Followers

Wednesday 27 June 2012

Penyakit Berjangkit Reda

Penyakit berjangkit di rumah tempoh hari bermula dengan TV pipih, lepas itu berjangkit ke beyond, lepas itu ke home theatre, dan akhirnya reda dengan siapnya kabinet TV. Penyakit berjangkit ini rupanya berjaya merabakkan kocek, nasib baiklah timbul konsep koperasi di sini, jadi lebih ringanlah beban yang ditanggung.

Mak Aji berkali-kali berkunjung ke Ikea, dan ini antara kabinet TV siap yang ditinjau:

Yang ini terlalu lebar.
Yang ini pula tidak banyak ruang untuk simpan buku.
Yang ini pula terlalu kecil, tidak dapat menggunakan sepenuhnya ruang yang ada.

Setelah meninjau sekali kosnya, akhirnya langkah yang bijak - menempah sahaja dengan En. Ng yang menghasilkan almari pasang siap tempoh hari. Harganya juga berpatutan dan dia menggunakan semaksimum mungkin lebar ruang dinding yang ada. Ini hasil kerjanya:

Ngam dengan ruang, banyak ruang untuk simpan buku. Harga juga berpatutan.

Selesailah sudah kisah penyakit berjangkit. Jangan pula penyakit ini menular ke tempat lain pula, mahu pening dibuatnya!!


Menghitung Hari

Esok dan lusa sahaja lagi Mak Aji kerja. Barang sudah berkotak-kotak (kecil sahaja) dibawa balik, tinggal sekotak dua lagi termasuk kole dengan selendang (shawl - ofis sejuk macam duduk dalam peti ais!). 

Musim sejuk di ofis!

Anak-anak Mak Aji juga menghitung hari untuk balik bercuti! Rindu sangat kami kepada mereka. Kedua-duanya kalau bercakap, kelajuannya macam entah apa-apa, hinggakan susah untuk difahami - gaya orang sana bercakap agaknya!?? Sudahlah telornya ada sedikit berbau loghat sana!



Monday 25 June 2012

Betapa Indahnya Islam!

Mak Aji ada temu janji di The Curve pada petang ini. Semasa dalam perjalanan Mak Aji serba salah untuk meletak kereta di tempat letak kereta The Curve sebab teringat peristiwa seorang perempuan kena samun tidak berapa lama lalu! Mak Aji membuat keputusan meletak kereta di Tesco, di tempat terbuka, di tengah panas! Kereta panas tidak apa, asalkan insya-Allah selamat! 

Dalam pada itu, Mak Aji teringat juga akan beberapa kejadian lain yang menimpa wanita yang berseorangan, kebanyakannya dalam perjalanan menuju ke kereta, malah seorang semasa mahu memasuki lif!

Benarlah wanita itu memang berharga, tidak boleh dibiarkan berseorangan, perlu sentiasa diiringi muhrim agar lebih terjaga dan terpelihara keselamatannya. Teringat pula Mak Aji akan kata-kata yang lebih kurang sama yang diperkatakan oleh seorang tetamu dalam rancangan The Deen Show. Barang yang berharga tentunya disimpan kemas agar selamat, tidak dipamerkan sesuka hati (ini tentang soal penjagaan aurat) agar tiada siapa pula yang terlintas di hati untuk mencuri atau mengapa-apakannya! 

Kalaulah kita benar-benar menurut ajaran kita secara menyeluruh, meliputi segala aspeknya,  nescaya kejadian buruk seperti ini tidak akan menimpa wanita Islam, insya-Allah!!  

Betapa Indahnya Islam!!

Sunday 24 June 2012

Gaji Terakhir

Mak Aji menyemak akaun bank secara dalam talian dan mendapati bahawa gaji bulan Jun sudah masuk - gaji terakhir Mak Aji sebagai penjawat awam! Bulan hadapan dan seterusnya Mak Aji terima pencenlah! 

