Followers

Friday, 29 March 2013

Makan-makan Keluarga

As-salam.

Pada malam Ahad lepas Along menganjurkan makan-makan keluarga di rumah Mak Aji sempena hari ulang tahunnya dan juga sebagai kali pertama kami sekeluarga berhimpun (walaupun tidak semua yang mampu hadir). 

Menu agak simple sahaja. Mak Aji masak bihun goreng, Nadia dan Hanif menyediakan sup cendawan dan roti bawang putih, serta Mida pula menyediakan puding roti. Boy menyediakan ayam, sotong, hotdog serta kambing barbeku. Mak Aji juga membeli durian crepe dari kedai kek Laura & Daddy di Denai Alam Shah Alam - memang sesedap yang dibeli di Ikano dengan harga yang sama RM10.00 untuk 4 keping. Kek juga Along beli dari kedai kek itu. Jom kita lihat foto pada malam tersebut:

Hanif, Nadia, Along dan Pak Aji.
Along serta Imran dan Mida serta anak buahnya.
Menantu, Munir dan Zhafran sibuk memanggang.
Makan, jangan tak makan. Nampak durian crepe tu??
Kek ulang tahun dan reunion keluarga.
Pak Aji pun sibuk masuk frame.
Along dan Nadia.
Seronok berkumpul.
Lagi.
Barbeku ayam, kambing sotong dan hotdog.
Mida dan anak buahnya.
Mak Aji dan menantu, Nadia yang berbadan dua.
Makan apa sampai muncung mulut tu??
Along sekeluarga.
Keluarga yang juga merupakan jiran yang datang.

Insya-Allah lain kali bolehlah kita rancang lagi ya, makan-makan seperti ini lagi! Nanti orang lain pula yang taja ya!!




Perbetul Penjajaran Diri

As-salam.

Along, anak sulung Mak Aji sudah berleter kerana Mak Aji sudah agak lama meninggalkan blog bersawang! Pelbagai hal menjadi kekangan untuk bersiaran dan antara lainnya soal kesihatan. Selepas balik dari Surabaya Mak Aji kurang sihat lagi - sakit tekak, demam dan selsema - mungkin dek panas dan habuk dari sana. Badan juga sakit-sakit terutama pinggang dan pinggul.

Sebetulnya beberapa hari sebelum ke Surabaya Mak Aji terjatuh dari kerusi -memanjat kerusi plastik untuk mengikat money-plant ke pergola! Terasa umpama dunia terbalik - rupa-rupanya diri yang jatuh. Pinggul kiri terkena tepi longkang dan pinggul kanan menghempap polibeg pokok mata kucing (yang belum ditanam ke tanah ketika itu). Selama beberapa minggu selepas itu solat Subuh cukup menyiksakan, terutama sekali ketika rukuk!

Mak Aji berurut beberapa kali tetapi sakit masih belum juga hilang.Cik Ning, kaka sulung Mak Aji mencadangkan agar Mak Aji balik kampung dan berjumpa dengan Mok Su dari Kampung Laut. Dia bukannya tukang urut tetapi lebih sebagai tukang terapi fisio. Mak Aji disuruh membuat beberapa pergerakan (lebih kurang sama dengan yang disuruh ahli fisioterapi) sambil dirinya memegang belakang kita. Selesai sahaja rawatan, badan terasa ringan alhamdulillah!! Tiada lagi sakit pinggang cuma pinggul masih terasa sedikit sakit. Pak Aji juga tidak melepaskan peluang untuk menghilangkan sakit belakang yang bermula semasa masih di kampus lagi, juga sakit tangannya akibat bermain badminton berpuluh tahun dahulu. Alhamdulillah dia juga terasa hilang sakitnya! Jazakallah Mok Su, bila berpeluang ketika balik kampung nanti kami akan datang lagi!!

Money-plant yang diikat agar menjalar ke tiang melintang pada pergola.

