Followers

Tuesday 28 February 2012

Petikan Kata-kata Hikmah

Mak Aji nak kongsi kata-kata hikmah berikut, semoga boleh dijadikan peringatan untuk kita semua:

Kata Sahal bin Abdullah at-Tusturi:

Tanda-tanda mencintai Allah adalah mencintai al-Quran dan mencintai Nabi saw. Tanda-tanda mencintai Nabi saw adalah mencintai sunnahnya. Tanda-tanda mencintai sunnah adalah membenci dunia. Tanda-tanda membenci dunia adalah enggan mengambilnya melainkan untuk bekalan menuju akhirat.

Sumber: http://al-fanshuri.blogspot.com/

Jadi Misi

Pak Aji balik dari Kelantan (dan juga Thailand) siap dengan demam dan batuk yang agak teruk. Semalaman dia (termasuklah Mak Aji juga) tidak dapat tidur kerana terpaksa bangun kerana batuk (berkahak, terpaksa dikeluarkan, minum air, makan ubat batuk). Begitulah keadaannya hinggalah ke pagi. Sekarang dia makan antibiotik lagi (pusingan yang kedua sebab pusingan pertama tiada kesan, begitu juga demamnya yang tidak kebah-kebah). Sudah dua malam begini, sehinggakan Mak Aji rasa macam dia seakan hendak semput aja. Bukan kepala dia sahaja yang tidak betul, Mak Aji juga sama sebab tidur yang terganggu - almaklumlah orang tua, terganggu tidur saja, semua 'stesen' lari tuningnya!  

Jadi, Mak Aji terpaksalah ambil cuti kecemasan kerana hendak menjaga Pak Aji yang bukan sahaja tidak larat hendak bangun, tidak lalu makan tetapi tetap perlu makan ubat. Takut juga kalau apa-apa berlaku sebab dia seorang di rumah!

Misi Mak Aji tidaklah semuda dan selawa ini!!
Untuk tengah hari Pak Aji pesan hendak makan nasi air dengan ikan masin. Jadi itulah yang Mak Aji buat - nasi air (dengan ayam seketul sebagai perencah) ditemankan dengan ikan tamban masin. Mak Aji yang sihat pun terliur juga!

Nasi air dengan isi ayam yang dicarik-carik
Ikan tamban masin, kacang goreng, cili kicap dan bawang goreng
Alhamdulillah Pak Aji makan juga semangkuk. Berbaloi masak nasi air untuk dia (Mak Aji makan semangkuk setengah, syyyy!!).

Larangan Merokok

Umum memang mengetahui bahawa zon larangan merokok sudah ada di kebanyakan tempat awam di negara kita terutama tempat awam seperti hospital, sekolah, pejabat-pejabat kerajaan dan sebagainya. Ada pula kawasan lain yang dijadikan zon larangan merokok atas faktor keselamatan, seperti di stesen minyak. 

Masih ramai yang 'tidak tahu' membaca!!
Pernahkah anda melihat spesis perokok ini dengan sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap larangan ini? Mak Aji terjumpa spesis yang sebegini beberapa kali. Pada hari minggu yang lepas Mak Aji ternampak lagi spesis yang sama di stesen minyak Petronas di Kuang. Dengan selambanya dua perokok yang 'kebal' peraturan ini merokok di belakang sebuah kereta mewah, di hadapan stesen tersebut. Mak Aji ternampak semasa ingin keluar dari stesen. Mak Aji masuk semula dan memaklumkan perkara itu kepada pekerja di kaunter dengan harapan agar dia menggunakan sistem PA untuk membuat pengumuman agar larangan tersebut dipatuhi. Selepas memaklumkan Mak Aji terus keluar tetapi tiada apa-apa tindakan sebegitu. Mak Aji cuma menggelengkan kepala dan terus keluar dari stesen (sebelum stesen minyak meletup ke, apa ke??), agak hampa dengan teguran yang tidak diambil tindakan. Begitu juga dengan dua pemuda spesis perokok yang dengan selamba merokok, macam dunia ini dia yang punya, dengan tiada rasa bersalah dengan perbuatan tersebut yang meletakkan orang lain di situ dalam keadaan bahaya!!! Siapa kata orang yang mampu berkereta mewah cukup 'sekolah'nya??   

Monday 27 February 2012

Sup Kambing Restoran Taqwa, Bukit Rahman Putra

Pak Aji kurang sihat, demam agak teruk, jadi terpaksa bawa dia ke klinik Putra di Bukit Rahman Putra. Selesai di klinik kami ke Restoran Taqwa yang berdekatan. Kami pesan sup kambing sebab Pak Aji berasa kurang berselera untuk makan nasi atau roti canai. Kami makan dengan roti keping. Rasa memang sedap, apa lagi dengan cuaca yang agak sejuk sebab hujan. 

Foto supnya tiada sebab sibuk melayan orang itu yang kurang sihat. Walau bagaimanapun, memang boleh direkomen kepada sesiapa yang berminat sebab memang sedap!!  

Sekadar hiasan - beginilah lebih kurang rupa supnya!

ABC Terbaik di Sungai Buloh!!

Sekadar hiasan
Untuk makan tengah hari Mak Aji ajak anak-anak dan anak buah ke Restoran Periok untuk makan nasi beriani dan yang paling Mak Aji hajatkan, ABC-nya! Pertama kali makan terus tertawan - harga sekitar RM3, tidaklah manis sangat (kena dengan selera), cukup tambahannya - kacang dan segala macam. Niat di hati Mak Aji hendak merakamkan fotonya untuk tatapan bersama - hajat tidak kesampaian sebab - alasan restoran - pembekal ais tidak membawa bekalan ais utk dibuat ABC pada hari itu! To me, such a lame excuse! Sepatutnya diusahakanlah agar pengunjung tidak kecewa! Memang besar hajat sejak dari rumah lagi, namun tidak terpenuh. Apa hendak dikata, tiada rezeki! Lain kali sahajalah.