Esok hari Mak Aji menghabiskan cuti terakhir sepanjang perkhidmatan dan Mak Aji naik kerja pada hari Selasa hingga Jumaat. Hari Jumaat merupakan hari terakhir sebagai penjawat awam dan bermula I Julai bermulalah Mak Aji sebagai pesara. 

Sesudah sekitar sebulan berkursus dan tidak hadir ke pejabat, beratnya terasa hati ini untuk ke pejabat lagi. Terasa semacam cukuplah selama berpuluh tahun berulang-alik ke KL menempuh kesesakan - betapa malasnya hendak menekan minyak jam 6.30 pagi hari Selasa nanti!! 

Apapun temu janji dengan KP pada 8.30 pagi hari Jumaat insya-Allah akan ditepati dan sejurus selepas itu, Mak Aji akan mengetik kad untuk kali terakhir dan akan terus balik ke rumah. MERDEKA!!!


MERDEKA!!!

Projek Apa Lagi??

Pak Aji masih merancang untuk projek seterusnya bagi menghasilkan outdoor living di belakang rumah - tempat (tengok bulan) santai keluarga, katanya. Mungkin juga tempat untuk barbeku?? Bagus juga! Insya-Allah kerja bermula esok. Inilah namanya projek orang pencen, ada sahaja yang mahu dikerjakan, sebab sudah tidak kerja, maka sengaja dicari kerja!

Tiang dan juga pelepar.

Kayu serta tiang pelepar (balustrade) sudah berlonggok menunggu tukang yang akan mula kerja esok. Agak-agak seminggu siaplah insya-Allah. 




Friday 22 June 2012

Peragaan Tetingkap

Kalau anda kurang biasa dengan istilah ini, sebenarnya istilah Inggerisnya window display. Peragaan tetingkap amat penting untuk sesebuah kedai sebab apa yang dilihar dari luar itulah yang bakal menarik perhatian pelanggan di luar agar masuk ke kedai untuk membeli barang yang diniagakan. Dengan itu, banyak faktor yang perlu diambil berat sebelum merealisasikan suatu peragaan.

Sebelum kita pergi lebih lanjut mari Mak Aji tunjukkan peragaan tetingkap pada kedai bunga So-sen, tempat Mak Aji berkursus:

Peragaan di sebelah kiri pintu masuk, bunga hidup.
Di sebelah kanan pintu masuk, beruang (pelbagai saiz).
Cermin/tetingkap sisi kedai, peragaan gubahan bunga tiruan.
Ini peragaan tambahan apabila melangkah masuk ke kedai, juga
dipenuhi beruang pelbagai saiz.

Setelah membaca nota tentang teori dan setelah berbincang dengan dua lagi pelajar lain yang mengambil kelas yang sama, kami diminta bekerjasama untuk menghasilkan peragaan tetingkap untuk sebuah kedai bunga, menggunakan semua bahan yang ada di kedainya. Setelah berbincang dan bersepakat, inilah hasilnya:







Kami sepakat untuk menonjolkan produk atau barang yang dijual, yang terdiri daripadsa bunga hidup, bunga tiruan, hiasan beruang, coklat, bakul serta pasu bunga. Jadi itulah yang kami cuba paparkan sebaik mungkin!

Ini merupakan kelas yang ketiga puluh dan yang terakhir Mak Aji. Jangan pula Mak Aji terlupa dan 'terpergi' kelas lagi (sudah terbiasa). Sekejap sahaja rasanya masa berlalu. Mak Aji akan rindukan Sally yang tidak kedekut untuk berkongsi ilmu, juga Cheng dan Kuan yang membantunya di kedai. 

Sebelum balik, Mak Aji sempat 'bergraduasi', he he!! Ini idea Yen (seorang lagi pelajar Sally) sebenarnya dan Mak Aji dan Sally ikut sahaja!


Mak Aji dan Sally - dah grad dah! 

Seronoklah pulak, semasa Mak Aji grad tahun 1983 dulu, mana ada bunga segala, pegang sahaja skrol biru muda! Cantik bunga tangan itu, kan!!