Catatan: Sudahlah sakit selepas jatuh, siap kena marah lagi dek Pak Aji sebab memanjat sampai jatuh. Jadinya, sudahlah jatuh, kena marah lagi (nasib baik tiada tangga untuk tambah timpa Mak Aji, he he!!)



Thursday, 14 March 2013

Lain Padang Lain Belalangnya

As-salam.

Seperti yang Mak Aji sebut sebelum ini, semasa Mak Aji ke rumah kawan, Ibu Dewi, dia sedang sibuk membuat persiapan untuk majlis kahwin adiknya yang akan berlangsung di Jawa Timur. Jadi sempatlah kami menjenguk hantaran yang sudah siap daripada pihak pengantin lelaki kepada pengantin perempuan:

Duit mas kahwinnya bernilai Rp500,000 digubah menjadi bentuk masjid dua dimensi yang siap dibingkai.
Kain pasang dari lace.
Sepasang tas dan kasut untuk majlis rasmi.
Set mekap.
Satu lagi set tas dan dompet.
Set toiletries.
Rantai leher berserta loket dan rantai tangan emas.
Sepasang lagi kain lace.
Sehelai jubah (ada dua kepala pengantin lelaki dan perempuan yang tidur berselimutkan jubah!).
Coli, seluar dalam, kain dalam serta tuala!!
Selimut yang digubah menjadi gajah.
Telekung serta begnya dan sejadah.

Menurut Ibu Dewi, pengantin perempuan akan menerima persalinan serba lengkap (sebab itulah ada coli, seluar dalam serta kain dalam!!). Kami terkejut besar melihatkannya! Katanya lagi, ada juga pihak pengantin lelaki yang terus menghadiahkan kepada isterinya katil, almari baju, tilam, set kerusi dan sebagainya! Kenduri kahwin juga katanya menyediakan makanan yang agak banyak dan pelbagai - jenis lauknya ada yang sehingga 15 jenis!!

Tambah Ibu Dewi lagi, jumlah hantaran bukan setakat yang di foto atas, malah ditambah lagi dengan 10 lagi kuih-muih! Bertambah terkejut kami!!

Begitulah dia sepintas lalu persiapan hantaran kahwin pengantin dari Indonesia, khususnya dari Sidoarjo!




Wisata Tiga 'Dara' ke Surabaya

As-salam.

Alhamdulillah Mak Aji serta kakak, Cik Ning serta seorang kawan baik, Wan selamat pulang dari wisata di Surabaya. Kami bertolak dari LCCT pada petang 9 Mac manakala kami pulang dan tiba di LCCT menjelang tengah malam tadi. 

Rupa-rupanya berjalan sesama perempuan memang menyeronokkan, meskipun ada ketikanya kami sedikit termengah-mengah apabila terpaksa mengangkat beg berat ke hulu ke hilir. Sekiranya bersama kaum lelaki, mereka tidak betah menunggu kaum wanita membeli-belah tetapi mereka tetap setia menjadi tukang angkat barang. Dalam ketiadaan mereka terpaksalah kami membuat semuanya, kecuali apabila sampai ke kenderaan - tukang supir akan mengambil alih.

Acara kami boleh dikatakan agak selesa, tidak terlalu padat dan tidak terlalu longgar. Ada juga hajat kami yang tidak kesampaian dek kerana perancangan yang sedikit kurang kemas tetapi alhamdulillah kami agak berpuas hati. Kalau ada rezeki rasanya pada tahun hadapan kami akan merancang untuk berjalan lagi!! Itupun tentunya setelah mendapat kelulusan bos masing-masing! 

Layanlah foto kami bertiga semasa wisata singkat kami itu:

Destinasi kami - Surabaya!
Surabaya here we come!! Dalam pesawat ke Surabaya.

Sesampai kami di Bandara Juanda, kami terus ke Pasuruan dan mendaftar masuk ke Hotel Pasuruan. Madihah serta Nadia dan Mawaddah sudah sedia menunggu kami di situ.

