Followers

Friday, 7 October 2011

Belanjawan 2011

Ingat lagi belanjawan? Dulu masa Mak Aji kat universiti, kami guna istilah belanjawan, bukannya bajet. Tahu-tahu ada pihak yang seronok sangat pakai bajet, hinggalah ke hari ini, seolah-olah sudah diterima pakai secara meluas. Apapun, Mak Aji bukan nak pertikai apa istilah yang betul atau tak betul, sebenarnya nak sebut pasal pembentangan yang dibuat petang tadi. Mak Aji tak dengar apa pun sebab Mak Aji mesyuarat sampai jam 6.00 ptg tadi. Jam 6.30 baru tiba ke rumah. Terus tanya Pak Aji tentang apa berita terkini. Mak Aji silap tanya, tanya orang pencen, peduli apa dia pasal belanjawan! Dia belum tahu yang duit pencen dia akan meningkat 2 peratus mula tahun 2013! Kalau dia tahu dia dapat habuan juga, mahu juga dia dengar sebelah telinga.

Siapa yang tak suka bila gaji naik, dapat separuh gaji bonus (walaupun minta 2 bulan)? 

Yeh yeh, gaji naik, dapat bonus!!
Mak Aji sempatlah rasa gaji baru sampai pertengahan tahun depan, lepas tu, bolehlah rasa kenaikan 2% pencen setahun mula 2013. Alhamdulillah, naiklah sikit amaun pencen dengan kenaikan gaji! Kalau dahulu, peruntukan untuk beli sirih bertambah. Sekarang dah tak makan sirih, peruntukan untuk apa pulak? Nantilah kena fikir. Yang tentunya Mak Aji bermula raya tahun ini dah tak hantar jahit baju raya, sekadar pakai baju mana yang ada. Yang dihantar jahit pun yang kainnya jenis kain kapas - untuk alam 'kerja' di luar kawasan berhawa dingin, juga agar tiada lagi bil cuci baju di dobi.

Tak kiralah sama ada nak pencen macam Mak Aji ni, atau yang nak terus kerja sampai usia 60 nanti, Mak Aji rasa semua orang terasa yang harga barang naik berdesup-desup tanpa kita sedar. Memang betul orang kata, dulu kalau bawa RM50 ke kedai, banyak yang dapat dibeli, tapi sekarang dengan RM50, entah apa-apa yang dapat dibawa balik! Bagaimanalah nanti hidup anak cucu Mak Aji pada masa hadapan?? Wallahualam! 

Mak Aji sudah mengagak yang umur persaraan akan meningkat ke 60. Mak Aji sendiri tak sanggup kerja sampai ke usia begitu. Tak sanggup diejek orang-orang muda - "dah tua ganyut masih nak kerja, pergi masjid lagi baik!" Lagipun, pada usia begitu, kepala dah gok-gek, gok-gek (bergoyang agaknya), tak payahlah, elok duduk rumah saja. Jangan terkejut komen pedas tersebut pernah Mak Aji dengar di pejabat Mak Aji (nasib baik bukan Mak Aji yang menjadi sasaran!). Begitulah orang muda yang tidak tahu hormat kepada orang yang lebih tua - mungkin juga kerana orang tua yang dimaksudkan itu pula tidak menyayangi orang muda! Entahlah......    

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...