Followers

Monday, 23 December 2013

Ziarah ke Baitul Maqdis - 2



As-salam.

11 Disember 2013

Kami bangun dari tidur dalam kedinginan pagi. Hujan masih turun dan angin juga mula bertiup, menambahkan lagi cuaca sejuk. 

Seperti semalam semasa memulakan perjalanan Habib Ali mengetuai bacaan doa safar. Seterusnya beliau memberi tazkirah serta memberi penerangan tentang tempat-tempat yang bakal kami ziarahi. Penerngan tentunya juga diberikan oleh pemandu pelancong. 

Kami berkumpul untuk menaiki bas sekitar jam 9.00 pagi selepas sarapan. Kami mendaftar keluar hotel dan meneruskan perjalanan ke sempadan Israel. 

Lembah Jordan kami lalui. Kawasan itu merupakan kawasan tanah subur yang ditanam pelbagai buah-buahan serta sayur-sayuran. Kami dimaklumkan bahawa Jordan tidak mengimport buah-buahan dan sayur-sayuran dari luar negara. Sebaliknya mereka menanam sendiri untuk keperluan tempatan. Mak Aji agak terkejut apabila melihat kebun pisang! Pokoknya tidak tinggi dan kami dimaklumkan bahawa pisang tempatan agak kecil saiznya dan berbau harum! Selain itu terdapat di tepi-tepi jalan orang berjual tomato dengan lori pikap - penuh lori! Tomato juga bukannya dijual sebiji-sebiji tetapi dalam kotak kayu! Memang mereka banyak menggunakan tomato dalam masakan mereka. Padanlah kulit mereka cantik! 

Melalui Lembah Jordan.
Kedai bebas cukai di sempadan masuk ke Israel.
Cuaca sejuk kerana hujan dan angin - burung juga kesejukan!
Yang bagusnya mereka tidak perlu baju tebal!

Setelah mendapat kebenaran untuk masuk ke Israel, kami meneruskan perjalanan ke check point yang memisahkan Jordan dengan Israel yang dikenali sebagai Allenby Bridge atau Allenby Terminal. Kami tiba sebelum jam 9.00 pagi. Sesampainya bas di situ petugas mengeluarkan bagasi untuk diimbas manakala kami menunggu isyarat untuk turun dari bas dengan membawa hand luggage, juga untuk diimbas (bagasi dan tuan bagasi sekali!). Kami beratur untuk melalui imigresen peringkat pertama, diimbas diri dan hand luggage, dan akhir sekali untuk mendapatkan kebenaran memasuki Israel (mereka tidak membuat cop pada pasport. Sebaliknya mereka memberi sekeping kad seperti berikut:

Di hadapan.
Di belakang.
Setelah melalui imigresen kali kedua, kami terpaksa menunggu lagi bagasi yang imbas. Jam 1.11 petang barulah semua bagasi kami lepas daripada pemeriksaan (mereka amat berhati-hati dan memeriksa ketat setiap orang dan barang yang masuk ke Israel!). 

Selesai semuanya kami terpaksa melalui beberapa lagi check point sepanjang jalan kami ke kota Jericho, kota tertua di dunia! Kami makan tengah hari di restoran Mountain of Temptations. Restoran dan kedainya milik orang Palestin. Banyak cenderamata yang terdapat di situ. Namun begitu harganya agak bolehlah tahan juga! Mereka menggunakan mawatang Israel iaitu Sheqalim atau matawang dolar Amerika. Nilai Sheqalim lebih kurang sama dengan RM1. 



Berikut foto di sekitar kawasan rsetoran dan kedai itu:


Buah delimanya cukup besar! Tidak dijual buahnya tetapi yang dijual jusnya.
Mak Aji adalah membeli sedikit ole-ole, jangan tidak!
Mata airnya dikatakan tidak pernah kering sejak beribu tahun dahulu!
Memang istimewa kota lama ini!
Jericho merupakan tempat yang Nabi Isa a.s. pernah singgah dalam perjalanan ke Baitul Maqdis. Kota ini juga merupakan tempat yang Nabi Isa a.s. memulihkan penglihatan orang buta. Anda semua pasti tahu akan kisah tersebut.

Setelah perut kenyang dan puas membeli-belah, kami meneruskan ziarah ke Hisham's Palace, iaitu istana musim panas salah seorang khalifah Bani Umayyah dahulu. Projek pemuliharaan sedang dijalankan oleh pihak kerajaan Amerika Syarikat.




