Followers

Sunday 20 October 2013

Ustazah Bekeng!

As-salam.

Aleesya, cucu Mak Aji tidak banyak ragamnya dalam perjalanan pergi dan balik ke kampung. Kerjanya tidur sahaja dan cuma bangun bila lapar untuk menagih susu. Cuaca yang agak mendung dan hujan sana-sini dan dalam kereta dengan hawa dinginnya, Aleesya diselimut juga dengan nursing shawl mamanya untuk menahan sejuk. Ini foto comelnya:

Apa tengok-tengok? Cepat ngaji, kalau tidak ustazah rotan!
Si comel ini Mak Aji doakan akan menjadi anak yang soleh, berhijab tentunya dan akan menjadi saham kami di akhirat nanti, insya-Allah!!




Tamu dari Seberang

As-salam.

Tengah hari tadi kawan merangkap saudara sebelah arwah bapa Mak Aji datang berziarah ke rumah bersama-sama anak daranya yang cukup manis sekali. Kami sebenarnya berjumpa secara kebetulan melalui seorang kawan yang juga kawan FB. Setelah bercerita tentang asal-usul, rupa-rupanya kami mempunyai pertalian saudara - bau bacanglah. Kawan ini menetap di Bangkok kerana berkahwin dengan rakyat Thailand dan dia serta anak kembali beraya ke kampung di Pasir Puteh, Kelantan. 

Ros dan anaknya Aya menjamah nasi beriani Restoran Periok
(Rahman Putra, Sungai Buloh).
Bergambar kenangan.
Buah tangan dari seberang, semacam bepang, rempah kari hijau (basah) dan
rempah kari hijau yang siap bersantan (di dalam kotak).

Terima kasih banyak-banyak Ros atas kunjungan dan juga buah tangan. Lain kali datanglah lagi ya!


Friday 18 October 2013

Nasi Goreng Ikan

As-salam.

Mengikut tinjauan yang Mak Aji buat dalam kalangan anak-anak di rumah, mereka paling suka makan nasi goreng ikan berbanding nasi goreng lain. Kebetulan pula lauk ikan goreng pada malam sebelumnya masih berbaki dan ikan bilis pun ada, maka itulah menu yang Mak Aji sediakan sehari sebelum kami balik beraya. Kita lihat dulu rupanya:

Nasi goreng Ikan.

Yang paling biasa Mak Aji letak kangkung sebagai sayurnya selain tomato dan timun sebagai ulamnya. Kalau tiada ikan anda juga boleh menggantikannya dengan ikan bilis yang ditumbuk sedikit tetapi jangan sampai hancur. Oh ya, Mak Aji pernah makan mihun goreng yang menggunakan ikan bilis sebagai rencah, terbukti sedap! Cubalah!


Panas Telinga

As-salam.

Mak Aji sekeluarga baru sahaja kembali dari kampung selepas berhari raya bersama-sama keluarga. Dalam pada seronok berhari raya adalah pulak seorang kawan FB yang memberi komen melampau yang menyebabkan Mak Aji berasa panas telinga. Kalau hilang sabar, mahu sahaja Mak Aji balas balik dengan komen ibarat pukul mati orang yang beri kenyataan itu!! Mahu tahu apa komennya??:

"Jem abih kelate.
 Dok luar negeri lelek lelek, balik. Nya pakak balik wak ggapo nyoh. Pah gak jem gilo lah. Wak susoh ko oghe hok lama ssinih. Serabut weh. Jok takdi lagi tok sapa2 koto baru..."

Orang KL makan jam hari-hari, bukan dua kali setahun tapi tak makan orang tau!
Sumber foto: news.abnxcess.com 

Untuk manfaat mereka yang tidak menguasai loghat Kelantan, ini terjemahannya:

Jam seluruh Kelantan.
Tinggal di negeri luar Kelantan tetapi asyik balik kampung sahaja. Entah apalah sebabnya masing-masing balik kampung. Sudahnya jam teruklah. Menyusahkan orang yang sudah lama tinggal di Kelantan. Kepala berserabut. Sejak tadi lagi belum sampai-sampai lagi ke Kota Bharu ...

Amacam, tidak ke pedas komen tersebut?? Sebenarnya tukang komen itu sudah beberapa tahun bersara pilihan dan balik kampung untuk membuka perniagaan di Kota Bharu. Dia pun berpuluh tahun juga merantau di KL bekerja mencari rezeki dan Mak Aji yakin saban tahun juga balik kampung untuk menziarah keluarga! Sudah lupa ke?????? Mentang-mentanglah sudah menetap Kelantan! Inilah Melayu yang memang sangat mudah lupa!

