Followers

Sunday 30 September 2012

Cop Cop Cop!!

As-salam.

Cop cop cop!! Mak Aji sepatutnya memasukkan entri ini pada awal hari ini atau pada malam tadi sebelum menghantar notis bercuti! Sebelum terlupa Mak Aji hendak kongsi maklumat tentang restoran Arab yang lokasinya berhadapan dengan Giant Sunway Damansara.  Malam tadi kami ke sana dalam perjalanan pulang dari The Curve untuk mencari beg baju yang baju untuk Pak Aji. Nanti Mak Aji kongsikan tentang cerita itu pada entri lain. 

Mari kita lihat nasi mandy kambing yang Mak Aji pesan dan ayam panggang (separuh) yang Pak Aji pesan:

Ini nama kedainya, Nasi Arab Taif.
Nasi mandy kambing dengan sos tomato, sup dan acar sayuran
serta ayam panggang. 
Ini paha kambing yang sungguh lembut dan juicy!!
Kalau dibesarkan foto ini pasti kecur air liur!!!
Ayam panggang yang dimakan dengan roti (juga boleh dengan nasi).

Harga nasi mandy kambing RM20.00 manakala ayam panggang (separuh) pula RM17.00. Bil keseluruhan dengan minuman, RM41.00. 

Kesimpulan: Nasi mandynya dari segi rasa sedikit kurang berbanding di Rawsya (di sini warnanya coklat) manakala rasa kambingnya lebih sedap di sini. Cuma Mak Aji terkilan kerana laban (susu)nya yang dimakan bersama-sama nasi sudah habis. Jika malas untuk memandu sampai ke Kampung Pandan untuk makan di Rawsya, di sini pun bolehlah juga! Boleh jimat minyak dan tol, juga masa!



Cuti Seminggu

As-salam.

Awal pagi esok Pak Aji serta guru dan kawan-kawannya seramai sekitar 13 orang akan bertolak ke Yaman. Jadi lebih kurang jam 11.00 malam ini kami akan bertolak ke KLIA untuk menghantar mereka. Dengan ketiadaan Pak Aji, Mak Aji pula akan bertolak ke Johor Bahru untuk menziarah anak cucu di Skudai selama tempoh tersebut.    

Dengan yang demikian, Mak Aji akan bercuti selama seminggu. Akan bersiaran sekiranya berpeluang - belum tahu lagi!! Sehingga itu, ta ta!! 

Puding Trifel

As-salam.

Hari ini Mak Aji mencuba untuk membuat puding trifel. Resipi Cik Ning entah dimana Mak Aji simpan, jadi Mak Aji pakai sahaja resipi Dari Dapur Kecah di sini

Untuk resipi ini Mak Aji gunakan serbuk jeli berjenama Nona dan kek butter berperisa lemon yang dibuat terdahulu. Kaserol yang Mak Aji gunakan sedikit cetek, jadi lapisan jelinya agak nipis sedikit. Lain kali kena gunakan dua kaserol yang saiznya lebih kecil:


Puding trifel.

Jom makan!



Saturday 29 September 2012

Belanjawan 2013

As-salam.

Seperti juga tahun-tahun sebelum ini, Mak Aji tiadalah beria-ia sangat untuk mendengar sepenuhnya pembentangan belanjawan oleh PM. Sebagai kakitangan badan berkanun sebelum ini, seperti orang lain juga, berita yang paling penting - ada bonus atau tiada, kalau ada sebanyak mana? Hal-hal lain pula tidak banyak menyangkut kami (ketika itulah). 

Seperti biasa (save the best for last), berita tentang bonus atau tidak bonus dikhabarkan pada penghujung pembentangan, jadi kalau mereka ang bekerja, sempat sampai ke rumahlah dahulu. Suatu perkara yang Mak Aji kurang senang - pembentangan biasanya bermula selepas solat Jumaat dan berakhir agak lewat - kalau tidak keluar dari Dewan awal-awal, alamat hanguslah solat Asar ya?? Mak Aji perasan Pak Lah keluar dari Dewan sekitar jam 6.00 petang semalam - pergi solat Asar, agaknyalah tu! Yang lain-lainnya bagaimana?? Jangan sampai syok sangat sampai terus hangus sudahlah!!  

PM semasa pembentangan.