Keesokan harinya oleh kerana spa tidak dibuka pada hari Ahad, maka kami menukar rencana dengan menempah kenderaan untuk ke Surabaya. Kami sempat ke Pusat Grosir Surabaya, ke Ampel, ke Sidoarjo untuk makan malam dan selepas itu kembali ke Pasuruan.


Menunggu pesanan makan tengah hari di Ampel.
Bergembira dengan minum Soda Gembira!
Ini rupanya soda gembira - gembira masing-masingnya!!

Hari Isnin kami ke Spa Yaya seperti yang dijanjikan dengan lebih awal lagi. Dua orang mendapat rawatan di sebelah lewat pagi hingga awal petang. Setelah siap kami memenuhi undangan makan tengah hari di rumah Aisha, kawan Madihah.


Kerusi tangas di Spa Yaya, Pasuruan.
Sungguh unik dan kreatif rupa singki di spa tersebut.
Ini brosurnya.
Jenis rawatan serta harganya - lebih mahal sedikit berbanding tahun lepas.
Selepas makan tengah hari di rumah Aisha.
Bergilir-gilir tukang fotonya.

Setelah siap makan tengah hari pada lewat petangnya dua lagi menerima rawatan yang sama. Setelah selesai kami memenuhi lagi undangan makan malam di rumah Fatimah pula!


Kuih-muih sebelum makan malam di rumah Fatimah.
Logo kedai roti yang diusahakan keluarga Fatimah.

Pada hari Selasa sebelum kami bertolak ke rumah Ibu Dewi di Sidoarjo, kami sempat membeli-belah sedikit sebanyak di Pasuruan. Ini antara kedai yang kami kunjungi:


Sungguh unik ketayapnya - di sebuah kedai di Pasuruan.
Dua rak atas menempatkan dupa/bohor/l.
Ini duanya dari dekat.

Kami juga menyinggah di Raci, Bangil untuk bertemu dengan anak bongsu Mak Aji, Asyraf yang belajar di Pondok DarulLughah Waddawah, Raci, Bangil. Sementara menunggu waktu melawat, kami singgah solat di masjid di Bangil. Sempat juga kami ke sebuah kedai yang menghasilkan telekung (di sini disebut mukena atau rokuh). Harga telekung mahupun daster (housecoat/baju kelawar) memang paling murah di sini berbanding di tempat lain yang pernah kami kunjungi.


Singgah solat di Masjid, Bangil.
Giliran Mak Aji pula posing.
Bersama-sama anak bongsu Mak Aji, Asyraf yang memondok di Raci, Bangil.


Sesampai kami ke rumah Ibu Dewi, beliau sedang sibuk menguruskan persiapan untuk perkahwinan adiknya di Jawa Tengah. Sempatlah kami merasa masakan lazat yang disediakan Ibu Dewi - mi kari! Licin semangkuk besar seorang kami makan!


Wan, Ibu Dewi dan Cik Ning.
Mak Aji, Ibu Dewi dan Cik Ning.

Ibu Dewi serta keluarga bertolak ke Jawa tengah pada tengah malamnya sementara kami disuruh tinggal sahaja di rumahnya walaupun semasa ketiadaannya. Kami bertiga mengambil kesempatan berehat sebelum bertolak pulang keesokan harinya. Berikut kami diberi sarapan oleh anak-anak yatim dari yayasan yang ditubuhkan oleh Ibu Dewi serta suaminya. Merekalah yang melayan kami semasa ketiadaan Ibu Dewi. Kami juga dihantar ke bandara oleh salah seorang yang berkhidmat dengan Ibu Dewi.


Posing sementara ,menunggu sarapan.



Berikut pula kami di kafe di bandara sementara menunggu untuk mendaftar masuk untuk penerbangan balik ke KL:








Friday, 8 March 2013

Makan Malam - Pan-seared Tuna

As-salam.