Pada lewat petang dan dalam renyai-renyai hujan kami sampai ke Baitul Maqdis/Jerusalem. Kami terus mendaftar masuk ke Hotel Holy Land yang hanya bertentangan dengan Masjidil Aqsa. 

Setelah mendaftar masuk ke hotel.
Oleh kerana maghrib masuk sekitar jam 4.30 petang, maka sebaik sahaja masuk ke bilik, kami terpaksa bergegas ke masjid. Maka dalam hujan (tanpa payung pun!) kami berjalan ke masjid yang memakan masa lebih kurang antara 20-30 minit. Kami masuk melalui pintu Babus Zahro:

Babus Zahro (pintu Zahro).
Dari pintu tersebut terdapat pondok kawalan tentera Israel di atas tembok sebelah kiri. Kami menuruni tangga cobble stones, belok kiri, terus, belok kanan lantas sampai ke pintu pagar utama kawasan masjid, iaitu ini yang dikawal beberapa orang tentera Israel siap berpakaian seperti pasukan polis SWAT dan bersenjata!:

Pintu besar untuk masuk ke kawasan masjid.
Setelah sampai ke bangunan masjid, terdapat satu lagi pondok kawalan tentera! Pada mulanya hati agak berdebar-debar namun setelah setiap hari lalu-lalang, hati tidak lagi risau. Tentera berkawal (katanya) agar tiada yang selain orang Islam yang masuk dan membikin kacau dalam kawasan Masjidil Aqsa!

Di luar pintu utama masjid ada lagi pondok kawalan tentera Israel!
Alhamdulillah cukup seronok kami semasa pertama kali menjejak kaki ke dalam masjid! Setelah selesai solat sempatlah kami berfoto kenangan:




Mehrab Siti Mariam - tempat ibadahnya Siti Mariam yang menerima
makanan dari syurga!
Puas meninjau keindahan di dalam masjid serta menikmati ketenangan beribadah di dalamnya, kami pulang ke hotel untuk menikmati keindahan Masjidil Aqsa dari beranda yang kebetulan menghadap masjid! Masya-Allah cukup indah sekali!:




Sekali lagi kami tidur keletihan namun cukup teruja menikmati keindahan Masjidil Aqsa serta ketenangan yang dikecapi sepanjang berada di dalamnya, alhamdulillah!



Ziarah ke Baitul Maqdis - 1

As-salam.

9 dan 10 Disember 2013

Mak Aji dan Pak Aji serta Boy (anak Mak Aji yang kedua) bertolak ke KLIA untuk menghantar kami (Mak Aji dan Pak Aji) ke Jordan. Kami diminta agar bersolat Maghrib di KLIA agar semua ahli rombongan berada awal di KLIA untuk urusan daftar masuk yang akan memakan masa yang agak lama. 

Seramai 49 orang dari kumpulan pertama (30 lebih lagi dari kumpulan kedua yang bertolak dua hari selepas kami) bertolak ke Jordan pada jam 10.20 malam dengan menaiki pesawat Royal Jordanian. Kami transit lebih kurang sejam di Bangkok dan selepas itu pesawat menyambung perjalanan ke Queen Alia Airport, Amman, Jordan.

Pesawat mendarat jam 6.31 pagi (waktu tempatan) dan kami terus berkejar untuk menunaikan solat Subuh. Usai solat Subuh kami mendapatkan beg dan mula keluar dari lapangan terbang untuk menaiki bas. Suhu di Amman ketika itu 2 darjah Selsius! Berikut beberapa foto yang dirakam:

Baru menaiki pesawat - tidak sabar untuk berlepas.

Sepasang suami isteri kawan kami dari Tanah Merah, Kelantan,
Cik Jah dan Zabir.
Mak Aji dan Pak Aji.
Di luar lapangan terbang.


Berikut pemandangan sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke ziarah pertama kami, iaitu Makam Muhta (Muhta Shrine):




Peperangan Muhta di antara tentera muslimin seramai 300 orang menentang 3000 orang tentera musyrikin yang berlaku di sini telah mengorbankan seramai 13 orang tentera muslimin. Dua daripadanya dimakamkan di sini, iaitu Zaid bin Harithah dan Jaafar bin Abi Talib.

