Followers

Friday, 24 August 2012

Beraya Lewat Sedikit

As-salam.

Sejak semalam Cik Ning sekeluarga dari Kelantan sudah tiba ke rumah. Along sekeluarga pun selepas selesai beraya dengan emak mertua di Kota Bharu akan tiba ke rumah sebentar lagi. Cik Ja dan keluarga juga dalam perjalanan ke sini dari Ipoh. Begitu juga dengan Cik Na sekeluarga dari Taiping. Semua akan berkumpul di rumah Mak Aji sebelum bapa saudara dan emak saudara Mak Aji serta sahabat handai yang rapat berkumpul sekali lagi di sebuah masjid di Alam Damai untuk majlis akad nikah Hanif insya-Allah selepas solat Asar nanti.

Akhirnya hari yang ditunggu-tunggu tiba juga - hari raya yang cukup bermakna buat Hanif, (juga tentunya buat kami sekeluarga) beraya dengan isteri baru!! Mak Aji juga mendapat menantu baru - menantu perempuan pertama. 

Kami tidak balik kampung beraya pada tahun ini, antara lainnya sebab adik-beradik akan datang ke mari untuk majlis ini - jadi kami akan beraya di sini sahajalah!

Nanti dimuat naik fotonya ya!!


Tukar rancangan

As-salam.

Pada mulanya teringin hendak buat kek coklat supermoist tetapi oleh kerana ada bahan yang terkurang, maka yang di buat kek coklat resepi Cik Ning yang biasa dibuatnya saban tahun - apa-apalah, yang ini memang pasti, insya-Allah sedap sebab sudah terbukti bertahun-tahun. 

Setelah dibuat ganache (versi Cik Ning juga), cuma sedikit terkurang kuantitinya, malas hendak ditambah lagi, maka inilah hasilnya setelah dihias dengan sedikit almond hiris:

My very own chocolate cake with ganache/topping - syok sendiri!!
Yummylicious ganache dripping away!!
The first slice.

Happy birthday to me (today), happy birthday to me, happy birthday to me, happy birthday to me!!


Wednesday, 22 August 2012

Masjid Negara

As-salam.

Selepas makan, kami terus ke Masjid Negara untuk menunaikan solat Zuhur. Sambil mengambil wudu, Mak Aji terdengar suara orang lelaki dan agak terkejut juga. Terfikir juga, takkanlah orang lelaki masuk ke ruang wudu perempuan? Mungkin suara dari luar agaknya. Dengan tiba-tiba muncul seorang lelaki, tukang cuci, elok sahaja berjalan ke arah stor barang di hujung ruang wudu. Mak Aji cepat-cepat capai tudung dengan rasa yang cukup marah. Cepat-cepat Mak Aji memaklumkan kepada Madihah yang ada lelaki di bilik stor tersebut dan dengan suara agak keras menyuruhnya mengenakan semula tudungnya. 

Mak Aji membebel yang orang lelaki tidak sepatutnya masuk ke situ dan dua orang tukang cuci dari seberang (yang sedang mengambil wudu) semacam ingin membela lelaki tersebut dan mengatakan yang lelaki itu akan sekejap sahaja di situ untuk mengambil barang - bukan soal sekejap atau lama, ini soal aurat! Takkanlah tidak faham! Hai, berdesing dan berasap telinga!

Hilang kisah di bilik wudu, Mak Aji sempat juga mengambil foto ruang solat - lama sudah tidak bersolat di sini! Ini fotonya:



Catatan: Setiap kali teringat insiden di bilik wudu, terasa panas telinga Mak Aji!


Nasi Kandar Mohd Yaseen

As-salam.

Sudah lama tidak pekena nasi kandar, maka Mak Aji, Pak Aji serta Madihah ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (memang ada urusan di sekitar KL). Sesampai kami di hadapan kedai, kelihatan ramai orang beratur (teringat pula suasana yang lebih kurang sama di hampir semua kedai makan di Tokyo - ruang kedai yang terlalu kecil, cuma dapat memuatkan sekitar tidak lebih 10 orang sekaligus, itupun dengan duduk sederet, macam kat sushi bar). 

