Followers

Sunday, 10 August 2014

Jom Buat Ban Manis (sweet bun)

As-salam.

Semasa Mak Aji diberi pilihan kursus sebelum berpencen ada kawan yang mengajak untuk mengikuti kelas membuat roti dan kek tetapi oleh sebab Mak Aji kurang berminat Mak Aji mengambil kursus lain. Walau bagaimanapun, setelah benar-benar bersara, Mak Aji mula 'masuk dapur' kembali dan mencuba-cuba untuk menghasilkan kek dan biskut dengan 'bimbingan' Youtube serta FB! Dari FB-lah Mak Aji kenal Golden Republic dan setelah sekali berkunjung ke premisnya Mak Aji berminat untuk hadir kelas bakerinya - Sweet Bun. Mari Mak Aji kongsikan pengalaman pertama kali mengikuti kelas seumpama ini - cukup berharga sekali!:

Percaya tidak, ini hasil tangan Mak Aji dan kawan-kawan yang mengikuti kelas ini! 

Foto di atas merupakan ban yang kami hasilkan sama-sama dengan bimbingan Chef Lie Ismail. Memang laku 'jualan' ban Mak Aji kepada anak menantu di rumah! Aku 'kaya'!! 

Mari kita layan foto semasa kelas tersebut berlangsung:

Maka bermulalah kelas dengan teori terlebih dahulu.

Selesai teori, kami mula membuat doh dan berikut doh yang siap seberat 50gm setiap satunya, yang sudah melalui proses rounding.

Doh yang menjadi asas sweet bun.
 Setelah proses rounding, kami mulakan proses shaping - membentuk doh menjadi pelbagai bentuk:

Berintikan sosej, doh dibentuk sebegini terlebih dahulu.
Seterusnya, dipotong kepada beberapa bahagian (jangan putus).
Kepakkan bahagian-bahagian yang dipotong untuk menghasilkan kelopak.
Tada, sudah siap kelopak bunga bersosej!
 Doh juga diolah menjadi pelbagai bentuk lain seperti berikut:


Ada yang berkelopak, ada yang berderet, ada yang berbentuk buah kana
dan ditabur bijan!

Pakai gelek sahaja doh untuk hasilkan cheese stick atau seumpamanya!
Proses memintal.
Mudah sahaja menghasilkannya.
Cara mencubit doh berintikan kacang merah untuk proses seterusnya.
Doh berintikan kacang merah di buatkan bentuk lingkaran bulat
atau memanjang.
Yang ini dijadikan 3 segi kosong untuk diletakkan topping nanti. 
Yang ini diletak topping bluberi terlebih dahulu.
Bentuk hati sesuai untuk diberi kepada buah hati!!
Masing-masing bersemangat menghasilkan ban.
Ban ini berintikan kelapa dan dibentukkan seperti kipas.
Chef Lie menghasilkan bahan untuk topping untuk ban.

Setelah siap proses shaping dan sebahagian proses dekorasi, ban melalui proses proofing (biarkan doh naik).


Masya-Allah, punyalah cantik apabila doh menaik dan membesar sehingga 3
kali ganda saiz sebelum proofing!!
Lihatlah kelopak yang kembang mekar sehingga 3 kali ganda saiz asal!
Awas jangan sampai jadi kembar Siam!
Setelah proofing itu bermulalah proses akhir sebelum membakar ban, iaitu dekorasi akhir (finishing touches):


Dibuat topping mayonis, sos cili serta keju atau apa-apa sahaja yang sesuai.
Cantik, bukan!

Ban ini ditambah topping kastad pula.
Picit, jangan tak picit.
Hiasan akhir, taburkan crumble di atasnya!
Untuk ban ini pula dibuat topping jenis onion spread
(kalau tak silaplah) dan diletak keju.
Yang ini dibuat seumpama piza mini.
Inio hasil akhir setelah dibuat topping sos piza, mayonis serta
taburan lada benggala, sosej dan keju.
Siap untuk dibakar.
Sebelum dekorasi akhir.
Siap untuk bakar.
Topping jenis onion spread, bawang Holland, mayonis serta keju.
Disapu spread yang dicairkan dan ditabur bijan.
Untuk makluman, doh dihasilkan menggunakan peralatan pengadun, pembahagi doh, serta ketuhar komersial. Ketuhar sahaja harganya 100 ribu, awak! Dapat kita beli sebiji kereta tu! Sekali bakar 500 ban siap! Walau bagaimanapun home baker macam Mak Aji akan hanya memanfaatkan ketuhar sedia ada sahaja. Kalau kurang menjadi barulah boleh fikir-fikir untuk mendapatkan ketuhar yang sesuai untuk meroti ni!