Malam tadi ada permintaan agar Mak Aji masak pan-seared tuna (senang cakap ikan aya bakar, he he!!). Pak Aji juga mahukan dimasak kentang, jadi Mak Aji buatlah kentang lenyek (mashed potatoes) - cuma bukan lenyek dengan tangan sebaliknya menggunakan food processor - cukup mudah! . Brown saucenya tidak dibuat pun sebab sudah ada sos hijau yang disiram atas ikan. Ini rupanya:

Ikan bakar, sos hijau, kentang lenyek dan sayur (bodoh je sebab tidak dibuat salad).
Pinggan Mak Aji - alhamdulillah walau nampak tak banyak cukup kenyang!!

Kami makan bertiga sahaja, jadi dibakar tiga keping sahaja ikan aya yang dibuat fillet siap-siap untuk mudah masak. Mak Aji gunakan ikan aya yang jenis ada bunga, yang lembut dan bersaiz besar. Pernah juga buat lauk sama menggunakan ikan sardin bersaiz jumbo (cuma jarang jumpa yang saiznya begitu!).

Kalau jemu asyik makan nasi sahaja untuk makan malam, cubalah masak cara begini pula!





Menggamit Nostalgia

As-salam.

Awal minggu ini kami ada urusan di KL dan pada petangnya Pak Aji mengajak makan rojak Bellamy. Setiap kali ke situ, Mak Aji ternampak-nampak diri sendiri serta kawan-kawan rapat makan rojak di bawah payung menikmati rojak pada tahun 1980-an, 1990-an hinggalah 2000-an. Sudah berpuluh tahun kami ke situ hinggakan tauke asalnya sudah pun meninggal dunia dan perniagaan itu diambil alih anak lelakinya - masih kenal Mak Aji!! Punyalah pelanggan tegar!

Iklan di tempat makan ini!


Tempat 'mainan' kami kawan sepejabat dulu-dulu! - bawah payung!


Rojak Bellamy yang tersohor! Memang kawww!


Ingat tidak, kawan-kawan!!??



Friday, 1 March 2013

Berumah di Surau

As-salam.

Pagi-pagi ini Mak Aji terbaca kisah seorang lelaki yang menumpang tidur selama enam minggu di perpustakaan Universiti Cambridge New York. Cerita ini mengingatkan Mak Aji tentang kisah benar salah seorang kenalan sekuliah berpuluh-puluh tahun dahulu.

Pada suatu pagi semasa di dalam dewan kuliah, Mak Aji duduk di belakang kenalan ini dan setelah seketika terbau sesuatu yang hapak. Mak Aji dan kawan-kawan masing-masing berpandangan sesama sendiri dan sejurus selepas itu salah seorang kawan menuding ke arah kenalan itu di hadapan kami! Rupa-rupanya bau datang daripadanya. Dari situ timbullah cerita bahawa dia sebenarnya selama tempoh pengajian tiga tahun itu tidak pernah tinggal di tempat lain selain di surau sebuah fakulti bersebelahan fakulti kami!! Agaknya beg besar yang dibawa dari kampung (pantai Timur) rupa-rupanya disimpan di situ juga. Segala urusan mandi-manda serta mencuci pakaian dilakukan di tandas fakulti berhampiran surau itu!! (Pak Aji - rakan sekuliah Mak Aji, he he! - dan juga sebahagian besar pelajar lelaki memang mengetahui hal itu tetapi pada mereka perkara itu agak biasa-biasa sahaja!).

Mak Aji cuba membayangkan di mana agaknya kenalan itu sekarang?? - Kalau kakitangan kerajaan sudah tentu berjawatan tinggi dengan gaji lumayan dan entah-entah sudah bergelar Datuk/Dato???

Namanya Mak Aji kurang pasti tetapi rupanya masih boleh dibayangkan lagi! Pelik tetapi benar!!


Orang yang tidak berumah - sekadar hiasan sahaja.



Bagaimanakah dengan anda? Sanggup anda berbuat seperti dia? Mak Aji agak mungkin kenalan tersebut datang daripada keluarga yang agak daif sehinggakan terpaksa menempuh hidup seperti itu! Bersyukurlah kita yang kita terkecuali daripada terpaksa berbuat sepertinya!

Sumber foto: nursing322sp10.wordpress.com




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...