Followers

Tuesday 28 January 2014

Pembantu Dapur Warga Amerika


As-salam.

Sepanjang Mak Aji bekerja dahulu, entah berapa ramai pembantu rumah yang Mak Aji gunakan khidmat mereka. Asal-usul mereka juga pelbagai. Ada yang warga tempatan, berasal dari kampung Mak Aji, ada warga Thailand dan ada juga warga Indonesia. Bilangan mereka, Mak Aji sudah tidak terkira banyaknya. 

Apabila anak bongsu Mak Aji mula masuk sekolah rendah dan dek kerana masalah besar dengan pembantu rumah warga Thailand, Mak Aji membuat keputusan untuk tidak lagi menggunakan khidmat mereka yang tinggal bersama-sama di rumah. Sebaliknya mendapatkan pembantu rumah warga Indonesia yang datang pagi dan balik ke rumahnya petang, sebaik sahaja Mak Aji pulang kerja.

Pada petang ini pula Mak Aji dapat pula pembantu dapur yang baru warga Amerika! Beberapa bulan juga Mak Aji tunggu dia, al-maklumlah nun jauh dari Amerika, he he!!

Perkenalkan, pembantu dapur Mak Aji yang baru!
Model yang ini ada pendakap mangkuknya.
Ini pula penterjemahnya, sementara pembantu rumah ini belum
belajar cakap Melayu, he he!!

Anak Mak Aji pula menghadiahi transformer (penterjemah dalam foto kedua itu la!). Warga import ini perlu menggunakan transformer seperti juga satu lagi warga Amerika di rumah ni - treadmill jenama Reebok. Bolehlah mereka berkawan dan berkomunikasi dengan bahasa Inggeris Amerika ya!


Catatan: Transformer ini bukanlah transformer macam dalam wayang tu ya! Sebaliknya transformer ini diperlukan untuk menyelaraskan penggunaan elektrik - barangan elektrik dari luar negara hanya menggunakan sedikit kuasa elektrik berbandi barangan elektrik keluaran negara kita - jadi perlu ada penyelaras. Inilah dia penyelerasnya.



Monday 27 January 2014

Aleesya Lagi

As-salam.

Harap pembaca jangan jemulah ya! Asyik-asyik muat naik foto cucu dia saja! Apakan daya nenek ini memang suka melayan karenah anak dara kecil ini. Cukup seronok kami merakam fotonya! Berikut foto yang dirakam pada hari minggu:




Aleesya sudah enam bulan lebih usianya. Pantang melihat orang makan, semuanya mahu dimakannya juga. Gigi bawahnya baru tumbuh dua batang dan dek kerana itulah agaknya dia suka main bibir bawahnya - terasa pelik akan kehadiran giginya agaknya.

Semalam dia sibuk menarik-narik tudung pappunya (menantu Mak Aji - mak cik Aleesya), lantas disarunga terus tudung tersebut. Maka terhasillah foto-foto di atas!

Moga tudung insya-Allah akan terus menghiasi dirimu ketika besar nanti dan Tokma doakan Aleesya menjadi anak yang solehah, amin!!



Friday 24 January 2014

Didera Pemandu Bas

As-salam.

Pada hujung minggu lepas Mak Aji berpeluang ke JB (dengan tepatnya Skudai) untuk menziarah anak cucu. Pada awalnya Mak Aji merancang untuk berkereta tetapi apabila Pak Aji enggan pergi kerana kurang sihat, maka Mak Aji dan Madihah hanya menaiki bas - lebih menjimatkan kos! 

Sebelum membeli tiket secara atas talian, Mak Aji membandingkan dahulu harga tiket AirAsia, Firefly, dan juga KTM. Kalau naik pesawat berdua dengan harga tiket biasa jumlah kosnya boleh tahanlah juga. Tiket KTM kelas pertama oklah juga harganya, cuma tempoh perjalanan terlalu panjang, risau kalau elok sampai sahaja, lembik kami! Penyudahnya kami naiki Airbuslah sahaja!

Bas kami terlewat sampai ke stesen bas Shah Alam (seksyen 17) kerana kesesakan lalu lintas - hari Thaipusam. Basnya Transnasional - Mak Aji pilih syarikat ini sebab biasanya pemandu syarikat ini memandu secara berhemah, tidak laju (pengalaman lepaslah). Walaupun begitu, kali ini bas kami agak lama - naik sahaja bas ada bau hapak! Tuala kecil pemandu juga elok sahaja tergantung di kerusi paling hadapan sebelah kiri! Kami pula duduk di kerusi kedua dari hadapan di kanan! Apapun alhamdulillah kami selamat sampai ke JB.