Sementara kakitangan kerajaan bersorak mendapat bonus satu setengah bulan, kami pesara akan hanya mendapat RM500 sahaja - apapun alhamdulillahlah juga - sudah duduk di rumah dan tidak lagi menymbang, itu pun sudah cukup baik!! Adakah kenaikan 2% pencen untuk pesara seperti yang dijanjikan dalam belanjawan 2012 masih sah?? Harap-harap masih sahlah ya!!? Jangan tidak pulak! 




Friday 28 September 2012

Product Testing - Revolutionary Mop

As-salam.

Revolutionary Mop yang baru Mak Aji peroleh daripada Stardeal sudah diuji dan didapati menepati apa yang diwar-warkan di dalam iklannya di sini.  Leher  mop boleh dibentuk-bentuk/'patah-patah'kan agar boleh menyusup masuk ke bawah almari, bawah meja dan sebagainya! Sekarang tidaklah perlu lagi menggunakan tenaga untuk menekan-nekan batang mop ke tempat jaringnya untuk memerah airnya. Setakat ini Mak Aji berpuas hati dengannya. Harap-harap lantai Mak Aji akan lebih kerap dimoplah selepas ini ya, insya-Allah!! 

Baru sekejap ini Mak Aji lihat, harga mop sudah kembali ke harga asal, RM168.00. Harga yang Mak Aji sempat beli, RM68 dengan diskaun 57%!!



Sesekali Turun ke KL

As-salam.

Pagi ini untuk sesekalinya kami turun ke KL selepas pekena roti canai di Restoran Taqwa, Bukit Rahman Putera. Timing amat penting kalau turun ke KL, elok-elok sahaja selepas semua orang sudah masuk kerja dan balik sebelum orang keluar kerja! 

Misi pertama, ke Fahrenheit88 di Jalan Bukit Bintang (tidak pernah tahu yang ada kedai suhu pula di Bukit Bintang?? - punyalah jakunnya orang KL ni!). Sementara Pak Aji tunggu di kereta, Mak Aji lari 100 meter ke dalam (orang lelaki mana boleh tunggu lama-lama!). Pergi ke aras 1, cari punya cari tidak jumpa. Bila ditanya orang, rupa-rupanya kena masuk melalui pintu keluar dan apabila masuk ke pintu itu ada beberapa buah ofis kecil yang kelihatannya seperti entah di mana ya, di Petaling Street apa??  Lepas itu ada tanda As Seen on TV. Ada perempuan Melayu menggamit Mak Aji masuk. Di hadapan kerusi tempat Mak Aji duduk, ada mesin pop-corn seperti yang diiklankan dalam Stardeal juga dan apabila diteliti, Made in China. Mak Aji rasa mop ini pun Made in China jugalah. Memang betul tekaan Mak Aji (apabila ditanya). Jom kita ke China, kita berniaga barangan China pula, he he!! Jaminannya untuk tempoh sebulan kalau ada apa-apa masalah. Ini gambar kotaknya:


 Ini pula di dalamnya: baldi mop, batang mop dan
3 tangkai bulu mop.

Selesai di Fahrenheit88, kami terus ke Touch n Go Sentral untuk mengutip SmartTag. Punyalah lama menunggu - Pak Aji letak kereta dan menunggu di zon tunda, jadi beberapa kali dia menelefon sebab kena halau dek polis! Alhamdulillah KL hari ini tidak sesak walaupun awal pagi tadi hujan turun. 

Catatan: Tunggu entri berikutnya untuk mengetahui sejauh mana berkesannya produk ini!



Lamp-Post Chandelier

As-salam.

Semasa kami di KL pagi tadi, Mak Aji perasankan chandelier yang terdapat di tiang-tiang lampu di sekitar Jalan Bukit Bintang berhadapan Hotel Grand Millenium. Pernahlah anda melihatnya?? Punyalah lama Mak Aji tidak masuk ke jalan ini. Hai, nama sahaja duduk di KL (kira KL jugalah ya, walau sebenarnya di Sungai Buloh - mengaku pulak, he he!!). Cuba perhatikan!:

Chandelier di tiang lampu.
Lagi ...
... dan lagi.

Seperkara sahaja - jangan tanya sama ada chandelier ini menyala atau tidak sebab Mak Aji tengok waktu pagi, kena pergi waktu malam barulah tahu menyala atau tidak ya!!




Thursday 27 September 2012

SmartTag Punya Hal Lagi

As-salam.

