Followers

Sunday, 16 September 2012

Dugaan Besar Puasa Enam

As-salam.

Puasa enam kali ini memang banyak betul cabarannya. Sudahlah terpaksa menanggung malu kerana terpaksa puasa sampai ke hujung sut Syawal, banyak pula dugaan yang ditanggung. 

Seperti yang disebut sebelum ini, guru pak Aji dan keluarga menginap di rumah selama beberapa hari. Kehadiran Baba Aziz mengundang tamu ke rumah. Selain itu juga kelas pengajian secara tertutup (select few) diadakan setiap malam. 

Pada pagi tadi diadakan tausiah khusus untuk para isteri kepada anak-anak muridnya. Usai solat Subuh Mak Aji dan isteri Baba sibuk di dapur menguruskan makan minum sebelum tetamu tiba. Setelah tausiah dan makan minum juga selesai, masing-masing sebahagian besarnya ke rumah terbuka Ustaz Azhar di Subang Bestari - nasi beriani kambing, mengikut isteri Ustaz Azhar sehari sebelumnya (maaf banyak-banyak Sarah, akak tidak dapat memenuhi undangan, satunya kerana puasa, dan keduanya kerana keletihan yang amat). 

Isteri Baba Aziz, Kak Mah serta anak bongsunya Muiz.

Setelah Pak Aji membawa Baba Aziz ke rumah Ustaz Azhar, bolehlah Mak Aji rebah belakang sekejap sementara mereka balik. Badan Mak Aji terasa umpama kain buruk, lembik selembik-lembiknyanya. Asyik terlupa untuk makan vitamin. Kalau makan biasanya insya-Allah badan kuatlah sedikit. Agaknya beberapa malam tidur lambat setelah usai kelas sudah mula 'mencukai' badan ini.

Selepas seketika berbaring, jiran isteri ketua balai polis pula menelefon untuk mengundang ke jamuan raya - terpaksa ditolak dengan baik kerana puasa. Juga pada hari ini Aida, bekas anak buah di ofis dan kawan baik mengadakan jamuan raya - pun terpaksa ditolak dengan baik. Maaflah semua, Mak Aji terpaksa selesaikan juga puasa ini. Sepupu Mak Aji di Gombak juga ada menjemput ke rumah terbuka pada hari ini - pun terpaksa ditolak. 

Isteri Baba sudah pulang ke Kelantan dengan menumpang salah seorang anak muridnya dan akan kembali sebelum Baba dan anaknya, Mat serta Pak Aji dan rakan-rakan lain bertolak ke Yaman insya-Allah pada 27 September nanti - untuk menghantar Mat ke sana. Kata Pak Aji, Mat akan berpeluang menginap di rumah Habib Umar al-Hafiz sendiri!!

Dugaan kesihatan kali ini agak mencabar. Semoga Allah permudahkan jam-jam terakhir menunaikan puasa pada hari  ini, amin!! Insya-Allah badan akan lebih kuat apabila esok sudah tidak puasa lagi. Semoga juga lebih bertenaga menguruskan makan minum (selain menumpang sekali mendengar) untuk kelas yang insya-Allah akan berlangsung sehinggalah ke akhir bulan nanti!

Catatan: Foto Baba Aziz sengaja ditiadakan sebab tuan diri tidak mahu fotonya tersebar.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...