Followers

Showing posts with label mainan baru. Show all posts
Showing posts with label mainan baru. Show all posts

Wednesday, 8 April 2015

Mainan Baruku!

As-salam.

Apabila berkunjung ke kedai bakeri, ada-ada sahaja yang terpandang dek mata ini lalu terus jatuh ke hati. Mari Mak Aji ceritakan ya.

Setiap kali melihat kek Red Velvet, teringin juga dihati untuk mencubanya sekali lagi (kali pertama mencubanya, sudahlah ditegur Pak Aji sebab pewarna merahnya yang begitu banyak, ditambah pula dengan keknya yang bantat kerana terlupa untuk memasukkan baking powder!) Sejak peristiwa 'hitam' itu Mak Aji lupakan seketika kek RV. Satu lagi halangan untuk menghasilkan RV ialah kerana ketiadaan pemotong kek. Kalau melihatkan chef Anna Olson memotong keknya kelihatan begitu mudah sekali! Tengok orang buat memang mudah tetapi kalau buat sendiri baru tahu!

Apapun mari lihat mainan baru Mak Aji:

Pemotong kek.
Setakat ini barulah sekali Mak Aji cuba - boleh tahan juga susahnya! Baru tahu! Mahukan potongan yang sempurna, hasilnya memang jauh daripada sempurna. Pun kena banyak berlatih lagilah nampak gayanya.



Wednesday, 3 December 2014

Mainan yang Tiada Habisnya!

As-salam.

Semalam Mak Aji menghantar pulang kakak sulung, Cik Ning serta suami dan adik Mak Aji ke Subang untuk kembali ke kampung. Kami berkumpul untuk meraikan majlis kahwin anak sepupu di Gombak pada hari Sabtu lepas.

Cik Ning juga ahli Kelab Roti (KR) dan oleh sebab itu kami berkongsi minat yang sama. Peluang berada di sini dimanfaatkan juga untuk ke Golden Republic di Bukit Jelutong untuk membeli Convibake - bahan adunan roti. Chef Li (yang dengannya Mak Aji belajar membuat roti tempoh hari) juga menghadiahi kami dua ketul roti loaf - jazakallah khair Chef!  

Selepas  itu kami ke Bagus cawangan Shah Alam untuk membeli barangan untuk meroti dan membaking (marah orang DBP ni - tumpang lalu ya!). Mak Aji juga meninjau juga barang yang dikirim kawan-kawan (penimbang digital serta fondant mat, jika ada). Fondant matnya habis stok manakala penimbang digital terjual dengan harga potong leher! Lihatkan!:

Mak Aji beli dengan harga RM34.00 sahaja!
 (harga sebenar RM36.90).

Cik Ning ada membeli  ramekin sebanyak 10 biji yang harganya agak murah (saiznya sama dengan yang Mak Aji punya - untuk buat creme brule serta kastad, katanya). Kami seterusnya ke Bukit Rahman Putera, ke kedai bakeri yang biasa Mak Aji kunjungi dan di situ Mak Aji belikan penimbang digital dengan harga RM 36.90 - sudah habis salenya. Mak Aji juga belikan fondant mat yang warnanya pink - manis pinknya (Mak Aji beli lagi satu, he he!). Satu lagi yang kami beli, acuan roti berbentul 4 segi panjang - untuk menghasilkan roti empat segi - ada penutupnya! Cik Ning mahu membikin roti titab! - terkenal di Kelantan - Mak Aji pun belum pernah cuba! Lihatkan:

Pandangan dari sisi.
Pandangan dari sisi lain. Harganya RM17.00.

Acuan roti ini bahagian penutup atasnya jenis gelongsor (sliding). Mak Aji sudah mendapat panduan daripada seorang ahli KR juga tentang banyak mana doh yang diperlukan untuk saiz tertentu acuan jenis ini (kena buat kiraan matematiklah pulak!). Cik Ning pun seronok apabila penuh begnya dia memborong!




Friday, 21 November 2014

Mainan Baru Lagi

As-salam.