Kalau sudah beratur panjang tentunya makanannya cukup sedap, berbaloi dengan beratur (or so I thought!). Lihatlah orang di hadapan Mak Aji:



Setelah beratur sekejap, maka dapatlah kami nasinya:


Mak Aji punya.
Pak Aji punya - tak menyempat-nyempat!
Madihah punya.

Kesimpulannya: Berbaloi atau tidak beratur untuk mendapatkannya?? Nasi Kandar Line Clear lagi best!! Cuma masalahnya cawangannya yang di Sungai Buloh entah di mana agaknya, puas dicari tidak jumpa-jumpa! 


Mainan di Dapur

As-salam.

Gara-gara memasak sejak seminggu dua ini menjadi, maka semangat ke dapur sedikit membara. Jadi petang semalam Mak Aji keluar ke Giant dan Carrefour Kota Damansara untuk menambah bekalan di dapur. Selain itu, didapatkan juga sedikit mainan di dapur seperti berikut:

Mainan untuk dibuat main di dapur nanti!

Untuk hidangan malam tadi bagi menjamu tetamu yang datang beraya, Mak Aji masak mi goreng basah serta nugget rangup dan juga lasagna juga buah-buahan. Anak-anak mereka sukakan lasagna dan seronok tengok mereka makan. Mak Aji buat lagi lasagna sebab Pak Aji kata (selepas makan pertama kali yang Mak Aji masak) - kenapa tak pernah buat sebelum ini?? Tengah hari semalam katanya, "buat lagi kuih yang awak buat hari tu." Rupa-rupanya dia suka. Yang Mak Aji tahu dia memang kurang suka spaghetti bolognaise (yang ala Malaysia) yang Mak Aji masak (terlalu berlemak katanya - Mak Aji guna daging cincang sebab anak-anak suka daging berbanding ayam cincang). 

Malam tadi dua kaserol lasagna dimasak. Hari ini pula hajat di hati ingin memasak super moist chocolate cake  yang resepinya Dari Dapur Kecah (asal resepi daripada Cik Mat Gebu). Harap-harap menjadi ya, insya-Allah!!



Kucing

As-salam.

Semasa Mak Aji anak dara, Mak Aji ada membela kucing, kucing kampung sahaja yang pandai membuang hajatnya di luar tanpa perlu dibeli pasir, sangkar serta makanan berbeli dan segala bagai! Sejak beranak pinak, tiadalah lagi kucing di rumah sebab alasannya - terlalu sibuk membela anak, tidak terbela lagi kucing! (walaupun anak-anak sering meminta agar dibela kucing). 

Sekitar sebulan lalu, seekor kucing kampung datang ke rumah dengan dua anak kecilnya. Pada mulanya agak takut-takut sebab Mak Aji tidak melayannya. Walaupun begitu, anak-anak sibuk membeli makanan kucing dan meletaknya di porch, maka kucing anak-beranak pun mulalah berumah di porch. Mak Aji bukan apa, Mak Aji sering terbaca anak kecil orang dilanggar di porch semasa keluar masuk kereta. Mak Aji tidak mahu perkara yang sama berlaku pada anak kucing! 

Beberapa hari lepas sebelum raya, salah seekor anak kucing memang terkena lenyek (sampai mati) dengan tayar kereta semasa anak-anak keluar dari porch - Mak Aji baru sahaja diberitahu hal itu (memang mereka tahu akan kena marah siap dengan I told you so!!). 

Hendak dibuang kucing kasihan pulak, hendak terus dibela, takut perkara yang sama berlaku lagi! Sekarang semua jeriji di pintu hadapan, sisi dan belakang siap berpasang jaring agar kucing tidak masuk ke rumah (kalau tak, habis sofa den dicakarnya!). 

Berpasang jaring separuh ketinggian jeriji.
Ini baru betul kucing tidur! - betul-betul di pintu hadapan rumah!