Thursday 21 June 2012

Gubahan Bunga Mesra Alam

Mak Aji baru tahu yang gabus yang digunakan untuk bunga hidup rupanya kurang mesra alam! Itu mengikut guru kami, Sally. Kalau gabus untuk bunga kering, lebih kurang jugalah kut?? Apapun dia lantas mengajar kami cara menghasilkan gubahan bunga hidup tanpa menggunakan gabus!?

Setelah berhempas pulas, inilah hasilnya:

Gubahan bunga hiduptanpa gabus!

Untuk gubahan menggunakan pasu kaca yang seperti ini, biasanya bahagian pasu dibalut dengan daun seperti ini sebelum dimasukkan gabus /sepan basah (untuk kaedah biasa).

Kaedah biasa menggunakan sepan basah

Untuk menghasilkan gubahan di atas, kami terlebih dahulu membuat rangka kayu yang diikat dengan pengikat plastik (kalau kita beli barang di Mydin, jurujual ikat beg plastik barang kita dengan tali plastik inilah!). Nampak tidak hujung-hujung rangka kayu di leher pasu?? Rangka ini penting sebenarnya agar bunga dan daunan tidak bergerak-gerak. Jaringan ranting kayu perlu rapat agar gubahan bunga stabil dan bunga serta daun tidak lari kedudukannya! Menghasilkan rangkanyalah yang memakan masa. Sudah dibuat separuh jalan, bunga tidak mahu diam, asyik senget. Keluarkan semula, tambah lagi ranting! Bila sudah agak rapat, barulah bermula dan terus menyiapkankan gubahan. 

Siapa kata dalam gubahan kita tidak perlu mesra alam?? 

Catatan: Mak Aji suka ranting yang berlingkar ke atas. Itu termasuk bentuk (form) yang diajar.





Wednesday 20 June 2012

Rendam Kaki Lagi

Untuk kali keduanya pagi-pagi lagi kami pergi lagi remdam kaki. Operasi bermula jam 7.00 pagi hingga sekitar 10.00 malam. Kata pengusahanya malam hari minggu yang lepas mereka tutup jam 1 pagi kerana ramai pelanggan yang datang!

Pada hari ini begini rupa air rendaman kaki Mak Aji, penuh buih putih serta berkeladak warna merah, coklat dan hijau! Euww!!! (kalau anak dara Mak Aji geli, macam inilah dia cakap - dah rindu sangat pada dia, agaknya!).

Hendak tengok macam mana rupanya? Ini untuk mereka yang lalu tengok, yang tak lalu hendak tengok, baik tak usah tengok!:

Ini air rendaman kaki hari kedua! 

Untuk kali yang seterusnya entah macam mana warna yang akan dapat nanti??

Kalau hendak tahu apa rasa selepas menjalani terapi ini? Mak Aji rasa sedikit sebanyak badan berasa sedikit ringan. Bukanlah sampai bila bangun tidur boleh melompat terus ke bilik air!! he he! Tapi badan rasa kuranglah berat untuk bergerak ke sana ke mari! Sakit kaki di kawasan pergelangan kaki juga kurang terasa. Risau juga Mak Aji kalau sakit kaki, macam mana hendak panjat komuter, hendak panjat tangga untuk ke stesen monorel, dan sebagainya?? Alhamdulillah badan terasa sedap sedikit. Kami insya-Allah akan pergi lagi!


Catatan: Baru dua kali, ada 10 kali lagi baki terapi (kalaulah ikut nasihat pengusaha terapi ini). Kalau rawatan sepenuhnya, mahu dia dapat RM120 satu kepala!!





Bunga Tiruan - Hiasan Meja

Sally memberi kebebasan sepenuhnya untuk Mak Aji memikirkan jenis hiasan meja macam mana yang diinginkan. Pening juga kepala memikirkan apa yang ingin dibuat.

Mak Aji teringat suatu ketika dahulu, anak-anak perempuan Mak Aji berpakat membeli suatu gubahan bunga yang dibeli di Lovely Lace, yang menggunakan struktur ranting, tanpa menggunakan pasu. Cukup cantik sekali. Mak Aji suka sangat. Mak Aji pernah sebut cantik di hadapan anak-anak, langsung mereka beli. Suka sangat.

