Followers

Sunday 22 June 2014

Alhamdulillah Kami Menjadi Tamu-Mu Lagi!

As-salam.

Syukur alhamdulillah Mak Aji, Pak Aji serta Firdaus, Madihah dan Asyraf berpeluang untuk menjadi tamu Allah SWT pada awal pagi esok! Mak Aji akan ke sana untuk kali kedua manakala Pak Aji untuk kali ketiga. Anak-anak kami pula menjadi tamu untuk pertama kalinya. Cukup teruja kami semua!

Setelah mendaftar beberapa bula lalu, kami dikejutkan oleh kemungkinan tidak dapat pergi ekoran had pengeluaran visa terhadap jemaah umrah dari seluruh dunia atas beberapa sebab. Terpinga-pinga kami berserta kecewa yang amat sangat! Kami dimaklumkan bahawa kami boleh sahaja membatalkan tempahan dan mereka akan membayar balik 100%. Beg-beg kosong serta buku panduan hajilumrah berderet di ruang tamu menunggu untuk dipulangkan. Walau bagaimanapun kami masih juga menghadiri kursus umrah. Pada hari kursus kami dimaklumkan bahawa semua permohonan visa untuk bulan Jun lulus tanpa sebarang masalah. Alhamdulillah syukur ke hadrat-Mu ya Allah atas peluang yang cukup berharga ini!!

Menjelang petang ini semua beg sudah sedia dikemaskan. Selepas solat Isyak kami akan ke KLIA2 untuk berlepas ke Jeddah dengan AirAsiaX dengan pakej umrah anjuran Syarikat Andalusia. Dengan yang demikian, Mak Aji dengan rendah hati memohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki atas segala apa yang terkata/tertulis yang mungkin mengguris hati sesiapa yang membacanya. Juga Mak Aji mohon agar anda mendoakan kami agar dipermudahkan segala urusan ibadah ini, amin!! 

Insya-Allah Mak Aji akan pulang pada 3 Julai malamnya dengan Firdaus dan Madihah manakala Pak Aji serta Asyraf akan berangkat terus ke Yaman - Asyraf akan menyambung pengajiannya di Dar Al-Mustafa di Tarim.

Kalau sempat dan sihat insya-Allah Mak Aji akan kembali bersiaran pada 4 Julai dengan kisah umrah pula! Until then adios, arrivederci, hasta la vista!!

Friday 20 June 2014

Kek Span Pandan dengan Aising Berperisa LImau Nipis

As-salam.

Seperti yang Mak Aji sebelum di dalam entri sebelum ini, Mak Aji akan mencuba membuat hiasan aising pada kek sempena hari jadi beberapa ahli keluarga kami. Along dan keluarga pun sedang dalam perjalanan balik juga ke mari. Eloklah nanti boleh dimakan bersama-sama:

Kek hiasan hasil cubaan kedua (yang pertama agak kureng sikit, segan
untuk dipaparkan).  
Ada satu lagi kek yang akan disiapkan pada hari ini, tunggu!!



Jun Bulan Hari Jadi

As-salam.

Sedang Mak Aji berborak-borak dengan menantu, Mida (isteri Zhafran, anak Mak Aji nombor tiga, ibunya Mikhail), rupa-rupanya terdapat ramai dalam kalangan ahli keluarga juga sahabat yang menyambut hari jadi pada bulan Jun ini. Antaranya:

  • isteri anak saudara Pak Aji, Etie pada 6 Jun, 
  • adik ipar Mak Aji, Ijon pada 7 Jun,
  • Zhafran pada 11 Jun, 
  • Ibu Dewi (kawan baik Mak Aji dari Sidoarjo, Surabaya) pada 15 Jun,
  • Mida pada 18 Jun,
  • Pak Aji pada 19 Jun,
  • besan kami (bapa Nadia, menantu Mak Aji) pada 20 Jun,
  • anak buah Mak Aji, Amir Mukhlis pada 23 Jun dan 
  • mak tiri Mak Aji, Su pada 30 Jun! 

Ramai, kan!

Apapun kami tiadalah membuat apa-apa sambutan istimewa, sekadar memberi ucapan sahaja. Malam tadi Mak Aji adalah membuat sebiji kek span pandan yang akan dicuba buat dekorasinya - teruja semacamlah pulak!! Nantikan ya! 

 Sumber foto: oaa-microsystem06.blogspot.com 
Salam ulang tahun semua yang tercatat di atas! Semoga Allah SWT memanjangkan usia kalian dalam rahmat-Nya serta beroleh limpahan rezeki-Nya!! Amin!





Thursday 19 June 2014

Make Way for Mikhail Zahrin

As-salam.