Rakyat Kelantan tidak akan balik kampung, meredah beratus-ratus kilometer secara suka-suka sahaja. Balik kampung perlu duit, perlu cuti, perlu kederat untuk memandu dan macam-macam lagi. Semuanya itu demi menyambung silaturrahim dengan keluarga, menjenguk ibu-bapa (yang entah bila akan pergi meninggalkan kita untuk selama-lamanya) serta saudara mara di kampung, dan maaflah, bukan semata-mata untuk menyusahkan orang kampung, tau!! Kami balik pun paling-paling  dua kali sahaja setahun, itu pun anda mahu berkira ke? Kami di KL hari-hari jalan sesak tahu!

Malaslah hendak cakap lebih lagi, setakat lepaskan steam di sini dan setakat itu cukuplah! Lain kali kalau mahu beri komen biarlah berhemah sedikit sebab akibatnya ramai yang hati mereka terguris dek komen anda! Sendiri mau ingat!





Thursday 17 October 2013

Meniarap Sudah

As-salam.

Cucu Mak Aji, Aleesya mula meniarap semasa usianya dua bulan setengah. Sekali sahaja meniarap dia terus diam, tidak meniarap lagi!

Ketika berada di kampung tempoh hari dia menunjukkan kemahiran barunya itu buat kali keduanya!:

Sibuk melihat corak pada tilam.
My trojan girl!

Kalau orang lain perlu letakkan gel rambut untuk menghasilkan rambut trojan, si Aleesya perlu letak gel untuk merebahkan rambutnya!




Hormatlah Sedikit Bahasa Kita!

As-salam.

Kami menunaikan solat aidiladha di masjid besar Kubang Kerian. Jemaah cukup ramai sekali dan suasana cukup meriah. Selesai solat, khutbah raya dibacakan. Selepas selesai khutbah dalam bahasa Melayu, Mak Aji agak terkejut sebab khutbah tersebut dibaca pula dalam versi bahasa Inggeris! Dalam pada Mak Aji memaksa diri memahamkan benda butir yang disebut (agak penat sekali usaha untuk faham benda butir yang disebut sebab sebutannya memang pelik sekali ketidakinggerisannya!) 



Setelah penat mendengar kerana tidak faham (kecuali you sekali-sekala), Mak Aji pekakkan telinga sahaja. Kemudian barulah Mak Aji perasan akan kehadiran beberapa orang jemaah wanita berbangsa asing. Setelah selesai khutbah dan semua jemaah bersurai kelihatanlah sekumpulan jemaah berbangsa asing sibuk merakam foto di hadapan masjid. Patutlah, rupa-rupanya khutbah dibaca dalam bahasa Inggeris untuk manfaat mereka! Anda ingat apabila berada di negara asing mereka akan berbuat yang sama apabila melihat ada muka kita (dengan hidung kita semacam pelepah nyiur mambar tu - kemeklah tu, he he!) dan terus baca versi Melayu??

Mak Aji cukup hairan mengapa bangsa kita ini terlalu accomodating apabila berhadapan dengan situasi begitu - kalau ada sahaja - walaupun seorang! - yang berbangsa asing dalam kalangan kita, terus sahaja kita menggunakan bahasa Inggeris! Ketahuilah bahawa di negara asing mereka tidak hairan mahupun pedulikan kita! Sebaliknya apabila kita di negara asing, kitalah yang kena berusaha mempelajari bahasa mereka - mereka berbangga dengan bahasa mereka, bukan macam sebahagian orang kita yang cukup berbangga apabila mampu berbahasa asing!! 

Malulah sedikit, bukankah sekarang berlangsungnya Bulan Bahasa Kebangsaan, setidak-tidaknya janganlah berbuat begitu sepanjang bulan ini! Kalau kita sendiri tiada rasa sayang akan bahasa kita, pada siapalah lagi kita bergantung harap untuk memartabatkannya???? Tepuk dada tanya selera!

Sekian leteran untuk petang ini.......




Menjamu Tekak dan Mata

As-salam.

Setiap kali balik kampung, apa lagi, makan ajalah kerjanya! Apa yang tiada atau susah dicari di KL, itulah yang dituju semasa di kampung. Anak-anak menantu juga selain makan mengambil peluang ke pasar Wakaf Che Yeh dan juga ke Rantau Panjang untuk sesi menjamu mata dan sedikit beli-belah. Tidak ketinggalan juga mereka sempat ke Kuala Besut serta Tok Bali untuk sesi menjamu selera:

Pulut ikan bakar - sedap!!
Boy, Hanif dan Nadia menunggu makan.
Mida dan Pak Aji di belakang sibuk memilih ikan untuk dibuat ikan bakar!


Aleesya dan Mia

As-salam.