ABC tidak ada tetapi nasi beriani tetap ada, tidak apalah, hadaplah sahaja rezeki yang di hadapan mata. Selepas menempah satu beriani kambing untuk Boy, 3 beriani ayam untuk Mak Aji dengan Hanif serta Alif, kami makan dengan minuman masing-masingnya, soda bandung (manis sangat untuk Mak Aji - sudah cakap agar dibancuh kurang manis), nescafe periok (memang pelik soda ditambah kepada nescafe - dari segi rasa, memang pelik - sekali cuba terus tutup buku!), Alif pula penakut lantas meminta teh ais sahaja - pilihan selamat - you can never go wrong with teh ais!

Tunggu kau ABC - I will come again one fine day!

Saturday 25 February 2012

Samsung Galaxy Capai Jualan 20 Juta Unit di Seluruh Dunia


Berita baik untuk Samsung. Telefon pintar Galaxy S2-nya telah terjual lebih daripada 20 juta unit di seluruh dunia.

Telefon bimbit Android yang paling popular ini mencapai angka tersebut dalam tempoh kurang daripada enam bulan selepas mencapai tahap jualan 10 jutanya - lantas menjadikannya peranti Galaxy yang terlaris setakat ini.

Telefon ini diperkenalkan pada bulan April tahun lalu dan ini bermakna secara purata unit telefon ini terjual sebanyak 2 juta unit sebulan.

Samsung Galaxy S2 mempunyai 1.2GHz dual-core processor, dengan kamera belakang lapan megapixel, 1GB pada RAM-nya serta Android's Gingerbread mobile operating system. Upgrade kepada Android 4.0 Ice Cream Sandwich dikatakan akan berlaku pada bulan hadapan.

Samsungdijangkakan akan memperkenalkan Samsung Galaxy S3 pada tahun ini juga. Walaupun begitu, syarikat telah mengesahkan bahawa model baharu ini tidak akan diperkenalkan pada bulan ini di  Mobile World Congress di Barcelona.

Source: www.digitalspy.co.uk
Diterbitkan pada: 24 Feb.,  2012.

Wanita Ditolak ke Atas Landasan Keretapi London (Tube)

Wanita ditolak ke landasan keretapi
Gambar CCTV yang mengejutkan menunjukkan saat seorang wanita ditolak ke landasan keretapi di stesen   London Underground Tube dalam suatu serangan yang dijangkakan dibuat secara rambang.

Dalam sebuah klip yang disiarkan oleh Polis Pengangkutan British, seorang wanita berusia 23 tahun dilihat berjalan melalui Stesen Leicester Square.

Beliau berjalan di tepi platform Northern Line platform apabila seorang lelaki yang berjalan dari arah yang bertentangan tiba-tiba menolaknya ke atas landasan.

Apabila wanita itu jatuh dengan kepalanya hanya beberapa inci sahaja daripada wayar elektrik hidup, lelaki itu cabut lari meninggalkan wanita itu terbaring di hadapan pintu masuk terowong.

Teman lelaki wanita itu menangkap penyerang itu dan kedua-duanya jatuh ke lantai. Orang ramai yang lalu-lintas menyelamatkan wanita itu dengan mengangkatnya naik. 

Lelaki itu berusaha memberkas penyerang misteri itu tetapi penyerang itu berjaya melepaskan diri. 

Wanita itu dibawa ke hospital dengan luka di bahagian sisi tubuhnya, dan telah pun keluar dari hospital.

Serangan ganas itu berlaku pada jam 11:20 malam pada 16 September tahun lepas dan telah disiarkan dalam sebuah dokumentari BBC bertajuk The Tube.

Sajan Fin Egan dari Polis Pengangkutan British, pegawai penyiasat kes ini berkata "Ini merupakan tindakan yang berbahaya dan cuai serta boleh kesan yang amat buruk sekiranya keretapi Tube masuk ke stesen.

"Platform memang sibuk pada ketika itu, iaitu pada hari Jumaat malamnya dan saya memohon agar kalau ada sesiapa yang mengecam penyerang itu atau yang menyaksikan kejadian itu agar menghubungi kami."

Lelaki dalam imej itu berkulit putih, berusia sekitar 40 tahun dan agak kurus.

Dia memakai kemeja biru dan jaket hitam dan juga topi hitam yang lebar serta cermin mata oren atau kuning.

Polis juga menyebut bahawa orang itu bercakap dengan pelat Eropah.


Sumber:  www.thesun.co.uk

Hadiah Kerusi

Lewat petang semalam anak Mak Aji, Zhafran balik dari tempat kerja. Mak Aji yang berada di bilik terdengar orang mengoyak-ngoyak plastik - entah apalah pula tu?? Keluar dari bilik Mak Aji ternampak kejutan ini - hadiah kerusi pejabat untuk Mak Aji - untuk SOHO Mak Ajilah!! Jazakallah Zhafran - bila sudah menggunakannya, baru Mak Aji sedar yang Mak Aji benar-benar perlukannya, pelik kan?? Ini dia kerusinya dan inilah SOHO Mak Aji!:

Alhamdulillah, cukup selesa!
My very own  SOHO (Small Office Home Office)! 
Bunga kegemaranku - buatku senyum!!


Tahniah Yusry dan Lisa Surihani

Lovey-dovey Yusry and Lisa 
Mak Aji juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepasa pasangan mempelai yang baru sahaja diijabkabulkan sebagai suami isteri yang sah, Yusry dan Lisa Surihani! Mak Aji memang minat Lisa yang agak bersih daripada apa-apa gosip yang bukan-bukan, suatu model pelakon yang harus dicontohi pelakon-pelakon lain! Harapan agar mereka akan terus dirahmati Allah dan hidup bahagia hingga ke akhirat nanti, insya-Allah!


Ni ada satu lagi video di Youtube tentang majlis mereka!

http://www.youtube.com/watch?v=nWjVaodGjzQ&feature=email

Hartawan Wariskan RM10 kepada Anak-anak

Yeo Chong Lin
Hartawan perkapalan, Yeo Chong Lin akan hanya mewariskan S$1 (RM2.40) kepada setiap empat orang anaknya.

