Followers

Showing posts with label resipi. Show all posts
Showing posts with label resipi. Show all posts

Friday, 10 October 2014

Hidangan Istimewa - Lidah Lembu!

As-salam.

Semasa kami balik beraya minggu lepas anak bujang Mak Aji ada menyebut yang dia teringin untuk makan lidah bakar seperti yang pernah dimasak kakak Mak Aji, Cik Ning, tidak lama dahulu. Kami terus ke Pasar Siti Khadijah lalu membeli lidah lembu dengan harga RM 20 satu. Saiznya agak boleh tahan juga. Cik Ning sudah sedia ada lidah lembu satu di rumahnya dan untuk berbuka puasa hari Sabtu itu, salah satu hidangannya - dua lidah lembu bakar!!

Dua lidah lembu yang siap di celur, dikupas kulitnya serta di cucuk-cucuk dengan
pisau dan dilumur garam kunyit.
Lidah dibalut dengan kerajang aluminium dan dibakar selama 2 jam
 lebih di dalam ketuhar.
Ini hasilnya - so juicy, so succulent!
Dipotong nipis dan siap untuk hidangan berbuka!!

Kami berbuka dengan cukup berselera pada petang Sabtu itu - bertambah-tambah nasinya! Ini gara-gara lidah lembu bakar yang lama sudah tidak dinikmati! 



Sunday, 14 September 2014

Oreo No-bake Cheese Cake

As-salam.

Mak Aji sekeluarga memang hantu keju - asal ada keju pasti menjadi kegemaran kami! Oleh sebab itulah Mak Aji sentiasa ada simpan stok keju yang disejuk beku. Biasanya jenis keju yang disimpan, mozarella dan cream cheese. Mozarella untuk bikin lasagna dan cream cheese untuk kek keju. 

Minggu lepas Mak Aji diminta oleh Boy untuk membuat kek keju Oreo yang tidak perlu dimasak, sekadar sejuk beku sahaja. Untuk jamuan ulang tahun rakan sepejabatnya, katanya. Ini yang Mak Aji hasilkan:

Bahagian tepi agak sumbing sebahagiannya kerana Boy lalukan pisau agar tidak
melekat pada acuannya (tidak melekat pun sebenarnya). 

Dari segi rasa alhamdulillah sedap katanya! Insya-Allah bolehlah dibikin lagi selepas ini. Kali ini Mak Aji perlu dapatkan 5 inch springform pan seperti yang disebut dalam resepi asal, agar keknya agak tinggi sampai ke birai acuannya! Mak Aji dapatkan resepinya di sini:




Cukup mudah untuk menghasilkannya. Rasanya cukup sedap sekali! Cubalah!



Friday, 18 October 2013

Nasi Goreng Ikan

As-salam.

Mengikut tinjauan yang Mak Aji buat dalam kalangan anak-anak di rumah, mereka paling suka makan nasi goreng ikan berbanding nasi goreng lain. Kebetulan pula lauk ikan goreng pada malam sebelumnya masih berbaki dan ikan bilis pun ada, maka itulah menu yang Mak Aji sediakan sehari sebelum kami balik beraya. Kita lihat dulu rupanya:

Nasi goreng Ikan.

Yang paling biasa Mak Aji letak kangkung sebagai sayurnya selain tomato dan timun sebagai ulamnya. Kalau tiada ikan anda juga boleh menggantikannya dengan ikan bilis yang ditumbuk sedikit tetapi jangan sampai hancur. Oh ya, Mak Aji pernah makan mihun goreng yang menggunakan ikan bilis sebagai rencah, terbukti sedap! Cubalah!


Sunday, 30 September 2012

Puding Trifel

As-salam.

Hari ini Mak Aji mencuba untuk membuat puding trifel. Resipi Cik Ning entah dimana Mak Aji simpan, jadi Mak Aji pakai sahaja resipi Dari Dapur Kecah di sini. 

Untuk resipi ini Mak Aji gunakan serbuk jeli berjenama Nona dan kek butter berperisa lemon yang dibuat terdahulu. Kaserol yang Mak Aji gunakan sedikit cetek, jadi lapisan jelinya agak nipis sedikit. Lain kali kena gunakan dua kaserol yang saiznya lebih kecil:


Puding trifel.