Makam Zaid bin Harithah.
Ibu kepada Habib Ali, Habib Ali dan Pak Aji usai solat
Zuhur di masjid bersebelahan makam.
Makam Jaafar bin Abi Talib.
Mak Aji sedikit hairan! - ada catatan berbahasa Melayu di papan tandanya!!
Makam Muhta dari luar.
Nama 13 syuhada terpahat di batu. 
Makam Abdullah bin Rawahah yang terletak tidak jauh dari Makam Muhta.
Allahyarham juga salah seorang daripada 13 yang syahid.
Perjalanan seterusnya ke Madaba tempat kami makan tengah hari, iaitu di Restoran JNAIEN. Dalam perjalanan Mak Aji sempat lalu di kebun buah zaitun. Terdapat beberapa orang di bawah pokok. Mereka menghampar alas plastik di bawah pokok lalu memukul-mukul dahan pokok untuk menjatuhkan buahnya! Sama seperti yang Mak Aji pernah lihat di TV sebelumnya!

Seterusnya kami melalui Grand Canyons of Jordan, iaitu jurang yang seumpama di Amerika Syarikat. Masya-Allah, kagum sekali kami akan ciptaan Allah:

Kedai menjual daging kambing - digantung begitu
sahaja di luar kedai!
Mahu tahu mengapa pokok senget? - angin kencang!
Grand Canyons of Jordan!
Di bawahnya, empangan.

Jalannya sempit, berliku-liku dan curam!
Menjamu selera di sini untuk tengah hari. 
Seterusnya kami ke Gunung Nebo (Mount Nebo) iaitu tempat yang Nabi Musa dikatakan sesat selama 40 tahun di kebun zaitun di gunung itu. Penganut Kristian percaya bahawa gunung ini merupakan tempat Nabi Musa dikebumikan.



Pemandangan dari atas gunung.

Dari atas gunung yang tinggi ini sebahagian tempat dapat dilihat seperti Laut Mati.
Bas yang kami naiki sepanjang di Jordan hingga ke sempadan Israel.
Ziarah kami yang terakhir ialah ke gua Ashabul Kahfi:

Suasana di dalam gua - tidak seluas mana guanya.

Mulut gua.

Setelah keletihan kerana seharian berziarah, kami terus ke hotel untuk makan malam dan mendaftar masuk ke al-Fanar Palace Hotel..


Cuaca agak sejuk dengan hujan sekali-sekala. "Salji dijangka turun dalam sehari dua ini," kata pemandu pelancong! Kami tidur lena dalam keletihan!



Friday, 20 December 2013

Rumahku Syurgaku!

As-salam.

Alhamdulillahi rabbil alamin! Mak Aji dan Pak Aji selamat sampai ke rumah selepas pekena nasi ayam goreng berempah di R & R di lebuh raya Guthrie - rindukan masakan tempatan, kata Pak Aji.

Pada 18 Disember pesawat Jordanian Airlines yang berlepas sekitar jam 2.10 pagi (waktu tempatan) dari Queen Alia Airport (waktu tempatan) tiba pada awal pagi di Bangkok. Kami transit selama sejam sementara krew membersih pesawat menjalankan tugas dan pesawat juga diisi minyak. Pesawat seterusnya menuju ke KLIA dan kami tiba sekitar 6.30 petang. Kami berkejar ke surau untuk menjamakkan solat Zuhur dan Asar. Selesai sahaja doa, azan Maghrib kedengaran. Kami teruskan solat Maghrib dan Isyak secara jamak qasar berimamkan Habib Ali lagi.

Pengalaman ke Baitul Maqdis cukup mengujakan rombongan kami yang seramai 83 orang kesemuanya, terutama sekali dengan bimbingan Habib Ali Zainal Abidin yang memastikan bahawa perjalanan kami sentiasa beroleh berkat-Nya. Setiap kali kami menaiki bas untuk memulakan ziarah kami, Habib Ali mengetuai bacaan doa safar dan seterusnya memberi tazkirah. Penerangan juga diberikan tentang tempat yang bakal diziarahi, contohnya makam para sahabat serta para nabi agar ziarah kami lebih bermakna! Tidak kurang juga qasidah serta maulid kami baca bersama-sama. Pertama kali Mak Aji mengikuti rombongan bersifat kerohanian ini dan hati cukup berasa tenang dan seronok sekali - memang pengalaman yang lain daripada yang lain!!

Masjidil Aqsa yang diselaputi salji  - dari beranda bilik hotel.
Sekarang Mak Aji dan Pak Aji sedang merawat diri yang penat dan kami sedikit demam, mungkin dek kerana terkejut dengan pengalaman salji yang turun di sana. Itu juga pengalaman pertama kami. Yang pernah kami rasa sekadar musim luruh sahaja tetapi rupa-rupanya musim sejuk bersalji begitu rupa dan rasanya! Pula tu, kami agak kurang persiapan - pakaian cukup cuma kasut kurang sesuai untuk meredah salji, apa lagi di waktu dini hari untuk ke masjid sebelum Subuh!

