Followers

Friday 10 April 2015

Roti untuk Makan Tengah Hari

As-salam.

Kalau biasanya kita makan roti untuk sarapan, pada hari ini kami makan tengah hari dengan roti pulak! Ini projek pagi tadi untuk hidangan tengah hari:

Onion n cheese buns.

Mak Aji gunakan keju Mozarella dan bawang Holland. Setelah ditabur kedua-dua bahan tersebut, Mak Aji paipkan mayonis serta cili sos.


Roti boy/Mexican bun (nak habiskan topping yang berlebih daripada projek
 lepas) serta onion n cheese bun.
Roti dengan topping serunding daging.

Kalau orang lain menggunakan chicken floss (serunding ayam) Mak Aji gunakan serunding daging yang siap terjual. Sebelum ditabur serunding, Mak Aji sapukan permukaan roti dengan bancuhan susu pekat manis dan mayonis. Susu pekat manis itu sedikit sahaja tau, nanti manis sangat tak sedap pulak (namanya pun savoury bun dan bukannya sweet bun!).

Jom makan!



Thursday 9 April 2015

Edible Works of Art!

As-salam.

Kakak sulung Mak Aji serta suami dan seorang anaknya berkunjung ke Miri. Mereka mengambil peluang untuk menjejakkan kaki ke Brunei Darussalam untuk pertama kalinya. Sebagai ole-ole dari sana, Mak Aji dapat yang berikut:

Bukan sahaja kek yang berseni tetapi sedap!!

Mak Aji cukup kagum dengan kreativiti pembuat kek yang dibeli di Miri ini! Rupa yang begitu cantik serta hasil kerja tangan yang begitu halus seiring dengan rasanya yang cukup sedap! 

Selain itu, Mak Aji dapat juga menambah koleksi fridge magnet dengan ole-ole berikut:


Bunga Rafflesia yang tiada bau busuknya!
Ini koleksi sedia ada setelah sebahagiannya 'dikorbankan' oleh cucu-cucu tercinta!
Ini bakinya lagi di sisi kanan peti ais - abaikan tempelan segala macam resepi tu ya!
Ini lagi di sisi kiri peti ais.

Kiranya ada mana-mana pihak yang mahu memberi ole-ole kepada Mak Aji, anda dialu-alukan ya, sebab sisi kiri ini masih banyak ruang pameran! Cukup sekadar fridge magnet sebagai ole-ole untuk Mak Aji. Kakak Mak Aji sudah sedia maklum, Mak Aji cuma pakai seragam hitam sahaja. Pakaian warna-warni sudah lama ditinggalkan. Usahlah beli baju bagai. Mak Aji sudah tidak pakai baju lawa-lawa dah!

Sekadar itu cerita hari ini! Wasallam!




Wednesday 8 April 2015

Kek Lapis Kastad Pandan

As-salam.

Pak Aji memang bukanlah penggemar kek sebenarnya. Apapun setelah berkahwin selama lebih 32 tahun dengan Mak Aji, sekarang tekak dia pun sudah boleh menerima pelbagai kek dan kuih lain yang sebelum ini memang tidak akan dipandangnya dengan sebelah mata - tekak orang kampunglah katakan! - mananya mahu makan kek dan yang sewaktu dengannya!

Dalam banyak-banyak kek yang dia suka - kek lapis keladi! Aduss, yang payah dan leceh untuk membuatnya yang menjadi pilihan! Pak Aji makan kek ini buat pertama kalinya di rumah kakak sulung Mak Aji, terus suka dia kek itu. Setakat ini belumlah lagi hasrat untuk dia makan kek ini hasil tangan Mak Aji tercapai - dahsyat Mak Aji, kan! 

Apapun, kalau mahu berbuat sesuatu. elok langkah demi langkah. Maka langkah pertama, buatlah kek lapis pandan dulu! Maka apabila kakak Mak Aji datang ke rumah, kami sama-sama membikinnya. Sebanyak 2 kek dihasilkan, satu yang besar dan satu lagi kecil sedikit. Nampak gaya kenalah Mak Aji beli acuan springform yang besar lagi supaya dapat dihasilkan satu kek sahaja.

