Followers

Friday 22 August 2014

Petua: Cara Hilangkan Kesan Kuning pada Pakaian Bayi

As-salam.

Semalam sambil Mak Aji berborak dengan menantu, dia menyebut yang petua yang Mak Aji berikan kepadanya cukup bermanfaat dan belum pernah diketahuinya.

Sebagai ibu yang mempunyai bayi yang baru alhir atau yang baru berusia beberapa bulan, pernahkah anda bermasalah untuk menghilangkan kesan kuning pada lampin atau tuala serta pakaian bati anda yeng terkena najisnya?? Jika ya, mari Mak Aji kongsikan petua berikut:

Sabun buku cap Buruh.
Untuk menghilangkan kesan kuning tersebut, gunakanlah sabun buku cap Buruh ini, insya-Allah kesan tersebut akan hilang. Jika setelah digosok-gosok, masih ada sedikit kesan, tenyeh lagi sabun ini dan biarkan sebentar dan selepas beberapa minit cuba sental lagi! 

Semasa Mak Aji masih budak-budak lagi memang inilah sabun yang digunakan oleh arwah mak Mak Aji setiap kali untuk mencuci lampin adik Mak Aji. Memang sudah menjadi kebiasaan kami sekeluarga menggunakannya setiap kali ada bayi kecil di rumah. Alhamdulillah sabun ini menghilangkan kesan umpama magic!

Selain itu, sabun ini juga digunakan untuk ditenyeh-tenyeh kepada bahagian luar periuk besar yang digunakan untuk memasak lauk kenduri kahwin (dengan dapur kayu) - agar lapisan sabun ini akan memudahkan kerja menyental periuk nanti!

Selamat mencuba!


Thursday 21 August 2014

PC Menciut-ciut

-

As-salam.

Sambil Mak Aji menaip entri ini sambil itulah juga terdengar bunyi ciut-ciut daripada hard disk PC Mak Aji ini. Seolah-olahnya ada anak tikus di dalamnya! Entah apa lagilah yang tidak betul dengannya.

Semalam PC lagi meragam. Sekejap saiz fon di skrin kecil, lepas itu skrin terpadam terus, bila 'menyala' balik, saiz fon jadi kecil pulak. Sekejap hitam, sekejap 'menyala'. Boy tolong!! Nasib baiklah Boy ada di rumah kerana time-off. Katanya belum pernah dia tengok PC sebegini teruk keadaannya - akibat selalu offkan dia secara mengejut, katanya. Siapalah punya angakara yang suka offkan dia mengejut ni??

Apapun Boy keluar untuk membeli seketul benda - hard drive ke apa ke bendanyanya untuk memasukkan segala data Mak Aji sementara dia meninjau-ninjau keadaan PC Mak Aji. Selepas selesai kerja terhadap PC malam tadi, Mak Aji disuruh test-drive dulu PC pada hari ini. Nampak macam oklah pulak, kecuali ada sekali dua terpadam juga macam semalam. Bunyi menciut masih ada cuma makin perlahan sahaja. 

Ofis Mak Aji.

Janganlah pula PC bermasalah hinggakan terpaksa cuti berblogging pula, aiseh man!! Harap-harap oklah setelah Boy ubatkan PC ini lagi! 



Rumah Baru, Hidup Baru


As-salam.

Petang semalam Mak Aji dan Pak Aji diajak oleh anak dan menantu untuk melihat rumah baru mereka yang sudah hampir siap dibuat ubah suai. Insya-Allah hujung minggu nanti bolehlah siap sepenuhnya. Mari Mak Aji kongsikan:

Zhafran dan Mikhail di hadapan rumah mereka.
Dari pintu gelongsor hadapan. Ruang yang agak luas - boleh memuatkan
3 kereta.
Ruang tamu yang sudah dibesarkan sedikit - dialihkan ke hadapan
pintu gelongsornya.
Ruang tamu.
Ke arah dapur serta bilik dan bilik air di tingkat bawah.
Dapur.
Mak Aji suka warna dan corak jubin yang digunakan.
Bilik tidur utama.
Bilik air di bilik tidur utama.
Salah satu daripada 3 bilik di tingkat atas.

