Followers

Showing posts with label JPO. Show all posts
Showing posts with label JPO. Show all posts

Friday, 24 January 2014

Didera Pemandu Bas

As-salam.

Pada hujung minggu lepas Mak Aji berpeluang ke JB (dengan tepatnya Skudai) untuk menziarah anak cucu. Pada awalnya Mak Aji merancang untuk berkereta tetapi apabila Pak Aji enggan pergi kerana kurang sihat, maka Mak Aji dan Madihah hanya menaiki bas - lebih menjimatkan kos! 

Sebelum membeli tiket secara atas talian, Mak Aji membandingkan dahulu harga tiket AirAsia, Firefly, dan juga KTM. Kalau naik pesawat berdua dengan harga tiket biasa jumlah kosnya boleh tahanlah juga. Tiket KTM kelas pertama oklah juga harganya, cuma tempoh perjalanan terlalu panjang, risau kalau elok sampai sahaja, lembik kami! Penyudahnya kami naiki Airbuslah sahaja!

Bas kami terlewat sampai ke stesen bas Shah Alam (seksyen 17) kerana kesesakan lalu lintas - hari Thaipusam. Basnya Transnasional - Mak Aji pilih syarikat ini sebab biasanya pemandu syarikat ini memandu secara berhemah, tidak laju (pengalaman lepaslah). Walaupun begitu, kali ini bas kami agak lama - naik sahaja bas ada bau hapak! Tuala kecil pemandu juga elok sahaja tergantung di kerusi paling hadapan sebelah kiri! Kami pula duduk di kerusi kedua dari hadapan di kanan! Apapun alhamdulillah kami selamat sampai ke JB.

Along, anak Mak Aji datang menjemput kami di tol Skudai dan kami terus ke Bandar Baru Uda untuk pekena nasi beriani di MS Beriani. Nasib tidak menyebelahi sebab restoran tutup - lupa kami yang mereka tutup pada hari Jumaat! Kami langsung ke Taman Universiti untuk makan nasi mandy di sebuah restoran Arab yang agak baru dibuka - boleh tahan sedapnya! 

Mak Aji ke JB untuk membawa anak dara Mak Aji, Madihah untuk berjumpa kakak serta anak-anak buahnya. Perlulah Mak Aji layan sebab dia balik bercuti sekejap sahaja. Bulan puasa nanti barulah dia balik lagi sempena cuti panjang selama sebulan puasa hinggalah sekitar seminggu selepas raya puasa.

Seperti biasa, kalau ke JB, kacang pool di medan selera Plaza Larkin menjadi destinasi utama selain JPO - layan mata sahajalah! Oh ya Mak Aji kalau ke JPO paling suka ke Akemiuchi - kalau di KL Mak Aji tidak menjeling pun cadar jenama Akemi tetapi di JPO bolehlah sebab harganya jauh lebih murah. Cuba lihat apa yang Mak Aji beli:

Harga tidak sampai pun RM60 ringgit (harga asal RM259!). 
 Alang-alang harga yang sebegitu Mak Aji belilah stok untuk hadiah kahwin dan juga untuk kegunaan sendiri - memang berbaloi!

Mak Aji juga (macam lupa yang dia naik bas tu, kata Along!!) selain sekotak cadar (kotak tidaklah sebesar manapun), membawa balik barang lain:

Penyapu dan bantal!

Along hadiahkan penyapu berkuasa bateri! Kalau orang politik marah apabila dihadiahi penyapu, Mak Aji suka pulak! Bantal itu pula dibeli dengan menebus baucar RM50 yang dihadiahkan oleh menantu Mak Aji dan bakinya dibayar oleh Along - he he, sukanya dapat bantal percuma! 

Dalam seronok membawa pulang macam-macam, pengalaman naik bas balik ke KL agak merimaskan! Punyalah nasib kami kurang baik, bas lama yang hapak yang dinaiki ke JB itulah juga yang kami naiki untuk balik ke KL (talk about bad luck!). Pemandunya pula aduhai, punyalah kalau masih budak mahu sahaja Mak Aji sental mulutnya dengan berus! Sepanjang memandu ke KL kata-kata seperti j*h*n*m, dan macam-macam lagi yang keluar dari mulutnya! Madihah kata - "rasa nak turun aje dari bas ni!" Dek kerana sepanjang berjam-jam didera dek pemandu bas itu, keesokan paginya seawal Subuh Mak Aji diserang migraine teruk! (nampak gaya bantal mahal pun tidak mampu menahan sakit dek stress tu). Mak Aji terpaksa dibawa ke klinik untuk suntikan tahan sakit! Lain kali kena naik bas, kenalah cari bas yang eksekutiflah pulak! Aduhai nasib badan! Kasihan kami semua penumpang bas tersebut! 



Wednesday, 3 October 2012

Atur Cara Hari Rabu

As-salam.

Seperti semalam, pagi-pagi hantar cucu-cucu ke sekolah, balik sarapan dan berehat sekejap. Sekitar jam 10.00 pagi kami keluar ke JPO (Johor Premium Outlet). Untuk kali kedua ke sini, Mak Aji cuma berkunjung ke kedai-kedai yang berkenaan sahaja dan tidak kesemuanya. 

Tempat pertama butik Akemiuchi. Seperti kali terakhir ke situ, ada lagi jualan murah kerana ulang tahun butik tersebut. Cadar pengantin yang pernah Mak Aji beli boleh dibeli lagi dengan harga terdahulu, RM199. jadi, Mak Aji beli lagi satu set (kali ini untuk pengantin lapuk, he he!!). 

