Followers

Wednesday 31 October 2012

Ole-ole dari Kampung

As-salam.

Kalau sebelum ini Mak Aji bertangguh untuk membuat som tham kerana tiada lesungnya yang khusus, maka sekarang tiada lagi alasan untuk tidak membuatnya lagi sebab lesung sudah diperoleh:

Lesung Som Tham!

Sekarang lesung sudah ada, betik dan cili api sedia ada di pokok, udang kering ada, nisan khasnya sudah ada. Yang tiada asam limau nipis, kangkung, tomato. Insya-Allah akan dicari nanti. Bila nak dibuatnya ya???

Aiskrim Goreng

As-salam.

Semasa dalam perjalanan balik ke KL tempoh hari, kami menyinggah untuk makan tengah hari di gerai E-rup Sup di Machang. Kami memesan  Sizzling mee dan apabila terpandang iklan aiskrim goreng, Mak Aji memesannya juga. Rasa Sizzling mee agak mengecewakan tetapi aiskrim gorengnya cukup sedap! Itu pengalaman pertama makan aiskrim goreng! Sedapp! 

Aiskrim goreng berbentuk hati.
Sekejap ada sekejap habis!

Kalau belum pernah cuba, cubalah!!



Mi Udang Raub

As-salam.

Kami balik kampung lagi pada hari raya ketiga untuk melaksanakan korban pada hari raya keempat. Bersekali dengan kami ada dua ekor lembu lagi yang dikorbankan. Dging dimasak dan dijamu orang kampung. Antara lauk yang dimasak, gulai kawah, singgang daging, sup daging, kerabu mangga. Meriah majlis dengan penyertaan orang kampung yang turut serta dari penyediaan termasuk menyembelih, melapah, memotong sehinggalah proses memasak dan seterusnya. Tambahan pula korban dilaksanakan di kampung yang majoritinya penduduk yang jarang-jarang sekali makan daging dek kerana harganya yang mahal. Yang bagusnya seluruh bahagian lembu dimanfaatkan (di kawasan perumahan Mak Aji dahulu bahagian kaki dan perut dikambus sahaja kerana tiada orang yang mahukannya dan tidak tahu memanfaatkannya!).

Foto korban tidak Mak Aji rakam kerana Mak Aji agak tidak selesa dengan darah. Sebaliknya Mak Aji ada foto mi udang yang dirakam semasa kami dalam perjalanan balik ke KL. Mi udang ini sudah beberapa kali Pak Aji makan (tukang masaknya berjanggut dan berketayap - jemaah masjid sebelah gerai ramai yang berkunjung - Pak Aji memang suka - birds of a feather flock together!

Kalau anda berminat untuk mencuba, bolehlah anda cari gerai ini yang terletak bersebelahan masjid Raub, sebelah kanan menghala ke KL. Gerainya dihujung kanan, yang paling hampir dengan masjid. Saksikan fotonya:

Sudahlah makan separuh jalan baru teringat merakam foto,
kelabu pula fotonya!
Ini warungnya

Mak Aji memang sarankan anda cuba sebab rasanya cukup sedap, tidak payah ditambah cili jeruk yang disediakan, rasanya sendiri sudah cukup sedap!! Kalau chef terkemuka (dari Perancis terutamanya - cukup marah jika kita minta kicap ke, sos cili dan sebagainya - menunjukkan masakannya kurang rasa hingga perlu ditambah-tambah perasa lagi!). Itu kata oranglah, Mak Aji tidak pernah makan masakan chef-chef terkemuka, wallahualam!


 

Saturday 27 October 2012

Kaki DIY - Pasang Penapis Air Sendiri

As-salam.

Sejak dua hari lepas kaki DIY di rumah ini, a.k.a Pak Aji sibuk membuat persiapan untuk memasang penapis air di ruang stor barang di belakang dapur. Setiap kali kaki DIY ini membuat projek, sentiasalah Mak Aji risau kalau-kalau projek tidak berjalan lancar, takut tidak kena sana-sini. Ini yang dibuatnya sepanjang beberapa hari lepas:

Ini penapis air yang dibeli di kedai hardware. Pasangnya sendiri.
Bukan cap ayam atau buaya tetapi cap kucing!
Sudah diletakkan ke posisinya.
Lubang digali untuk mencari sambunga paip airnya.
Ini penapis yang sudah disambung.
Lubang masih belum ditutup - mahu diuji dahulu agaknya,
manalah tahu jika ada masalah apa-apa.
Setelah ok barulah disimen semula.

