As-salam.
Pada hujung minggu lepas Mak Aji berpeluang ke JB (dengan tepatnya Skudai) untuk menziarah anak cucu. Pada awalnya Mak Aji merancang untuk berkereta tetapi apabila Pak Aji enggan pergi kerana kurang sihat, maka Mak Aji dan Madihah hanya menaiki bas - lebih menjimatkan kos!
Sebelum membeli tiket secara atas talian, Mak Aji membandingkan dahulu harga tiket AirAsia, Firefly, dan juga KTM. Kalau naik pesawat berdua dengan harga tiket biasa jumlah kosnya boleh tahanlah juga. Tiket KTM kelas pertama oklah juga harganya, cuma tempoh perjalanan terlalu panjang, risau kalau elok sampai sahaja, lembik kami! Penyudahnya kami naiki Airbuslah sahaja!
Bas kami terlewat sampai ke stesen bas Shah Alam (seksyen 17) kerana kesesakan lalu lintas - hari Thaipusam. Basnya Transnasional - Mak Aji pilih syarikat ini sebab biasanya pemandu syarikat ini memandu secara berhemah, tidak laju (pengalaman lepaslah). Walaupun begitu, kali ini bas kami agak lama - naik sahaja bas ada bau hapak! Tuala kecil pemandu juga elok sahaja tergantung di kerusi paling hadapan sebelah kiri! Kami pula duduk di kerusi kedua dari hadapan di kanan! Apapun alhamdulillah kami selamat sampai ke JB.
Along, anak Mak Aji datang menjemput kami di tol Skudai dan kami terus ke Bandar Baru Uda untuk pekena nasi beriani di MS Beriani. Nasib tidak menyebelahi sebab restoran tutup - lupa kami yang mereka tutup pada hari Jumaat! Kami langsung ke Taman Universiti untuk makan nasi mandy di sebuah restoran Arab yang agak baru dibuka - boleh tahan sedapnya!
Mak Aji ke JB untuk membawa anak dara Mak Aji, Madihah untuk berjumpa kakak serta anak-anak buahnya. Perlulah Mak Aji layan sebab dia balik bercuti sekejap sahaja. Bulan puasa nanti barulah dia balik lagi sempena cuti panjang selama sebulan puasa hinggalah sekitar seminggu selepas raya puasa.
Seperti biasa, kalau ke JB, kacang pool di medan selera Plaza Larkin menjadi destinasi utama selain JPO - layan mata sahajalah! Oh ya Mak Aji kalau ke JPO paling suka ke Akemiuchi - kalau di KL Mak Aji tidak menjeling pun cadar jenama Akemi tetapi di JPO bolehlah sebab harganya jauh lebih murah. Cuba lihat apa yang Mak Aji beli:
Harga tidak sampai pun RM60 ringgit (harga asal RM259!). |
Alang-alang harga yang sebegitu Mak Aji belilah stok untuk hadiah kahwin dan juga untuk kegunaan sendiri - memang berbaloi!
Mak Aji juga (macam lupa yang dia naik bas tu, kata Along!!) selain sekotak cadar (kotak tidaklah sebesar manapun), membawa balik barang lain:
Penyapu dan bantal! |
Along hadiahkan penyapu berkuasa bateri! Kalau orang politik marah apabila dihadiahi penyapu, Mak Aji suka pulak! Bantal itu pula dibeli dengan menebus baucar RM50 yang dihadiahkan oleh menantu Mak Aji dan bakinya dibayar oleh Along - he he, sukanya dapat bantal percuma!
Dalam seronok membawa pulang macam-macam, pengalaman naik bas balik ke KL agak merimaskan! Punyalah nasib kami kurang baik, bas lama yang hapak yang dinaiki ke JB itulah juga yang kami naiki untuk balik ke KL (talk about bad luck!). Pemandunya pula aduhai, punyalah kalau masih budak mahu sahaja Mak Aji sental mulutnya dengan berus! Sepanjang memandu ke KL kata-kata seperti j*h*n*m, dan macam-macam lagi yang keluar dari mulutnya! Madihah kata - "rasa nak turun aje dari bas ni!" Dek kerana sepanjang berjam-jam didera dek pemandu bas itu, keesokan paginya seawal Subuh Mak Aji diserang migraine teruk! (nampak gaya bantal mahal pun tidak mampu menahan sakit dek stress tu). Mak Aji terpaksa dibawa ke klinik untuk suntikan tahan sakit! Lain kali kena naik bas, kenalah cari bas yang eksekutiflah pulak! Aduhai nasib badan! Kasihan kami semua penumpang bas tersebut!
7 comments:
mak aji...murahnya cadar tu...dari harga 259.....
Assalam Mak Aji... kesian kena dera hingga kena jab... mgt bus sekali sekala kena ikut sekali naik bus tu.. rasa mcm mana pelanggan lalui....
Salam Kam,
Kalau nampak beza harganya memang banyak ya. Apapun kualiti kainnya memang amat berbaloi dengan harga yang terdiskaunnya!
Salam Mar,
Memang betul tu, pihak pengurusannya patut pantau pemandu mereka agar kebajikan penumpang terjaga!
Amboi, bukan shoping sakan mak Aji kat JPO... istilah cuci mata tu mcm dah tak sesuai dgn hasil rembatan tu semua.... hihihi, tergelak saya baca pasal penyapu tu.. mcm2 la mak Aji ni :)
Laa, kesian pula dekat mak Aji... Tu dikira penderaan emosi kan mak Aji?
berbaloi harga cadar tu..Rugi klu tak beli hihi
Salam Shila,
Itu yang Mak Aji kalau ingat cadar, ingat Akemi Uchi di JPO! Berbaloi sangat. Tak pun kena tunggu sale kat Jusco, baru dapat harga yang murah.
Salam Nur,
He he, seronok bila turun JB masa time tu, macam2 dapat! Ya betul tu, penderaan emosi oleh pemandu bas tu sampaikan bila tengok bas aje teringat peristiwa itu! Seriklah!
Post a Comment