Petang semalam Mak Aji ada urusan di bank (orang pencen dapat gaji awal ya - 20hb dah 'gaji' tau!). Sebelum itu Mak Aji menyinggah di bakeri yang biasa Mak Aji kunjungi. Berkeliling di situ mencari mainan baru idaman hati. Ada yang dapat tetapi ada yang belum. Berikut yang Mak Aji peroleh semalam:

Botol sos, termometer digital serta cawan sukatan.
Mari kita lihat dengan lebih dekat lagi ya!:

Termometer digital.
Botol sos ini sebenarnya hasil dapatan semasa balik kempung. RM1.50 sahaja satu!
Comel sangat warna-warni! Beli walaupun sudah ada.
Dulang piza - satunya berlubang agar kulit piza lebih rangup!

Last but not least, yang paling Mak Aji suka sekali! Mak Aji dapat juga membawa pulang fondant mat - alas untuk Mak Aji meroti atau membuat piza. Walau namanya alas untuk membuat fondant, tiada siapa akan marah jika Mak Aji buat alas untuk meroti, kan!!


Sudah lama kucari, baru kudapat!

Semoga lebih bersemangat Mak Aji meroti! Layan diri/syok sendiri!



Monday, 10 November 2014

Rakan Meroti (mainan baru)

As-salam.

Mak Aji mengalami gangguan talian Streamyx dan juga telefon selama beberapa hari. Jadi, Mak Aji terpaksa  'mengeram' tanpa membuat apa-apa entri di sini - foto semuanya sudah dipindahkan ke PC, jadi walaupun boleh membuat entri melalui i-Pad, fotonya pula tiada!? Alhamdulillah barulah pulih sebentar tadi. 

Ingin Mak Aji kongsikan rakan-rakan baru Mak Aji yang sama-sama memberi sumbangan dalam kerja meroti:

Penimbang elektronik cap ayam!
Pembahagi doh.

Semasa Mak Aji membayar barang-barang di kedai bakeri, Mak Aji bertanyakan tentang alat penimbang elektronik dan Mak Aji diberitahu mereka ada tawaran harga untuknya. Apabila ditanyakan, harganya diturunkan ke RM35 dan Mak Aji beli sahajalah walaupun hanya cap ayam! Kalau jenama Takada mahu harganya sekitar RM100 - tunggu kaya dahululah!

Satu lagi barangnya ialah pembahagi doh yang harganya sekitar RM2/3 sahaja tetapi memang amat berguna sekali walau harganya cukup murah. Alat ini amat penting untuk memudahkan kerja memotong doh agar sama berat, terutama untuk menghasilkan ban yang sama besar! Kalau anda belum ada, elok belilah. Kalau dompet tebal, belilah cap buaya, tetapi kalau dompet kempis macam Mak Aji, cap ayam sudah cukuplah!

Sekian adanya.


Catatan: Bila nak kaya ni, nak beli penimbang cap buaya pulak, he he!!

Wednesday, 15 October 2014

Mainan Baru Lagi

As-salam.

Biasalah ya, kalau anak-anak perempuan sibukkan segala macam benda yang bertemakan Frozen, mak-mak pula sibuk dengan mainan di dapur!

Semalam selain daripada barang dapur, Mak Aji juga dapat satu mainan baru - garlic press - seperti yang chef gunakan di TV tu - layanlah perasaan Mak Aji ooi - rasa macam profesionallah pulak apabila ada peralatan seperti yang mereka gunakan, he he! 

Pak Aji yang nampak dan dia terus ambil. Sukanya Mak Aji walaupun harganya hanya RM8! Lagilah mahal baju tidur Frozen yang Mak Aji beli untuk Aleesya! Maaflah Mikhail, Frozen untuk anak-anak dara sahaja, anak bujang tak main Frozen ya! Nanti Tokma belikan baju Batman ke Superman ke ya!

Berikut foto mainan baru Mak Aji - yet to be tested!:

Tu dia mainan baruku!

Untuk manfaat anda yang agak kurang biasa dengan alat ini, mari Mak Aji tunjuk cara menggunakannya:


Letakkan bawang putih yang dudah siap dikopek.
Tekan bahagian atasnya dan bawang cincang akan keluar dari lubang-lubang kecil di bawah.

Kalau alat ini dikepak ke sebelah satu lagi, bahagian dengan tombol2 hitam itu bertujuan
untuk memudahkan kerja mencuci alat ini daripada sisa bawang putih.