Macam mana hendak dibuat ini ya?? Hadapan rumah sudah berbau kucing. Ada ketikanya tulang ayam dibawanya ke tempat alas kaki di pintu rumah - bau hanyir menyambut tetamu datang ke rumah! Haisyyy!!!



Sunday, 19 August 2012

Raya Scare

Alhamdulillah sempurnalah ibadat puasa untuk tahun ini dan semoga puasa serta ibadah kita sepanjang bulan Ramadan diterima Allah SWT. 

Usai solat sunat Aidilfitri di masjid yang berdekatan, Mak Aji sekeluarga balik ke rumah. Memandangkan stok ais sudah amat kurang, maka Mak Aji menyuruh salah seorang anak ke kedai untuk menambah stok. Asyraf yang memilih untuk keluar dengan menunggang motor cucu saudara Pak Aji yang ditinggalkan di rumah sementara dia balik beraya di kampung. Mak Aji tidak tahu pada mulanya yang Asyfar yang keluar. Mak Aji mengharapkan salah seorang abangnya yang keluar dengan kereta. 

Selang beberapa minit Mak Aji mendapat panggilan telefon daripada deorang lelaki yang menyebut yang Asyraf jatuh motor! Dunia Mak Aji terus kelam - memikirkan kemungkinan yang paling teruk - masih hidup lagikah anakku?? Terus Mak Aji memberi telefon kepada Pak Aji. Dia pun terus keluar ke tempat kejadian dan meninggalkan Mak Aji yang masih terpinga-pinga kebingungan! 

Anak Mak Aji, Boy menanyakan sama ada Mak Aji mahu ke tempat kejadian atau tidak. Mak Aji capai tudung dan dengan dompet dan telefon bimbit terus keluar. Pak Aji menunggu kami di tepi jalan dan kami terus ke hospital dengan Asyraf di dalam keretanya. 

Mak Aji berjalan ke arah kereta - Asyraf duduk di belakang - masih hidup anakku Asyraf, alhamdulillah!! Kerusi roda diambil dan dengan badannya luka-luka, dia dibawa ke unit kecemasan. Alhamdulillah tiada tulang yang patah, cuma luka-luka di tangan, kaki serta badannya. Alhamdulillah dia memakai topi keledar sebab Mak Aji tengok calar-balar topinya akibat jatuh tersebut.

Semasa dia membelok di suatu selekoh, kemungkinan dia agak laju sedikit dan hilang kawalan motorsikal, lantas jatuh ke dalam longkang (nasib baik tidak ke jalan!!). Seorang good samaritan telah membantu menelefon Mak Aji (cuma nombor Mak Aji yang diingatnya!). 

Semasa menunggu rawatan Mak Aji usap-usap kepalanya untuk menenangkannya yang masih terkejut - pucat lesi mukanya (anak aku bau air longkang!! - hendak gelak pun ada kasihan pun ada - bau longkang bau longkanglah anakku ini, asalkan selamat!!).

Ini foto Asyraf sebelum lukanya dicuci:

Asraf luka di tangan, kaki, lutut, jari tangan dan kaki!
Sempat peace lagi!!

Janganlah sesiapa yang menerima nasib seperti kami (atau yang lebih buruk lagi!) pada hari yang bahagia ini. Tolonglah berhati-hati di jalan raya. Malang tidak berbau. Sesiapa sahaja boleh terlibat dengan kecelakaan, (bukan orang lain sahaja!) maka sentiasalah beringat-ingat!!


Catatan: Alhamdulillah Allah SWT masih memberi peluang kepada Asyraf untuk terus menikmati hidup dan beraya bersama-sama kami! Semoga kecelakaan ini sentiasa mengingatkan kita semua bahawa kita boleh pada bila-bila masa sahaja dipanggil balik kepada Pencipta kita dan yang memisahkan kita antara hidup dan mati hanyalah umpama tabir yang senipis kulit bawang - one minute you're here and the next minute, you're gone!! 



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...