Kek lapis kastad pandan - memang sedap weh!!!
Menjelang petang tadi tinggal sebanyak ini. Malam ini pasti
 ada yang buka peti ais tercari-cari kek ini!
Anda mahu Mak Aji kongsikan resepinya?? Mak Aji ambil daripada kakak Mak Aji yang buat carian di internet - resepi yang manisnya tidak keterlaluan, agak-agak sesuai dengan selera kami. Cuba lihat di bawah resepi yang diambil dari internet (sumbernya ada pada tajuk resepi):


BAHAN A:

4 biji kuning telur saiz AA - kalau saiz B, 5 biji
*150gm tepung gandum
*1 sdt baking powder
- satukan bahan bertanda *, dan ayak
100ml susu segar + 50 ml jus pandan ( kisar 10 helai daun pandan bersama 1 liter air, ambil sedikit jusnya )
75ml minyak jagung
Sedikit pewarna hijau

BAHAN B:

4 biji putih telur
100gm gula kaster

Cara membuatnya:

- Sediakan loyang 8x8 inci, letak baking paper di dasar loyang. Tak perlu sapu mentega atau minyak.
- Panaskan ketuhar pada suhu 160 darjah celcius.

- Asingkan putih dan kuning telur.
- Untuk bahan B, pukul putih telur hingga berbuih, masukkan gula kaster dan terus memukul lagi sehingga kental dan menjadi meringue. Ketepikan.

- Untuk Bahan A, satukan kuning telur, minyak jagung dan campuran susu dengan jus pandan. Pukul seketika.
- Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil memukul perlahan.
- Masukkan sedikit pewarna hijau. Gaul sebati.
- Masukkan bahan A (meringui) ke dalam mangkuk bahan B secara sedikit2. Kaup balikkan adunan dengan lembut.
- Masuk dalam loyang, dan bakar secara steam bath selama 45 minit atau sehingga masak.
- Siap masak, sejukkan.
- Belah pada 3 bahagian.

Tanpa sebarang dekorasi (sebagai dekorasi, taburkan kelapa parut kering).

Sila pastikan plastik yang diletakkan pada permukaan loyang sebelum kastard dituangkan dalam keadaan yang benar2 licin tanpa sebarang gelembung udara. 

Lapisan Kastard

Bahan-bahan:

1000ml santan dicampur bersama lebihan jus pandan (pada resepi kek di atas) + 200ml susu cair - jadikan cecair ini 1200ml
13gm serbuk agar (plain)
85gm tepung hoen kwe -colour hijau
75gm gula pasir
- Satukan semua bahan dalam periuk, panaskan dengan api sederhana sehingga adunan likat dan pekat.

Cara untuk melapis kek:

- Alas loyang dengan plastik supaya mudah untuk keluarkan kek nanti.
- Masukkan 1/3 bahagian kastard ke dalam loyang. Ratakan.
- Letak lapisan kek pertama
- Letak lapisan kastard, ratakan. Siapkan untuk semua lapisan.
- Masukkan lebihan kastard ditepi2 loyang, hentak2 kan secara perlahan.
- Sejukkan dalam peti, dalam 2 jam selepas itu, boleh telangkup loyang, dan hidangkan.....

Kami menghasilkan kek kami dengan menghasilkan kek span menggunakan sponge-mix yang dibeli di kedai bakeri. Hasil kek spannya lebih kurang sama sahaja. Kami juga menggunakan acuan bulat springform, jadi yang terhasil 2 kek, bukannya satu. Oh ya, kami tidak tuang kastad sebagai lapisan pertama. Kali lapiskan kek dahulu. 

Amacam, ada kecur air liur?? Jom buat, sedap ni!!! Cik abang pasti suka!

Catatan: Projek seterusnya, kek lapis keladi! Percaya tidak, semasa tencari-cari resepinya, ada ke patut resepi kek keladi tetapi tiada keladi pun sebagai bahannya??? Kalau begitu bubuhlah nama kek lapis perisa keladi je!



Mainan Baruku!

As-salam.

Apabila berkunjung ke kedai bakeri, ada-ada sahaja yang terpandang dek mata ini lalu terus jatuh ke hati. Mari Mak Aji ceritakan ya.

Setiap kali melihat kek Red Velvet, teringin juga dihati untuk mencubanya sekali lagi (kali pertama mencubanya, sudahlah ditegur Pak Aji sebab pewarna merahnya yang begitu banyak, ditambah pula dengan keknya yang bantat kerana terlupa untuk memasukkan baking powder!) Sejak peristiwa 'hitam' itu Mak Aji lupakan seketika kek RV. Satu lagi halangan untuk menghasilkan RV ialah kerana ketiadaan pemotong kek. Kalau melihatkan chef Anna Olson memotong keknya kelihatan begitu mudah sekali! Tengok orang buat memang mudah tetapi kalau buat sendiri baru tahu!