Semalam Mak Aji berasa hendak tergelak pun ada apabila mendapat sms daripada Touch n Go seperti berikut:


Untuk pengetahuan, sebenarnya Mak Aji sudah berbulan menghantar SmartTag ke Touch n Go di Sentral. Mereka kata sebulan atau 5 minggu nanti tunggukan sms daripada mereka yang memaklumkan kepada Mak Aji yang SmartTag sudah siap diservis. Alang-alang Mak Aji berada di Sentral sekitar 5 minggu selepas itu, Mak Aji singgahlah. Kata staf di situ, "tunggu kami sms dahulu baru datang." - Dengan kata lain, "don't call us, we'll call you!" Pulak!! 

Kalau semalam baru dapat sms, maknanya bukanlah 5 minggu siap, hampir 5 bulan ni!! Lihat resit yang Mak Aji terima semasa SmartTag dihantar:



Anda nampak tarikh hantar?? Hantar pada 23 Mei 2012, baru terima sms 26 September 2012!! 5 minggu ke tu?? Someone up there at Touch n Go should do something about this!! Yang Mak Aji dengar, ramai pengguna SmartTag sudah mula bising-bising dengan servis Touch n Go. Jadi, jangan sampai kami buat demonstrasi sudah!!


Catatan: Bercinta betul hendak ke KL untuk ambil SmartTag (dan juga ambil mop yang dipesan tempoh hari. Padanlah tawaran harga bagai nak rak, kena ambil sendiri kat Bukit Bintang!!).



Wednesday 26 September 2012

Sup Ayam Dara

As-salam.

Untuk tengah hari ini Mak Aji masak sup ayam kegemaran Pak Aji, sup ayam kampung seperti yang sebelum ini. Resipinya di sini

Sebenarnya ayam peliharaan kami sudah tinggal seekor, ayam dara. Sudah beberapa hari kami perhatikan (untuk buat suplah tu!) Malam tadi ayam ditangkap, dan dibersihkan dan hari ini tinggal masak sahaja.

Ini hidangan sup ayam dara kami:

Masak seekor untuk makan tengah hari dan malam.
Sup ayam dara, seketul seorang.

Berselera kami makan sup bertemankan ikan merah goreng. Resipi yang cukup mudah namun menyelerakan! Jom cuba sup ini!




Tuesday 25 September 2012

Puding Roti Monie

As-salam.

Pagi-pagi ini usai berkebun, Mak Aji masuk ke dapur. Sambil Pak Aji menyiapkan sarapan, Mak Aji bersiap untuk membuat puding roti. Sebenarnya pelbagai versi puding roti yang Mak Aji jumpa tetapi yang paling mudah dan tidak banyak bahan ialah yang dihasilkan oleh Monie. Jadi itulah versi yang Mak Aji buat, cuma dek kehabisan susu segar (Monie pakai susu UHT), mak Aji pakai bancuh sahaja susu tepung Nespray! Hasilnya alhamdulillah sedap juga!:

Puding roti.
Yang baru keluar dari ketuhar.

Mak Aji terlupa letak garam, jadi kuranglah sedikit lemaknya ya (bukan dehaka resipi, terlupa!). Rasanya kalau buat kuahnya lagi sedap, kan!! Apapun terima kasih Monie atas perkongsiaan!


Leaving the Nest Syndrome

As-salam.

Mak Aji tergerak untuk menulis entri ini ekoran apa yang disebut oleh LG dalam blognya di sini tentang anak yang bakal masuk pusat pengajian tinggi. 

Tanpa kita sedar masa berlalu begitu pantas, anak-anak yang kita jaga sejak sebesar dua jari sudahpun dewasa. Dalam tak diam seorang demi seorang meninggalkan rumah untuk melanjutkan pelajaran dan seterusnya mendapat pekerjaan yang seringkali menyebabkan mereka terpaksa tinggal berasingan dengan kita. 

Mak Ajipun mengalami perkara yang sama. Walaupun anak ramai, enam semuanya, tetapi yang memang tinggal di rumah sekarang cuma seorang sahaja, selain Mak Aji dan Pak Aji. Ada yang balik pada hari minggu sahaja dan ada yang tinggal jauh, terpaksalah berhubung dengan telefon atau Skype sahaja. Sekurang-kurangnya teknologi terkini mampu mendekatkan mereka kepada kami, alhamdulillah!! 

Mood untuk memasak pun tidak berapa ada sebab kalau masak sekadar satu pot beras pun kadang-kadang masih akan berbaki! Hari minggu ditunggu-tunggu kerana itulah masa untuk memasak semasa anak-anak balik, apalagi apabila cucu ada sekali! Teringat pula Mak Aji akan arwah ibu yang akan terus bingkas bangun (kerana kurang sihat, asyik pening kepala) apabila anak cucu balik dan terus menanya "nak makan apa??" Sekarang ini giliran Mak Aji pula yang berasa begitu! 