Warga Singapura berusia 77 tahun itu juga tidak meninggalkan sesen pun untuk teman wanitanya selama enam tahun. Sebaliknya Yeo meninggalkan keseluruhan hartanya sebanyak S$45juta (RM109juta) kepada tujuh adik-beradiknya.

Beliau memaklumkan Lianhe Wanbao bahawa beliau sudah memutuskan hubungan dengan anak-anaknya.

Yeo, pemegang saham utama Yeo Holdings, kalah dalam saman perceraian yang menyebabkan beliau terpaksa membayar S$24juta (RM58juta) kepada bekas isterinya, Nancy Tay pada tahun lepas.

Wang tersebut d ibawah jagaan anak sulungnya yang berusia 56 tahun.

Foto yang diambil lama dahulu

Sebelum itu, hartawan itu telah menyerahkan S$25juta (RM60juta) wang tunai dan juga saham syarikat kepada anak bongsunya, 45, dan S$15juta (RM36juta) kepada kedua-dua anak perempuannya - berusia 48 dan 54.

Yeo berkata bahawa keempat-empat anaknya dan lapan cucunya tidak pernah mengunjunginya atau menelefonnya sejak itu.

"Walau apapun yang berlaku, saya masih bapa mereka. Namun, mereka tidak mengendahkan saya selepas mengambil wang tersebut. Mereka tidak bertanya khabar pun," kata Yeo.

Yeo, yang memulakan kerjayanya sebagai kerani perkapalan pada usia 17, merupakan seorang jutawan atas usaha sendiri.

"Keluarga saya amat miskin. Bapa saya tidak meninggalkan basikal pun semasa dia meninggal dunia.

"Selama 60 tahun lepas, saya bekerja keras setiap hari, mengorbankan diri saya agar keluarga saya dapat hidup dengan selesa.

"Saya menghantar anak-anak saya belajar ke luar negara. Mereka juga tidak perlu bekerja untuk membayar yuran pengajian mereka, mereka juga boleh memandu kereta baru.

"Mereka tidak pernah menghargai pengorbanan saya. Saya tidak pernah berhutang apa-apa dengan mereka!"

Yeo, yang sekarang tinggal dengan teman wanitanya, berkata bahawa dia tidak akan kahwin lagi.


Sumber berita dan foto: sinchew.com.my
Diterbitkan pada: 24 Feb., 2012

Thursday 23 February 2012

Patutkah Wanita Mengandung Menggunakan Telefon Bimbit?

Telefon bimbit begitu meluas penggunaannya dalam sedekad yang lalu dan malangnya ia sudah menjadi suatu kelaziman sebelum kesan sebenarnya terhadap kesihatan didedahkan.

Akibatnya, kita mula melihat kesannya, seperti beberapa kesan terhadap kesihatan yang termasuklah ketumbuhan otak, gangguan kognitif, kerosakan DNA, risiko terhadap kesuburan dan banyak lagi.

Kanak-kanak yang mempunyai tengkorak yang nipis, otak yang lebih kecil, tisu otak yang lebih lembut dan sel yang berkembang dengan lebih cepat, adalah lebih mudah mengalami akibat buruk daripada telefon bimbit berbanding orang dewasa. Jadi, bayi di dalam kandungan mungkin juga mengalami risiko yang sama malah lebih besar lagi.

Sebenarnya, kajian baru menunjukkan bahawa kesan penggunaan telefon bimbit yang kronik terhadap otak janin haiwan dan kesannya amat teruk.
Telefon bimbit dipercayai mempunyai kesan negatif terhadap janin, terhadap anda dan anak-anak anda. Pada tahun 2008 pengkaji menganalisis hampir 13,000 kanak-kanak dan mendapati bahawa pendedahan kepada telefon bimbit semasa dalam kandungan, dan juga sebagai kanak-kanak dikaitkan dengan masalah kelakuan.

Kajian tersebut juga mendapati bahawa ibu yang menggunakan telefon bimbit 54 peratus lebih cenderung mempunyai anak-anak yang mempunyai masalah kelakuan. Apabila kanak-kanak itu sendiri  menggunakan telefon, mereka didapati:

80 peratus lebih cenderung menghadapi masalah kelakuan (behavior)
25 peratus lebih cenderung menghadapi masalah emosi
34 peratus lebih cenderung menghadapi masalah hubungan dengan rakan sebaya
35 peratus lebih cenderung hiperaktif
49 peratus lebih cenderung menghadapi masalah kelakuan (conduct)

Petua Keselamatan Untuk Pengguna Telefon Bimbit

Anda boleh minimumkan pendedahan kepada radiasi elektromagnetik daripada telefon bimbit dan alat tanpa wayar lain dengan mengikuti nasihat berikut:

Kanak-kanak Tidak Boleh Menggunakan Telefon Bimbit: Kanak-kanak tidak boleh menggunakan telefon bimbit atau alat tanpa wayar yang lain kerana mereka terdedah kepada radiasi. Ini kerana tengkorak mereka jauh lebih nipis berbanding orang dewasa.

Kurangkan Penggunaan Telefon Bimbit: Matikan jika tidak digunakan. Gunakan untuk kecemasan atau hal-hal penting sahaja. Apabila telefon terpasang, ia mengeluarkan radiasi walaupun anda tidak membuat panggilan. Jika anda mengandung, elak atau kurangkan penggunaannya.

Gunakan Telefon Rumah atau Pejabat: Walaupun semakin ramai yang menggunakan telefon bimbit sebagai satu-satunya cara untuk dihubungi, janganlah anda terpengaruh untuk mengikuti kegilaan ini.

Kurangkan atau Jangan Gunakan Langsung Alat Tanpa Wayar yang Lain: Tanyalah diri anda, andakah anda benar-benar perlukannya? Jangan sekali-kali simpan alat-alat elektronik alat tanpa wayar di dalam bilik tidur anda kerana semua itu akan menjejaskan tidur yang berkualiti.