Mak Aji terlupa pula untuk merakam foto ruang di belakang rumah. Agak besar juga, boleh dimanfaatkan untuk dapur basah, ruang membasuh kain baju serta menyidai kain. Pun cukup ruang untuk bertanam (dalam pasu sebab semua ruang bersimen).

Selesai meninjau rumah, haus pula tekak. Mak Aji ajak mereka untuk pekena teh tarik tetapi mereka mahukan cendol di Kuang. Maka ke situlah kami. Bukan sahaja cendol yang mahu dimakan, malah mi udang dan asam laksa serta banana cheeselah pulak!:


Mi udang.
Asam laksa.
Banana cheese.
Cendol special - ada jagung, kacang merah, pulut, durian dan keladi!

Kepada Zhafran dan Mida, tahniah mama ucapkan kerana beroleh rumah sendiri semasa usia masih muda lagi - itulah rezeki namanya. Semoga hidup baru yang bakal ditempuh akan membahagiakan anda bertiga (berempat, berlima dan seterusnya!). Jangan lupa bahawasanya segala apa yang kita ada pada hari ini hanya pinjaman daripada Allah SWT dan seharusnya kita sentiasa bersyukur atas segalanya  kepada kita dan apa lagi cara yang sebaik-baiknya untuk menunjukkan tanda syukur kita - taat kepada segala perintah dan suruhannya serta menjauhi segala larangannya. Zhafran sekeluarga tidak lama lagi akan sebumbung dengan mama dan abah, jadi ingatlah pesan mama ini.



Tuesday 19 August 2014

Ubat Menangis

As-salam.

Dalam menjalankan tugas sebagai babysitter/inang pengasuh cucu ini Mak Aji buat pelbagai cara untuk meredakan tangisan cucu. Antara yang paling mujarab ialah 'lagu' doa dhuha yang dialunkan oleh Kumpulan UNIC. Aleesya apabila dinyanyikan boleh mendodoikannya sehingga lena manakala untuk Mikhail cukup untuk membuatnya berhenti menangis lantas tersenyum dan ketawa. Ini versi Mak Aji yang banyak kurengnya berbanding yang asli dari UNIC:



Kalau doa ini mujarab untuk cucu Mak Aji, anda juga boleh mencubanya!





My Princess

As-salam.

Dalam entri lalu, Bebas di Laman, Mak Aji tunjukkan foto Aleesya di laman dengan rupa seakan-akan tomboy, sekarang Mak Aji mahu tunjukkan foto Aleesya yang semacam princesslah pulak!:

Yay, bebas di laman lagi! 
Amacam, menjadi tidak catwalk Aleesya ni??
Tokma ajar step untuk tarian ballet ni!
Jaga-jaga ya Tokma, Aleesya nak buat pirouette ni!!

Berikut foto Aleesya semasa raya tempoh hari:

Ke mana hilang tangan kanan Aleesya tu??
Senyum manis Aleesya yang berbaju sedondon
dengan mamanya.
Nona kecil berkebaya merah!

Catatan: Sebahagian besar foto dirakam mama Aleesya.



Tahukah anda??

As-salam.

Demam raya masih terasa terutama dalam kalangan mereka yang bekerja. Kalau Mak Aji dahulu semasa masih bekerja, sepanjang Syawal sekitar seminggu selepas semua orang sudah kembali bekerja setelah beraya di kampung, maka bermulalah beraya di ofis pula. Hampir setiap hari ada 'rumah'/bahagian/jabatan terbuka. Dengan itu memang sukarlah untuk kita berpuasa enam! Pada hari ini pun ada jemputan raya untuk staf dan juga pesara di ofis Mak Aji. Mak Aji tidaklah pergi kerana menjaga cucu - bye-bye ajelah ya! 