Catatan: Sementara ibu sibuk (dan seronok pada masa yang sama) memasak untuk melayan anak-anak makan, anak-anak pula apa yang ibu masak (waima selipar jepun celup tepung pun) sedap, he he!!



Jenayah Lagi

As-salam.

Pagi-pagi lagi Mak Aji berasa terkesan dengan dua berita yang berbeza yang berlaku di Pasir Puteh Kelantan dan juga yang berlaku di Taman Mount Austin, Johor Bahru.

Yang pertamanya Pasir Puteh tempat Mak Aji membesar dan kenangan manis sahaja (ada jugalah yang pahit kelat) yang ada di situ. Rupa-rupanya di sebuah kampung di situ sekeluarga ditangkap kerana kes ragut, pecah rumah dan sebagainya!

Yang kedua pula berlaku di Mount Austin. Seorang lelaki ditembak mati di hadapan isterinya beberapa jam selepas melangsungkan perkahwinannya (dipercayai kaerana kes dendam). Kawasan perumahan ini kedudukannya bersebelahan dengan Taman Daya, tempat Mak Aji tinggal (di rumah yang disediakan oleh ofis) semasa bertugas di JB tempoh hari. Di Mount Austin jugalah Mak Aji dan Pak Aji serta Madihah pada setiap hari minggu meluangkan masa untuk beriadah - brisk-walking, juga bermain badminton sekali- sekala. 

Sebenarnya sebelum Mak Aji berpindah tugas ke sana lagi Mak Aji diberi maklum oleh rakan yang menduduki rumah itu sebelum Mak Aji agar sentiasa berhati-hati semasa keluar dan masuk ke pagar rumah - pastikan pintu kereta berkunci sebelum pintu pagar dibuka (automatik) atau ditutup apabila pulang kerja! Ini kerana mengikut katanya banyak kes samun berlaku semasa penghuni keluar dan masuk pagar rumah! Kawan itu juga pernah ke kedai runcit sejurus selepas pekedai runcit itu disamun dan ditetak penyamun!! Memang agak menakutkan apatah lagi pada awalnya Mak Aji menghuni rumah itu bersama-sama Madihah sahaja sebelum Pak Aji turut pindah ke JB!

Seperti yang pernah Mak Aji sebut sebelum ini, keadaan sekarang memang menakutkan sekali, kes bunuh, samun, rogol dan sebagainya cukup berleluasa! Entah apalah yang akan jadi dengan masyarakat kita??

Sekadar hiasan
Sumber


Sunday 23 September 2012

Pakai Apa dalam Abaya?

As-salam.

Semasa berborak-borak dengan kawan, Mak Aji bertanya kawan tentang apa yang dipakai di dalam abayanya. "Kaftan," jawabnya pantas! Mak Aji rasa bagi kebanyakan mereka yang memakai abaya, itulah jawapannya. Siapa yang pakai kaftan angkat tangan!!

Tahukah anda selain kaftan kita juga boleh mengenakan kemeja-T (jenis kain kemeja-T sendiri atau jenis kain kapas) dan skirt labuh (untuk abaya yang berbelah di bahagian hadapan) dan seluar panjang jenis bolero atau yang besar agar tidak berbayang tiang jamban! (untuk abaya - atau lebih tepatnya jubah - yang berbelah di sisi) sebagai alternatif. 

Untuk pengetahuan anda yang tidak biasa memakai baju berlapis-lapis, sebenarnya dengan memakai kemeja-T (biasanya Mak Aji kebas baju Pagoda Pak Aji je, he he!) di dalam, kita mencipta 'cuaca' sejuk di dalam abaya sebab kemeja itu boleh menyerap peluh meskipun kita pakai abaya/jubah hitam dalam suasana cuaca kita yang panas ini!! - dalam ada air-con! 

Mak Aji diberitahu bahawa wanita Arab walaupun berabaya hitam tetapi kalau dibuka, nescaya silau mata sebab di dalam, bajunya bling bling dan penuh bergaya!! Takkan kita hendak pakai kaftan sahaja kan? (untuk pengetahuan kaftan pun boleh tahan harganya sekarang weh, kali terakhir Mak Aji ke Terengganu sehelai yang berlengan panjang sudah RM 35 harganya!!).

Apapun, mari kita lihat abaya yang cantik-cantik yang dijual oleh Kak Chik di sini.