Di situlah bermulanya idea Mak Aji untuk menghasilkan yang lebih kurang sama dengannya. Menghasilkan strukturnya agak sedikit sukar dan memakan masa. Bab filling in the blanks dengan bunga tidaklah lama dan agak mudah. Mari kita lihat hasilnya:

Amacam, cute, kan, buah ceri yang bergantungan.
Itu finishing touches atas nasihat Sally!

Berikut foto sebelumnya:

Siapkan struktur asasnya. Lepas itu struktur atasnya.
Macam rupa sarang burung pun ada, kan??
Bahan yang akan digunakan.
Hampir siap, tinggal untuk ditambah sana-sini sahaja.

Catatan: Mak Aji paling suka buah ceri, cukup cute sekali! Mak Aji menggunakan glue gun untuk melekatkan bunga dan daun tiruan untuk gubahan ini.



Bunga Tiruan - Hisan Dinding

Setakat ini gubahan bunga hidup sudah selesai, maka Mak Aji beralih pula kepada bunga tiruan. Kali ini Mak Aji menghasilkan hiasan dinding. 

Begitu banyak sekali ruang untuk kita menghasilkan gubahan masing-masing, menggunakan pelbagai bahan yang ada, menghasilkan pelbagai gubahan, baik untuk dinding, mahupun untuk digantung! Semuanya bergantung pada kreativiti masing-masing. Kawan Mak Aji buat bola menggunakan bilah-bilah rotan yang kemudiannya dilekatkan bunga, langsung digantung ke siling! Sayang sekali Mak Aji lupa mengambil fotomya. Walaupun begitu, ini versi yang dihasilkan oleh Sally:

Bola yang kawan Mak Aji hasilkan tidaklah secantik ini tetapi lebih kurang
macam inilah! Menarik, kan?!

Mak Aji memilih untuk membuat wreath. Kita biasa melihat hiasan sebegini yang dilekatkan ke pintu hadapan rumah, biasanya semasa menyambut hari Natal. 

Walaupun bukan untuk tujuan merayakan perayaan tersebut, sebenarnya sudah Mak Aji sudah lama teringin untuk menghasilkan wreath ini.

Mak Aji tunjukkan hasil yang dibuat itu:

Ini gubahan simple yang dihasilkan.

Setelah ditambah baik oleh Sally, ini pula versi yang siap:


Ditambah juraian mutiara mencantikkan lagi,
cukup manis, kan!!



Tuesday 19 June 2012

Alhamdulillah, Sudah OK!

Tidak semena-mena keadaan blog/komputer sudah kembali normal, sudah OK. Lega, alhamdulillah! 




Masalah Blog

Petang ini apabila Mak Aji mahu mendaftar masuk ke blog sendiri, butang Sign In tidak aktif langsung. Nasib baik ada laman ini pada Most Visited, bolehlah masuk untuk membuat entri! Entah boleh entah tidak - format posting pun yang lama punya, sebelum dikemas kini!

Janganlah lama masalah ini, mati kutu kawan dibuatnya!!



Sunday 17 June 2012

Selamatkah Kita?

Sehari dua ini timbul pula kerisauan di hati dek kerana pelbagai cerita buruk yang kita dengar dalam berita. Kalau dahulu jarang kita dengar orang dibunuh, sekarang orang bukan sahaja dibunuh, malah dikerat-kerat, dibakar lagi!! Juga timbul kisah beberapa perempuan yang diculik, disamun dan dirogol semasa di tempat letak kereta pusat beli-belah! Siang-siang buta pulak tu! Ke manakah perginya nilai-nilai kemanusiaan?? 

Sekadar hiasan sahaja

Ada seorang kawan yang menghantar e-mel tentang kejadian seorang wanita yang memasuki tandas lantas menyangkut tas tangan dicangkuk pada belakang pintu tandas. Tiba-tiba tas tangan direntap dari atas pintu dan dibawa lari. Setelah itu, penyamun tersebut telah mendapatkan maklumat diri wanita itu lantas ke rumahnya dan rumahnya pula disamun!