Bagi anda yang belum pernah ke sana, Mak Aji anjurkanlah agar pergi. Kalau di Masjidil Haram kita mendapat pahala 100,000 kali ganda, di Masjid Nabawi 1,000 kali ganda pahala, di Masjidil Aqsa pahalanya 500 kali ganda! Sila baca petikan berikut untuk penjelasan lanjut:


“Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid kecuali (untuk pergi) ketiga-tiga masjid (yang berikut): Masjidil Haram (di Makkah), dan masjid Rasulullah (di Madinah) dan Masjid al-Aqsa (di Baitulmaqdis).” (Hadis riwayat Bukhari)

Umat Islam yang ingin berziarah ke luar negara untuk beribadat kepada Allah tidak perlu bersusah payah ke tempat lain, selain berziarah ke Tanah Suci, terutama untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah.

Tiga masjid yang mempunyai fadilat besar apabila mengerjakan ibadat sembahyang dalamnya adalah :

Masjidil Haram di Makkah.
Masjid Nabawi di Madinah.
Masjidil al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Antara fadilatnya adalah:

Kelebihan Masjidil Haram adalah mereka yang bersembahyang dalamnya akan mendapat 100,000 (lebih afdal daripada) sembahyang di tempat lain. Dalamnya terletak Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam.


Kelebihan Masjid Nabawi pula adalah mereka yang bersembahyang dalamnya akan mendapat 1,000 (lebih afdal daripada) sembahyang di tempat lain. Dalamnya ada makam Nabi dan sebagai sebuah taman daripada taman syurga.

Kelebihan Masjid al-Aqsa pula adalah mereka yang bersembahyang dalamnya akan mendapat 500 (lebih afdal daripada) sembahyang di tempat lain.

Keistimewaannya adalah ia masjid Nabi yang terdahulu dan tempat Israk dan Mikrajnya.

Nabi menggalakkan umat Islam untuk menziarahi ketiga-tiga masjid yang bersejarah iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa.

Sumber petikan: http://temanku.blogdrive.com/archive/38.html



Friday, 6 December 2013

Kek Minyak Lagi!

As-salam.

Semalam Mak Aji membalas dendam terhadap kek minyak yang tidak menjadi untuk kedua-dua kalinya! Dua adunan disediakan, satu kononnya untuk dibakar dan satu lagi untuk dikukus. Malangnya acuan tidak muat di dalam kukusan, maka kedua-duanya dibakar sahaja. Dalam pada ingin membalas dendam, hati masih belum betul-betul yakin yang kali ini akan terhasil kek yang menjadi! Lalu, Mak Aji tiadalah bersusah payah membuat yang berlapis-lapis. Sebaliknya dilarik-larik sedikit sahaja. Makanya, dari segi rupa tiadalah secantik yang tempoh hari. Oklah, sekali lagi akan dibuat yang betul-betul pula! Perjuangan mendapatkan kek minyak yang unggul masih belum tercapai, he he!

Mari kita saksikan:

Sebelum dibakar.
Selepas dibakar.
Yang satu lagi - sebelum.
Selepas.
Hasilnya, kek minyak yang gebus gebas, memang puas hati kali ini!

Cuma ada dua perkara yang Mak Aji musykil - mengapa ya kek ni macam mat saleh lepas berjemur panas di pantai? (tanned) dan mengapa perlu ada rekahan di tengah-tengah tu?? Kek pertama dibakar pada suhu 180 darjah Celsius selama 40 minit. Apabila keluarnya tanned, maka untuk kek kedua Mak Aji tetapkan suhu 170 untuk selama 45 minit. Bila ada bahagian tengah yang belum masak, ditambah lagi 5 minit. Mengapa tidak rata permukaannya?? Mak Aji menggunakan fungsi Convection pada ketuhar Gelombang Mikro. Kalau kek lain tiada pula begini jadinya! 



Wednesday, 4 December 2013

Persiapan untuk Ziarah ke Baitul Maqdis

As-salam.

Pada 1 Disember lepas Mak Aji dan Pak Aji hadir taklimat yang dianjurkan oleh Gotz Travel Sdn. Bhd. yang menganjurkan ziarah seperti pada tajuk entri. Taklimat diadakan di Restoran kegemaran kami, Al-Rawsha di bulatan Kg. Pandan. 