Mak Aji pernah ke rumahnya di Pulau Melaka dan cukup berkenan reka bentuk ini tetapi malangnya tiada saiz:

Cantik, kan?
Sumber

Juga suka yang ini terutama di bahagian lengannya: 

Suka lengannya cuma kalau rosnya hitam lagi bagus.
Sumber



Kek Ikan Masin

As-salam.

Mak Aji balik dari outing dengan kawan dan terus ke dapur. Mak Aji tinjau sama ada kek marmar yang dibuat malam tadi masih ada atau sudah habis. Ini kek yang Mak Aji lihat - kek ikan masin!! Baru dua tiga jam Mak Aji tinggalkan rumah, ini kerja Pak Aji rupa-rupanya - diletaknya ikan masin (lebih makan tengah hari tadi agaknya) ke dalam dulang kek Mak Aji!! Hai, inilah kerja orang lelaki!! Pak Aji, Pak Aji!

Kek ikan masin!

Kalau sebulan Mak Aji tiada di rumah, mahu diletaknya baju dalam peti ais agaknya, he he!!



Tinjau Perabot Lagi

As-salam.

Sekitar jam 12.00 tengah hari Mak Aji serta kawan keluar outing - sesama perempuan puas berjalan mencuci mata atau yang sewaktu dengannya (tanpa orang sebelah sibuk mengajak balik!). Pertamanya ke gudang perabot jati - tutup pulak pada hari Ahad. Seterusnya ke kedai perabot terpakai - almari yang ingin dilihat sudah dipindahkan ke cawangannya di seksyen 13 Shah Alam dan cawangan ini pula tutup pada hari Ahad! Seterusnya, kami ke Fella Design Bukit Subang - banyak kabinet peragaan yang ada dengan harganya yang tentunya (mengikut kawan, Datuk K sahaja yang mampu, he he!!). 

Acara seterusnya, ke Rattan Decor yang khusus menjual perabot rotan dan jati. Jamulah mata dengan foto-foto berikut:

Ambik kau, sideboard biru lagi!!
Sideboard merahlah Mak Ngah!
Gerobok lauk yang cukup cantik!!
Wan sibuk membelek meja konsol dari reclaimed wood.
Bukan senget mata anda, memang kabinet ini dibuat agar senget!!

Sekitar jam 1.30 perut mula berkeroncong, maka kami ke Restoran Periok di Bukit Rahman Putra untuk makan nasi beriani gam. Ini yang kami makan:

Beriani gam kambing untuk Mak Aji dan beriani ayam
berempah untuk Wan. Bismillah!

Selesai makan kami ke SSF di Sri Damansara. Kawan memang berkenan dengan cermin kristal yang banyak diperagakan. Mak Aji pula membeli tempat gantung 'perkakas dalam' - untuk diletak di bilik air. Kali pertama pergi tidak membeli, jadi kali ini benar-benar beli (jangan sampai mimpi lagi, he he!):

Sebelum dipasang.
Taraaa, chandelier untuk bilik air!! Yang bahagian bawah tu
penyepitnya dan di atasnya faux bulbs!

Foto-foto di bawah pula hasil tinjauan kami di SSF Sri Damansara:

Lapang dan nyaman rasanya berada di bilik berset bilik tidur serba
putih ini, zzzz!!!
Meja solek yang unik, bercermin di seluruh permukaan, dengan
bahagian tengahnya boleh dibuka untuk menyimpan
barang kemas!!

Tidak banyak kabinet peragaan yang ada sebab banyak barangnya berbungkus kerana dibeli pelanggan - mereka sedang membuat jualan murah sekarang ini! 

Selesai tinjauan kami balik ke rumah Mak Aji, solat Zuhur, duduk sekejap, minum dan berborak sebelum kawan berangkat pulang ke rumah - we had a field time window shopping!! Enjoyed every minute of it, Wan!! 

Oh ya, satu lagi foto di sebuah gedung perabot di Subang 2 - set bilik tidur juga bertema putih, layan!!:

Foto diambil dari dalam kereta sahaja - hendak tahu harganya?
Hampir RM30,000! Nasib baik tidak berkenan, he he!! 

Berehat di beranda setelah pulang ke rumah.

Bila nak outing lagi?? He he, Pak Aji sudah pucat sebab beberapa jam kena tinggal!!



Mop Baik Punya

As-salam.