Jom makan!



Tuesday, 25 September 2012

Puding Roti Monie

As-salam.

Pagi-pagi ini usai berkebun, Mak Aji masuk ke dapur. Sambil Pak Aji menyiapkan sarapan, Mak Aji bersiap untuk membuat puding roti. Sebenarnya pelbagai versi puding roti yang Mak Aji jumpa tetapi yang paling mudah dan tidak banyak bahan ialah yang dihasilkan oleh Monie. Jadi itulah versi yang Mak Aji buat, cuma dek kehabisan susu segar (Monie pakai susu UHT), mak Aji pakai bancuh sahaja susu tepung Nespray! Hasilnya alhamdulillah sedap juga!:

Puding roti.
Yang baru keluar dari ketuhar.

Mak Aji terlupa letak garam, jadi kuranglah sedikit lemaknya ya (bukan dehaka resipi, terlupa!). Rasanya kalau buat kuahnya lagi sedap, kan!! Apapun terima kasih Monie atas perkongsiaan!


Wednesday, 8 February 2012

Resipi Baru Pak Aji - Pisang 'Rebus' dengan Madu!

Pokok pisang kami berbuah dengan galaknya sekarang. Pak Aji tebang sepokok yang buahnya matang. Banyak sisir diperoleh, sempat dibahagi-bahagikan kepada jiran tetangga. 

pisang batu masak
pisang masak lagi
selepas selesai di'rebus' dalam ketuhar gelombang mikro
Ini dia pisang 'rebus' dengan madu!
Pada petang ini balik sahaja dari ofis, Pak Aji dengan bangganya menunjukkan dua sisir lagi yang masak. Pada pagi tadi dia mencuba resepi baru menggunakan pisang tersebut - pisang 'rebus' dengan madu. 'Rebus' sebab bukan rebus biasa tetapi dimasak (gunakan mangkuk bertutup) dalam ketuhar gelombang mikro selama 3 minit 'high'. Selepas itu, taburkan sedikit garam dan curahkan madu (Pak Aji guna madu Yaman) di atasnya! - cukup lazat!! Teman pisang ini pula kopi putih (white coffeelah! - jangan susah tidur malam ni sudah!)

Semalam cuma dua biji yang masak, Pak Aji bakar atas dapur gas sahaja, pun sedap!! Rupanya sedap juga ya, pisang bakar yang pernah nenek moyang kita makan pada zaman dulu-dulu! Apa lagi yang Pak Aji masak, tentu Mak Aji suka, kan!!

Friday, 18 November 2011

Butir Nangka

Entah macam mana teringat pula nak makan butir nangka. Bukannya biji buah nangka tetapi sejenis kuih tradisional Kelantan yang kita biasa makan untuk buka puasa. Buatnya mudah tetapi rasanya sedap. Kuih ini kegemaran anak-anak bila berkumpul terutama sekali semasa bulan puasa.

Kalau yang belum kenal, ini rupanya:


















 


Berikut resipinya:

Bahan-bahan:
½ kg tepung pulut (1 paket)
5 helai daun pandan | ambil jus
½ sudu kecil halba
1 biji kelapa (perah santan pekat)
240gm gula (sesuaikan ikut selera)
1½ sudu besar tepung jagung
1 sudu besar tepung beras
Sedikit garam

Cara memasak:

1. Masak santan, gula, tepung jagung, halba dan garam secukup rasa. Masukkan sekali dua helai daun pandan. Kacau sehingga mendidih. Ketepikan.

2. Didihkan air di dalam periuk lain.

3. Satukan tepung pulut, tepung beras, jus pandan dan air (mengikut keperluan) di dalam mangkuk. Uli dan gentelkan bulat memanjang seperti biji nangka.

3. Selepas itu, masukkan di dalam air mendidih. Apabila tepung timbul, angkat, toskan airnya dan terus masukkan ke dalam kuah santan tadi.

4. Hidangkan.


Kadang-kadang anak-anak sengaja mahukan butir nangka yang agak meriah sedikit, jadi saya gunakan warna merah, kuning dan hijau. Itu terpulanglah kepada anda sendiri. Selamat mencuba!