Gunakan Telefon Bimbit Hanya Jika Resepsinya Baik: Lebih lemah resepsi, lebih banyak kuasa yang digunakan oleh telefon untuk transmit, jadi lebih banyak radiasi dikeluarkan, dan lebih dalamlah gelombang radio memasuki tubuh anda. Anda sepatutnya hanya gunakan telefon apabila resepsinya bagus sahaja.

Jangan Bawa Telefon Bimbit pada Tubuh Anda: Bawalah di dalam beg dan jangan di dalam poket baju, juga jangan di dalam poket seluar sekiranya anda menghargai kesuburan anda.

Jangan Andaikan Ada Telefon Lebih Selamat Drp yang Lain: Memang tiada telefon bimbit yang "selamat."

Jauhkan Diri Anda daripada Telefon Bimbit Jika Terpasang: Tempat yang paling bahaya dari segi pendedahan radisi ialah enam inci dari antenanya. Pastikan jarak tubuh anda dengan telefon bimbit lebih daripada enam inci.

Hormatilah Mereka yang Lebih Sensitif: Ada golongan yang sensitif dan boleh berasa kesan telefon bimbit orang lain di dalam bilik yang sama. Jika anda di dalam mesyuarat, di dalam kenderaan awam, di mahkamah atau tempat awam lain, seperti di klinik matikan telefon dan elakkan penggunaannya dekat dengan kanak-kanak. 

Sumber: Dr. Mercola 23 Februari 2012

Pelik Tetapi Benar: Sedar Setelah Koma 19 Tahun

Jan Grzebdki
Seorang lelaki yang koma selama 19 tahun akhirnya bangun dan mendapati dunia ini terlalu asing baginya.

Seorang pekerja keretapi berbangsa Poland, Jan Grzebski, jatuh koma setelah mengalami kemalangan akibat dilanggar keretapi. Beliau mengalami kecederaan yang amat teruk apabila kepalanya tersepit di antara dua buah gerabak keretapi.

Beliau sedar dari koma pada hari Ahad, 3 Jun, 2007 dengan melihat wajah isterinya yang setia, Gertruda memandang wajahnya. Isteri beliau telah menjaganya dalam tempoh yang panjang itu tanpa jemu.

Para doktor menganggarkan bahawa Grzebski akan hanya hidup selama dua tahun selepas koma pada tahun 1988 dan doktor mendapati terdapat ketumbuhan pada otaknya.

Walaupun begitu, beliau masih sihat berkat kesungguhan isterinya menjaganya dengan penuh kasih sayang. Isterinya memberinya makan, memandikan suaminya yang kaku itu setiap hari dan mengalih-alihkannya setiap sejam sekali untuk mengelak daripada jangkitan kerana terlalu lama berbaring.

Menurut doktor, istaerinya telah melaksanakan "tugas umpama suatu pasukan penjagaan rapi."

Berkat dedikasi isterinya, pada usia 65 tahun Jan sedar daripada komanya. Beliau memberitahu ahli keluarganya bahawa beliau hanya ingat-ingat lupa akan saudara-mara yang berhimpun dan bercakap dengannya demi untuk mendapatkan respons daripadanya. 

Apabila beliau sedar semula dunia cukup berbeza daripada dahulu yang berada di bawah pemerintahan komunis.

"Apabila saya koma kedai hanya menjual teh dan cuka. "Daging dicatu dan orang ramai beratur panjang untuk mendapatkan petrol. Sekarang saya lihat orang ramai di jalan raya menggunakan telefon bimbit dan terdapat begitu banyak kedai yang menjual pelbagai barang hinggakan kepala saya pening."

Setahun selepas Jan mengalami kemalangan Poland bukan lagi negara komunis dan bermula menjadi negara moden seperti sekarang.

Iklan TV dan fesyen begitu asing kepada Jan. Beliau begitu teruja dengan jalan raya dan barangan yang berwarna-warni dan beliau berkata dunia lebih cantik sekarang.

Berikut peristiwa yang tidak sempat beliau alami semasa koma:

1989 – Askar Soviet meninggalkan Afghanistan; Rubtuhnya tembok Berlin

1990 – Panggilan pertama menggunakan telefon bimbit

1991 – Perang Teluk yang pertama

1993 - Bill Clinton menjadi Presiden Amerka Syarikat

1997 - Puteri Diana meninggal dunia dalam kemalangan di Paris

2001 – Tragedi 11 September

2003 – Perang Teluk Kedua; MySpace.com dilancarkan

2005 - Pope John Paul II, warga Poland, meninggal dunia

Isteri beliau yang setia menunggu berkata bahawa dia tidak pernah putus asa, dia menangis dan banyak berdoa sepanjang tempoh tersebut

Gertrude yang begitu gemnbira dengan keadaan suaminya, Ian berkata: "Inilah ganjaran berkat jagaan, keyakinan dan kasih sayang."

- 6 Jun, 2007

Sumber: Daily Chili, The Star

Makanan dan Kesihatan

Berikut petikan dari Kitab Tibb al-Rauhi as-Sufi karangan Sheikh Hakim Moinuddin Chisti Bab 4 untuk renungan kita bersama:

"Hidup di dunia ini adalah satu daripada peringkat (maqam) perjalanan menuju Allah dan badan ini adalah kenderaan bagi perjalanan itu. Oleh itu, perlulah seseorang pengembara itu memelihara badannya supaya berkeadaan baik agar badan itu sihat dan selesa. Dengan cara itulah kesakitan dan ketidakselesaan akan memalingkan pengembara itu dalam konsentrasi terhadap matlamatnya."

Monday 20 February 2012

Pelik Tetapi Benar: Mati Kerana Makan

Kejadian pelik ini berlaku pada tahun 2005 di Taman Negara Everglades, Florida, Amerika Syarikat. Seekor ular sawa gergasi berukuran 13 kaki (3.9m) meletup selepas menyerang dan mencuba untuk menelan seekor aligator (spesis buaya). Renjer taman negara tersebut menjumpai ular itu terbaring dengan seekor aligator berukuran 6 kaki   (1.6m) terjulur di bahagian perut ular itu!! (Itulah dia, agak-agaklah apa yang hendak dimakan!!)