Along, anak Mak Aji datang menjemput kami di tol Skudai dan kami terus ke Bandar Baru Uda untuk pekena nasi beriani di MS Beriani. Nasib tidak menyebelahi sebab restoran tutup - lupa kami yang mereka tutup pada hari Jumaat! Kami langsung ke Taman Universiti untuk makan nasi mandy di sebuah restoran Arab yang agak baru dibuka - boleh tahan sedapnya! 

Mak Aji ke JB untuk membawa anak dara Mak Aji, Madihah untuk berjumpa kakak serta anak-anak buahnya. Perlulah Mak Aji layan sebab dia balik bercuti sekejap sahaja. Bulan puasa nanti barulah dia balik lagi sempena cuti panjang selama sebulan puasa hinggalah sekitar seminggu selepas raya puasa.

Seperti biasa, kalau ke JB, kacang pool di medan selera Plaza Larkin menjadi destinasi utama selain JPO - layan mata sahajalah! Oh ya Mak Aji kalau ke JPO paling suka ke Akemiuchi - kalau di KL Mak Aji tidak menjeling pun cadar jenama Akemi tetapi di JPO bolehlah sebab harganya jauh lebih murah. Cuba lihat apa yang Mak Aji beli:

Harga tidak sampai pun RM60 ringgit (harga asal RM259!). 
 Alang-alang harga yang sebegitu Mak Aji belilah stok untuk hadiah kahwin dan juga untuk kegunaan sendiri - memang berbaloi!

Mak Aji juga (macam lupa yang dia naik bas tu, kata Along!!) selain sekotak cadar (kotak tidaklah sebesar manapun), membawa balik barang lain:

Penyapu dan bantal!

Along hadiahkan penyapu berkuasa bateri! Kalau orang politik marah apabila dihadiahi penyapu, Mak Aji suka pulak! Bantal itu pula dibeli dengan menebus baucar RM50 yang dihadiahkan oleh menantu Mak Aji dan bakinya dibayar oleh Along - he he, sukanya dapat bantal percuma! 

Dalam seronok membawa pulang macam-macam, pengalaman naik bas balik ke KL agak merimaskan! Punyalah nasib kami kurang baik, bas lama yang hapak yang dinaiki ke JB itulah juga yang kami naiki untuk balik ke KL (talk about bad luck!). Pemandunya pula aduhai, punyalah kalau masih budak mahu sahaja Mak Aji sental mulutnya dengan berus! Sepanjang memandu ke KL kata-kata seperti j*h*n*m, dan macam-macam lagi yang keluar dari mulutnya! Madihah kata - "rasa nak turun aje dari bas ni!" Dek kerana sepanjang berjam-jam didera dek pemandu bas itu, keesokan paginya seawal Subuh Mak Aji diserang migraine teruk! (nampak gaya bantal mahal pun tidak mampu menahan sakit dek stress tu). Mak Aji terpaksa dibawa ke klinik untuk suntikan tahan sakit! Lain kali kena naik bas, kenalah cari bas yang eksekutiflah pulak! Aduhai nasib badan! Kasihan kami semua penumpang bas tersebut! 



Tuesday 21 January 2014

Keletung Keletang Lagi

As-salam.

Sambil Mak Aji leka dengan blog, Pak Aji pula sibuk di porch dengan bunyi keletung keletangnya. Entah apalah lagi yang dikerjakannya itu! Sesudah berhenti bunyi keletung keletang rupa-rupanya inilah hasilnya:

Tempat letak buku! 
Selang sehari dua selepas itu, tempat letak buku yang di atas kanan diubah suai lagi menjadi seperti berikut pula:

Tempat letak buku berserta meja kecilnya sekali!

Kata Pak Aji meja ini belum siap dengan sempurna lagi, masih perlu dicat putih dan diletak roda lagi agar boleh ditolak tarik! Tunggukan foto seterusnya ya!

Ini dia reka bentuk yang sempurna dan muktamad!
Apa macam, cantik tak??

Sebenarnya bahan mentah untuk membuat kedua-dua hasil ini ialah tempat letak al-Quran besar yang pernah dibuatnya beberapa tahun lalu:

Tempat letak al-Quran besar.
Pak Aji meleraikan tempat letak Quran itu lalu menjadikannya dua seperti foto paling atas. Idea membuat tempat letak buku ini diperoleh semasa di Masjidil Aqsa tempoh hari Rupa-rupanya Pak Aji leka memerhati kumpulan beberapa orang berusia yang sebaik sahaja masuk ke masjid, solat tahiyatul masjid dan terus duduk membaca al-Quran menggunakan tempat yang sebegini!  Sejak itulah Pak Aji menyimpan niat untuk membikinnya sendiri! Sekarang dia boleh duduk di kerusinya dan meletak buku/kitabnya tanpa perlu memegangnya lagi (kecuali membelek halaman, tentunya). Bolehlah dia membaca dengan lebih lama tanpa lenguh. 