Apapun mari lihat mainan baru Mak Aji:

Pemotong kek.
Setakat ini barulah sekali Mak Aji cuba - boleh tahan juga susahnya! Baru tahu! Mahukan potongan yang sempurna, hasilnya memang jauh daripada sempurna. Pun kena banyak berlatih lagilah nampak gayanya.



Sunday 5 April 2015

Mak Aji Jadi Cikgu

As-salam.

Mak Aji dibesarkan dalam suasana arwah ayah seorang guru, beberapa orang adik-beradik juga guru, abang ipar serta adik ipar serta guru. Begitu juga ada bapa serta mak saudara yang menjadi guru. Mak Aji juga hampir beberapa kali untuk menjadi guru - masuk maktab perguruan tetapi keluar apabila mendapat tawaran masuk universiti. Habis belajar mohon untuk Diploma Pendidikan - hanya sempat belajar 2 daripada 6 bulan. Masuk bekerja pada tahun 1983. Pak Aji suruh buat Diploma Pendidikan lagi - silap tarikh temu duga pula! Pendek kata tiadalah rezeki Mak Aji sebagai guru!

Walaupun begitu pada hari semalam anak jiran minta Mak Aji mengajarnya meroti - maka Mak Aji menjadilah cikgu selama sehari!! Menjadi cikgu juga akhirnya ya!

Berikut antara roti yang kami hasilkan bersama-sama dengan menggunakan 1 setengah adunan doh (tepung 750gm):

Seloyang roti sarang lebah.
Sebelum dibakar.
Roti boy/mexican bun.
Yang sebelum dibakar.
Roti siput (konon-kononnya) yang kurang ciri-ciri siputnya! 
Roti pelbagai bentuk dengan pelbagai filling dan topping.
Versi belum bakar.
Juga versi belum bakar.

Mak Aji ni bukanlah pandai sangat meroti, memang agak kurang layak memberi tunjuk ajar. Semalam hanyalah sekadar berkongsi pengalaman sahaja. Moga Dena seronok meroti. Seronok juga jadi cikgu ni ya! Sekurang-kurangnya tidaklah Mak Aji berpeluh sampai ke keting seorang sahaja mengerjakan roti ya! 



Roti Boyku Gebus Gebas!!

As-salam.

Semalam anak jiran sebelah rumah meminta agar Mak Aji mengajarnya meroti. Hati agak berdebar sebab Mak Aji pun masih belajar sebenarnya. Masih banyak kekurangan pada diri ini untuk melangkah selangkah ke hadapan untuk mengajkar orang pula! Apapun dengan niat untuk berkongsi pengalaman dan bukanlah mengajar sebenarnya, maka Mak Aji memulakan sesi perkongsiaan sekitar jam 9 pagi semalam. Sekitar waktu Asar barulah selesai semua kerja!

Dalam banyak-banyak roti/ban yang dihasilkan, Mak Aji paling teruja hasil roti boy yang dihasilkan. Mak Aji biarkan sahaja foto berkata-kata kepada anda sekalian:

Tekstur ban cukup halus dan gebus - yang terbaik Mak Aji hasilkan setakat ini!
Ban di dalam cawan kertas bersaiz kecil pula.
Cantik pula setelah dibuat piping, kan!
Semerbak bau kopinya!! Satu rumah berbau roti boy!!
Time to dig in!! - soft and fluffy!
Cukup gembira sekali Mak Aji dengan hasilnya!

Percubaan menghasilkan roti boy/mexican bun untuk kali kedua ini menggunakan cawan kertas bersaiz sederhana kecil dengan timbangan berat doh 30gm sahaja. Apa yang membezakan tekstur roti yang jauh lebih bagus ini berbanding sebelum ini ialah bilangan ulian yang ditingkatkan kepada 4 kali (sebelum ini 3 pusingan sahaja). Mak Aji menggunakan fungsi program nombor 8 pada Bread Maker jenama Empress yang dijual oleh Cosway. Dohnya cukup licin serta elastik sekali! Jumlah masa ulian 14 minit kali empat = 56 minit. Jika ditambah masa untuk BM berehat di antara ulian, maka jumlah masa yang diperlukan lebih sejam! Masa untuk ban naik (proofing) juga lebih lama (3 jam!). Namun begitu, insya-Allah jika anda cukup sabar, maka anda akan berpuas hati dengan hasilnya yang sebegini gebu!!

