Followers

Thursday, 30 May 2013

Mainan Baru

As-salam.

Semasa balik kapung tempoh hari Mak Aji sempat ke Kedai Salamku di Kota Bharu. Semasa menjamu mata di situ terpandanglah pula alat pemerah limau berikut dengan harga RM7.80. Alat ini diperbuat daripada logam, agak berat dan kuat untuk memerah. Mak Aji rasa semacam pernah melihat alat ini digunakan dalam saluran Food Network di Astro. Apa lagi terus ambil. Alhamdulillah cukup bagus untuk memerah asam limau nipis ke, lemon ke, cuma limau Sunkist sahaja yang belum diperah lagi.


Alat pemerah limau. Awas jangan 'terperah' jari sudah!

Semasa ke SSF di Sri Damansara tempoh hari, Mak Aji terpandang penyepit di bawah, berkenanlah pula di hati lantas terus diambil dua. Penyepit ini diperbuat daripada plastik dan juga logam. Yang bagusnya dihujung kanan ada bahagian yang boleh ditarik dan ditolak (kuncinya apabila sepit dirapatkan). Pun pernah melihat yang seumpama di di saluran yang sama. Tidak mengapalah kalau kita tidak pandai masak sepandai mereka tetapi kalau dapat alat yang agak serupa dengan mereka pun sudah cukup baiklah ya, he he!! (syok sendirilah tu). 

Untuk tutup sepit, tarik hujung kanannya.
Untuk membuka sepit, tolak hujungnya!

Seronoknya dapat mainan baru, boleh main-main di dapur!!


Wednesday, 29 May 2013

Petua: Gunting Tumpul?

As-salam.

Cuba angkat tangan jika anda ada gunting tumpul di rumah! Mak Aji sering mengalami perkara yang sama juga. Asal dibeli sahaja gunting baru untuk menggantikan yang lama, adalah pula hamba Allah yang mengambilnya dan menggunting apa ke bendanya sehinggalah gunting menjadi tumpul. Bosan dengan keadaan itu, gunting dibeli lagi. Namun begitu, sampai bilakah ini akan berterusan?? 

Mak Aji terjumpa petua untuk menajamkan semula gunting yang tumpul. Caranya mudah sahaja seperti berikut:

Foto oleh: Laura Moss


Potong sekeping kerajang aluminium. Lipatkan kerajang dua tiga kali. Gunting kerajang itu beberapa kali menggunakan gunting tumpul itu. Insya-Allah gunting anda akan kembali tajam. Cubalah!

Catatan: Sumber maklumat di petik dari - http://www.thisoldhouse.com/toh/photos/0,,20225533,00.html




Tuesday, 28 May 2013

Ginormous Jam

As-salam.

Sekembali kami dari Bentong pada hari Ahad, kami disambut oleh kesesakan jalan raya yang melampau bermula dari tol Gombak sehinggalah ke Sungai Buloh - berapa km tu!! Nasib baiklah bukan Mak Aji yang memandu, kalau tidak pengsanlah agaknya! Kalau penumpang pun penat, apalagilah pemandunya - kasihan Pak Aji!!

Sambil melayan kesesakan sempat pula Mak Aji terpandang pelangi yang masya-Allah begitu cantik sekali:

Cantik, bukan!
Semakin jelas pelangi ini.
Rupa bangunan seperti robot di Kepong!
Telefon bimbit Mak Aji asyik berbunyi dengan aduan para wazer lain yang tertanya-tanya tentang mengapa berlaku kesesakan tersebut! Ada laporan yang berlakunya kemalangan kecil, kemalangan besar dan sebagainya. Akhirnya puncanya terjawab - van rosak dan ketika Mak Aji lalu van tersebut sudah pun ditolak ke tepi. Pemandunya berdiri-diri di sisi van, memerhati kesesakan yang disebabkan oleh vannya!! Pengguna lain semacam berasap sahaja kepalanya, termasuklah kami!

Catatan: Usah dicari ginormous di kamus ya, memang tiada, sebabnya perkataan itu Mak Aji pernah dengar dan gunakan di sini - gabungan gigantic dan enormous, jadilah dia ginormous!!



Kenduri Kahwin Anak Buah Pak Aji

As-salam.

Pada akhir minggu lepas saudara sebelah Pak Aji yang juga jiran kami mengahwinkan anak perempuan mereka. Akad nikahnya pada hari Jumaat malamnya dan kendurinya pada hari Sabtu. Kenduri sebelah lelaki pula diadakan pada hari Ahad di Kampung Bukit Gajah, Simpang Pelangai, Bentong, Pahang. Itulah kali pertama kami sampai ke daerah tersebut. Usai sahaja kelas kami pada jam 11.00 pagi, Pak Aji terus memecut ke Bentong untuk berkumpul bersama-sama rombongan pengantin perempuan yang bertolak ke sana jauh lebih awal lagi. Apa lagi, kereta dipecut bagai nak rak sehinggakan hendak termuntah penumpang di sisi pemandu! Sesampai sahaja ke sana terasa bagaikan mabuk laut! Dek kerana itulah tiada langsung foto di Bentong.