Insya-Allah 2 bulan lagi akan sampai mainan baru lagi. Tunggu dan lihat apa pulak mainannya ya! (terujanya hati ni). Untuk yang itu kenalah Mak Aji kemas dapur basah sebab saiznya agak gedabak, selebar peti ais di dapur ni! Suspenslah pulak ya!








Friday, 10 October 2014

Mainan Baru

As-salam.

Pada pagi ini Mak Aji mendapat mainan baru di dapur (dihantar oleh Poslaju). Mainan ini Mak Aji pesan secara dalam talian dengan rakan FB. Lihatkan:

Tempat simpan roti.
Juga ada slicing guide agar roti boleh dipotong dengan cantik!

Tidak sabar Mak Aji untuk menghasilkan loaf dan memanfaatkan bread keeper ini!



Thursday, 29 May 2014

Mainan Baruku

As-salam.

Seperti juga ramai kaum wanita yang suka membuat kuih, kunjungan Mak Aji ke kedai menjual barang-barang keperluan untuk baking cukup menyeronokkan - kalaulah boleh kesemua barang di kedai itu diangkut ke rumah, he he!! 

Hari minggu lepas Mak Aji kononnya mahu membeli kotak kek dengan papan alas kek sahaja, tahu-tahu selesai juga sekitar RM100! Banyaklah tu untuk orang pencen macam Mak Aji ni! Kalau masih bekerja sekadar kacang aje, betul tidak??

Antara lain barang ini yang Mak Aji paling suka!:

Apa lagi kalau bukan muncung aising - itu ke namanya?? Apapun itu yang Mak Aji panggil!
Sebenarnya Mak Aji pernah beli (lama dahulu) satu set yang terdiri daripada sekitar 6 muncung ini (starter setlah konon, cuma start aje yang tidak!). Cari punya cari entah ke mana hilangnya. Sebab itulah Mak Aji beli set yang semacam pro ini pula (prolah sangat - layan Mak Aji, layan, he he!).

Semoga akan menjadilah hiasan aising selepas ini. Langkah pertama, perlu lengkapkan diri dengan pelbagai tutorial yang tersedia di YouTube - Mak Aji sudah mula belajar semalam! Petang semalam Mak Aji juga sudah mula mencuba hasilkan hiasan aising - masih belum cantik sebab belum mahir, nantikan  ya Mak Aji kongsikan  apabila sudah menjadi!





Tuesday, 12 November 2013

Mainan Baru Tokma

As-salam.

Mak Aji pernah sebut tidak lama dahulu yang Mak Aji sangat suka waffle yang dijual di stesen komuter Sungai Buloh. Sejak makan waffle hasil tangan mak cik Indon tu, timbullah rasa mahu beli waffle maker. Dalam proses meninjau terjumpalah Mak Aji akan waffle maker ini yang dijual melalui FB berikut:

https://www.facebook.com/aimieazyshop

Mak Aji bukanlah biasa sangat membeli secara dalam talian ini, cuma sesekali sahaja dan setakat ini alhamdulillah tiada masalah yang dihadapi. Mak Aji suka menjenguk-jenguk barangan import yang dijualnya sebab harganya berpatutan, seringkali lebih murah daripada dibeli di sini. Tambahan pula boleh dibayar secara ansuran - habis bayar boleh dapat barang! Kalau berpeluang bolehlah anda jenguk laman Aimi ini ya!

Berikut pula waffle maker atau mainan baru Mak Aji - seronok apabila menerimanya tengah hari semalam. Mak Aji belum uji cuba lagi dan sekarang tengah tercari-cari resepi untuk dicuba!

Mainan baruku!

Alat ini berjenama Kenwood dan mempunyai tiga fungsi, sebagai alat bikin sandwic, waffle dan juga panini! Fungsi 3 dalam 1 itu yang bagusnya dan harganya cuma RM148 termasuk kos penghantaran!! Seronok macam kena loteri pulak, he he!!

Catatan: Nama sebenar alat ini - Sandwichmaker Snacker Family model SM650.





Saturday, 1 June 2013

Salad Spinner

As-salam.