Mak Aji memang kurang rajin mengepel (mengelap) lantai sebab Mak Aji menggunakan pengelap lantai biasa. Along ada menyarankan agar Mak Aji membeli  pengelap lantai Cosway yang lebih memudahkan kerja. Namun begitu, apabila ditanya harganya, seratus lebih, hai sayang juga duit untuk dilaburkan ke pengelap lantai, sampai beratus ringgit. 

Apabila Stardeal menawarkan pengelap lantai pada harga yang cukup menawan hati, Mak Aji terus beli. Ini rupanya:

Kata Along lebih kurang sama dengan Cosway punya!

Mak Aji sebenarnya jarang sangat membeli barang dalam talian, kecuali untuk membeli tiket AirAsia sahaja. Namun tawaran ini terlalu baik untuk dilepaskan. Anda selalu membeli barang dalam talian?? Risau juga ya, manalah tahu ada pihak yang mengambil kesempatan??



Outing dengan Kawan

As-salam.

Mak Aji sedang menunggu kawan (yang sudah beberapa tahun bersara pilihan juga) yang akan datang ke rumah sebelum kami keluar untuk outing bersama-sama. Sudah sekian lama tidak bersembang panjang (sempat cakap sepatah dua sahaja semasa majlis kahwin anak tempoh hari), cuma bertemu di FB dan berhubung di blog sahaja (juga telefon). 

Mak Aji sudah membuat sedikit persiapan tentang tempat-tempat yang akan dikunjungi, antara lainnya, gudang perabot kayu jati berdekatan rumah, kedai perabot terpakai di Kg. Melayu Subang (berhadapan dengan G-Mart), SSF (sebelah kanan mengarah ke Kepong - yang sebelah kiri tidak banyak pilihan perabotnya), Fella Design Bukit Subang dan akhirnya insya-Allah pekena beriani gam di Restoran Periok di Bukit Rahman Putra. Sempat atau tidak menjelajah kesemua yang dirancang, wallahualam!!

Nantikan rakaman foto outing kami ya!


Saturday 22 September 2012

Kek Marmar

As-salam.

Malam ini ada kelas lagi di rumah, kali ini di balkoni pula yang lebih lapang - kehendak Baba Aziz. Mak Aji sudah agak ketandusan idea untuk minum malam selepas mereka habis kelas, lalu membuat keputusan untuk mencuba kek marmar (Sheila Mambo) yang diambil dari resepi Dari Dapur Kecah, yang asalnya diambil daripada blog Cik Mat Gebu. 

Harap menjadi keknya selepas ketuhar masuk dok kerana motor (yang memutarkan pinggan seramiknya rosak dan terpaksa diganti baru). Resepi asalnya boleh dilihat di sini.

Mak Aji cuma buat dua kali ganda adunannya daripada yang terdapat pada resepi asal dan Mak Aji juga mengikut saranan Dari Dapur Kecah agar dikurangkan gula ke 100 gm sahaja. Lihat hasilnya:

Kek marmar yang tidak berapa marmar!
Separuh untuk hidangan tetamu dan separuh lagi tuan
rumah punya!
Kek ok menjadi bukti ketuhar memang sudah ok!

Resepi ini menghasilkan kek yang memang sesuai kemanisannya dengan Mak Aji, kurang manis dan keknya gebu serta sedap sekali! Lain kali kena buat seperti yang disarankan - kena putar-putar sedikit adunan dengan lidi (atau yang sebagainya) dahulu sebelum dimasukkan ke dalam ketuhar agar coraknya lebih cantik.



Mi Rebus Kawah

As-salam.

Semasa kami balik kampung tempoh hari, Pak Aji mengajak makan mi rebus yang katanya paling sedap di kampungnya, Jerteh, terengganu. Kedai makan ini lokasinya betul-betul di tepi sungai (di bawah jambatan Jerteh (sebelah kiri mengarah ke Kuala Terengganu). Mengikut Pak Aji taukenya (Wan Yusof) sudah berpuluh tahun mengusahakannya (sejak Pak Aji masih budak-budak lagi). Dia juga dikatakan memasak sehingga 200 kg mi kuning sehari!

Yang istimewanya mi rebusnya dimasak di dalam kawah! Semasa kami sampai, pekerjanya sedang memasak menggunakan sebuah kawah. Mi rebus dimasak dengan kuantiti yang banyak sekaligus. Pelanggan masing-masingnya menunggu giliran mendapatkannya. Sekali masak berpuluh-puluh orang mendapatnya. Memang itu sahaja masakan yang terdapat di situ. Jadi, tidak usahlah minta menu lain, ya! Ini rupa mi rebus kawah:

Mi rebus kawah.