Cuba bayangkan ular sawa hendak menelan aligator seperti ini - mana tidak pecah perut??!!
Entah apalah yang ditelannya!
Mak Aji sendiri pernah melihat ular sawa yang dijumpai orang kampung selepas menelan seekor babi. Macam inilah lebih kurang rupanya:

Ular sawa telan babi hutan
Sumber Foto: Google
Sumber berita: http://www.weirdfacts.info/

Sunday 19 February 2012

Petua di Dapur: Singki Tersumbat

Mak Aji yakin semua orang ada mengalami masalah seperti ini. Mari kita lihat cara terbaik untuk menanganinya dengan mudah:

1. Tuangkan baking soda sebanyak satu cawan ke dalam lubang singki. 
2. Tuangkan 3 cawan air panas yang baru menggelegak ke dalam lubang yang sama.

*Air panas mengubah baking soda menjadi sodium karbonat, sejenis pembersih longkang yang berkesan. Baking soda juga lebih selamat berbanding pencuci longkang komersial yang lain yang boleh membawa kesan terhadap kulit, mata, paru-paru serta boleh membawa kesan terhadap bekalan air. 

Sumber: www.marthastewart.com

Hotel 7 Bintang


Hotel Burj Al Arab, Dubai dibuka pada 1999 dan secara rasminya diumumkan sebagai satu-satunya hotel 7 bintang, selain hotel tertinggi dan termewah di dunia. 

Reka bentuknya menyerupai layar terkembang yang mencapai ketinggian 321 meter dan menghiasi pesisir pantai Dubai. Laman web hotel mendakwanya sebagai terulung di dunia. Di hotel ini anda sebagai tetamu akan menaiki kereta Rolls Royce siap dengan pemandunya. Terdapat juga khidmat butler 24 jam. Anda boleh mendaftar masuk secara sulit di bilik penginapan anda. Terdapat juga kaunter daftar masuk di setiap aras. Itulah antara beberapa keistimewaan hotel ini. 

Jamulah mata anda dengan beberapa foto berikut:

Restoran Al Mahara
Dewan Al Falak
Suite Di-Raja
Suite Di-Raja
Suite Di-Raja
Jakuzi
Atrium
Lobi
Hotel dari luar
Catatan: Tepuk dada, seluk kocek, ada tebal ke?? Jom gi Dubai! (takde homestay ke kat sana??).

White Noise

Pernahkah anda menghadapi masalah tidur? - sama ada susah hendak tidur atau kalaupun tidur, anda tidak mendapat kualiti tidur yang baik yang bakal menjadikan anda bangun pada pagi keesokannya dalam keadaan segar bugar?  

Sebenarnya kualiti tidur yang kurang baik akan menjejaskan kesihatan anda kerana anda berisiko untuk mendapat tekanan darah tinggi dan berisiko untuk mendapat penyakit jantung. Terdapat pelbagai petua yang kita pernah dengar dan baca tentang kaedah mendapatkan tidur yang berkualiti.

Pernahkah anda dengar tentang White Noise? Mari kita baca terjemahan petikan di bawah yang mengiklankan White Noise yang boleh dimuat turun dari internet:

White Noise mendapat liputan meluas dalam Health Magazine, The Washington Post, New York Times, PC Magazine, dan disebut-sebut oleh beribu pelanggan yang berpuas hati.  Dapatkan maklumat mengapa kita boleh tidur dengan lebih baik lagi dengan bantuan White Noise.

Anda mahu tidur lebih nyenyak?  Atau perlu bantuan untuk merehatkan badan? Adakah anda berada di hotel dan anda asyik teringat-ingatkan bunyi kipas atau pendingin hawa anda di rumah?  Anda berada di dalam pesawat dan anda mahu tidur sebentar?

White Noise menyediakan bunyi alam sekitar yang menyegarkan untuk membantu anda beristirahat atau tidur.  Ini termasuklah bunyi beralun yang berkualiti tinggi seperti bunyi ombak, bunyi cengkerik pada waktu malam, atau bunyi hujan turun.

Istirakatlah. Tidurlah dengan lebih nyenyak. Rasalah lebih segar kesokaan paginya.


Berikut pula contoh White Noise yang dimaksudkan itu:


Catatan: Sebenarnya White Noise ini memang dapat kita peroleh secara percuma/semulajadi sekiranya kita tinggal di kawasan kampung atau di tepi laut yang lebih dekat dengan alam sekitar yang semulajadi. Betapa jauhnya kita daripada kehidupan nenek moyang kita dahulu! Tidak hairanlah mereka tidak mendapat penyakit seperti yang dihidap oleh manusia zaman moden ini!