Pernahkah anda terjumpa salad spinner di IKEA? Kalau belum, mari kita tengok:
Sumber foto: http://www.ikea.com/my/en/catalog/categories/departments/cooking/15935/

Mak Aji suka alat ini kerana alat ini memudahkan kita untuk mengeringkan salad serta ulam-ulaman yang kita basuh agar 'kering' sedikit airnya. Tanpanya salad atau ulam kita semacam lencun sahaja. Dengan menggunakan alat ini salad kita seolah-olah kering macam baru keluar daripada pek/bungkusannya tetapi sudah bersih dan sedia untuk dimakan! Alat ini memang penting untuk salad terutamanya agar tidak berair dan kelihatan segar!

Harganya cuma RM16.80 dan anda pasti tidak akan menyesal membelinya. Tidak percaya? Cuba beli!!

Mak Aji punya salad spinner selepas selesai keringkan arugula dan lettuce.


Thursday, 30 May 2013

Mainan Baru

As-salam.

Semasa balik kapung tempoh hari Mak Aji sempat ke Kedai Salamku di Kota Bharu. Semasa menjamu mata di situ terpandanglah pula alat pemerah limau berikut dengan harga RM7.80. Alat ini diperbuat daripada logam, agak berat dan kuat untuk memerah. Mak Aji rasa semacam pernah melihat alat ini digunakan dalam saluran Food Network di Astro. Apa lagi terus ambil. Alhamdulillah cukup bagus untuk memerah asam limau nipis ke, lemon ke, cuma limau Sunkist sahaja yang belum diperah lagi.


Alat pemerah limau. Awas jangan 'terperah' jari sudah!

Semasa ke SSF di Sri Damansara tempoh hari, Mak Aji terpandang penyepit di bawah, berkenanlah pula di hati lantas terus diambil dua. Penyepit ini diperbuat daripada plastik dan juga logam. Yang bagusnya dihujung kanan ada bahagian yang boleh ditarik dan ditolak (kuncinya apabila sepit dirapatkan). Pun pernah melihat yang seumpama di di saluran yang sama. Tidak mengapalah kalau kita tidak pandai masak sepandai mereka tetapi kalau dapat alat yang agak serupa dengan mereka pun sudah cukup baiklah ya, he he!! (syok sendirilah tu). 

Untuk tutup sepit, tarik hujung kanannya.
Untuk membuka sepit, tolak hujungnya!

Seronoknya dapat mainan baru, boleh main-main di dapur!!


Thursday, 2 May 2013

Mainan Baru Pak Aji

As-salam.

Malam tadi kami ke Ace Hardware di IPC untuk meninjau water-jet. Kalau jenama Karcher memang kelihatannya paling popular namun harganya juga boleh tahan berbanding jenama lain. Jadi, kami membeli jenama Black & Decker dengan harga RM400 lebih. 

Water-jet ini merupakan projek koperasi, kongsi-kongsi beli sesama kami sebab memang semua pun akan berkongsi menggunakannya! 

Nampaknya yang paling seronok Pak Ajilah, umpama mendapat mainan baru!

Projek pertama sembur lantai porch!
Selepas sembur kereta, sembur alas kaki, lepas ini nak sembur apa lagi ya????



Thursday, 3 January 2013

Mangkuk Berkaki Idaman Hati

As-salam.

Semasa Mak Aji di KB Mall tempoh hari, kami saja-saja masuk ke Pasaraya Pacific, di bahagian barangan rumah dan tiba-tiba kelihatan mangkuk berkaki idaman hati yang sudah lama ditinjau tetapi tidak dibeli sebab harganya yang agak kurang berkenan di hati (senang cakap mahal sangat!). Yang ini cukup cantik dan yang lebih penting, cukup murah! Ini dia:

Sudah terbayang trufel di dalamnya!
Cantik berkaki, semacam kristal tetapi kaca biasa!
Cantik untuk menghidang kuih atau buah dsbnya!
Murah tak padan dengan rupa!

Mangkuk yang pertama cuma RM39.90 manakala yang kedua cuma RM36.90! Cukup seronok membawanya balik, macam dapat hadiah sempena tahun baru! 



Monday, 8 October 2012

Rumahku Syurgaku

As-salam.

Alhamdulillah Mak Aji sudah pulang ke rumah petang semalam selepas makan kacang pol Haji lagi sekali di Plaza Larkin. Sempatlah dua kali makan sebelum balik ke KL! 