Friday, 5 August 2011

Gulai Darat Itik Muscovi

Semalam Pak Aji beli itik Muscovi dua ekor dari tempat bela itik di Paya Jaras. Dia memang amat gemarkan itik dan kambing. Kalau bulan puasa, lebih-lebih lagilah nakkan makanan kegemarannya. Petang semalam Mak Aji balik kerja itik dah siap sembelih, potong dan bertos, menunggu untuk dimasakkan saja. Apakan daya, jam teruk sangat nak balik kerja (sampai rumah 6.30 petang nak masak apa??), maka itik terpaksa di simpan untuk dimasak hari ini. Itu yang petang ni bergegas balik rumah cepat-cepat supaya sempat masak  untuk dijadikan lauk berbuka. Nasib baik itik agak sederhana muda. Kami terpaksa makan lauk lain dahulu sementara menunggu itik empuk. Mak Aji masak gulai darat. Kalau nak tahu, masakan ini lebih kurang gulai kawah kat Kelantan tu. Kat KL pun kadangkala ada dijual, kalau kat restoran tu, yang dimasak dan dibiarkan dalam kuali besar! Ada kat Restoran Mak Uda di Subang 2. Pun ada di sebuah restoran di Mah Sing yang berdekatan. 

Kalau nak masak senang saja, kisar kunyit, lengkuas, halia, bawang merah, putih (seulas dua sahaja), cili kering, masukkan rempah kari, asam jawa dan gaul kepada ayam pencen ke, itik ke, angsa ke, ayam belanda ke (jenis macam ni yang sedap) sedap dagingnya manis meskipun sedikit liat. Kenalah bersabar sebab kena tunggu untuk empuk. Nak empuk cepat taruh sedikit tempurung kelapa atau daun nangka beberapa helai atau nak mudah taruh sudu makan tiga empat (keping, buah???). Itik yang bersih dan ditoskan dimasukkan ke dalam periuk, masukkan semua bahan di atas. Gaul rata dan perap setengah jam ke (kalau ada masa). Masukkan terus garam dan sedikit gula manisan (gula daripada nira kelapa) atau gula melaka. Kalau itik seekor, kelapa sebiji. Ambil sesenduk santan pekat dan masukkan ke dalam periuk tadi. Letak atas dapur dengan api kecil dan tutup periuk. Letakkan tempurung kelapa, daun nangka atau sudu ke dalam periuk. Sesekali jenguk dan kacau jangan sampai hangus. Air daripada itik akan keluar dan kuah akan bertambah daripada asal. Besarkan api (periuk masih tutup lagi). Tunggu hingga air mula mengering ke jumlah asal (lepas diletak sesenduk santan pekat). Pada ketika ini biasanya itik dah empuk. Kalau belum, perlu tambah lagi santan sedikit dan tunggu biar benar-benar empuk. Bila dah empuk, masukkan baki santan. Biar menggelegak. Masukkan sedikit daun kesum dan kentang (jika suka). Bila kentang empuk, cuba rasa dan boleh hidang. Enak dimakan dengan nasi bertemankan ikan goreng, ikan masin atau telur asin. Juga boleh dimakan dengan roti, cuma ketul itiknya  perlu kecil-kecil.

Tu dia resepi gulai darat. Boleh acu cuba try kalau minat. Kalau kami sekeluarga, ini masakan yang semua orang suka. Kalau hari ini masak, kalau ada baki esoknya,  rasa lagi sedap, seperti juga asam pedas!

Nak tengok macam mana rupanya? 



                         Nyam nyam nyam, sedap gulai darat!!!

Friday, 1 July 2011

Asam Rebus Ikan Kepal

Malam tadi masak asam rebus ikan kepal/patung. Pertama kali makan ikan jenis ini. Sedappp! Ambil daun kesum segar dari belakang rumah, subur sekali, hasil kerja tangan suami. Daun pudina pun ada untuk buat teh pudina. Dah pencen nanti boleh luangkan banyak masa berkebun, fresh garden herbs and veges! Been inspired by visiting blogs by those with the same interests. Tunggulah, come middle of next year, a full-time tukang kebun!! Tak sabar rasanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...