Saturday 18 February 2012

Bungkus Hadiah Cara Baharu

oleh: CHIN MUI YOON 

star2@thestar.com.my



Lupakan kertas dan pita perekat. Untuk gaya hidup yang lebih hijau, cubalah membungkus hadiah mengikut kaedah tradisi Jepun — gunakan fabrik.
Orang Jepun memang terkenal dengan seni membungkus hadiah yang begitu kreatif dan berseni. Mereka bukan sahaja menggunakan kaedah yang begitu menarik malah mesra alam dan tidak lekang dek zaman.
Gaya membungkus hadiah cara furoshiki menggunakan fabrik tradisional telah digunakan berkurun lamanya; kata itu berasal dari zaman Edo lagi (c. 1600-1800CE) dan pada mulanya digunakan untuk menjelaskan kain polos yang dipotong empat segi dan digunalan untuk membungkus pakaian di sento (tempat mandi awam). Kemudiannya para pedagang menggunakan potongan kain yang serupa untuk membungkus barang dagangan mereka dan selepas itu orang ramai mula menggunakannya untuk membungkus hadiah.
Apabila plastik mula digunakan pada zaman moden, cara membungkus ini menjadi kurang popular. Walaupun begitu kaedah ini mula kembali popular sebagai kaedah yang mesra alam serta chic untuk membungkus hadiah. Kini, furoshiki diperbuat daripada kepingan fabrik sutera, chirimen (crepe sutera, yang biasa digunakan untuk membuat kimono), kapas, linen, rayon dan juga nilon. Bungkusan fabrik ini begitu versatil dan dalam pelbagai saiz yang boleh memuatkan hadiah sebesar tapak tangan sehinggalah fabrik lebih besar daripada cadar. 
Jo-Ann Yeoh dengan peragaan fabrik furoshiki di kedainya.
Sejak kebelakangan ini, furoshiki muncul di Malaysia, dan sekarang, sebuah kedai cenderamata Give! mula mengetengahkan gaya ini. Kedai ini merupakan idea orang yang sama yang memulakan rangkaian Memory Lane yang menjual cenderamata dan kad ucapan.
“Saya mula mengenali furoshiki semasa bekerja di Japan pada awal 1990-an dan saya sentiasa teringat-ingatkannya,” kata Jo-Ann Yeoh, pengarah urusan Memory Lane dan Give!.
“Orang Jepun bukan sahaja menggunakan fabrik untuk membungkus hadiah malah barangan seharian juga. Rakan sekerja saya biasa menggunakan kain untuk membungkus bekalan makanannya dan membawa punjut kain itu ke pejabat setiap hariy. Dan di pusat membeli-belah kita boleh meminta agar mereka menggunakan kain dan bukannya kertas untuk membungkus hadiah kita.”
Dengan itu lahirlah Give!. Kunjungan pada hari minggu ke kedai itu menyaksikan kedai tersebut penuh dengan pelanggan yang memohon untuk mendapatkan gaya membungkus yang unik ini.
Laci-laci kecil di kedai itu menyimpan pelbagai jenis fabrik kecil yang digulung dan diikat dengan kemas. Fabrik ini dalam pelbagai saiz untuk memuatkan pelbagai saiz hadiah. Pelbagai corak fabrik disediakan -  cherry blossoms berlatarbelakangkan langit biru, corak berkotak, berjalur dan berbintang dan sebagainya. 
Apabila Yeoh membeli kain furoshiki Jepun yang klasik, beliau juga membeli pelbagai pilihan dabrik yang lebih mampu dibeli yang diperoleh daripada pembekal tempatan dan dari seluruh Asia. Jadi, terdapat juga fabrik batik dengan corak bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan serta songket dengan benang emas dan juga motif kartun yang comel.
Dibungkus dengan penuh kasih sayang: Anda boleh menghias hadiah yang dibungkus kain ini dengan riben sutera atau kertas, manik dan sebagainya, ataupun huruf dengan nama penerimanya. — Chin Mui Yoon/The Star
Give! juga menyediakan khidmat membungkus hadiah, dengan menyediakan pelbagai hiasan serta menjadikan hadiah lebih istimewa. 
Kedai Give! yang pertama dibuka di Suria KLCC pada tahun lepas. Ada pelanggan yang mahukan agar sebuah kereta dibungkus dengan furoshiki – dan penerima hadiah yang bertuah ini mesti boleh membuka hadiah ini dengan sekali 'sentap' sahaja!
Ada juga pelanggan yang meminta agar dibungkus sebuah kota – berisi wang tunai enam angka!!
Mengikut Yeoh,“Hadiah merupakan ekspresi yang membayangkan siapa kita dan siapa penerimanya kepada kita."
“Saya pernah menganjurkan parti baking untuk anak perempuan kawan saya dan saya membuat 12 helai apron kecil yang setiap satunya dijahit labuci mengikut nama tetamu. Terdapat juga topi yang sedondon dengan apron itu. Begitu seronok sekali anak perempuan itu dan kawan-kawannya.
“Seorang lagi kawan saya begitu meminati Donny Osmond, jadi saya sentiasa menghadiahinya kalendar Donny Osmond setiap tahun. Sudah menjadi seolah-olah tradisi antara kami!”
Dan apakah hadiah paling istimewa yang pernah diterima oleh Teoh?
“Tentunya iPad yang saya baru dapat daripada kawan yang saya jaga semasa dia sakit. Memang hadiah itu agak  simple, tetapi saya memang suka sebab memang saya inginkannya.
“Saya sering ditanya tentang apa hadiah yang sesuai diberi. Saya sering memberi jawapan, hadiah bergantung pada orang yang menerimanya, dan hadiah mesti penerimanya gembira, bukannya hadiah yang membuat anda sebagai pemberi hadiah gembira.”
Dan jika hadiah dibungkus dengan kain, gaya furoshiki, sudah tentu penerimanya lebih gembira.
Give! terdapat di lokasi ini: C34, Concourse Level, Suria KLCC.

Catatan: Berita ini mengingatkan Mak Aji tentang kain saprah yang digunakan oleh orang-orang tua kita pada masa lalu. Kain ini bukan sahaja untuk menjadi alas makanan semasa makan bersila/bersimpuh, malah juga dijadikan pembungkus buah tangan/hadiah apabila berkunjung ke rumah rakan taulan!! Macam sama saja!!

Friday 17 February 2012

Cincin Emas 24 'Carrot'

              

The wedding ring on the carrot. Pic from www.thesun.co.uk
Cincin kahwin pada lobak merah. Foto daripada www.thesun.co.uk
Seorang wanita yang kehilangan cincin perkahwinannya 16 tahun lalu telah menjumpainya - pada lobak merah yang tumbuh di kebunnya. 
Lena Paahlsson dahulunya menanggalkan cincin emas putih itu dan meletakkannya sebelum memasak kek Krismas bersama-sama anaknya pada tahun 1995.
Cincin tersebut hilang terus meskipun pelbagai usaha mencari dilakukan- termasuklah menanggalkan papan lantai  — Lena tidak terfikir untuk menjumpainya lagi. Semasa beliau menuai lobak merah beliau perasan sesuatu seperti cincin pada lobak merahnya.  
Beliau dan suaminya Ola, yang tinggal di ladang di Utara Sweden yakin bahawa cincin itu terjatuh ke dalam singki dan tercampur dengan kulit ubi kentang yang dibuat kompos dan diletakkan di kebunnya. Lena berkata: "Saya sebenarnya sudah putus asa untuk menjumpainya."