Mak Aji minta dia buatkan satu untuk Mak Aji. Katanya boleh tetapi dengan syarat Mak Aji kena peruntukkan masa beberapa jam untuk membaca setiap hari! Mak Aji juga minta dia belikan satu kerusi selesa untuk tujuan itu - boleh katanya (dengan syarat awalnya dipenuhi!) Mak Aji sudah boleh bayangkan kerusi macam mana yang Mak Aji mahukan! Tentunya yang bersifat feminin (Pak Aji punya yang maskulin). Oh ya, Mak Aji punya tempat letak buku kena cat putih juga, kan!? 



Monday 13 January 2014

Apa yang Menarik di Jepun?

 As-salam.

Kakak sulung Mak Aji baru balik dari Jepun bersama-sama suami dan dua anak bujangnya. Seronok juga mendengar cerita daripada mereka tentang pengalaman mereka sepanjang di sana. 

Kita sering dengar orang mahu ke Jepun untuk ke Tokyo Disneyland, untuk melihat Gunung Fuji serta lain-lainnya. Kakak Mak Aji banyaklah melawat tempat-tempat menarik termasuklah ke Gunung Fuji.  Mak Aji tidak mahu berita panjang tentang tempat-tempat istimewa di sana tetapi perkara lain yang jarang disebut oleh pengunjung ke sana. Mak Aji ingin kongsikan beberapa foto yang mereka bawa balik:

Apa yang luar biasa dengan foto ini???
Jika anda perhati betul-betul anda akan melihat dua kotak kertas yang di panjang di tengah dan kanan foto. Cuba teka apa yang di dalam kotak itu! Ada orang tidur di dalamnya! Orang yang tidak berumah!! (homeless) Betapalah kemas dan bersihnya orang Jepun sehinggakan orang tanpa rumah pun masih kemas kotak/tempat tidurnya itu! Foto ini dirakam di tepi jalan di kota Tokyo.

Inilah dia bilik mandi terbuka (common bath) di hotel tempat kakak Mak Aji
sekeluarga menginap! Mereka bernasib baik kerana bilik mereka
mempunyai bilik airnya sendiri! 
Kata mereka, bilik air ini untuk lelaki dan juga wanita dan mereka mandi tanpa memakai apa-apa! Nanti dahulu jangan terlopong mulut anda! Waktu untuk wanita dan lelaki mandi berbeza - ada jadual waktunya! Apa macam, boleh anda mandi di sini??? Ada berani? Masuk kandang kambing kena mengembek tau!

Cuba anda teka kenderaan apakah ini!
Inilah dia lori sampah yang bersih berkilat! Cuba bandingkan rupa lori sampah kita! Semacam bumi dengan langit, bukan!

PAS pun mendapat sambutan di Jepun!
Siapa kata PAS hanya ada di Malaysia? Foto di atas membuktikan kenyataan yang sebaliknya!! Ini dia basikal Yamaha PAS!

Sekadar tambahan kepada foto-foto di atas, ingin Mak Aji menambah kata - untuk pengetahuan anda, restoran di kota Tokyo sememangnya bersaiz kecil sehimggakan pelanggan terpaksa beratur di luarnya menunggu giliran untuk masuk. Berdasarkan pemerhatian Mak Aji sendiri restoran biasa hanya mampu memuatkan beberapa orang sahaja sekali makan. Jadi yang selebihnya beraturlah di luar restoran! Yang Mak Aji lihat itu restoran yang menjual sushi. Sebuah lagi restoran Pakistan yang pernah Mak Aji masuk pula hanya boleh memuatkan sekitar 4 biji meja makan sahaja dengan 4 kerusi setiap satu meja. Cenonet amat saiznya!

Mereka beratur untuk masuk makan sushi rasanya!
Foto di atas ini sebenarnya foto yang Mak Aji rakam semasa ke Tokyo pada akhir tahun 2002 atas urusan kerja.