Layanlan beberapa foto yang sempat dirakam:

Nor Fatimah dan pasangannya selepas akad nikah.
Bersalaman setelah selamat bergelar suami isteri.
Pada hari kenduri kahwin di pihak perempuan.
Semoga Nor Fatimah dan suami berbahagia hendaknya hingga ke ahir hayat!


Pada hari Sabtu itu juga kami hadir satu lagi majlis kenduri kahwin - cucu kepada besan Mak Aji/anak buah suami Along di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam. Mak Aji suka hiasan pelaminnya yang agak simple tetapi cantik dan menarik sekali:
Agak ringkas pelaminnya tetapi cantik.

Semoga Diana dan pasangan juga berbahagia hidup suami isteri hinggalah ke akhir hayat.



Monday, 27 May 2013

Ada Jaws Tak Umi??

As-salam.

Beberapa minggu lepas anak sulung Mak Aji, Along sekeluarga ke Pulau Tioman untuk bercuti. Kedua-dua cucu Mak Aji, Naufal dan Imran cukup seronok dengan percutian tersebut. Antara aktiviti yang dilakukan, snorkeling. Naufal yang mula-mulanya takut untuk turun dari bot terus hilang takutnya apabila dapat merasai betapa seronoknya berada di dalam air sambil memerhati ikan yang banyak pelbagai warna. 

Kata Along, semasa mereka berada di dalam air Naufal bertanya, "Ada jaws tak umi?" Serba-salah dibuatnya sambil memerhati sekelilingnya (manalah tahu tiba-tiba jaws betul-betul muncul di hadapan mata!! Ketawa besar kami apabila Along bercerita tentang hal itu! Berikut Mak Aji sertakan video yang dirakam oleh Along dengan i-Phonenya:



Agak kelakar apabila si Naufal berenang umpama mengayuh basikal!


Thursday, 23 May 2013

Tinjau Perabot Lagi

As-salam.

Pagi ini Mak Aji melayan diri ke SSF di Sri Damansara (di sebelah kiri menghala ke Sungai Buloh. Di kanan jalan menghala ke Sungai Buloh juga ada tetapi perabot banyak di sebelah kiri) dengan hajat meninjau cermin untuk ditempatkan di suatu dinding di rumah. Banyak pilihan cermin kristal terdapat di situ dengan harga yang berpatutan. Selain cermin ada juga ditinjau kabinet untuk dipadankan dengan cermin tersebut. Jom kita lihat apa yang ditawarkan di sana ya!

Paling suka yang ini!
Ada dua pilihan warna, putih dan hitam.
Mak Aji suka meja sisi bertema Inggeris dengan motif bunga rosnya.
The perfect setting for  a romantic dinner for two!!
Cermin dan kabinet kristal.
Juga kabiner serta cermin kristal dengan latar belakang hitam.
Bercorak kontemporari.
Juga moden kontemporari.
Kebanyakan cermin bermotif klasik.
Meja sisi ini juga tidak kurang cantiknya.
Meja buffet yang menarik!
Cermin yang sesuai untuk dinding yang memanjang, juga gaya klasik.
Menarik gaya hiasan meja sisi yang bulat ini.
Cermin klasik ini juga dalam warna putih dan hitam.
Kabinet bereka bentuk sederhana sesuai dipadankan dengan cermin
yang coraknya agak sarat agar ada kontras.
Cantik suai padan gaya Inggeris ini!
Akhirnya di akhir kunjungan Mak Aji memutuskan untuk membawa pulang yang berikut:

Ini dia hasil carian pada pagi tadi!

Sambil menjamu mata di SSF terdapat pula peraduan yang dianjurkan olehnya. Sesiapa yang berkongsi gambar seperti dibawah di FB masing-masing dan mendapat paling banyak like akan menerima hadiah, jadi Mak Aji apa lagi, terus menyertainya!!

Memang Mak Aji suka pun SSF!!

Catatan: Harga yang terpapar itu hanyalah untuk ahli SSF sahaja, jadi kalau anda belum lagi ahli, eloklah anda berdaftar dengan mereka untuk menikmati potongan harga!



Wednesday, 22 May 2013

Menang Hadiah!

As-salam.

Beberapa hari lepas Mak Aji terpandang semacam peraduan yang diadakan di laman FB yang dianjurkan oleh sebuah syarikat pengeluar serunding dari Kelantan. Mak Aji cuba menyertainya (manalah tahu kalau-kalau tidak menang apa-apa lagi, seperti biasa!) dan tanpa diduga rezeki menyebelahi! Mak Aji menjadi salah seorang pemenangnya. Hadianya, bukanlah baucar bernilai sejuta seperti yang dimenangi suami kawan kakak Mak Aji tetapi setengah kilo serunding (entahkan serunding daging, ayam atau udang??). Apapun alhamdulillah atas rezeki yang diberi! Ini iklannya di FB:

Mahu serunding percuma? Cubalah nasib anda pula!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...