Cucu saudara Mak Aji, Mia serta ibu-bapanya juga balik kampung untuk raya. Jadi, apa lagi, kami sibuk merakam foto Mia dan Aleesya serta membanding-banding saiz, juga gelagat mereka!

Aleesya dan Mia! Aleesya 3 bulam manakala Mia empat bulan usianya!
Mata Mia bergenang air mata, memang manja anak dara ni!
Aleesya selamba aja, dok asyik main tangan.



Perjalanan 12 Jam Berkereta!

As-salam.

Selamat hari raya aidiladha semua!

Kami baru kembali dari kampung dan kami tiba ke rumah pada jam 11.30 malam tadi. Perjalanan bermula dari Wakaf Che Yeh sekitar jam 11.00 pagi semalam! Percayalah, perjalanan yang cukup panjang!!!

Alhamdulillah Aleesya tidak meragam sepanjang perjalanan!
Kami bertolak ke kampung pada pagi Sabtu lepas dan kami menyusuri Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan sempat menyinggah di Pantai Penarik untuk pekena keropok lekor dan juga ikan serta sotong celup tepung (cicah dengan sos cili) - sedap hingga menjilat jari! Setelah cukup kenyang baru kami meneruskan perjalanan ke kampung Pak Aji di Jerteh. Selesai makan malam kami ke rumah Cik Ning di Pasir Tumboh, Kota Bharu untuk bermalam di situ. 

Kami balik kampung dengan tujuan utama memperkenalkan menantu baru kami, Mida kepada sanak saudara yang sebahagiannya tidak dapat hadir majlis kenduri kahwin selepas raya puasa tempoh hari. Mida juga kebetulannya belum pernah ke Kelantan. 

Perjalanan sepanjang balik kampung, sepanjang berada di sana serta perjalanan balik cukup menduga kekuatan fizikal kami semua - cukup meletihkan, namun cukup menggembirakan!

Puas kami makan daging korban dan puas juga kami berziarah sanak saudara demi menjaga hubungan silaturrahim antara kami semua, alhamdulillah!



Chocolate Indulgence Versi Kami

As-salam.

Kek raya kami dibuat oleh anak buah Mak Aji, Dada berdasarkan kek dari FB. Keknya kek coklat dengan hiasan yang cukup cantik, cuma makan tidaklah boleh banyak sebab banyak manis!!:

Sedap keknya Da!!
Apapun, seperti biasa setelah terlalu banyak melayan tekak sepanjang berada di kampung, bila sudah balik ke rumah, kenalah kami menahan sedikit selera makan! 


Friday 11 October 2013

Defensive Driving

As-salam.

Mak Aji ini sebenarnya mahu berleter sedikit. Sesiapa yang tahan telinga dengarlah ya.

Semenjak dua menjak ini Mak Aji lihat dan dengar tentang terlalu banyak sangat kemalangan jalan raya sehinggakan kalau Pak Aji memandu Mak Aji asyik brek angin sahaja! Bukan apa, kadangkala kita sebagai pemandu (terutamanya lelakilah! - dah mula attack, dah!) tidak mengamalkan defensive driving (DD).  

Mak Aji tidaklah tahu definisi sebenar (malas pun nak cari) DD ini tetapi kalau setakat yang Mak Aji fahamlah, DD ini ialah cara memandu yang bijak agar kita mengelak daripada berlakunya apa-apa sahaja jenis kemalangan/kecelakaan di jalan raya, tanpa mengira sama ada kita terpaksa mengalah apabila bertembung dengan pembuli di jalan raya atau sebagainya. Walaupun kita ada right of way, tetapi kalau ada pula pemandu lain yang jenis sakit perut dan tidak boleh tahan lagi untuk masuk tandas, kita beri sahajalah dia jalan dulu! Kita tidak payahlah susah payah menjadi polis tidak bergaji dan menahan orang lain daripada memandu 200 km sejam di lane laju! 

Kita juga tidak payahlah berkeras mempertahankan hak kita di jalan kalau ada pemandu lain yang cuba mencabuli hak kita. Tidak usahlah kita mencari pasal - kalau dia bawa keluar kayu hoki atau parang dari dalam kereta, tak ke naya!! 

Sentiasalah cool di jalan raya walaupun semasa kesesakan lalu-lintas. Berzikirlah banyak-banyak, itu lebih baik daripada memasang entah apa-apalah lagu yang gedegung gedegang yang bagai nak pecah anak telinga! Hati kita akan lebih tenang, pahala pun insya-Allah dapat!