Cucu Mak Aji nombor empat sudah mula Mak Aji jaga apabila ibunya mula bertugas pada pertengahan bulan Jun ini. Perkenalkan Mikhail Zahrin:

Mikhail sedang lena tidur semasa kami ke Sijangkang untuk memenuhi permintaan
anak dara untuk membeli keperluannya.
Berikut pula Mikhail semasa baru lahir:

Merah bibirnya bak delima merekah!
Jadi janganlah terkejut apabila mendengar tangisan dalam video Aleesya berjalan - itulah dia suara Mikhail! Tokma sibuk ambil video Aleesya, Mikhail pula yang memangil-manggil untuk dilayan! Sibuk Tokma sekarang sejak ada dua handbag!!





Daripada Berkaki Empat ke Berkaki Dua

As-salam.

Cucu Mak Aji si Aleesya sudah pandai berjalan pada usia 11 bulan - agak cepat juga berbanding anak-anak Mak Aji sendiri. Tergelak kami melihat telatahnya mendapat kaki - diukurnya rumah Mak Aji setakat mana yang mampu dia pergi - entah berapa kilometer sehari! Jalannya rupa umpama robot. Seperti orang mabuk todi pun ada juga, he he! Walaupun berjalan jatuh, digagahkan juga berjalan terus - syabas Aleesya!!


Catatan: Aleesya nampak terkejar-kejar berjalan apabila mendengar suara baby Mikhail memangil-manggil!

Saturday 7 June 2014

Rama-rama Bertandang

As-salam.

Orang tua-tua kata kalau rama-rama masuk ke rumah, itu tandanya rumah kita akan menerima tamu. Perkara semacam ini bukannya boleh dipercayakan sangat. Apapun apabila melihat rama-rama terdetik juga akan siapakah tetamunya!?

Rama-rama besar yang datang bertandang malam-malam!

Yang pastinya sehari selepas itu, bukan tetamu mana sangat pun yang datang ke rumah - anak dara Mak Aji yang pulang bercuti! Dia seperti biasa menaiki AirAsia dan sekarang AirAsia sudah beroperasi di KLIA2. Maka itulah pertama kali kami ke KLIA 2. Kalau kawan-kawan Mak Aji ada yang pergi ke KLIA2 semata-mata untuk meninjau-ninjau tempat agar tidaklah terlalu Jakun nanti apabila benar-benar mahu terbang dari KLIA2 nanti, tetapi Mak Aji (macam biasalah) tiadalah berkesempatan berbuat demikian - Pak Aji tidak mahunya dia meninjau-ninjau tanpa ada alasan yang cukup baik untuk berbuat demikian! Jadi, kami agak tercangak-cangak jugalah semalam sebab pengalaman pertama di situ. Apapun anak dara Mak Aji mengadu terpaksa menukar troli barang sampai dua kali untuk keluar ke balai ketibaan dan jaraknya cukup jauhhhh! 

Perkara jauh itu memang sudah berkali-kali disebut oleh kawan-kawan lain yang pernah menggunakan KLIA2. Jadi sebagai peringatan untuk Mak Aji dan juga untuk anda yang belum pernah menggunakannya, kita perlulah berada di sana jauh lebih awal agar tidak terkejar-kejar masuk ke gate untuk berlepas! Nak Aji pernah tercungap-cungap sampai ke gate gara-gara Pak Aji yang agak relaks sikapnya! Seriklah weh!

Dek kerana sibuk melayan Aleesya tiadalah peluang Mak Aji merakam apa-apa foto KLIA 2. Lain kali sahajalah. 




Product Review: Tefal Actifry

As-salam.

Dalam usia meniti senja ini agak biasalah kalau kita memberikan lebih perhatian kepada kesihatan agar terjaga dengan baik dan kita berupaya menjalankan tugas harian tanpa menyusahkan orang lain - yang pentingnya ibadat dapat disempurnakan  (selama mendapat izin-Nya jua).

Yang menjadi keutamaan ialah apa yang kita makan - we are what we eat! Kalau boleh makan sahajalah apa yang boleh memberi manfaat dari segi kesihatan. Paling tidak pun cubalah cara memasak yang lebih menyihatkan - dari sinilah timbulnya idea untuk mendapatkan Tefal Actifry ini - agar kurang menggunakan minyak apabila menggoreng! 

Mak Aji pernah membeli deep-fryer lama dahulu tetapi jarang menggunakannya - cuma untuk menggoreng ayam goreng ala KFC dan juga french fries sahaja, juga sesekali menggoreng ayam untuk chicken chop. Yang Mak Aji kurang suka menggunakannya - minyak hampir sebotol digunakan untuk sekali goreng! Pun sebab wire mesh/jaring tempat letak ayam untuk menggoreng itu cukup susah untuk kita membasuhnya! Wire mesh pada deep-fryer lebih kurang sama dengan yang terdapat pada Philips Airfryer di bawah.

Mari kita lihatkan:


Philips Airfryer

Cuba lihat jaring/wire mesh itu.