Ketuhar saiz bagak! Kita pun boleh masuk!
Pengadun dan pembahagi doh yang harganya juga
ribuan! (bukan rupiah ya)
Sekali pandang semacam mesin pengering di dobi.
Mak Aji juga ingin kongsikan 4 produk premix Miss Lizzie uantuk kita yang sedikit lazy (Miss Lizzie yang lazy!). Premix ini boleh dimanfaatkan oleh tuan punya BM (breadmaker) untuk menghasilkan roti loar atau ban yang siap berperisa. Ada 4 jenis, iaitu - onion n chives, spicey, fruity dan carrot grain. Kalau sudah punya BM dan roti tidak dibuat-buat juga, apa lagi alasan anda??? Jawab Mak Aji, jawab, he he!!
Memudahkan tuan punya BM!
Proses akhir menghasilkan ban ialah membakarnya. Anda akan tahu prosesnya siap apabila sebiji rumah semerbak dengan aromanya! Yess!! Masa yang ditunggu-tunggu tiba akhirnya! Layan:

Ban yang gebus gebass!









Pada akhir sesi, kesemua peserta tersenyum puas dengan hasil kerja tangan masing-masing. Apa lagi apabila chef memaklumkan yang kami boleh membawa pulang ban tersebut! Apa lagi, jom tapau!!

Berikut foto peserta kelas dengan Chef Lie Ismail:

Terima kasih chef atas bimbingan! Jazakallahu khair!
Jika anda berminat mengikuti kelas atau ingin mengetahui lanjut tentang Golden Republic sila klik pautan berikut:

https://www.facebook.com/GoldenRepublicMalaysia?ref=ts&fref=ts
https://www.facebook.com/GoldenRepublicMalaysia/events
http://ummumadihah898.blogspot.com/2014/07/golden-republic-malaysia-sdn-bhd.html

Semoga kita semua beroleh manfaat dengan perkongsian ini, insya-Allah.




Friday, 8 August 2014

Jalan-jalan, Makan-makan!

As-salam.

Peluang balik kampung yang sesekali itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk jalan-jalan dan makan-makan! Setelah gerai serta kedai makan dibuka seperti biasa selepas beberapa hari raya, maka berikut yang sempat Mak Aji jamah sementara di kampung. Ada yang dibeli dan ada yang dimasak sendiri.

Sebaik sahaja gerai/kedai makan dibuka semula selepas raya, Mak Aji makan nasi berlauk Sharifah Aini (tuan punya gerai itu rupanya seperti arwah Sharifah Aini!) di Kubang Kerian. Selain nasi kerabu Mak Aji juga makan nasi tumpang (agak lewat sedikit, dah hampir tengah hari).

Nasi berlauk Sharifah Aini di kiri dan nasi berlauk dari gerai lain di Chicha.
Nasi tumpang - tiada yang boleh lawan nasi ini yang arwah mak
Mak Aji buat sendiri!

Adik Mak Aji, Cik Na ada membawa lokan ke rumah Cik Ning - apa lagi, bubur lambuk Pantai Timurlah menunya! Bermangkuk-mangkuk kami makan bubur itu pada tengah hari tersebut! Maka hilanglah kempunan terhadap bubur lambuk (asal puasa sahaja terbayang bubur lambuk):


Bubur ini kegemaran kami sekeluarga! 

Kalau untuk masakan lain Cik Ning jadi tukang masak dan Mak Aji cuma membantu, untuk bubur ini Mak Aji jadi tukang masak utamanya, he he!

Cik Ning ada menyebut agar Mak Aji masakkan sayur asem yang pernah dimakannya di rumah Mak Aji tidak berapa lama dahulu. Jadi untuk suatu tengah hari kami bertukar selera ke menu Indonesia dengan lauk sayur asem, sambal bajak (chefnya Madihah), ikan pekasam (yang ini lauk tempatanlah) serta telur dadar gebu (chefnya juga Madihah):


"Sedap sayur asem," kata Cik Ning! Senyum chefnya!
"Sambal bajak juga sedap," kata Cik Ning! Boleh simpan stok
dalam peti ais.
Ikan pekasam sebagai lauk sampingan yang membuka selera.
Telur dadar gebu.

Boy pula teringin untuk makan nasi air/nasi bubur dan kami ke Restoran Manisnya Madu di Pengkalan Chepa untuk menikmatinya. Maaflah ya, sudah makan separuh jalan baru teringat untuk merakam fotonya:


Bertambah-tambah kami makan!
Rasanya kita boleh bikin sendiri lauknya ni!