Antara kek yang arwah ayah Mak Aji paling suka dan yang arwah mak Mak Aji buat ialah kek buah yang sama ada dibakar atau dikukus. Seingat Mak Aji arwah mak ada menggunakan cream of tartar (COT - potassium bitartrate) sebagai salah satu bahannya. Mak Aji baru tahu yang COT ini merupakan bahan sampingan yang dihasilkan dalam proses pembikinan wain! Tahukah anda tentang hal ini?? 

Perhatikan betul-betul, tiada tanda halal, kan!!
Sumber foto: eshop.tesco.com.my

Kalau anda baru tahu, selepas ini kalau anda perlu menggunakan COT, pastikan anda menggunakan COT yang ada cap halal ya!

Mak Aji sudah keluar mencari COT dan terjumpa jenama Nona namun setelah puas membelek tiada cop halal padanya. Jenama lain pula tidak terjual. Maka Mak Aji keluar dengan tangan kosong - tangguh lagilah kek buahku!

Setelah membuat sedikit carian, Mak Aji menemukan senarai jenama dan pengeluar COT halal. Sila rujuk laman berikut:

http://www.halal.gov.my/v3/index.php/ms/direktori-halal-malaysia/126-direktori-halal-malaysia

Mak Aji ingin kongsikan juga satu laman yang cukup menarik terutama untuk home-bakers:


Setelah membaca nalumat dalam blog ini, sedarlah kita betapa besarnya tanggungjawab kita untuk memastikan apa yang kita hidangkan untuk keluarga kita terjamin halal dan tidak syubhah! 



Tokbah Sudah Balik!

As-salam.

Pak Aji agak lama juga tiada di rumah. Dia ke Yaman bersama-sama Asyraf pada 2 Julai 2014 lagi dan baru pulang ke Malaysia pada 14 Ogos lepas - sebulan lebih tu, memang cukup lama! 

Mak Aji, Boy serta Mikhail menjemputnya di KLIA pada hari Khamis lepas. Sudahlah penerbanganya lewat mendarat, lewat juga dia keluar dari balai ketibaan. Mikhail sudah agak tidak selesa dan sudah mula menangis mahu didukung - lama-lama dukung rabak bahu Tokma sayang ooi!

Mak Aji kongsikan beberapa foto Tokbah serta Mikhail:

Lama berpisah dengan cucu.
"Tokbah ke mana lama tak nampak??"

Apabila Aleesya balik ke Sungai Buloh pada hujung minggu lepas Mak Aji tertunggu-tunggu untuk melihat reaksinya apabila berjumpa Tokbahnya. Selepas kami balik dari Palestin (berpisah selama 10 hari) hujung tahun lepas dia menangis melihat kami hingga merebeh-rebeh air mata - rindu agaknya tetapi tidak mampu diungkapkannya! Mari kita saksikan reaksi Aleesya kali ini:

"Aleesya, cucu Tokbah!"
Setelah dipujuk baru mahu didukung Tokbah.
Aleesya senyum malu melihat muka Tokbahnya!
Malu tapi mahu!
Dah lama sikit baru hilang malunya.




Tuesday 12 August 2014

Habis Beraya Kembali Belajar

As-salam.

Sebelum Zuhur tadi Mak Aji dan Boy serta Mikhail ke KLIA2 untuk menghantar Madihah ke Surabaya. Insya-Allah dia akan menghadap tahun akhir pengajian di sana dan akan kembali setelah selesai pengajian pada bulan Syaban tahun hadapan. 

Dengan berat hati dia pergi dan Mak Aji ada menyebut yang Mak Aji akan ke sana nanti insya-Allah semasa dia bercuti sempena maulid pada Rabiulawal nanti - tidak lama lagi tu. Pak Aji pun tidak sempat mengucapkan selamat tinggal kepada Madihah sebab dia dalam perjalanan balik ke mari dari Tarim, Yaman. Petang tadi dia sms yang dia berada di Sana'a dan dia akan transit di Dubai dan Jakarta terlebih dahulu sebelum sampai pada petang 14 Ogos nanti. Pak Aji memaklumkan bahawa anak bongsu Mak Aji, Asyraf sudah pun bertolak ke Mukalla, (6 jam perjalanan dari Tarim) yang menempatkan salah satu cawangan daripada cawangan Dar al-Mustafa. Semoga Asyraf sentiasa dalam perlindungan Allah SWT kerana kepada Dialah sebaik-baik Penjaga!   