Ingin cuba sendiri?? Mari Mak Aji kongsikan resepi asalnya:

RESEPI MEXICAN BUN (KR)

BAHAN A :

500gm tpg roti
20gm susu tepung
15 gm bread softener
10gm gm bread improver
80gm gula
10gm yis
100gm mentega
(Tambah **5gm GR Superbake)

BAHAN B :

210gm air sejuk + 4 ketul ais kiub. (anggaran)
1 biji telur

CARANYA :

Satukan bahan kering n gaul rata. Masukkan bahan2 yg lain.
Uli hingga sebati n elastik.
Bentukkan n biarkan doh hingga 2x ganda. Letak topping n bakar pada suhu 180’ api atas bawah selama 30 minit.

TOPPING

100 gm mentega, dilembutkan
80 gm gula aising, diayak
2 biji telur
1 sudu makan coffee emulco
100 gm tepung gandum

Pukul mentega dan gula aising pada kelajuan sederhana selama 5 minit sehingga adunan ringan dan gebu.
Masukkan telur sedikit demi sedikit.
Masukkan coffee emulco
Masukkan tepung dan putar pada kelajuan perlahan sehingga semuanya sebati.
Masukkan kedalam piping bag dan sejukkan dalam peti sejuk sehingga sedia untuk digunakan.

Anda boleh gunakan resepi di atas jika anda menguli dengan tangan. 


Berikut pula resepi versi Mak Aji yang sedikit berbeza (Mak Aji gunakan resepi asas roti manis ini untuk semua jenis roti manis) dan jika anda menggunakan BM, sila rujuk resepi di bawah:

Tuangkan 210gm air sejuk (dari peti ais sahaja juga boleh)
Masukkan 500gm tepung roti
Masukkan 100gm gula kaster
Masukkan 80gm mentega
11gm yis (kering)
5gm GR Superbake

Tekan punat program 8 (untuk proses menguli sahaja).
Setelah selesai pusingan pertama rehatkan BM selama 10 minit. Mulakan lagi pusingan kedua sehinggalah selesai 4 pusingan (dengan rehat sekitar 10 minit antara ulian.

Siap sahaja pusingan 4, keluarkan doh dan lakukan proses rounding. Siap semua doh dibuat rounding, masukkan doh (yang Mak Aji buat ini 30gm) ke dalam cawan kertas. Biarkan doh naik (proofing) sehinggalah  doh naik 2/3 kali ganda saiz asal. 

Sementara menunggu doh naik, siapkan toppingnya:

TOPPING
100 gm mentega, dilembutkan
80 gm gula aising, diayak
2 biji telur
1 sudu makan coffee emulco
100 gm tepung gandum

Pukul mentega dan gula aising pada kelajuan sederhana selama 5 minit sehingga adunan ringan dan gebu.
Masukkan telur sedikit demi sedikit.
Masukkan coffee emulco
Masukkan tepung dan putar pada kelajuan perlahan sehingga semuanya sebati.
Masukkan kedalam piping bag dan sejukkan dalam peti sejuk sehingga sedia untuk digunakan.


Apabila doh sudah naik, keluarkan topping dari dalam peti ais dan paipkan ke atas doh. Bakar pada suhu sekitar 180 darjah C (atau ikut kesesuaian ketuhar anda) selama sekitar 15-20 minit sehingga bewarna kuning keemasan!

Selamat mencuba!!


Wednesday 1 April 2015

Hasil Meroti Sepanjang Ketiadaanku

As-salam.

Sepanjang kehilangan Mak Aji dari blog, boleh tahan jugalah banyaknya roti yang dihasilkan. Ada yang elok dan ada juga yang macam kena accident! (he he!!). Jom kita tengok!:

Ban dengan topping keju.
Ban dengan topping keju yang siap.
Pau berinti krim mentega.
Mexican bun/roti boy - sebelum bakar.
Mexican bun/roti boy - siap.
Ban dengan topping krim mentega.
Ban dengan topping serunding daging.
Piza mini. 
Ban pandan.
Bun with blueberry cheese topping - yang ini
serupa lepas accident apabila siap dibakar!!
Siaran ulangan ban seperti di atas sebab Pak Aji suka!
Blueberry cheese buns dengan bentuk yang lain.

Sekianlah adanya agar anda dikemas kini akan usaha 'keras' Mak Aji menyediakan hidangan roti untuk keluarga tercinta!! Mak Aji tidaklah risau sangat apabila rupa roti tidak seberapa asalkan keluarga suka. Itupun sudah cukup memuaskan hati ini - terbayar sudah lelahku!