Jom layan lagi beberapa foto lain semasa Mak Aji di Tokyo ketika musim luruh:

Daun tengah menguning. Di luar pejabat ACCU, tempat berlangsungnya mesyuarat.
Pantang nampak bunga nak bergambar!
Ini kedai bunga di lobi hotel.
Keluar pintu hadapan rumah dan  jalan selangkah dua sudah
pijak jalan raya! Ini salah satu rumah orang Jepun di Tokyo.
Kedai bunga lagi, he he! Malu sendiri.
Tumpang semangkuk! Kereta di hadapan hotel.
Bersama Ibu Amien dari Jakarta. Jalan-jalan cari buah tangan.
Ibu Amien dan Azra dari Maldives.
Ada kawan kirim kimono, mak aaii, mahal bagai apa weh. Yang murah sedikit
yukata, maka itulah yang dibeli.
Jumpa minah Jepun yang jalannya terkepit-kepit
kerana  pakai kimono!
Window shopping - baju apa entah?
Jalan nak masuk ke subway. Maaf ya, foto bullet train hilang entah ke mana!
Di sebuah restoran Jepun.
Apabila Mak Aji ke sana atas urusan kerja, maka tentunya ada foto kerja dan yang berkaitan kerja:


Dengan sebahagian wakil negara lain.
Dengan seorang lagi ahli mesyuarat dari Jepun.




Dengan seorang pakar kanak-kanak yang begitu
kreatif menghasilkan origami!
Dengan pegawai dari ACCU.
Sebagai wakil institusi dari Malaysia.
Duduk di sebelah Azra sepanjang mesyuarat.

Untuk pengetahuan, Mak Aji berada di sana ketika hujung bulan puasa - ketika menyanggup untuk pergi tidak pula Mak Aji perasan! Mak Aji baru perasan apabila segala persiapan sudah dibuat, apakan daya, teruskanlah juga. Pada tahun itu jugalah berlakunya tragedi 11 September - nasib baiklah ke Jepun, kalau ke Amerika Syarikat alamat takut juga kalau-kalau dicap pengganas!

Yang bagusnya (menitis juga air mata!) pada ketika keluarga di Malaysia sedang solat raya Aidiladha, Mak Aji bersiap untuk pulang. Mak Aji sempat menelefon sebelum bertolak ke Lapangan Terbang Narita. Ketika itu Pak Aji sudah pun berada di kampung bersama-sama anak-anak! Sedihnya!

Dalam pesawat, sedang Mak Aji leka melayan rasa sayu di pagi raya sambil makan mi Jepun yang berwarna hijau tu yang disiram kicap cair, Mak Aji disapa seorang pramugara yang tersenyum - "Selamat hari raya puan! Sama-samalah kita beraya di sinilah ya!" Lega sedikit rasa hati sebab sekurang-kurangnya adalah kawan yang senasib!

Sampai sahaja Mak Aji di KLIA, Mak Aji mendaftar masuk ke hotel di KLIA sementara menunggu  penerbangan ke Kota Bharu awal pagi esoknya. Masuk sahaja ke bilik Mak Aji terus pasang TV untuk mendengar takbir raya. Sampailah ke malamnya tiada sekalipun kedengaran takbir. Bertambah lagi sedih di hati!

Setelah tiba di Kota Bharu Mak Aji dimaklumkan pula oleh Pak Aji yang dia tidak membawa balik beg baju Mak Aji - terasa ringan (dia ingat kosong!) katanya, lalu tidaklah dibawa balik kampung! Mak Aji pula ada satu beg penuh baju kotor! Terpaksalah Mak Aji beraya dengan baju pinjam, termasuklah beg tangannya sekali! Ada kenduri kahwin pulak tu sepanjang cuti raya tu! Haru betul!

Setiap kali orang sebut Jepun, setiap kali itulah Mak Aji ingat pengalaman ini!


Monday 6 January 2014

Masak Kek dalam Periuk Nasi

As-salam.

Pernahkah anda perasan yang anda boleh masak kek menggunakan periuk nasi? Maksud Mak Aji bukanlah periuk nasi Panasonic atau jenama lain yang biasa tu, tetapi periuk nasi yang 'cerdik' sedikit tu! Semasa membelinya dahulu tidaklah kami perasan 'kecerdikan'nya itu, apabila sudah mula menggunakannya barulah perasan - selama ini masak nasi biasa dan masak pulut sahaja - (tuannya pun agak kurang cerdik sebab tidak baca habis manualnya! - manualnya pun sudah campak entah ke mana??) 

Berikut periuk nasi Mak Aji yang Mak Aji cuba buat kek kopi. Mari kita lihat:

Ini dia periuk nasi cerdik Mak Aji!
Macam parut cacar air je, kan!
Walau berparut kulitmu, namun rasamu tetap sedap!
Hasilnya, kek kopi yang gebus gebas!!
Resepi kek kopi:

250gm mentega
220gm tepung naik sendiri
200gm gula kaster
5 biji telur gred A
1 sudu besar coffee emulco
1 sudu teh esen vanila

Cara:

Pukul mentega dengan gula hingga lembut. Masukkan telur dan tepung secara selang seli sehingga habis. Masukkan esen vanila dan coffe emulco. Masukkan ke dalam periuk nasi dan ikut arahan pada periuk nasi anda. Insya-Allah menjadi! 




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...