Sebenarnya Pak Aji sudah agak lama teringinkan penapis air untuk satu rumah ini. Sebelum ini yang ada cuma penapis untuk mesin basuh sahaja dan juga dispenser air panas dan sejuk untuk air minuman. Air untuk mandi dan juga memasak masih belum bertapis. Semasa membeli baramng di kedai hardware dia bertanyakan harga penapis dan kebetulan ada yang ditawarkan dengan harga yang memang berpatutan, maka dibelinya terus. Harganya sekitar RM sahaja tetapi jenis yang tidak berjenama terkenal (cap kucing sahaja). Apapun, Mak Aji rasa memang murah kerana kalau ditinjau mana ada penapis bersaiz 9 inci yang boleh dibeli dengan harga sedemikian - harga barang termasuk pasang memang beribu ringgit!

Alhamdulillah penapis air sudah siap terpasang dan sekarang kami menikmati air bersih. Diharapkan tiadalah masalah dengan penapis ini, maklumlah pasang sendiri!



Thursday 25 October 2012

Kemeja-T Muslimah Jenama Hilyah

As-salam.

Petang semalam Mak Aji ke Subang Bestari untuk membeli kemeja-T muslimah berjenama Hilyah di kedainya. Mak Aji sudah mula membelinya sejak awal dikeluarkan lagi sebagai tanda sokongan kepada kawan yang mengusahakannya. Sebenarnya Cik Ning mahukan Mak Aji belikan untuk dia. Mak Aji pun tumpang jugalah barang sehelai.

Setelah mendapat izin daripada tuan punya (Puan Latifah), Mak Aji mengambil foto kedainya dan dengan itu membantu mempromosi juga kemeja-T kawan Mak Aji ini. Saksikan:

Kemeja-T khusus untuk ibu.
Koleksi kemeja-T yang tersedia untuk dipilih.

Juga ada koleksi abaya dari Dubai serta koleksi Labbaiknya
(koleksi untuk mereka yang akan menunaikan umrah dan haji.)
Koleksi Labbaiknya.
Stok kemeja-T untuk ibu yang menyusu.
Ruang tamu untuk kemudahan pelanggan.
Gegantung promosi.
Dari hadapan kedai.
Banner dari dekat.

Kepada sesiapa yang mahukan kemeja-T yang cukup berkualiti, anda boleh membelinya dengan berkunjung sendiri ke kedainya atau membeli melalui penjualnya (reseller) atau secara dalam talian di alamat www.hilyah.com




Salam Aidiladha untuk Semua

As-salam.

Sebelum apa-apa Mak Aji sekeluarga ingin mengucapkan salam aidiladha kepada semua kaum kerabat, sanak saudara, ipar-duai serta rakan taulan baik yang jauh mahupun dekat! Maaf zahir dan batin. 

Malam tadi untuk pertama kalinya Cik Ning (kakak sulung Mak Aji) beraya di rumah anaknya di Skudai, Johor. Anak-anak lain juga turun ke Skudai untuk merayakannya bersama-sama. Mereka sampai ke rumah Mak Aji malam tadi untuk tidur semalam sebelum bertolak ke Johor pagi tadi. Kata mereka sejak dari KB lagi kereta bertali arus menghala ke KB, yang adakalanya terberhenti terus. Dari KL pula semasa mereka tiba di tol Gombak, kereta bersusun-susun menghala ke Timur - seram Mak Aji mendengarkannya! Teringat di kala terpaksa meredah perjalanan berbelas jam untuk balik dari KL ke KB!

Esok kami hanya beraya di KL sahaja. Insya-Allah pada hari raya ketiga barulah kami bertolak balik KB kerana membuat korban pada raya keempat.

Pagi-pagi lagi Mak Aji masuk ke dapur untuk membuat kek marble yang pernah dibuat sebelum ini berdasarkan resepi Dari Dapur Kecah. Kali ini memang mengikut arahan agar dibuat design pada permukaan kek sebelum membakarnya. Ini dia: 

Sebelum - cantik tak design yang dibuat? he he!
Selepas - design entah ke mana! Macam Gunung Bromo yang baru meletus!