Tidak lama dahulu Mak Aji terbaca suatu rencana tentang GPS. Jika anda memilikinya, awas kerana mungkin anda mengundang celaka jika anda kurang berhati-hati!. Anda tentunya memasukkan alamat rumah sebagai home pada GPS agar anda boleh pergi ke tempat yang anda ingin tujui dan kambali ke rumah tanpa sesat di jalanan. Sebenarnya anda tidak boleh memasukkan alamat rumah anda. Sebaliknya letakkan alamat lain seperti stesen minyak yang terdekat dari rumah anda. Ini kerana sekiranya pencuri masuk ke kereta anda, dia akan dapat mengesan rumah anda (apalagi jika anda bermurah hati dengan 'menghadiahkannya' kunci rumah sekali di dalam kereta!! Beraya sakanlah dia!).

GPS jangan sekali-kali ditinggalkan di dalam kereta
kecuali yang memang terpasang di kereta. 

Catatan: Sama-samalah kita sentiasa berhati-hati terutama sekali kaum wanita!

Sumber foto: Google images.

Pekena Cendol Durian

Usai sahaja kami menjalankan terapi rendam kaki, Mak Aji terpandang warung cendol durian dalam perjalanan balik. Apa lagi, singgah dahulu untuk pekena! Memang sedap!! Ini fotonya:

Cendol dengan seulas durian!
Pulut pun ada!

Teringatlah pula Mak Aji akan cendol pulut tapai di tepi Stadium Sultan Muhammad (keberapa ya??) Kota Bharu! Pun sudah lama tidak pekena, memang terangkat!!



Rendam Kaki

Pagi ini Pak Aji ajak ke tempat rendam kaki yang diceritakan dan disarankan oleh seorang rakan jemaah masjidnya. Tempatnya di alamat berikut:

Blok E-60, Kampung Melayu Sri Kundang, Kundang, Rawang, Selangor.
No. Tel: Hajah Salasiah, 010-5089659 atau 03-6034 4036.

Berikut beberapa foto yang sempat dirakamkan:

Mereka yang membuat rawatan.

Setelah antara setengah sehingga maksimum sejam, inilah hasilnya:


Perempuan Cina sebelah Mak Aji.
Seorang lagi ahli keluarga perempuan Cina itu.
Juga ahli keluarganya.
Pak Aji di sebelah kanan.
Pak Aji punya berkeladak dengan pelbagai warna! Euww!!
Mak Aji punya kurang sedikit keladaknya.

Pak Aji ajak pergi lagi esok, harap-harap esok banyak lagi toksin yang dapat dikeluarkan! Sekali rawatan RM 10 sahaja.

Berikut antara penerangan yang ada pada risalah mereka:

Kelebihan rawatan ini:

1.   menghilangkan jerawat dan menghaluskan kulit
2.   memperbaiki fungsi hati dan buah pinggang
3.   melancarkan perjalanan darah
4.   membuang lemak dan mengurangkan berat badan
5.   memulihkan gout, diabetes, dan menurunkan paras kolesterol
6.   mengurangkan sakit otot dan sendi
7.   meningkat daya ingatan, tenaga dan semangat
8.   mengatasi masalah susah tidur
9.   menguatkan kekebalan tubuh
10. menghilangkan bau kaki, bau badan dan gatal-gatal
11. mengurangkan perut kembung, gastrik, strok dan vertigo
12. mengatasi masalah bergantung pada ubat.

Perubahan warna setelah rawatan:

kuning kehijauan - toksin dari ginjal, pundi, saluran kencing
kuning kemerahan - toksin dari sendi atau gout
kuning berminyak - kolesterol
coklat kelabu - toksin dari hati, pundi hempedu
hijau tua - toksin dari hati hempedu
buih putih lendir - dari kelenjar limpa
buih gelembung - asid toksin, gastrik, perut kembung
ketulan putih - tulang rapuh/ostesporosis
warna hitam - logam berat/nikotin
warna merah - ketulan darah beku

Rawatan disyorkan 12 kali selama 30 minit. Walau bagaimanapun, mereka yang menghadapi masalah jantung (pakai bateri), wanita hamil, wanita yang menyusu serta kanak-kanak di bawah umur 15 tahun tidak digalakkan mendapatkan rawatan ini.