Mak Aji kongsikan foto kami di KLIA2 petang tadi:

Dari kiri, Madihah, Mak Aji, Mawaddah serta ibunya, Ustazah Sarah. 

Madihah dan Mawaddah sama-sama belajar di Pesantren Az-Zahro di Pasuruan, Surabaya. Semoga Madihah dan Mawaddah tekun belajar dan sentiasa di bawah peliharaan-Nya juga, amin!!


Monday 11 August 2014

Idea untuk Door Gift

As-salam.

Seperti juga cuti sekolah, bulan Syawal juga dimanfaatkan oleh sesetengah pihak untuk mengadakan kenduri kahwin. Jadi, sambil kita balik kampung beraya,kita juga berpeluang untuk hadir kenduri kahwin. Sebab itulah ada pihak yang mengadakan kenduri kahwin/rumah terbuka pada masa yang sama. Semalam ketika hadir ke kenduri anak kawan semasa belajar dahulu, layu raya dimainkan secara berselang-seli dengan lagu pengantin baru! Apapun jangan pula sampai tenggelam majlis kahwin dek rumah terbuka. Hal ini berlaku di sebuah majlis kahwin kawan kepada menantu Mak Aji. Apabila masuk sahaja ke dewan, tetamu disambut oleh suasana dan juga lagu raya - tetamu tertanya-tanya dan agak bingung! Di hujung dewan barulah kelihatan pelamin - rupa-rupanya ada pihak lain yang menumpang majlis kahwin untuk jamuan rumah terbukanya!

Baiklah kita berbalik ke tajuk entri. Ramai orang bingung apabila memikirkan apa yang harus dibuat door gift. Kalau di kampung dulu kami gelar door gift ni sisa. Mak Aji kurang pasti apa maksud di sebalik nama itu. Yang pasti bukanlah sisa mengikut apa yang kita biasa faham!

Berikut antara door gift yang ada di rumah Mak Aji - yang terkini:

Bagus bukan idea memberi madu sebagai hadiah!
Cantik pula tu dengan kotak sekali - botolnya kemas dan tidak
bergerak di dalam kotak.
Sebotol marshmellow.

Kalau Mak Ajilah, marshmellow ini Mak Aji risau sedikit untuk makan sebab ada kes yang marshmellow yang mudah didapati di pasaran adalah tidak halal! Pastikan kehalalan door gift yang kita berikan! Pun Mak Aji rasa masyarakat kita belum begitu lazim dengan benda ini, agak sedikit asing kecuali untuk masyarakat di bandar!


Agak banyak hadiahnya - sebiji cawan mini, kek cawan dan sebotol
minyak wangi yang dimasukkan ke dalam
beg kertas!
Ini pula kelopak bunga kaca semacam kristal - cantik, bukan!

Dua door gift yang berikut pula contoh yang Mak Aji simpan daripada majlis kahwin orang yang bergelar - high-end sedikitlahh, kalau masyarakat maehaen kurang mampulah untuk menyediakannya!:



Kotak kayu serta dompet mengkuang yang berisi coklat.
Yang ini pula diperbuat daripada perak - bersaiz besar untuk orang dewasa
manakala yang kecil untuk kanak-kanak!

Dua foto di atas sekadar untuk tambahan sahaja - kebanyakan orang termasuk Mak Aji sendiri hanya mampu melihat sahajalah!

Kalau anda ada contoh door gift lain, sila kongsikan ya, agar kita semua beroleh manfaat!