Selepas kek siap projek kedua, lasagna lagi. kali ini menggunakan ayam pula:

Lasagna ayam.
Dari dekat - yang tak puasa buat sarapan pagi, yang puasa untuk berbuka.

Petang nanti persiapan lauk untuk dimakan pada hari raya pertama - nasi beriani lauk kambing (lagi!!) dan ayam (organik). 

Untuk yang berpuasa selamat berpuasa dan selamat berbuka!







Monday 22 October 2012

Semalam di Cameron Highlands

As-salam.

Dalam perjalanan balik ke KL, kami tiba ke bandar Gua Musang dan kelihatan papan tanda ke Cameron Highlands (CH). Pak Aji (secara melawak) mengajak ke CH dan Mak Aji pun sama melawak dan berkata "ya". Terus dibeloknya ke kanan menuju ke CH dan bukan lagi terus untuk ke KL! Kami sama-sama tergelak! 

Tempat pertama yang kami singgah, tempat berikut untuk pekena teh masala. Saksikan fotonya:

Rumah Teh?? he he!
Tempat kami minum teh.
Suasana di dalam nya.
Ini dia teh masala, seteko kecil RM10 cukup untuk dua cawan.
Macam high aja Pak Aji setelah kena teh masala!

Kami menginap di rumah adik di Tanah Rata, di apartment kuarters kerajaan. Adik bertugas di PPD Cameron Highlands.

Setelah minum pagi keesokan harinya (hari ini), kami bertolak pulang ke KL. Tidak banyak tempat yang boleh kami singgah sebab nasib tidak menyebelahi, hujan turun berderai-derai. Kami cuma menyinggah membeli teh strawberi, jem strawberi di kilangnya di Taman Sedia, membeli sayur di Kea Farm serta membeli bantal strawberi yang dikirim anak dara Mak Aji.

Kuarters tempat kami bermalam.
Kilang membuat jem strawberi milik bumiputera.
Selain jem ada juga halwa strawberi.
Pun ada jus strawberi.
Produk KHM.

Setelah selesai kami terus pulang ke KL. Cukup jauh perjalanan kami sekitar seminggu ini, dalam anggaran 2000 kilometer lebih jugalah! Apapun kami benar-benar menikmati jalan-jalan kali ini, semacam bulan madu juga sebab kami berdua sahaja! Bila nak jalan lagi?? 



Tom Yam Kepala Ikan Merah

As-salam.

Semasa berada di Kota Bharu Pak Aji mengajak makan tengah hari di Restoran Hamid di Pasir Pekan. Kami memang biasa ke situ dan masakannya alhamdulillah cukup menyelerakan. Berikut foto yang dirakam:

Tuan Hj. Hamid, restorannya patut didahulukan dan
nama tuan haji dibelakangkan!! Hukum DM tidak dipatuhi!
Yang pertama sampai, lin ci kang.
Burung puyuh goreng. 
The star of the show - tom yam kepala ikan merah!
Set makan tengah hari yang cukup menyelerakan.

Macam mana? Cukup menyelerakan? Memang cukup sedap sekali tom yamnya! Tom yam ikan yang paling sedap yang pernah Mak Aji rasa! Ingin berkunjung ke sana? Ini alamatnya: 

Ini alamatnya. Mak Aji rakam peti suratnya!

Lokasinya betul-betul di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud Mahyidin, di sebelah kanan jalan menghala ke Pasir Mas dari Kota Bharu. 

Makan sedap, sedap juga, tetapi Hukum DM pun perlu ingat juga ya. tambahan pula ini bukankah Bulan Bahasa Kebangsaan!!

Catatan: Pak Aji suka makan di sini sebab satunya sebab masakannya memang sedap dan yang satu lagi yang tidak kurang pentingnya, tiada pelayan perempuan, semuanya lelaki!




Mi Kampung Pek

As-salam.

Dari sehari ke sehari setiap kali balik kampung Mak Aji terasa ingin mencuba Mi Kampung Pek yang sudah banyak terdapat cawangannya di Kelantan. Sebelum sampai ke rumah kakak, kami menyinggah untuk makan malam di situ - cawangan Kubang Kerian, berhadapan dengan Hospital USM Kubang Kerian.

Ejaan mee sepatutnya mi!!
Mi kuah yang dipesan.

Kesimpulan Mak Aji: Sekadar OK sahaja, tiadalah rasa yang istimewa seperti yang diharapkan oleh restoran yang mempunyai beberapa cawangan di Kelantan! Sudah rasa sekali, cukuplah sekadar itu sahaja.



