Followers

Wednesday, 4 July 2012

Sup Ayam Kampung

Sejak seminggu dua lepas Pak Aji memerhatikan dua ekor ayam teruna (ayam dara kalau betina) kami - "sedap kalau dibuat sup," katanya. 

Petang semalam sedang Mak Aji sibuk di dapur, terdengar bunyi ayam dan sejurus selepas itu Pak Aji muncul dengan tersenyum sambil memegang seekor ayam dan meminta Mak Aji  pegangkan ayam untuk disembelih. Mak Aji suruh ditangkap seekor lagi sebab kedua-dua ekor ayam ini berkawan (ibu ayam pula sibuk mengeram - ada 9 biji telur - dan tidak memperdulikan mereka lagi). 

Selang beberapa minit selepas itu Pak Aji dapat tangkap seekor lagi. Setelah siap dibersihkan Pak Aji, ini rupanya: 

Dua ayam kampung, teruna.

Ayam kampung hanya dimasak tengah hari ini - sup yang Pak Aji pernah rasa semasa di Kelantan beberapa bulan lalu. Resepi ini Pak Aji bawa balik setelah ditanya tukang masaknya, isteri Baba Aziz, guru Pak Aji. Ini rupa sup ayam kampung ini:


Sup ayam teruna!!

Walaupun tiada daun bawang, daun sup dan bawang goreng (terlupa beli, malas nak keluar), supnya Mak Aji rasa antara yang paling sedap pernah dirasa! Resepinya memang berbeza dan begitu juga cara memasaknya! Cuba lihat resepinya di bawah:

Bahan-bahan:

1 ekor ayam kampung dara atau teruna (he he!) dipotong empat atau lapan
2 indi halia dipotong nipis
5 ulas bawang putih diketuk dan cincang halus
3/4 sudu besar lada hitam yang dikisar kasar
3 biji kentang dipotong 4 bahagian
sup bunjut Adabi
garam
sedikit gula

Cara-caranya:

Rebus air secukupnya (sesuaikan dengan sebanyak mana ayam). Masukkan halia, bawang putih, lada hitam, sup bunjut, garam serta sedikit gula. Biar mendidih seketika. Rasa kuahnya dahulu, pastikan terasa semua bahan dan cukup garam gulanya. Masukkan kentang kemudiannya ayam. Ayam muda tidak perlu dimasak lama sebab dagingnya lembut. Apabila ayam empuk, terus angkat dan hidangkan bersama-sama perahan air asam limau nipis, cili api potong, daun bawang, daun sup serta bawang goreng. Pasti terangkat!!

Memang agak luar biasa sedikir cara memasaknya, tetapi yang pasti, rasanya cukup sedap - terasa manis daging ayam yang tidak pernah disuntik hormon - hanya makan apa yang kami beri makan dan yang dikaisnya sendiri di kawasan rumah kami.  

Alhamdulillah atas rezeki yang dikurniakan - teringin hendak tambah lagi stok ayam agar boleh dibikin sup lagi!! Untuk makluman seekor lagi sudah diletak garam kunyit halia serta bawang putihnya, untuk digoreng malam nanti, insya-Allah!!


Catatan: Cubalah resepi ini, anda akan rasa kelainannya!! Ini baru sup ayam! Kalau selepas bersalin, dalam pantang diberi makan sup ini, nescaya akan terasa segar badan!!



2 comments:

izla said...

ini baru dikatakan freshhh...
ayam bela sendiri :)

Ummu Madihah said...

Yes, nothing beats the real fresh organic chicken!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...