Followers

Friday, 10 October 2014

Balik Kampung Beraya Haji

As-salam.

Mak Aji, Pak Aji serta Boy pulang beraya ke kampung genap seminggu yang lalu. Kami bertolak sebaik sahaja selesai makan sahur dan memasukkan beg pakaian (serta sekotak buah betik dan mangga dari laman sebagai ole-ole dari KL ke kampung!) ke dalam kereta. Bergegas kami keluar dari rumah agar kami sempat keluar sebelum masuknya waktu solat Subuh (agar terlepas kewajiban untuk menunaikan solat Jumaat ke atas Pak Aji dan Boy). Kami menyinggah di masjid di Selayang untuk solat Subuh berjemaah. Usai solat kami meneruskan perjalanan balik ke kampung mengikuti jalan Gua Musang. Kenderaan agak banyak tetapi lalu-lintas berjalan lancar tanpa kesesakan.

Kami selamat tiba di rumah kakak Mak Aji, Cik Ning sekitar jam 1.00 tengah hari. Setelah berehat seketika, kami keluar untuk mencari lauk untuk juadah berbuka - Boy mahu makan lidah lembu bakar! Kami ke Pasar Siti Khadijah untuk tujuan tersebut.

Sejam dua kemudian Mak Aji menerima pesanan daripada Along berserta foto kemalangan melibatkan treler yang melintang serta menutup terus jalan menuju KB. Saksikan foto berikut:

Kemalangan dalam perjalanan dari Kuala Lipis - Gua Musang sekitar Merapoh.
Mak Aji dimaklumkan kesesakan sepanjang 30 km dari tempat kejadian menghala ke KL. Dari tempat kejadian ke Gua Musang juga sesak teruk. Alhamdulillah kami terlepas daripada terperangkap dalam kesesakan tersebut. Setelah 4 jam barulah treler dapat dialihkan dengan serba susah payahnya! (kawasan berbukit - Bukit Tujuh nama tempatnya).

Mengikut rencana awal kami sepatutnya bertolak balik ke KL pada hari Rabu tetapi dek kerana Pak Aji ada urusan penting, maka kami terpaksa percepatkan ke hari Selasa. Apa lagi, sampai sahaja kami ke kawasan Machang (jalan Gua Musang), kesesakan teruk berlaku. Kami berpusing balik dan meneruskan perjalanan melalaui jalan Grik. Alhamdulillah jalan agak selesa tanpa kesesakan dan kami selamat tiba sekitar jam 2 pagi hari Rabu.

Kami bertiga menunaikan ibadah korban di Pattani - di pondok arwah guru Pak Aji. Kami menyeberang sungai (tanpa pasport!) dari Kampung Simpangan, Tumpat. Hati berdebar-debar memerhati arus sungai yang sedikit lesu dan pada masa yang sama Mak Aji teringat kejadian perahu karam di Sungai Golok ini juga (ketika itu dua lagi mangsa belum ditemui), iaitu di Mundok, Thailand. Kalau diikutkan hati tidak mahu Mak Aji pergi kerana Mak Aji tidak tahu berenang! Apapun Mak Aji beranikan diri berbekalkan bacaan ayat Kursi! Alhamdulillah kami selamat menyeberang, selesaikan korban, makan kendurinya dan selamat menyeberang balik!! 

Suami mangsa serta 3 mangsa yang terkorban.
Sumber foto: http://duniaitu.blogspot.com/2014/10/korban-sungai-golok.html
Semoga keluarga mangsa tabah menerima takdir Allah ini dan semoga semua roh mangsa dicucuri rahmat-Nya jua dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh dan solehah, amin!!



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...