Tempat kedua, Fossil. Mak Aji mencari beg untuk mengisi notebook dan juga i-Pad selain dompet, telefon bimbit serta kamera. Beg di sini reka bentuknya sedikit santai dan agak kurang sesuai untuk mereka yang bekerja, kecuali untuk dipakai di luar waktu kerja. Jadi, memang sesuailah untuk kami yang sudah tidak bekerja!! Ini yang Mak Aji dapat:

Ini beg orang bersara!
i-Pad full-leather flip-case. 
Dari sisi.
Dari belakang.
Wristlet untuk Madihah.

Selesai 'mengukur' kedai di JPO kami berehat untuk menikmati makan tengah hari - rojak berikut:


Rojak dari gerai 1Malaysia.
Suasana di medan selera di JPO.
Mak Aji suka kerusi plastiknya tetapi kurang selesa, kata Along. 
Cantik suasana di medan selera ini.
Lampu menarik!

Selesai kami di JPO, Along membawa Mak Aji ke salun rambut untuk rawatan rambut pula (suka sangat kalau orang belanja!!). Along tempahkan pakej tiga kali rawatan rambut untuk Mak Aji (ada alasan untuk turun lagi ke Skudai, sekurang-kurangnya dua kali lagi - sekali sebulan, he he!!). Ini salunnya:


Pada dinding hadapan salun.
Ini salunnya dari luar.
Sungguh selesa sekali mendapat rawatan rambut. Rambut dicuci sampai tiga kali, selepas diletakkan bahan tertentu untuk mencuci dan membuang sel kulit kepala yang mati sebelum diletak tonik untuk merangsang pertumbuhan rambut. Kepala serta belakang juga diurut sampai Mak Aji tertidur!! Sungguh enak sekali!

Selesai di salun, kami membawa Naufal dan Imran balik dari sekolah. Sudah kepenatan, kami menelefon sahaja Domino untuk dihantar makan malam kami.

Selesai sudah atur cara hari Rabu!



Sunday, 1 April 2012

JPO - Johor Premium Outlet

Hampir semua misi semasa berhari minggu di JB tercapai. Ini termasuklah ke JPO yang sering disebut-sebut orang sebagai tempat membeli-belah yang baharu di Johor. Semasa dalam perjalanan ke JB, kami sudah perasan tempatnya yang kelihatan dari lebuh raya Plus, di sebelah kiri. Walau bagaimanapun kami langsung tidak perasan akan jalan masuk ke situ dari lebuh raya??!! Rupa-rupanya dari JB pun tiada langsung tanda arah ke situ. Nasib baiklah kami ke sana Along yang membawa kami, itupun dia tersilap jalan hingga kami terpaksa membuat pusingan 'U' sebelum sampai ke situ. Kepada pihak yang berkenaan, apalah salahnya kalau dilengkapkan papan tanda dari KL dan juga dari JB agar memudahkan mereka yang belum pernah sampai agar lebih mudah ke sana??!! Kalau tidak, alamat kenyanglah makan buah langsat! (sesat).

Berikut rakaman foto sekitar kunjungan kami ke sana:

Ini rupanya JPO ya!! Bersemangat nampaknya Hanif!!
Nadya dan Along sempat beraksi untuk kenangan.
Along di hadapan kedai jam - Hanif dan Nadya di dalam sibuk memilih jam.
Kedai Charles and Keith
Kedai Akemi - satu-satunya yang menjual barangan rumah (household)
Kita makan dahulu! - kami melayan tekak sebelum bertolak balik ke KL.
Berikut sedikit maklumat tentang JPO: Setiap hari diskaun antara 25-65% diberikan kepada pelanggan yang berkunjung. Terdapat sekitar 80 kedai premium di situ yang dibina di kawasan yang lanskapnya agak unik dan menarik (outdoor setting). Kemudahan medan makan, ATM serta surau disediakan. Begitu juga sewaan untuk kereta sorong untuk anak-anak dan juga kerusi roda.

Daripada banyak-banyak kedai yang ada, kami cuma sempat ke Coach, dua buah kedai minyak wangi dan alat solek, Body Shop, City Chain, Akemi, Charles and Keith, Burberry, DKNY, Clarks, Braun Buffel dan Fossil. 

Pada Mak Aji, JPO agak sedikit kurang daripada apa yang disangkakan. Tidak banyak yang kami dapat beli sebab mungkin kami agak kurang bernasib baik - pilihan tidaklah sebanyak yang dijangkakan. Yang kami harap dapat dibeli di sana tidak kami beli sebab harganya agak mahal (yang berkenan terlalu mahal, yang harga agak OK tidak berkenan pula!). Tidak apalah, kami tunggu sahaja jualan mega nanti, katanya April! 

Selamat tinggal JPO, ada peluang kami datang lagi! Harap-harap pada ketika itu, sudah ada papan tanda yang mencukupi ya!!

Oh ya, kalau ke JPO jangan asyik membeli-belah sehingga terlupa solat pula ya! Untuk makluman muslimin dan muslimat sila rujuk maklumat berikut untuk mendapatkan arah ke surau di JPO:

http://saudagaralamlain.blogspot.com/2014/06/direktori-surau-johor-premium-outlets.html 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...