Apabila membuat perbandingan antara Philips Airfryer dengan Tefal Actifry, maka Mak Aji pilih Tefal Actifry kerana tiada wire mesh ini dan agak mudah dicuci. Cuba lihat pula Tefal Actifry:


Tefal Actifry 1.2 litre - dari hadapan.
Dari sisi - ada ekor sikit.
Dari atas.
Simple operation with just an on/off and start switch!
Apabila dingangakan inilah rupanya.
Di tengah-tengahnya paddle yang boleh ditanggalkan agar mudah dicuci.
Paddle ini juga akan menggerakkan ayam/kentang yang digoreng agar
sekata masaknya.
Setakat hari ini Mak Aji sudah mencuba masak french fries dan juga ayam goreng yang disaluti breadcrumbs. Berikut hasinya:

Alhamdulillah terhasillah fries yang lebih 'sihat'!!
Ayam gorengnya pula kelihatannya ok tetapi sedikit kurang dari segi rasanya!

Menurut seorang kawan blogger (yang sekarang tidak lagi blogging tetapi bertukar ke Instagram sahaja) kalau ayam goreng salut tepun insya-Allah ok - nampak gaya kena berusaha lagi untuk mendapatkan hasil yang lebih baik lagi!

Beberapa hari lepas Mak Aji konon-kononnya ingin memanfaatkan Actifry untuk menggoreng karipap segera - hasilnya a big lumpy mess of pastry plus karipap filling!! Jadi janganlah cuba ya, Mak Aji sudah mencubanya dan hasilnya hancuss! Goreng sahajalah karipap segera itu dalam kuali biasa! 

Sekian sedikit pengalaman untuk anda (terutama adik Mak Aji, Cik Na) yang berkira-kira untuk membelinya! Semoga beroleh manfaat! 




Thursday 5 June 2014

Berita Mengejutkan

As-salam.

Keluarga besar Mak Aji dikejutkan dengan berita kemalangan yang menimpa sepupu Mak Aji yang melanjutkan pelajaran dalam bidang pergigian di Universiti Iskandariah, Mesir pada malam semalam. Daripada enam pelajar yang terbabit dalam kemalangan itu, dua orang tidak cedera apa-apa manakala seorang mengalami perdarahan dalaman, seorang patah rahang dan tangan manakala sepupu Mak Aji patah kedua-dua tangannya! Kasihan Siti Nurul Aisyah (kami kenali sebagai Tisya) yang cedera dan dirawat di hospital tanpa ibu bapa di sisi. Mak Aji dimaklumkan yang ibu bapanya akan berangkat ke sana esok. Kami di sini mendoakan kesemua mereka yang terlibat akan diberikan kesembuhan, amin!! 

Berita lanjut tentang kecelakaan itu boleh anda baca di sini:

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cederatercampakketasik/Article/index_htmlhttp://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cederatercampakketasik/Article/index_html


Wednesday 4 June 2014

Persediaan Menyambut Ramadan - Muat Turun Aplikasi SOFTnet Waktu Solat

As-salam.

Ramadan akan tiba tidak berapa hari lagi. Kalau biasanya kita sibuk untuk membuat pelbagai persiapan lain, apa kata kita membuat persiapan cara lain pula! Kali ini dengan memuat turun aplikasi ini ke telefon pintar anda (semua orang pakai telefon cerdik sudah sekarang, bukan!?).

Aplikasi SOFTnet Waktu Solat.

Aplikasi ini sebenarnya telah disarankan oleh seorang kawan sekerja yang sekarang bertugas sebagai pensyarah di sebuah universiti tempatan. Berikut antara kelebihannya:

1. Terdapat paparan waktu solat mengikut tempat kita berada - nama tempat akan bertukar secara automatik tanpa perlu berbuat apa-apa!
2. Terdapat notifikasi untuk memaklumkan akan tiba waktu solat - kita boleh siap sedia dengan membersihkan diri dan mengangkat wudu terlebih dahulu.
3. Selain waktu solat, terdapat juga paparan serta notifikasi untuk waktu tahajud,  sahur, serta imsak! - ini amatlah penting terutama pada bula Ramadan nanti.
4. Kita juga boleh memilih agar ada atau tidak doa selepas azan. 
5. Kita boleh memeriksaa arah kiblat (tidak perlu membawa kompas atau terjenguk-jenguk tanda arah kiblat apabila berada di hotel dan sebagainya); maklumat masjid yang terdekat dengan kita; juga terdapat kalendar hijrah (tidak perlu muat naik aplikasi kalendar hijrah lagi). 

Mak Aji rasa setakat itu sahaja kelebihan yang Mak Aji boleh terfikir saat ini. Sehingga kini sudah beratus ribu pengguna android sudah memuat turun aplikasi ini. Anda bila lagi?? Mari kita sama-sama manfaatkannya! Setinggi-tinggi penghargaan kepada pembina aplikasi ini - Allah swt sahajalah yang akan memberikan ganjaran pahala setimpal dengan usaha yang diberikan dalam pembinaannya!  

Untuk muat turun aplikasi ini secara percuma, anda hanya perlu pergi ke GOOGLE PLAY STORE. Pastikan persediaan kita untuk Ramadan ini lebih mantap dengan aplikasi ini!!




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...