Hukum Kerat Telinga

As-salam.

Selepas makan tengah hari agak lewat di Pasir Puteh, kami terus ke Tumpat dan menyeberang sungai ke Kok Kapok, Thailand. Kami bermalam di pondok Baba setelah makan malam - nasi kerabu - cukup enak sekali! Ada sedikit kelainan daripada nasi kerabu versi Kelantan. Mereka tiada tumis manakala nasi kerabu Kelantan ada tumis. 

Semasa berborak dengan isteri Baba, dia bercerita tentang keadaan di sekitar kampung yang penduduknya ketakutan, terutama mereka yang berniaga (juga yang menoreh getah) pada hari Jumaat. Suatu amaran telah dikeluarkan oleh entah siapa agar penduduk kampung tidak keluar berniaga atau bekerja pada hari Jumaat. Mereka yang engkar akan dikerat telinganya! Memang sudah ada orang yang engkar dan sudah dikerat telinganya! Menyirap juga darah Mak Aji mendengarnya!! Ada juga yang diancam dengan pistol apabila enggan mengikut arahan tersebut. 

Keesokan harinya setelah bersarapan dengan nasi komud serta pulut inti, kami bertolak balik ke Tumpat. Dari Tumpat Mak Aji memujuk Pak Aji agar terus ke Pengkalan Kubor - sudah lama tidak berkunjung. Saksikan fotonya:

Kedai pertama yang kami masuk.
Kedai lain di situ.
Tepung pelita yang sedikit berbeza, ada tiga lapis, paling bawah air gula,
lapisan tepung dan yang paling atas lapisan santan!
Bentuknya juga sedikit berbeza, pengaruh Siam agaknya!

Mak Aji adalah membeli barang serba sedikit, jangan tidak sahaja. (Oh ya, untuk makluman MONIE, pemanggang ajaib di sini harganya RM189! Memang Nawal jual jauh lebih murah!!) Selesai membeli-belah, kami ke Tanah Merah, ke rumah kawan Pak Aji. Sebelum sampai Pak Aji menunaikan solat Jumaat di situ. Usai makan tengah hari di rumah kawannya, kami ke rumah sepupu Mak Aji juga di Tanah Merah. Selepas itu barulah kami ke rumah kakak Mak Aji di Pasir Tumbuh untuk tidur selama dua malam.





Gulai Kawah di Tengah Sawah

As-salam.

Pada hari Khamis lepas selepas bersarapan yang agak lewat, kami bertolak pula ke Kota Bharu. Kami tiba di Bukit Yong agak lewat, jadi nasi ulam yang kami idamkan tidak kesampaian. Kami terus ke Pasir Puteh untuk merasa nasi ayam kampung tetapi malang juga nasinya sudah habis! Kami meneruskan perjalanan ke Kota Bharu dan menyinggah di sebuah kedai makan yang menghidangkan gulai kawah serta ulam-ulaman dan lauk-lauk lain juga. Lokasinya di sebelah kanan mengarah ke Kota Bharu, selepas tidak sampai sekilometer dari simpang ke Jeram Pasu di Padang Pak Amat. Alhamdulillah gulai kawah masih ada walaupun jam sudah menunjukkan sekitar jam 4 petang. Kedai makan ini letaknya di tepi jalan dan juga tengah-tengah sawah padi! Lihat foto yang sempat dirakam:

Dari hadapan kedai makan.
Kedai makan yang cukup sederhana dari segi rupa tetapi cukup istimewa
dari segi hidangannya!
Gulai kawah, ikan serta ayam percik, solok lada, ikan bakar tawar serta ulam
dan tentunya budu!
Gulai kawah - daging dan juga umbut kelapa!
Air tuak (nira kelapa).
 
Semasa mula-mula melihat nasi dalam pinggan terasa banyak tetapi setelah mula makan, sedar-sedar sudah hampir habis nasi sepinggan dan selepas itu bertambah lagi sepertiga pinggan! Berselera sungguh kami makan gulai kawah yang cukup sedap - seperti gulai yang dimakan semasa kenduri kahwin - inilah dia yang istimewa apabila makan kenduri di Kelantan, gulai kawahnya!! Tambahan pula terdapat air tuak - seolah-olah makan hingga tidak ingat dunia, he he! Alhamdulillah!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...