan Mak Aji. Apabila diberitahu apa yang diminum bersama-sama durian, katanya, 'padanlah, mana boleh minum tu dengan durian, kedua-duannya banyak gas!! '

Jadi, untuk peringatan semua, janganlah buat apa yang Mak Aji buat, lainlah kalau sengaja mahu mencubanya (saja cari penyakit)!!



Monday 8 April 2013

Amaran Banjir Besar di Kuala Lumpur pada 6/6/2013!!

As-salam.

Semasa Mak Aji balik kampung tempoh hari kakak Mak Aji ada bercerita tentang salah seorang saudara sebelah suaminya yang tinggal di Gombak. Menurut saudara tersebut yang berguru dengan seorang guru agama (di KL juga), KL akan bakal mengalami banjir besar pada tanggal 6/6/2013 sehinggakan dia terpaksa menghantar koleksi majalah kesayangannya ke rumah anaknya di utara! Dia juga meminta abang ipar Mak Aji menempah sebanyak 10 bilik di Kota Bharu untuk tempoh selama 3 minggu! Tujuannya tidak lain daripada untuk melarikan diri daripada banjir besar itu!! 

Terkejut kami mendengar cerita itu. Yang lebih mengejutkan - Orang itu ada membawa isterinya berjumpa dengan guru tersebut dan guru tersebut memaklumkan bahawa isterinya itu akan meninggal dunia tidak lama lagi. Saudara itu terus memohon agar guru berbuat sesuatu untuk membantu. Guru tersebut selepas itu (selepas berdoa agaknya kut??) memaklumkan bahawa usia isteri orang itu sudah diperpanjangkan selama 20 tahun lagi!! 

Bunyinya semacam ajaran sesat, bukan??   

Sumber foto: http://www.rickross.com/groups/skykingdom.html

Mungkinkah guru ini seperti Ayah Pin yang banyak diperkatakan tidak lama dahulu??? Sama-samalah kita tunggu ramalan itu menjelang 6/6/2013 itu! Kalau tiada banjir, mungkinkah guru tersebut menunda tarikhnya ke tarikh lain pula???






Thursday 4 April 2013

Frozen Shoulder - Diagnosis Sendiri!

As-salam.

Seperti yang disebut sebelum ini, Mak Aji akan sebut secara khusus tentang frozen shoulder yang dialami. 

Sebenarnya sudah agak lama Mak Aji mengagak yang Mak Aji menghadapi masalah ini apabila berbincang dengan seorang kawan (semasa masih kerja dahulu - dia menghadapinya) dan juga kakak sulung, Cik Ning. Jadi apabila gejala yang dihadapi mereka agak sama, maka Mak Aji ke doktor di Klinik Kesihatan Sungai Buloh untuk mendapatkan pengesahan. Doktornya agak muda (baru lepas grad agaknya??)  Setelah memberitahu apa masalah Mak Aji, tanpa memeriksa lanjut, sentuh, lihat bahu pun tidak, terus dirujuknya Mak Aji ke bahagian Fisioterapi. Semasa ditanya ahli fisio yang adakah diagnosis dibuat oleh doktor, cuba teka Mak Aji cakap apa?? Mak Aji cakap 'ya' walhal dalam hati (eh, aku yang buat diagnosis, bukan doktor pun. Doktor nampak setuju dengan diagnosis aku??")  Apapun, tidak kisahlah. Ahli fisio, setelah membuat pemeriksaan, berkata bukan masalah frozen shoulder sangat, sebenarnya tulang leher agak terhimpit, lantas diajar senaman untuk melonggar-longgarkannya. Senamannya pula betul-betul sama dengan yang diajar kepada Mak Aji oleh anak Mak Aji, si Boy, untuk memanaskan badan sebelum naik ke treadmill!!

Pada hari ini Mak Aji pula Mak Aji hadir temu janji susulan dan oleh kerana sakit betis datang lagi, maka itu yang cuba dilegakan. Setelah diperiksa, didapati bahawa sakit itu berpunca daripada sakit belakang dan sakitnya merebak ke kaki. Maka, seperti biasa diajar senaman lagi. Seperkara yang lupa untuk Mak Aji tanya, berapa kerap perlu buat senaman itu?? Mereka tidak sebut pun.

Apapun kita lihatlah sama ada lega atau tidak nantinya ya? Inilah dia pengalaman Mak Aji membuat diagnosis sendiri. Kalau Mak Aji ke hospital swasta, boleh jadi begini juga ke??? Tidak dapat jadi doktor ((tidak mahu pun, takut darah!) jadi doktor sendiri dalam kes ini pun jadilah.

Anatomy of the shoulder
Sumber foto: http://medicalcenter.osu.edu/patientcare/healthcare_services/orthopaedics/joint/shoulder_pain_problems/Pages/index.aspx
                                 

Catatan: Di sini dipaparkan kaedah yoga untuk melegakan sakit bahu. Harap dapat membantu. Apapun senaman ini berbeza daripada yang diajar kepada Mak Aji.




Wednesday 3 April 2013

Hi Treadmill, Long Time No See!

As-salam.

Kebelakangan ini Mak Aji asyik kurang sihat sahaja, baru baik sakit tekak, selsema dan batuk, selepas itu sakit belakang, frozen shoulder (nantikan entri khusus tentang itu ya!) dan yang terkini rasa sengal dan sakit betis hingga ke belakang (sebelah kanan kaki). Sakit betis ini dirasai sejak dua hari lepas. Macam ajaib pula datang dan hilangnya!

Begini kisahnya. Semasa di kampung Mak Aji perbetul penjajaran diri dan selepas itu sudah sedaplah solat, tidak sakit apa-apa lagi. Tidak seberapa hari selepas itu sakit belakang datang balik dan ditambah pula dengan sakit kaki. Sementara hendak ditanyakan ahli fisio (temu janji dengannya esok pagi), Mak Aji ambil langkah mudah - say hi to the slowly-collecting-dust- treadmill!! Bukannya lama tidak terserempak dengannya. Sebaliknya hari-hari melihatnya sebab lokasinya di sebelah meja makan serta ofis Mak Aji! Cuma tak ucap hi dan tidak naik sahaja!

Jadi, sebagai langkah percubaan untuk merawat diri sudah dua hari panjat treadmill dan hasilnya, voila, sakit sudah semakin kurang! Alhamdulillah! Rupa-rupanya urat-urat di badan semakin ketat, perlu dilonggar-longgarkan dengan senaman (bukannya tidak berjalan ke hulu ke hilir semasa membuat kerja rumah, tetapi memang lain agaknya ya!) 

Apapun alhamdulillah dan insya-Allah kali ini Mak Aji akan istiqamah dengan treadmill. Jadi, Along usah telefon kalau antara jam 7.30 pagi hingga 8.00, mama panjat treadmill, no calls please during that period!

Tu dia treadmill dan bola senaman - ada cuma tak berapa nak guna aje!!

Yang di depan itu siapa lagi kalau bukan cucunda sulung, si Naufal! Sibuk dengan Ultraman ya, (sekarang sudah kena ban dari rumahnya sebab uminya, gara-gara Ultraman anak-anaknya jadi lebih 'ganas'!).      

Apapun treadmill sudah bersih daripada habuk dan insya-Allah akan menjadi rutin setiap pagi!


Catatan: Tinggal di kampung ini mana ada jogging (bukan jogging pun paling bagus brisk walking je) di luar - nanti orang jenguk belakang kita - nak cari anjing yang kejar kita, he he!!       

          
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...