Catatan: Kalau sudah rezeki, tidak akan ke mana!

Gara-gara Tiada Tandas

Gambar sekadar hiasan

Seorang pengantin baharu, Anita Narre cabut lari dari rumah suaminya di India kerana rumah tersebut tidak mempunyai tandas. Mengikut laporan BBC, Narre meninggalkan rumah kerana ketiadaan tandas dan akan hanya pulang setelah suaminya membina tandas baharu. Suaminya, Shivram, seorang pekerja bergaji hari, berkata bahawa dia tidak mampu mengadakan tandas kerana tidak cukup wang untuk berbuat demikian. 
Mengikutnya, tandas yang baru dibina menggunakan wang simpanannya dan juga dengan bantuan pihak   "village council,” telah berjaya meyakinkan isterinya untuk kembali kepadanya selepas lapan hari. 

Sebuah NGO mengumumkan bahawa hadiah sebanyak  $10,000 diberikan kepada Narre kerana bertindak “berani” dan memaksa suaminya membina tandas, lapor BBC.
Kebersihan merupakan masalah besar di India dan lebih separuh bilion rakyatnya menghadapi masalah itu.
Dalam satu temu duga Anita telah menekankan tentang hak wanita terhadap kebersihan. 
“Agak kurang manis bagi wanita untuk membuang air besar di luar. Sebab itulah setiap buah rumah mesti ada tandas. Mereka yang tiada tandas mesti pastikan mereka akan membinanya,” kata Anita kepada BBC.


Sumber: The Korean Herald/ANN
Diterbitkan pada 16 Feb  2012

Thursday 16 February 2012

Peringatan untuk Muslimah

Esok hari Jumaat. Nasib baiklah hujung bulan, kalau waktu baharu dapat gaji, hari Jumaat memang ditunggu-tunggu oleh kaum wanita, apa lagi jika musim perayaan, atau musim jualan murah! Apa lagi, shoppinglah!
Bila sudah asyik melayan mata, ada segelintir yang 'lupa' nak solat. Apa kata kita layan iklan berikut:


Kalaulah ada iklan sebegini di TV kita, bukankah baik? Bukannya apa, sebagai peringatan kepada kita, bukankah kita manusia yang sering alpa, dan mesti sentiasa diberi peringatan??!!

Orang Mati Hendak Mengundi

Seorang nenek berusia 91 tahun yang merupakan seorang pengundi berdaftar (pada pilihanraya tahun 2008 dan sebelumnya) terkejut apabila mengetahui bahawa namanya terkeluar daripada senarai pengundi.

Faiz Syazwam menjamin akan menyiasat perkara tersebut.
Warga tua dari Taman Free School itu telah memohon khidmat ADUN Komtar assemblyman, Ng Wei Aik, yang membawanya ke pejabat SPR di Pulau Pinang untuk melaporkan perkara itu dan memaklumkan bahawa warga tua ini masih hidup. Selepas membuat semakan, terdapat sembilan orang dari kawasannya (semuanya warga emas) telah terkeluar dari senarai pengundi.

“Ini kesilapan besar di pihak SPR dan perbuatan ini tidak profesional." 
“Mereka  (SPR) sepatutnya membuat pemeriksaan lebih teliti sebelum mengeluarkan mana-mana nama daripada senarai,” ujar beliau selepas bermesyuarat dengan penolong pengarah SPR negeri, Faiz Syazwan Zainal Abidin di pejabat beliau di Weld Quay.
Ng mendakwa bahawa SPR memberi maklum bahawa nama-nama dikeluarkan daripada senarai kerana mereka didapati tidak aktif oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). 
“Hanya kerana ada segelintir yang tidak menukar kad pengenalan mereka kepada MyKad, ini tidak bermakna mereka sudah mati,” tambah beliau.
Faiz Syazwan menjamin akan menyiasat perkara itu dengan pihak ibu pejabat SPR di Putrajaya dan JPN.


Sumber berita dan foto: The Star 16 Februari 2012

Catatan: Sudahkah anda menukar kad pengenalan anda kepada MyKad?? Kalau belum, berbuatlah segera, kalau tidak, anda akan dianggap mati!!??? Peringatan lagi: Sebelum ke pusat mengundi, pastikan anda masih 'hidup'!! he he he!

Wednesday 15 February 2012

Idea untuk Hantaran: Bakul Bepang Kacang

Mak Aji nak kongsi idea hantaran yang memang unik, yang pertama kali dilihat - bakul daripada bepang kacang! Berikut gambarnya (gambar kurang jelas):

Ini bakulnya! (ini foto sebelum)
bepang kacang (selepas dipatah-patahkan dan selepas dimakan sebahagian)
Pada mulanya Mak Aji ingatkan bakul rotan biasa, tetapi setelah memerhatikannya betul-betul, Mak Aji cukup terkejut!! - cukup bijak dan berseni pembuatnya! Nak kena tanya bakal menantu, siapa yang membikinnya agar lain kali kalau teringin nak menempahnya tahu di mana hendak cari.

SOHO (Small Office Home Office)

Dalam menghitung hari menjelang tibanya hari Mak Aji meninggalkan dunia pekerjaan yang diceburi hampir 30 tahun, pelbagai macam perasaan menghinggap hati. Tidak sabar-sabar rasanya Mak Aji hendak lari daripada pelbagai jenis tekanan yang dihadapi sehari-hari, bermula dengan terpaksa mengharung kesesakan lalu lintas (jika keluar lambat dari rumah), menanggung tekanan kerja (yang bukan sahaja meletihkan minda malah tubuh badan juga) sehinggalah terpaksa mengharung sekali lagi kesesakan jalan raya untuk pulang ke rumah!!