Cuba perhatikan foto mi sekawah yang sedang dimasak. Maaf foto kurang jelas sebab Mak Aji zoom sahaja dari meja makan sementara menunggu mi sekawah ini masak!:

Masak mi sekawah tu!!! Periuk besar itu isinya air rebusan daging.

Kesimpulan: Mi rebusnya memang sedap, terasa manis air rebusan dagingnya, cuma kalau kurang manis (gula) lagi sedap!!


Kerusi Makan (Rotan) di Beranda

As-salam.

Alhamdulillah akhirnya, sampai juga kerusi makan (rotan sintetik) serta meja buffet yang dibeli tempoh hari. Janjinya kerusi sampai dua hari lepas jam dua petang. Rupanya Maghrib malam tadi baru sampai. Rupa-rupanya janji cina pun sudah jadi janji melayu juga!! Mak Aji cukup kurang senang kalau janji tidak ditepati! At least you should have the decency to call and explain!! (Ha, kan dah cakap omputeh, sudah marahlah tu!) Ini tidak, kita menunggu dia telefon, ingat tunggul apa?? Bila kita telefon, tidak dapat dihubungi. Agaknya malas hendak melayan mak cik ni! Geram hinggakan mahu sahaja menelefon untuk memaklumkan bahawa kalau kerusi tidak sampai semalam juga, batalkan sahaja dan Mak Aji akan pergi ambil duit deposit!! Grr!!

Ok, ok. Sudahlah tu, dah sampai pun. Oklah. Sambung cerita. Hendak lihat rupanya, layann!!:

Ini dia. (Gambar sudah digantung).

Another take.

Sebenarnya apabila meja makan terdiri daripada dua meja buffet, rupa-rupanya kerusi di hujung kiri dan kanan tidak boleh ditolak ke bawah meja sebab kaki meja. Tak apalah, hendak dibuat macam mana, kalau itu yang dibeli. Meja makan dan kerusi sudahpun digunakan untuk makan minum rakan-rakan Pak Aji yang datang ke kelas setiap (kecuali satu malam) malam sejak Baba Aziz berada di sini. 

Pada lewat pagi ini pula kelas diadakan lagi - untuk khatam kitab yang mereka baca. Kelas bersurai pada awal petang - alamat terlepaslah kenduri kahwin anak kawan pada hari ini di Sungai Penchala! Mohon maaf banyak-banyak Hadiah kerana tidak dapat hadir! 

Kata Pak Aji kelas malam ini dan seterusnya akan diadakan sahaja di beranda sebab Baba mahukan begitu - lapang sedikit agaknya berbanding di ruang tamu Mak Aji yang agak comel! 



Thursday 20 September 2012

Siapa Tu??

As-salam.

Semasa merakam foto almari, Mak Aji terpandang pula foto lama di atasnya. Bila diperhatikan, geli hati pun ada. Foto lama, al-maklumlah! Cuba lihat:

Pak Ajiku dahulu!
Pak Ajiku sekarang!

He he, versi yang mana satu idaman kalbu??


Perabot Baru atau Yang Terpakai?

As-salam.

Mak Aji suka membuat tinjauan sebelum membeli apa-apa. Perlu rasanya kita berbuat demikian agar kita benar-benar mendapat apa yang dihajati dengan harga yang paling murah tanpa berkompromi dari segi kualiti. Ini yang orang lelaki tidak suka. Sebab itulah kerja membuat tinjauan perlu dibuat bersendirian atau bertemankan kawan wanita! Barulah satu kepala! 

Mak Aji agak terbuka jika diberi pilihan sama ada untuk membeli perabot baru atau terpakai - bergantung keadaan. Kalau yang baru harganya agak mahal (harga barang tidak tahu turun, asyik naik sahaja) tetapi kualitinya tidak seberapa (kayu papan lapis), elok lagi membeli yang terpakai yang kualitinya (biasanya jenis kayu keras yang sudah diuji masa). Tambah pula lagi jika kita cukup bernasib baik terjumpa perabot yang agak antik (istilah antik Mak Aji difahamkan - setidak-tidaknya di Malaysia - digunakan untuk merujuk barang yang berusia 50 tahun ke atas). Inilah yang Mak Aji maksudkan dengan terjumpa 'harta karun' dalam beberapa entri yang lepas!