Tumpang Sekaki

As-salam.

Dalam kemeriahan sambutan hari kemahkotaan Sultan Johor tempoh hari, Mak Aji juga ingin berkongsi rasa seronok apabila menyaksikan majlis tersebut di kaca TV, walaupun Mak Aji bukannya rakyat Johor. Mak Aji cuma sempat menyumbang khidmat sebagai penjawat awam di Johor (dan juga Melaka) selama satu setengah tahun sahaja. Dalam tempoh tersebut Mak Aji sempat ke Istana Pasir Pelangi untuk menghadap baginda berdua. Sebenarnya kami berurusan dengan YM Raja Zarith Sofia dan berpeluang berjumpa dengan Tengku Mahkota (ketika itu) di pintu masuk ke istana.

Mak Aji kongsikan fotonya ya!:         

Cuba teka siapa di kanan itu - siapa lagi bukan yours truly!!
Mak Aji serta seorang pegawai dari institusi kami serta pegawai dari
Jabatan Kebudayaan Negeri Johor serta pihak UTHM.



Itu antara pengalaman manis semasa berkhidmat dahulu. Alhamdulillah berpeluanglah Mak Aji menemui figura yang amat dikagumi, salah satunya kerana kecantikannya, juga tutur kata serta berbudi pekerti tinggi! 


Kek Keju untuk Ulang Tahun

As-salam.

Begitu lama Mak Aji menyepi, baru sekarang menjengah blog yang sudah bersawang ini!

Mak Aji ingin kongsikan kek keju strawberi yang ditempah khas untuk birthday boy yang menyambut ulang tahun ke-30!:

Light strawberry cheese cake with buttercream frosting and butterscotch chips!
Ulang tahun ke -30.

Sebelum anda terkejut yang Mak Aji menerima tempahan kek pula, elok Mak Aji jelaskan - tempahan dibuat oleh anak bujang Mak Aji - tempah dengan mulut saja, bukannya dengan duit ya! Kalau beginilah Mak Aji berniaga, nescaya tidak sampai sebulan Mak Aji tutup kedai ya!!

Jika anda berminat untuk cuba membuatnya sendiri, Mak Aji perturunkan  resepinya di bawah:

LIGHT CHEESE CAKE

Bahan2:

300ml susu segar
6 keping keju kraft (Mak Aji pakai jenama lain)
3 biji telur gred A (Mak Aji pakai 4 biji telur gred B)
90g gula halus
110g tepung gandum
1 sudu kecil esen vanilla
110g mentega
Strawberry filling secukupnya

Cara2:

Panaskan ketuhar ke suhu 170c, lenserkan loyang dgn mentega dan tabur tepung atau alaskan dengan kertas minyak.
Dengan api perlahan, panaskan susu dalam periuk dan masukkan kepingan keju. Kacau sehingga cair dan masukkan mentega/marjerin.Kacau sehingga mencair dan ketepikan.
Asingkan putih dan kuning telur (kuning telur diletak di dalam bekas yg agak besar untuk 1 adunan)
Pukul putih telur bersama gula halus sehingga menjadi meringue (adunan betul2 ringan sehingga bekas diterbalikkan adunan x tumpah. Jangan overbeat ya!)
Pukul kuning telur sehingga berkrim dan tambahkan adunan susu yg dipanaskan tadi..kacau perlahan.
Ayakkan tepung gandum ke dalam adunan dan kaup balik sehingga sebati.
Setelah itu masukkan adunan meringue dan kaup balik lagi sehingga sekata
Masukkan esen vanilla dan sebatikan adunan
Ambil loyang yg sudah dilenserkan tadi dan tuangkan adunan kek tadi. 
Bakar pada suhu 170c menggunakan kaedah bain-marie (letakkan loyang adunan di dalam loyang lebih besar yg berisi air panas ketika membakar) selama 60 minit atau sehingga masak (bergantung pada jenis oven)

Setelah kek masak, sejukkan di atas redai. Apabila sejuk paipkan buttercream frosting di sekeliling kek sebagai sempadan. Hiaskan dengan butterscotch chips. Tuangkan strawberry filling di tengah-tengah kek. 

SIAP!! Selamat mencuba!

Sumber resepi asal: http://sue-hasue.blogspot.com/2010/04/light-blueberry-cheese-cake.html





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...