Pada hari Sabtu, Mak Aji masih kurang sihat, jadi tiadalah program apa-apa kecuali ke sebuah kedai menjual peralatan kek di Perling. Kedainya agak besar dan pelbagai bahan serta peralatan kek terdapat di situ. Alhamdulillah dapatlah Mak Aji membeli beberapa barang yang diperlukan.

Mak Aji terpandang chocolate fountain mini seperti berikut, buatan China, cukup menarik sekali. Sibuk sekali pekedai memujuk agar Mak Aji membelinya dan harga sanggup diturunkan ke RM99! 

Chocolate fountain.

Kalau ada jamuan makan, tentu menarik kalau ada ya! Kanak-kanak tentu suka, orang dewasa pun! Siapa yang tidak sukakan strawberi atau buah lain yang dicelup coklat?? Apapun Mak Aji tidaklah membelinya. 

Yang dibeli, cooling rack, loaf pan, revolving cake-stand serta acuan kek yang menarik pernah Rima dari Bisous A Toi gunakan untuk keknya, seperti ini:

Sekali pandang macam perisai Arthur dalam siri TV Merlin, kan!!

Pak Aji akan sampai balik ke rumah sekitar tengah hari esok. Jadi Mak Aji akan masak sedikit, entah apa lagi untuk sambut dia balik! Semangat membaking sedang membara sebab dapat banyak mainan baru untuk dicuba!

Oh ya, rupa-rupanya kedai yang Mak Aji kunjungi juga menganjurkan kelas membuat kek. Mereka juga ada blog mereka sendiri seperti berikut yang boleh anda kunjungi: perlingindah.blogspot.com



Thursday, 15 March 2012

Periuk Nasi Baharu Pak Aji

Semasa Mak Aji bertugas di JB, Mak Aji terpaksa beli periuk baharu, yang kecil cukup untuk dua tiga orang makan sahaja. Mak Aji terjumpa periuk nasi berikut di Pasar Smart, Plentong. Mak Aji gelar periuk cap kucing, cap yang agak biasa-biasalah, bukannya periuk cap buaya (kualiti terbaik kalau periuk biasa yang mak-mak kita pakai!). Ini rupanya dan harganya cuma sekitar RM30-an sahaja. Cuma yang kurang ialah periuk ini bukan jenis yang tidak melekat - harga pun murah, jangan mintak macam-macam! 

periuk cap' kucing'
Periuk baharu - cap 'buaya' sebab harga buaya!
Mak Aji tidak tahu yang sebenarnya Pak Aji sudah lama berkenan sebab dia tidak pernah menyebutnya. Mak Aji pun sudah lama suka, cuma bila tengok harga terus jadi tidak suka! Bila orang itu suka hendak membelinya, terus sahaja Mak Aji suka balik!!

Sekali pandang rupa periuk ini macam topi keledar anak-anak muda yang naik motor besar (kadang-kadang orang-orang tua, bukan muda sebab bila sudah tua baru mampu beli, yang muda pakai kapcai sahaja!!)! Periuk baharu, ada lampu LED lagi, jangan kata lampu kereta sahaja ada LED! Yang baharulah katakan, macam orang mudalah, cantik aja, kalau sudah tua, lunturlah cantiknya - alahai!! Tidak banyak beza periuk dengan orang ya?

Friday, 13 January 2012

'Mainan' Baru

Pagi ini Mak Aji dapat 'mainan' baru pemberian ofis - sebuah iPad! Sebenarnya Mak Aji kalau hendak guna duit sendiri rasanya tak adalah hendak membelinya, tetapi kalau hendak beri Mak Aji pakai, Mak Aji pakai sajalah. Mak Aji sudah mula menggodaknya dengan sedikit tunjuk ajar daripada staf yang agak tahu sedikit sebab pernah menggunakan kawan dia punya. Sempatlah Mak Aji rasmikan benda ini sebelum terpaksa menyerahkannya semula apabila pencen nanti. Jadi, kalau orang tanya, "Pernah pakai iPad?" bolehlah Mak Aji mengiyakannya, walaupun orang punya, diberi pinjam sahaja! Tak adalah jakun sangat!! 

Ini gambarnya:

iPad baru

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...