Oh ya, kalau mengikut pengalaman Mak Ajilah, biarkan budget kita yang menjadi garis panduan utama dalam pemilihan door gift - tentukan budgetnya terlebih dahulu dan pilihkan door gift yang sesuai dengan budget itu! Kalau tidak memang  budget larilah, tidak larat nanti kita mengejarnya!!



Apabila Kek Menjadi Apam Merekah

As-salam.

Insya-Allah pada petang ini Mak Aji ada tamu yang akan datang berkunjung ke rumah untuk beraya. Mak Aji menyediakan sebiji kek minyak menggunakan resepi Azie Kitchen. Konon sebab mahukan kek yang agak tinggi, maka Mak Aji duakaligandakan adunannya tetapi tetap menggunakan acuan yang bersaiz biasa (yang sesuai untuk satu adunan sahaja - sengaja buat pandai, he he!). 

Kek yang minyak yang terhasil kelihatannya seperti apam merekah seperti berikut:

Semacam apam senyum, kan!
Mak Aji lupa untuk corakkan, makanya beginilah rupa lapisannya. 
Cantik juga, kan! (masuk bakul sikit!).
Kek menunggu tamu yang akan datang nanti.
Lesson learnt: Lain kali kalau mahu gandakan adunan, gunakan acuan yang ada lubang di tengahnya agar cepat masak dengan sekata. Kalau tidak, bila mahu tungu bahagian tengahnya masak, bahagian luarnya akan menjadi kering dan sedikit garing daripada biasa - peringatan untuk diri sendiri!




Sunday 10 August 2014

Jom Buat Ban Manis (sweet bun)

As-salam.

Semasa Mak Aji diberi pilihan kursus sebelum berpencen ada kawan yang mengajak untuk mengikuti kelas membuat roti dan kek tetapi oleh sebab Mak Aji kurang berminat Mak Aji mengambil kursus lain. Walau bagaimanapun, setelah benar-benar bersara, Mak Aji mula 'masuk dapur' kembali dan mencuba-cuba untuk menghasilkan kek dan biskut dengan 'bimbingan' Youtube serta FB! Dari FB-lah Mak Aji kenal Golden Republic dan setelah sekali berkunjung ke premisnya Mak Aji berminat untuk hadir kelas bakerinya - Sweet Bun. Mari Mak Aji kongsikan pengalaman pertama kali mengikuti kelas seumpama ini - cukup berharga sekali!:

Percaya tidak, ini hasil tangan Mak Aji dan kawan-kawan yang mengikuti kelas ini! 

Foto di atas merupakan ban yang kami hasilkan sama-sama dengan bimbingan Chef Lie Ismail. Memang laku 'jualan' ban Mak Aji kepada anak menantu di rumah! Aku 'kaya'!! 

Mari kita layan foto semasa kelas tersebut berlangsung:

Maka bermulalah kelas dengan teori terlebih dahulu.

Selesai teori, kami mula membuat doh dan berikut doh yang siap seberat 50gm setiap satunya, yang sudah melalui proses rounding.

Doh yang menjadi asas sweet bun.
 Setelah proses rounding, kami mulakan proses shaping - membentuk doh menjadi pelbagai bentuk:

Berintikan sosej, doh dibentuk sebegini terlebih dahulu.
Seterusnya, dipotong kepada beberapa bahagian (jangan putus).
Kepakkan bahagian-bahagian yang dipotong untuk menghasilkan kelopak.
Tada, sudah siap kelopak bunga bersosej!
 Doh juga diolah menjadi pelbagai bentuk lain seperti berikut:


Ada yang berkelopak, ada yang berderet, ada yang berbentuk buah kana
dan ditabur bijan!

Pakai gelek sahaja doh untuk hasilkan cheese stick atau seumpamanya!
Proses memintal.
Mudah sahaja menghasilkannya.
Cara mencubit doh berintikan kacang merah untuk proses seterusnya.
Doh berintikan kacang merah di buatkan bentuk lingkaran bulat
atau memanjang.
Yang ini dijadikan 3 segi kosong untuk diletakkan topping nanti. 
Yang ini diletak topping bluberi terlebih dahulu.
Bentuk hati sesuai untuk diberi kepada buah hati!!
Masing-masing bersemangat menghasilkan ban.
Ban ini berintikan kelapa dan dibentukkan seperti kipas.
Chef Lie menghasilkan bahan untuk topping untuk ban.

