Followers

Monday 30 December 2013

Ziarah ke Baitul Maqdis - 8

As-salam.

17 dan 18 Disember 2013.

Kami bangun dari tidur awal-awal lagi memandangkan pagi ini merupakan pagi terakhir kami di kota suci ini. Malam tadi sebelum tidur Mak Aji sudah berkemas sebahagian besar pakaian kami agar pagi ini tidaklah terlalu tergesa-gesa untuk menyiapkannya.

Sekitar sebelum jam 4.00 (dalam perjalanan ke masjid) kami bertembung dengan empat orang tentera Israel yang pulang dari tugas berkawal. Mereka cukup tinggi, berbadan tegap, memakai ski-mask yang hanya menampakkan biji mata sahaja! Rasa Mak Aji mereka juga memakai bullet-proof vest selain menyandang senapang. Pakaian seragam serba hitam mereka menambahkan lagi rasa gerun kita! Walaupun demikian, setelah berhari-hari berulang alik ke masjid rasa gerun semakin menipis. Oh ya, sekali-sekala Mak Aji perasan juga helikopter yang terbang di atas kepala kami (agak tinggi) di sekitar kawasan Masjidil Aqsa (surveillance helicopters) - sedikit terasa seperti di medan pertempuran!

Menjelang jam 4.05 pagi kami sudah tercegat di pintu kawasan masjid menunggu pintu dibuka dari dalam (ada pejabat pengawal tentera di dalam). Sambil menunggu ini yang dirakam:

Lampu di pintu masuk kawasan masjid - cantik pulak dia ya!
Antara mereka yang menunggu bersama-sama kami.
Sebenarnya di pintu ini biasanya terdapat sekurang-kurangnya dua orang tentera Israel duduk berkawal bertemankan alat pemanas mudah alih elektrik  (electric portable heater). Di situlah mereka duduk berkawal - pasti mengelatuk kesejukan, sebab itulah meraka pakai ski-mask! Pada ketika ini tiada seorang pun tentera, maka itulah sebabnya Mak Aji sempat merakam foto ini.

Tazkirah terakhir kami selepas solat Subuh.
Imam juga mendoakan agar kami mampir lagi ke Masjidil Aqsa, insya-Allah!
Solat subuh Mak Aji yang terakhir. Yasmin pulang dua hari selepas
kumpulan kami.
Salji semakin menipis. Betapa beratnya hari meninggalkanmu!

Pemandangan dalam foto di atas inilah yang pertama yang kami lihat setiap kali sebelum tidur dan setiap kali bangun dari tidur sepanjang di sini! Akan kami kenang sepanjang hayat!

Dalam berat langkah kami keluar dari masjid, Mak Aji sempat merakam foto-foto terakhir dalam perjalanan pulang ke hotel. Langkah-langkah tersebut merupakan antara langkah terakhir kami di masjid yang suci ini:


Masjid yang di atasnya kubah kelabu kebiruan/kehijauan.
Dome of the Rock.
Tempat air pancut - air beku agaknya, maka tiadalah yang memancut!


Menuju pintu masuk/keluar kawasan masjid.
Jalan sebegini yang beraislah yang sering 'makan orang'! -
ada teman-teman kami yang jatuh.
Gerbang Babus Zahro, laluan masuk pertama untuk ke masjid. 
Sekitar jam 9.30 pagi bas kami bergerak keluar dari Baitu Maqdis menuju Jordan. Proses imigresen di Allenby Brigde/Terminal agak lebih mudah dan cepat berbanding semasa kami masuk. Destinasi kami seterusnya, Laut Mati. Kami menyinggah untuk makan tengah hari di Amman Beach Tourism Resort, di Laut Mati.

Seorang pengusaha yang membuat dekorasi pasir berwarna untuk dijual.
Ada juga yang cuba berenang di sini.
Sungguh cantik Laut Mati yang menyimpan sejarah Nabi Lut dan kaumnya!
Cantik tongkat! Itulah tongkat yang dibeli di Jaffa tempoh hari.
Zabir dan Cik Jah.
Pasangan bahagia, insya-Allah!
Tidak lekang Pak Aji daripada tongkatnya!
Cuaca macam panas tetapi anginnya tetap sejuk!
Seronoklah tu Habib pegang tongkat dia!
Cuba lihat ejaan water yang dieja watre tu!
Destinasi seterusnya,  makam Nabi Syuaib:

Makam Nabi Syuaib.
Berikut pemandangan sekitar makam dan masjidnya:


Di hadapan masjid dan makam.
Seterusnya kami menziarah sebuah lagi makan sahabat, iaitu makam Abu Ubaidah Ibnu al-Jarrah di sebuah masjid. Usai solat Maghrib dan Isyak secara jamak qasar, kami menziarah makamnya:

 Makam Abu Ubaidah Ibnu al-Jarrah  
Dalam perjalanan ke makam tersebut, Mak Aji terlihat sekumpulan khemah yang tercatat UNHCR padanya (foto pertama) - Mak Aji agak sebagai khemah pelarian Palestin di Jordan (entah ya entah tidak?):

Khemah pelariankah ini?
Ini agaknya khemah kaum gipsi!
Menurut kata pemandu pelancung, khemah badwi biasanya berwarna sama ada hitam, putih atau coklat. Khemah gipsi pula bermacam-macam warna. Kaun badwi memang memiliki tanah tempat mereka membuka khemah mereka manakala kaun gipsi pula membuka khemah mereka di merata-rata tempat yang bukan milik mereka. 

Pak Aji ada pengalaman menarik setelah selesai solat di masjid yang terletaknya makam sahabat itu - seorang Arab Jordan masuk ke masjid dan Pak Aji memberi salam. Kata Pak Aji dia meminta Pak Arab itu mendoakannya sambil meletakkan tangan Pak Arab itu ke dadanya. Pada ketika itu terasa oleh Pak Aji akan semacam ada current antara mereka berdua lantas Pak Arab itu memeluknya! Habib dan jemaah yang lain terkejut dengan adegan itu! Entah ada atau tidak hubungan rohani antara mereka?? Allahualam!

Malam agak lewat dan kami tiba di Amman, dan menuju sebuah restoran untuk makan malam terakhir dibumi Arab ini:

Dalam keletihan dan kelaparan menunggu hidangan.
Appetizer - boleh tahan banyaknya! Free flow of flat bread.
Main dish - tak sempat ambil foto, dah hampir licin,
tinggal kebab satu tergolek!
Pelayan mengopek limau -  semacam buat
persembahan pula dia!
Setelah perut kenyang dan tilam bantal mula melambai-lambai kami dihantar ke Queen Alia Airport untuk daftar masuk penerbangan Royal Jordanian pada jam 2.10 pagi (waktu tempatan). 

Alhamdulillah selesailah sudah misi ziarah (bukan misi kemanusiaan mahupun misi hospital ya, he he!) kami ke Baitul Maqdis. Insya-Allah pada kesempatan ziarah yang lain, akan dikongsikan jua! 




Ziarah ke Baitul Maqdis - 7


As-salam.

16 Disember 2013

Sekali lagi usai solat Subuh tazkirah khas disampaikan oleh imam Masjidil Aqsa khusus untuk kami, alhamdulillah. Memang kelihatan beliau cukup gembira dan terharu dengan kehadiran kami untuk memakmurkan masjid yang penuh barakah itu! Beliau juga ada datang untuk makan malam bersama-sama kami di hotel dan selepas itu juga menyampaikan tazkirah. Kami juga ada membuat kutipan khas, satunya untuk para pelajar yang belajar di masjid itu dan satu lagi kutipan umum bagi mereka yang ingin membayar zakat di sana.

Setelah selesai tazkirah kami kembali ke hotel untuk sarapan dan bersiap untuk ziarah lagi. sekitar 9.30 kami memulakan perjalanan sekali lagi ke Jericho dengan tujuan untuk membeli-belah selain ziarah. Kami dibawa ke sebuah kedai milik orang Palestin dan di sini terdapat pelbagai barangan untuk dibuat cenderamata. Walaupun begitu kami perlu sentiasa beringat-ingat bahawa apabila nilai wang ditukar kepada nilai duit kita, harganya agak mahal juga. Mereka sama ada menerima wang dolar Amerika atau Syeqalim (duit Israel). Nilai dolar tiga kali ganda lebih berbanding duit kita manakala nilai 1 Syeqalim pula lebih sedikit daripada RM1. 

Berikut sekitar kunjungan kami kali ini:

Di kanan pondok jual jus segar -  pekena jus delima, memang sedap
dan berkhasiat!
Pak Aji asyik nak bergambar dengan Habib tak habis-habis, layan ajelah!
Habib semakin menjadi selebriti di sini!
Kereta kabel di Mount of Temptations di Jericho - tiada rezeki untuk naik dek
kesuntukan masa.
Pak Aji tanya, nak naik unta? No thank you, tak gemar bau unta!
Nanti Mak Aji pula yang berbau unta,
Pak Aji juga yang tak tahan, he he!
Buah-buahan di hadapan kedai cenderamata.
Mak Aji adalah beli serba sedikit cenderamata untuk anak cucu yang ditinggalkan (jangan tidak). Kalau asyik mengira nilai duit kita alamat tiadalah membeli apa-apa! Oh ya, Mak Aji beli unta seekor untuk cucu Mak Aji, si Aleesya, unta mainan ajelah! 