Catatan: Mak Aji sebenarnya pernah sekali dahulu melakukan rawatan ini. Sejurus selepas itu kedengaran cerita yang kaedah rawatan ini mengarut dan menipu pengguna dan selepas itu rawatan ini tidak lagi popular. Apapun Mak Aji cuma berusaha, kuasa menyembuhkan penyakit dan sebagainya tetap pada Allah SWT. Kita hanya mampu berusaha sahaja, wallahualam!



Umpan Anai-anai

Tempoh hari Mak Aji menghubungi sebuah syarikat kawalan serangga perosak. Setelah mendapatkan anggaran harga Mak Aji serahkan kepada Pak Aji untuk membuat tindakan susulan. 

Setelah Pak Aji berbincang dan belum sempat pun membuat temu janji dengan wakil syarikat itu, Pak Aji terus mengadu yang kadarnya terlalu tinggi dan dia terus membuat keputusan untuk menangani sendiri masalah itu. Caranya dengan membeli umpan anai-anai (baiting system) yang entah dari mana dibelinya.

Mak Aji sebenarnya lebih suka menyerahkan perkara ini kepada pakar bidang dan bukan cuba menyelesaikan sendiri sebab kita bukan pakar! Kalau mahukan penyelesaian yang terbaik berserta dengan jaminan untuk tempoh masa tertentu, maka ongkosnya perlulah kita tanggung!!

Apapun, Mak Aji terpaksa berserah dan pasrah - siapalah kita untuk membuat keputusan? Mak Aji amat berharap dan berdoa agar masalah ini terkawal dan jangan sampai rumah runtuh nanti!!


Anai-anai.
Kemusnahan kerana anai-anai.
White House pun menggunakan sistem ini!



Saturday 16 June 2012

Dijon Mustard

Beberapa minggu lepas, Mak Aji terkedu sekejap apabila melihat satu rancangan di Asian Food Channel tentang cara-cara membuat Dijon Mustard. Memang terang dan jelas dia menggunakan dry white wine!! Alamak, apa halnya dengan kita yang makan makanan segera yang diletakkan dijon mustard, adakah ini versi yang halal atau tidak wei??? 

Setelah itu Mak Aji semak-semak resepi dijon mustard lain di alam maya - memang sah letak dry white wine. Ada juga yang ada tambahan rice wine vinegar lagi!! Setakat ini Mak Aji masihlah belum lagi beli dijon mustard sendiri. Yang adanya, makan makanan di luar yang ada letak benda itu. Sekarang, sudah naik takut hendak makan makanan yang ada letak benda itu!! Anda bagaimana???


Antara contoh dijon mustard yang ada di kedai.

Dijon mustard biasa kita lihat digunakan sebagai salad dressing seperti ini: 


Salad kentang dengan dijon mustard.

atau sebagai penambah rasa di burger dan juga hotdog seperti ini:

Hot dog dengan sos dijon mustard.

Kalau macam ini gayanya kenalah makan di rumah sahaja kecuali kalau terpaksa, nescaya lebih selamat. Sekarang hendak makan pun susah. Hendak keluar sendiri-sendiri pun susah, terlalu banyak kes culik, samun dan rogol. Yang terkini, di tempat letak kereta di kompleks membeli-belah! 

Katanya peratus jenayah turun, tetapi makin banyak kes yang pelik-pelik sebegini yang berlaku sekarang. Jadi, moral ceritanya, kalau perempuan, eloklah di rumah sahajalah kita. Tidaklah payah keluar-keluar kecuali kalau terpaksa sahaja! 