Pada akhir tahun 1980-an Mak Aji ada mengekor mak cik (mak saudara) ke Kedai Abdul (kedai barang antik) di Jonker Street, Melaka. Macam biasa, mak cik yang sememangnya pengumpul perabot antik sibuk membelek perabot (yang penuh habuk - pergi sampai ke hujung kedai yang gelap dan penuh habuk!). Mak Aji pun ikut sama. Mak cik akhirnya membeli perabot yang harganya beberapa ribu ringgit dan Mak Aji pula hanya berhabis RM700 sahaja! Hati Mak Aji terpaut pada sebuah gerobok baju lama yang sudah diubah suai menjadi almari hiasan. Usianya ketika itu sudah lebih 50 tahun. Cuba bayangkan usianya sekarang - 70 tahun lebih!! Ini rupanya almari kesayangan Mak Aji, satu-satunya barang antik di rumah!:


Almari tuaku!

Almari masih utuh hingga ke hari ini, hanya perlu disapu minyak khusus untuknya sekali sekala. 


Nasi Ayam Kampung di Kampung Baru

As-salam.

Pak Aji ada urusan di KL, jadi Mak Aji menemankannya sekali. Apabila tiba waktu tengah hari, dia mengajak ke Kampung Baru untuk pekena nasi ayam kampung di medan makan bersebelahan stadium. Kedai makan ini yang kedua dari hujung jalan (kedai hujung menjual minuman). Ini nama kedainya:

Ini kedainya.

Setelah mula makan barulah Mak Aji teringat untuk merakam fotonya, alahai, semakin nyanyuk orang tua ini!! Tak apalah, kami makan dua ketul ayam kampung, dua ekor sotong masak tumis, sambal belacan, budu serta ulam-ulaman. Bil keseluruhannya RM27.00 - boleh tahan juga ya! Sebelum ini tidaklah perasan pulak jumlahnya. Apapun, alhamdulillah hidangan cukup menyelerakan, ditambah pula dengan cuaca mendung, yang kemudiannya hujan renyai-renyai, makinlah berselera kami makan!!

Kali terakhir ke mari, semasa selepas pemeriksaan jantung dan Dr. Wan belanja makan (lebih sedap sebab makan orang belanja!). Pada hari ni pun sedap sebab Pak Aji belanja, he he!!

Kami tiba sebelum jam 12 tengah hari (lihat foto) dan terdapat beberapa orang sudah menunggu. Kakitangan kedai pula sedang sibuk menuang lauk ke dalam pinggan (lauk dimasak di tempat lain dan dibawa ke mari). Sempat juga kami melihat kelibat Pak Habib Husein al-Attas yang juga menunggu makanan siap. Pak Aji sempat pergi menegurnya sebab sudah beberapa kali Pak Aji berjumpa beliau (bersama-sama Baba Aziz - yang kenal baik dengan beliau). 

Sumber

Kalau teringin makan nasi ayam kampung, jom kita ke Kg. Baru (atau ke Stadium Cheras, Mak Aji pernah ke cawangan itu tidak lama dahulu). Berbaloi pergi jauh sedikit sebab ayam kampung gorengnya cukup sedap, masih terasa lagi ni!!

Catatan: Pak Habib inilah bapa kepada Uncle Seekers yang heboh diperkatakan tempoh hari (rupa hampir sama, kan??).




Sideboard

As-salam.

Petang semalam sideboard terpakai yang Mak Aji beli tiba ke rumah. Sengaja Mak Aji kekalkan istilah sideboard dan tidak menterjemahkannya sebab Mak Aji rasa padanan yang sedia ada kurang tepat (kabinet dapur, almari laci bercermin, almari saidbod). 

Sideboard ini jenis kayunya, kayu keras, bukannya jati (tentunya) yang mungkin pada masa hadapan akan dibuat tambah baik dengan dicat warna yang agak luar biasa sedikit!! Kalau kayu jati tentu sayang kalau dicat sebab urat kayunya yang sedia cantik akan terlindung jika dicat. Mari lihat sideboard Mak Aji. Rupanya agak simple, straight-cut, seperti yang pernah kita lihat dalam filem P. Ramlee atau yang pernah kita lihat ada di rumah nenek atau atuk kita! Tombolnya pula boleh diganti, jika perlu. 

Sideboard Mak Aji (gambar belum gantung lagi ya!)

Kalau adalah niatlah kemudian nanti untuk projek mengecat, mari kita lihat antara pilihan warna menarik berikut:

Sumber

Sumber

Sumber

Sumber

Sumber

Sumber

Apa macam? Ada berani mencuba warna sebegini?? Seronok juga, kan, dari sebatu sudah nampak!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...