Selesai acara beli-belah, kami cuba untuk membuat ziarah ke Hebron tetapi jalan masih tutup kerana salji. Jadi terpaksalah kami membatalkannya. Sebaliknya kami terus ke kota Jaafa yang lokasinya bersebelahan kota Tel Aviv. Jaffa merupakan kota lama yang penuh bangunan bersejarah manakala Tel Aviv kota kosmopolitan yang penuh dengan pencakar langit. Kami dimaklumkan bahawa Yahudi sekular tinggal di Tel Aviv (katanya kota yang kos sara hidupnya termahal di dunia!) manakala Yahudi orthodoks memilih untuk tinggal di kota suci Baitul Maqdis!

Selesai kami bersolat di masjid Mahmoudiya, kami terus ke sebuah restoran yang cukup cantik (rustic), terasa bagaikan makan di restoran di dalam kota A Famosa di Melaka! Lihatkan:

Menara masjid Mahmoudiya.
Di sekitar laman masjid Mahmoudiya.
Di kejauhan, kota Tel Aviv yang bersebelahan kota Jaffa.
Tunggu makanlah, apa lagi! Bismillah!
Berselera nampaknya Zabir dan Cik Jah menjamah hidangan!
Cik Jah meninjau cenderamata yang boleh dibawa pulang.
Mak Aji cukup seronok melihatkan pokok keladi yang
cukup subur ini! Masya-Allah cantiknya!
Pak Aji dah tersangkut di kedai menjual tongkat! 
Bebola apakah gerangannya ini???
Tombol pintu kabinet rupa-rupanya (yang diperbuat daripada seramik!)
Menara di town square kota Jaffa - tempat kami menunggu bas
untuk kembali ke hotel.
Pak Aji sempat 'berborak' dengan seorang penduduk Jaafa -
seorang cakap ayam, seorang cakap itik!
Islam sahaja bahasa penghubung - melalui salamnya!
Papan tanda berbahasa Hebrew.
Dalam perjalanan pulang ke Baitul Maqdis, berikut beberapa foto pemandangan yang menarik. Perhatikan juga beberapa jenis tembok/pagar pemisah antara komuniti Yahudi dan juga Palestin!:






Cuba perhatikan komuniti Badwi yang berkhemah hitam! Di kejauham
di atas bukit, komuniti Yahudi!
Kami dimaklumkan bahawa penduduk Yahudi tidak perlu bersusah payah bekerja untuk menyara hidup mereka. Sebaliknya mereka diberi sara hidup oleh kerajaan Israel. Lebih ramai bilangan anak mereka, maka lebih banyaklah bayaran sara hidup mereka. Tidak hairanlah anak-anak mereka ramai, iaitu sekuramg-kurangnya lima enam orang anak! Anak-anak mereka pula belajar di sekolah agama mereka. Mak Aji sengaja merakam foto sekeluarga Yahudi (semasa dalam perjalanan balik ke hotel) dari dalam bas:

Sekeluarga Yahudi dengan enam anak.
Melihat jambatan ini teringat pula jambatan di lebuh raya LDP kita!

Salji tebal bermakna sekolah tutup. Begitu juga premis perniagaan!
No shopping (kalau mahulah).
Di sebuah kawasan komuniti Yahudi keseluruhannya - mereka mengambil
peluang untuk keluar bersama-sama keluarga, bermain
gelongsor ais dan sebagainya
Salji masih ada walaupun ketika itu sudah tiada yang baru turun.
Tempat perhentian bas.
Barulah Mak Aji tahu betapa licinnya jalan berais! Bas kami tergelecek
beberapa kali juga! Seram kami dibuatnya!
Stesen minyak tanpa bumbung di Beit al-Hanina!
Kedai runcit juga di Beit al-Hanina.
Seperti biasa, selepas berehat seketika kami bergegas pula untuk solat Maghrib di masjid. Semakin hari semakin hampir tamat masa kami di sini - semakin sayu dan berat rasa hati untuk meninggalkan kota suci ini. Perasaan yang sama seperti dirasai semasa ingin meninggalkan kota suci Makkah dan Madinah! 

Walau terpaksa mengharung cuaca sejuk menggigit, walau terpaksa menghadapi masalah kulit yang semakin kering (sudahlah sejuk, terpaksa kurang minum - hirup sedikit-sedikit sahaja - sebab banyak berziarah, agar kurang kerap ke bilik air dan tahan wudu dengan agak lama sedikit), kulit mula menggelupas dan pedih - krim pelembab tercicir entah ke mana - dan pelbagai hal lagi, namun kami bertahan juga demi memanfaatkan masa yang cukup berharga di sini! Alhamdulillah, kami amat bersyukur akan peluang yang dikurniakan ini!! Entah datang lagi entah tidak peluang untuk berziarah lagi!?


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...