Catatan: Dari segi seni kulinari, Dijon merujuk cara mustard disediakan, yang berasal dari kawasan Dijon di Perancis. Resipi asalnya menggunakan wain putih dan biji sawi berwarna coklat yang dikisar serta dicampur bahan-bahan lain. Warna Dijon mustard kuning pucat dan rupanya agak berkrim. Biji sawi hitam juga boleh digunakan untuk resepi ini. Suatu masa dahulu hanya Dijon mustard yang diperbuat di Dijon, Perancis sahaja yang dinamai Dijon mustard tetapi sekarang nama itu sudah semakin luas penggunaannya kepada mana-mana mustard yang menggunakan resipi asasnya juga (Dipetik dan diterjemah dari http://culinaryarts.about.com/od/glossary/g/Dijon.htm).   


Sumber foto: Google images.

Pakai Satu atau Dua??

Mak Aji sudah lama tertanya-tanya tetapi tidak pernah mengajukan pertanyaan ini kepasa sesiapapun. Soalannya: Anda guna satu pengisar atau dua?? Bagaimana halnya jika anda mahu kisar lada kering untuk dijadikan cili boh dan pada hari yang sama anda mahu membuat shake atau smoothie?? 

Di rumah Mak Aji hanya ada satu sahaja. Melihatkan Monie membuat shake menggunakan pelbagai buah-buahan segar, teringin pula hendak mencuba. Cumanya, setakat ini belum berani takut smoothie berbau cili atau takut mata pengisar menjadi tumpul (jika dimasukkan ketulan ais!).

Mak Aji meninjau-ninjau di alam maya dan mendapati bahawa dalam mencari pengisar untuk membuat smoothie, perlulah diambil kira antara lain:

a. Cari pengisar yang bahagian bawahnya diperbuat daripada logam yang agak lebar supaya pengisar itu stabil.

b. Motor pengisar perlulah berkuasa tinggi, iaitu lebih 500 watt. Pengisar perlu mampu mengisar buah yang dibekukan dan juga tentunya ketulan ais. Pengisar juga perlu menghancurkan semua bahan menjadikannya halus. (Nama pun smoothie!! Kalau tidak smooth, bukan smoothielah namanya!!)

c. Jagnya lebih baik yang diperbuat daripada kaca yang kalis calar (plastik tentunya tidak kalis calar). (Biasanya yang berjag kaca bersifat high-end yang tentunya harganya high-end juga!!)

d. Butang kawalannya jenis sentuh (touch pad). ini akan memudahkan pengisar dibersihkan jika berlaku tumpahan.

Pengisar berjenama Blendtec untuk menghasilkan smoothie.

Mengikut sumber ini, harga pengisar ini agak mahal, sehingga mencecah $400 (dolar Amerika kut??). Kalau begitulah harganya, tidak terbelilah kawan! Apapun, elok kawan tinjau dahulu ya, manalah tahu kalau dapat harga yang jauh lebih murah!?


Sumber maklumat dan foto: http://www.incrediblesmoothies.com/



Bakul Bepang Kacang

Rupa-rupanya entri Mak Aji tentang bakul bepang kacang sebagai hantaran tempoh hari banyak menarik minat dan telah mendapat pertanyaan. Jadi, setelah Hanif menghubungi Nadya, inilah dia wanita yang perlu dihubungi jika anda berminat membuat tempahan:

Puan Minah, 03-91738677.

Hasil 'karya' Puan Minah.

Sesiapa yang berminat silalah menghubungi beliau sendiri agar anda dapat berbincang lanjut!

Mak Aji terjumpa juga pihak lain yang menghasilkan hantaran bunga ros bepang kacang (selain hantaran lain). Syarikatnya Rosbah Enterprise dan alamat laman blognya seperti berikut:


Berikut antara bepang kacang yang beliau hasilkan:







Gubahan bakul atau bunga bepang kacang seperti ini merupakan suatu seni yang semakin dilupakan dan memang ada segelintir sahaja yang masih mampu menghasilkannya (dying art). Jika tidak dipelajari oleh golongan muda, maka suatu hari nanti nescaya tiada siapa lagi akan mampu menghasilkannya!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...