Sudah hampir tiba masanya untuk Mak Aji 'bekerja' di rumah sahaja - selain menjadi suri rumah sepenuh masa, juga sebagai penterjemah dan penyunting sambilan yang berpejabat di rumah. Maka, tentunya Mak Aji perlukan ofis sendiri! Untuk itu, Mak Aji meninjau-ninjau ofis kecil orang lain di rumah:








  
Bagaimana dengan foto-foto di atas? Tentu ramai yang muda-muda pun teringin untuk membuka ofis kecil di rumah, kan?? Cukup comel dan berfungsi ofis-ofis kecil ini. Sambil membuat kerja di ofis ini, kerja rumah juga beres - boleh menterjemah sambil membasuh kain, sambil menjerang nasi, ...... dengan ringkasnya, multi-tasking!! So looking forward to!!!! (syyyyyno boss breathing down my neck!).

Tuesday 14 February 2012

Doktor Muda yang Profesional


Pernahkah anda kurang sihat dan pergi berjumpa doktor dan selepas balik berbekalkan ubat dan nasihat (kalau ada), anda berasa tidak berpuas hati? Mak Aji memang ada beberapa kali berasa begitu, dan seringkali perkara itu berlaku kerana kita kurang berpuas hati dengan layanan doktor. Ada doktor yang hendak pandang muka kita pun tidak hendak, ditanya - apa sakit, dah berapa hari? ..., ambil ubat ya! Dah??!! Kalau macam ini, bertambah sakit mahu!

Pada Mak Aji seorang doktor yang baik perlu sentiasa ingat bahawa hanya orang yang ada masalah kesihatan akan berjumpa mereka. Jika mereka sihat, tiada siapa pun yang akan ingat klinik, apa lagi doktornya. Jadi, pesakit datang dengan harapan agar masalah yang dihadapi boleh diselesaikan, sekurang-kurangnya diberi maklum akan cara menyelesaikannya (makan ubat dan sebagainya) dan mungkin juga cara mencegah agar penyakit dapat dielakkan daripada berulang.

Seorang doktor yang prihatin akan sentiasa membantu menjelaskan situasi kesihatan pesakit, tahap keseriusan, dan lain-lain dengan cara yang profesional. Doktor perlu sedar bahawa beban yang dipikul oleh pesakit akan sedikit sebanyak hilang setelah mendapat nasihat doktor yang prihatin - ada yang berasa begitu lega dengan penjelasan sehinggakan berasa sembuh dengan hanya berjumpa doktor!! Itulah keajaiban yang mampu diberi oleh doktor! (ada juga pesakit yang mengada-ngada, pura-pura sakit, tambah pula bila doktornya kacak, ish ish ish!).

Mak Aji sebenarnya berjumpa doktor pagi tadi untuk mengambil bekalan ubat yang terputus. Kebetulan doktor yang bertugas merupakan seorang doktor muda berbangsa Cina. Pada awalnya Mak Aji agak kurang yakin juga kerana umurnya macam sebaya dengan anak sendiri. Walau bagaimanapun, Mak Aji agak kagum dengan semangat yang ditunjukkannya. Beliau melayan segala macam pertanyaan yang diajukan dengan penuh profesional, menjelaskan secara terperinci agar Mak Aji berpuas hati - ini baru doktor!!

Gambar sekadar hiasan
Satu perkara yang disebutnya yang Mak Aji ingin kongsi ialah komen beliau terhadap langkah kerajaan menambah bilangan hospital demi memenuhi keperluan rakyat. Kata beliau kos penjagaan kesihatan semakin hari semakin meningkat (pembinaan hospital, ubat-ubatan dan sebagainya) dan semakin hari semakin ramai rakyat yang menghidap pelbagai penyakit. Jadi, apa yang dibuat sekarang ialah 'langkah mengubat' walhal langkah yang lebih bijak ialah 'langkah mencegah.'

Katanya kerajaan sepatutnya melaksanakan lebih banyak kempen  kesedaran kepada rakyat tentang gaya hidup sihat, dan sebagainya. Langkah seperti ini telah dilakukan dengan jayanya oleh kerajaan Singapura. Terima kasih Dr. Ng Sze Yee dari Klinik Medicare, Jalan Maharajalela atas perkongsian maklumat tadi. 

Mak Aji memang amat setuju dengan pendapat doktor itu, sebab antara lainnya tentulah langkah mencegah jauh lebih baik daripada mengubat!! Syabas doktor, Malaysia perlukan lebih ramai doktor seperti anda!

Sumber foto: Bing

Sambutan Hari Valentine

mawar merah
Tempoh hari semasa menyiapkan hantaran untuk Hanif, Mak Aji agak terkejut dengan harga bunga segar yang dibeli - harga begitu mahal berbanding biasa - rupanya sebagai persiapan untuk Hari Valentine, permintaan untuk bunga segar terutamanya mawar merah meningkat mendadak lantas harga naik mencenanak (kata dipinjam daripada arwah kawan yang gemar menggunakan perkataan ini). Maka hendak tidak hendak terpaksalah beli juga sebab sudah direncanakan sebegitu lebih awal lagi.

Berkaitan sambutan hari Valentine (pada hari ini) pula, sememangnya kita sudah sedia maklum yang kita sebagai umat Islam tidak boleh merayakannya seperti yang dibuat oleh orang bukan Islam. Walaupun begitu, kalau mahu juga memberi hadiah kepada isteri, tunang atau kawan istimewa, elakkan memberinya pada hari tersebut, carilah hari lain dan jangan sekali-kali meniru-niru mereka.

Pernah suatu ketika seorang ustaz menyebut suatu perkara yang agak mengejutkan berkaitan kes buang bayi - sekitar 9 bulan selepas perayaan hari kemerdekaan dan sambutan hari Valentine, kes buang bayi naik secara mengejut!! Mak Aji percaya kita dapat lihat perkaitan antara kedua-dua perkara ini bukan??!! Jadi kalaulah ada anak muda (golongan yang bukan muda pun ada juga yang berbuat perkara yang tidak senonoh, walaupun memang tidak sesuai dengan usia!) yang kebetulan berada di sini, membaca leteran Mak Aji ini, marilah kita sama-sama beringat-ingat, janganlah kerana terikut-ikut dengan orang, maka maruah diri dan lebih penting lagi agama kita gadaikan!  

Sumber foto: Bing
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...