Followers

Tuesday, 15 November 2011

Cinta Sepejabat

Mak Aji terbaca satu rencana dalam The Star tentang perkara di atas. Rencana ini agak menarik untuk dikongsi sebab di pejabat Mak Aji pun ada beberapa kes macam ini yang berakhir dengan perkahwinan, ada yang kahwin untuk kali pertama dan tidak kurang juga yang kahwin dengan rakan sepejabat untuk kali kedua!

bekerja ke bercinta - sambil menyelam minum air!

Rencana ini ditulis oleh Nara Schoenberg yang menyokong staf bercinta sesama sendiri sebab dia juga berkahwin dengan rakan sepejabatnya! Katanya, antara kelebihan cinta sepejabat:
  •  Anda berpeluang mengenali pasangan anda sebagai kawan dan rakan sekerja terlebih dahulu sebelum betul-betul serius dengannya sebagai pasangan: Bagaimanakah dia menangani krisis? Adakah dia orang yang setia dengan pasukan(kerja)nya? Maklumat seperti ini amat penting untuk benar-benar mengenali pasangan anda.
  • Anda mendapat pasangan yang benar-benar serius (terhadap hubungan dengan anda) dan ikhlas: Tiada siapa pun yang mahu menggadaikan hubungan baik antara rakan sepejabat atau pandangan ketua terhadap anda yang agak baik hanya kerana hubungan cinta yang sekadar main-main sahaja.
"Kebiasaannya kita tidak ke pejabat untuk tujuan mencari cinta, jadi sekiranya anda bertemu cinta, maka itu hanyalah sekadar kebetulan sahaja," begitu pendapat Loseeco, pengarang buku Office Mate: The Employee Handbook for Finding - and Managing - Romance on the Job.

Obama dan Michelle bercinta di pejabat
 Mengikut kajian dalam buku di atas, 50% pekerja pejabat pernah berdating di pejabat (kajian ini tentunya dari Amerika Syarikat?? - kurang pasti) manakala sepertiga daripada 50% tersebut akhirnya berkahwin dengan rakan sepejabat mereka itu. Contohnya, Obama dan isterinya Michelle yang pernah menjadi penasihatnya semasa beliau bertugas sebagai summer associate di sebuah syarikat guaman.

Walaupun bercinta dengan rakan sepejabat ada kelebihannya, ada juga perkara-perkara yang perlu anda elakkan:
  • Bercintalah di luar - Cinta sepejabat merujuk kaedah anda berjumpa, bukannya perangai anda di pejabat. Anda mesti elakkan menghantar e-mel atau sms berbaur cinta semasa di pejabat. Jangan sekali-kali membuang masa pejabat dengan bercinta. Semua orang suka yang anda bertemu cinta, tetapi jangan sampai orang lain berasa kurang selesa dengan situasi tersebut.
  • Cuba elakkan 'broker cinta' - Jangan layan mereka yang sengaja hendak mencari-carikan pasangan untuk anda dengan rakan sekerja lain.
  •  Jangan asyik bertukar-tukar pasangan cinta - Kalau sekali dua putus cinta, rakan lain boleh terima tetapi kalau asyik bercinta dan putus hingga berkali-kali, maka rakan sepejabat akan pandang serong kepada anda.
 Pada hakikatnya, hubungan cinta jangka panjang antara rakan sepejabat - walaupun (dicuba) secara rahsia - akan mengundang perhatian rakan sekerja lain dan biasanya akan menjejaskan pertimbangan anda. Dengan itu, jika anda berada dalam situasi ini, anda perlu sentiasa berkelakuan penuh integriti.

Sumber: (c) 2011, Chicago Tribune. Visit the Chicago Tribune on the Internet at http://www.chicagotribune.com/. Distributed by McClatchy-Tribune Information Services.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...