Pada pertama kali Pak Aji menyebut tentang ziarah ini Mak Aji memang amat gabra sebab kalau disebut Palestin sahaja kita akan terbayang suasana bom sana-sini serta kekejaman Yahudi yang menjajah mereka. Setelah diberikan penerangan oleh wakil syarikat dan disertakan pertunjukan slaid, maka Mak Aji bolehlah menarik nafas lega. Keadaan di tempat-tempat yang bakal kami ziarah insya-Allah aman dan tiada masalah dari segi keselamatan. 

Ziarah kami akan dibimbing oleh Habib Ali bin Zainal Abidin, pendakwah yang kami biasa hadiri kuliahnya di Masjid Muaz bin Jabal, Setiawangsa.

Habib Ali bin Zainal Abidin.

Ziarah ini akan disertai oleh seramai sekitar 83 orang yang terbahagi kepada dua kumpulan yang berangkat secara berasingan, namun akan bertemu di sana nanti. 

Segala urusan imigresen diuruskan oleh Gotz Travel dan ia melibatkan kelulusan daripada kerajaan Malaysia yang memberikan kami kelulusan untuk memasuki Israel. Visa juga dikeluarkan oleh Israel untuk kami. Kalau anda perasan, pada pasport kita terdapat kenyataan yang menyebut bahawa pasport kita sah laku untuk semua negara kecuali Israel (cuba periksa pasport). Memang agak pelik, kan! Mak Aji ada video yang cukup 'kiut' yang menunjukkan seorang anak kecil yang menghafal nama negara serta ibu negaranya. Perhatikan apa tindak balasnya apabila ditanya tentang Israel!


Insya-Allah kami akan bertolak pada 9 Disember dan kembali pada 18 Disember nanti. Sekembali nanti insya-Allah akan ada cerita menarik dari sana. Tunggukan ya! Oh ya, mohon anda sekalian mendoakan kami di sana ya, agar selamat pergi dan kembali!



Apam Tepung Beras

As-salam.

Projek piza kena KIV sebab Mak Aji kurang yakin akan keju yang dijual di kedai pembekal bahan-bahan kek. Lebih baik ke pasar raya sahaja untuk mendapatkan keju yang tentu arahnya ada bertampal cop halal! Kata pekerja kedai tu - Cop halal pada paket besar tu takde tapi halal kak, orang-orang Melayu memang dok beli keju kat sini! Mak Aji berlalu sahaja tanpa membeli keju. Terfikir pula Mak Aji - Melayu pun macam-macam, ada yang kisah dan ada yang tidak kisah ada atau tidaknya cop halal tu!  

Apapun pagi ini Mak Aji mahu cerita tentang apam beras pulut - projek pertama mengapam! Mak Aji terjumpa pelbagai resepi untuk apam ini. Mak Aji pilih yang ini sebab bahan-bahannya sedia ada di rumah. Mari kita lihat:

Apam tepung beras yang siap untuk dimakan! 
Apam pink siap untuk dikukus.
Apamku senyum manis (kurang lebar senyumnya!) 
Alhamdulillah mekar juga apamku!

"Boy, cepat pergi beli kelapa, mama nak makan apam ni!"

Oh ya, kalau anda mahu cuba, mari Mak Aji kongsikan bahan-bahan serta cara-caranya seperti di bawah:

Apam Tepung Beras

1 cawan nasi (semalam punya)
2 cawan tepung beras
1 cawan gula putih
1 1/4 cawan air
1 sudu kecil yis
Sepaket kecil Eno

Cara-caranya:

Gunakan pengisar untuk menghancurkan nasi dan air hingga halus. 
Masukkan gula, tepung dan yis. (Mak Aji masukkan separuh tepung dan keluarkan semuanya dari pengisar - takut berasap blender. Bakinya kacau dalam mangkuk.)
Kisar lagi.
Masukkan ke dalam bekas dan tutup rapat.
Perap antara 3 - 4 jam.
Selepas 3 -4 jam, masukkan Eno dan kacau rata.
Letakkan pewarna jika suka.
Panaskan kukusan dengan api besar.
Tuang adunan ke dalam acuan.
Kukus selama 15-20 minit.

Sedia untuk dimakan bersama-sama kelapa parut yang dicampur sedikit garam (gaullah ya, jangan tak gaul pulak!)

Catatan: Adunan ini boleh menghasilkan sekitar 22 biji apam saiz cenonet ni!
Sumber resepi: http://www.kongsiresepi.com/read/4901/0/

Selamat mengapam!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...