Setelah siap proses shaping dan sebahagian proses dekorasi, ban melalui proses proofing (biarkan doh naik).


Masya-Allah, punyalah cantik apabila doh menaik dan membesar sehingga 3
kali ganda saiz sebelum proofing!!
Lihatlah kelopak yang kembang mekar sehingga 3 kali ganda saiz asal!
Awas jangan sampai jadi kembar Siam!
Setelah proofing itu bermulalah proses akhir sebelum membakar ban, iaitu dekorasi akhir (finishing touches):


Dibuat topping mayonis, sos cili serta keju atau apa-apa sahaja yang sesuai.
Cantik, bukan!

Ban ini ditambah topping kastad pula.
Picit, jangan tak picit.
Hiasan akhir, taburkan crumble di atasnya!
Untuk ban ini pula dibuat topping jenis onion spread
(kalau tak silaplah) dan diletak keju.
Yang ini dibuat seumpama piza mini.
Inio hasil akhir setelah dibuat topping sos piza, mayonis serta
taburan lada benggala, sosej dan keju.
Siap untuk dibakar.
Sebelum dekorasi akhir.
Siap untuk bakar.
Topping jenis onion spread, bawang Holland, mayonis serta keju.
Disapu spread yang dicairkan dan ditabur bijan.
Untuk makluman, doh dihasilkan menggunakan peralatan pengadun, pembahagi doh, serta ketuhar komersial. Ketuhar sahaja harganya 100 ribu, awak! Dapat kita beli sebiji kereta tu! Sekali bakar 500 ban siap! Walau bagaimanapun home baker macam Mak Aji akan hanya memanfaatkan ketuhar sedia ada sahaja. Kalau kurang menjadi barulah boleh fikir-fikir untuk mendapatkan ketuhar yang sesuai untuk meroti ni!

Ketuhar saiz bagak! Kita pun boleh masuk!
Pengadun dan pembahagi doh yang harganya juga
ribuan! (bukan rupiah ya)
Sekali pandang semacam mesin pengering di dobi.
Mak Aji juga ingin kongsikan 4 produk premix Miss Lizzie uantuk kita yang sedikit lazy (Miss Lizzie yang lazy!). Premix ini boleh dimanfaatkan oleh tuan punya BM (breadmaker) untuk menghasilkan roti loar atau ban yang siap berperisa. Ada 4 jenis, iaitu - onion n chives, spicey, fruity dan carrot grain. Kalau sudah punya BM dan roti tidak dibuat-buat juga, apa lagi alasan anda??? Jawab Mak Aji, jawab, he he!!
Memudahkan tuan punya BM!
Proses akhir menghasilkan ban ialah membakarnya. Anda akan tahu prosesnya siap apabila sebiji rumah semerbak dengan aromanya! Yess!! Masa yang ditunggu-tunggu tiba akhirnya! Layan:

Ban yang gebus gebass!









Pada akhir sesi, kesemua peserta tersenyum puas dengan hasil kerja tangan masing-masing. Apa lagi apabila chef memaklumkan yang kami boleh membawa pulang ban tersebut! Apa lagi, jom tapau!!

Berikut foto peserta kelas dengan Chef Lie Ismail:

Terima kasih chef atas bimbingan! Jazakallahu khair!
Jika anda berminat mengikuti kelas atau ingin mengetahui lanjut tentang Golden Republic sila klik pautan berikut:

https://www.facebook.com/GoldenRepublicMalaysia?ref=ts&fref=ts
https://www.facebook.com/GoldenRepublicMalaysia/events
http://ummumadihah898.blogspot.com/2014/07/golden-republic-malaysia-sdn-bhd.html

Semoga kita semua beroleh manfaat dengan perkongsian ini, insya-Allah.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...