Apapun sebelum Mak Aji berhenti berleter, kita tengokkan apa definisi DD yang disediakan oleh Wikipedia:

The standard Safe Practices for Motor Vehicle Operations, ANSI/ASSE Z15.1, defines defensive driving as "driving to save lives, time, and money, in spite of the conditions around you and the actions of others."[1] This definition is taken from the National Safety Council's Defensive Driving Course. It is a form of training for motor vehicle drivers that goes beyond mastery of the rules of the road and the basic mechanics of driving. Its aim is to reduce the risk of collision by anticipating dangerous situations, despite adverse conditions or the mistakes of others. This can be achieved through adherence to a variety of general rules, as well as the practice of specific driving techniques.

Amacam, ada faham, marilah kita amalkannya (kata malas nak rujuk, rujuk juga ya, he he!!)

Mari kita amalkan pemanduan berhemah!!
sumber foto: www.reddit.com


Mabuk Beriani

As-salam.

Pagi semalam Mak Aji ke KL, mengekor Pak Aji untuk membeli rempah beriani di Plaza City One bersebelahan Semua House di Jalan Bunus. Insya-Allah kami akan bertolak balik beraya di kampung pada pagi esok, jadi rempah kami beli untuk kakak sulung Mak Aji, Cik Ning. Mak Aji ada menyebut pada dia yang kami ada memasak beriani menggunakan rempah itu dan rasanya sedap, jadi kami belikanlah untuk dia sekali. 

Kalaulah sebelum ini (zaman kerja dan ketika muda-muda dahulu), kalau ke Jalan TAR, tiada lainlah yang dicari selain kain baju, tudung dan yang sewaktu dengannya, maka kali ini lain pula halnya! Tujuan kami, rempah beriani! Sebenarnya kawan Pak Aji yang memaklumkan kepada Pak Aji akan hal ini. Kawannya kalau setiap kali ke KL (dari KB), dia akan membeli rempah beriani bernilai sekitar RM500! Dia bukan sedikit punya berani, banyak berani tu!!

Mahu lihat apa yang kami beli?:

Serba macam rempah ada, beriani ayam, kambing, daging,
yang siap pek elok-elok ada, yang dipek secara loose pun ada.
Mak dengan bapa sahaja yang tiada! 
Ini pula desert yang diberi percuma setelah banyak barang yang dibeli!

Berikut pula rempah beriani jenama Shan yang kami beli pada awalnya. Rupa-rupanya ada lagi jenama lain, juga keluaran Pakistan.  

Rempah beriani Shan yang terbukti memang sedap. Kami sudah mencubanya
beberapa kali!

Kalau anda teringin untuk mencuba rempah-rempah yang Mak Aji tunjuk tadi, kalau lapang singgahlah ke Plaza City One, sebelah Semua House dan masuk sampai ke belakang, ada satu kedai yang chockfull with pelbagai rempah seperti yang Mak Aji tunjuk (beras Basmathi yang panjang-panjang pun ada!). Apa lagi kalau anda hantu beriani, jom!!

Ini dia Plaza City One.
Sumber foto: www.streetdirectory.com.my



Thursday 3 October 2013

Tidak Tewas Dek Jarum!

As-salam.

Pada hari ini genaplah usia cucuku Aleesya tiga bulan dan kebetulan pula pada pagi ini Mak Aji ke klinik untuk temu janjinya bagi mendapatkan suntikan terjadual. Kalau sebulan lepas Aleesya tidur sahaja sepanjang kami berada di klinik, pada kali ini Aleesya juga good girl dan tidak meragam walaupun di keliling kami ada bayi yang asyik merengek, budak-budak berlari sana-sini dan suasana agak sibuk dek ramainya hadir untuk temu janji. 

Apapun, Mak Aji sudah siang-siang lagi ingatkan Pak Aji agar membawa stroller Aleesya sekali sebab Mak Aji tidak larat mendukung dia sepanjang separuh hari (memang lama weh menunggu!) di klinik. Alhamdulillah pada kali ini legalah bahu Mak Aji sebab hampir sepanjang masa Aleesya di dalam strollernya.  

Berat Aleesya pada hari ini (tanpa seurat benang! - pampers pun disuruh tanggalkan, nasib baik tiada accident!) 6.2 kg - mana larat nak didukung lama-lama, mengalahkan kampit beras 5 kg!! 

Lihatlah si Aleesya sebelum disuntik:

Tengok apa tu Yang??
Nampak tidak rambut trojanku yang terpacak dan enggan rebah??
Gelak diagah Tokbahnya!

Yang agak mengejutkan Mak Aji, apabila jururawat memberi suntikan hinggalah selesai, Aleesya terus selamba tanpa menangis sedikit pun!! Wah, hebat betul anak dara kecil ini! - tidak tewas dek jarum!! Cayalah Aleesya, cool aje!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...