Mak Aji pernah merasa ABC di Restoran Hayaki di Jalan Dusun Muda, Kota Bharu dan memandangkan rasanya cukup sedap, Mak Aji serta Madihah serta Cik Ning berkunjung ke situ untuk menikmatinya pada suatu petang. Rupa-rupanya ada 2 restoran Hayaki di situ (mengapit Jalan Dusun Muda - di seberang jalan), satunya berhawa dingin dan satunya terbuka. Kami memilih yang berhawa dingin agar lebih selesa. Apabila ditanya ABC, katanya ABC tiada di situ tetapi di seberang jalan. Dengan itu kami memesan Capppucino sahaja. Sebaik keluar dari situ Mak Aji mengajak Madihah dan Cik Ning ke Hayaki yang satu lagi - Mak Aji perlu pekena juga ABC-nya!:


Cappucino - nak minum pun sayang, comel sangat!
Akhirnya, dapat juga menikmati ABC!
Madihah pesan chicken choplah pulak.
Comel, kan, teh-o ais dalam mason jar!

Setelah selesai makan dan minum, kami keluar dari Hayaki dan sambil menuju ke kereta, Mak Aji menoleh ke Hayaki pertama yang kami singgah dan kelihatan pelayannya memerhati kami! Aduhai malunya - agaknya dia tergelak memerhati gelagat kami yang keluar masuk dua Hayaki secara berturut-turut!! (control malu!)

Sebelum kami bertolak balik ke KL kami juga ke White House, kopitiam yang terlatak di hadapan Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Tentunya di situ menu popularnya, roti bakar (atas dapur arang!) serta telur masak separuhnya - to die for!:


Roti bakar dengan mentega dan kaya. Comel cawannya, kan!
Telur masak separuh bertemankan kopi-o! Mabeles!!

Apabila semua hajat untuk makan pelbagai makanan tertunai, maka bolehlah kami bergerak balik ke KL, he he!! Oh ya, Madihah ada menyebut mahu makan ICT bukan ICT di Shah Alam, tetapi ikan celup tepung di Pantai Penarek di Terengganu! (Istilah ni kredit kepada Ibu Qis kerana memaklumkan kepada Mak Aji! - Tq dear!). Jadi pada hari Isnin (agak-agak jalan sudah tidak sesak lagi), kami balik ke KL melalui jalan pantai. Selepas itu barulah kami menyusur ke LPT menuju ke KL. Melayan anak punya pasal, kami menambah 200 km perjalanan berbanding kalau balik melalui jalan Gua Musang! Mahu lihat rupa ICT?:


Makan tengah hari dengan 3 ekor ikan kembung dan empat ekor sotong
bersaiz besar! Temannya air kelapa muda. 

Setelah kenyang makan, kami menyinggah solat di masjid berhampiran sebelum bertolak terus ke KL. Alhamdulillah, sekitar 9 malam kami selamat sampai ke rumah setelah puas jalan-jalan, makan-makan! Seperti biasa, kalau di kampung peluang untuk puasa enam memanglah tipis. Sudah kembali ke KL kenalah buat sementara Syawal masih ada ni! Badan pun sudah naik berkilo (takut untuk naik ke mesin timbang), eloklah kalau dapat dicairkan balik lemaknya! Jom puasa untuk mereka yang masih belum berbuat demikian!!





Thursday, 7 August 2014

Raya Sakan di Kampung

As-salam.

Kalau di kampung raya sudah selesai selepas masing-masing beraya enam. Kalau di KL pula raya boleh menjangkau hingga sebulan, malah ada ketikanya melangkau ke bulan Zulkaedah! - gara-gara tidak cukup hujung minggu untuk mengadakan rumah terbuka!! 

Mak Aji sudah 3 tahun berturut-turut tidak beraya puasa di kampung sebab anak kahwin dua tahun berturut-turut dan pada tahun lepas (tahun ketiga) menantu Mak Aji berpantang di rumah. Jadi, walaupun Pak Aji tiada di samping Mak Aji serta Madihah serta Boy balik beraya dengan keluarga di kampung. Zhafran serta Mida dan cucu Mak Aji, Mikhail juga balik ke KB dengan kereta lain kerana mereka akan ke Hutan Melintang pula untuk beraya di sana. Mari Mak Aji kongsikan foto kami semasa raya pertama:

Boy, Zhafran serta Mikhail, Mak Aji, Mida dan Madihah.
Kami berlima (berenam - maaf ya Mikhail!) sahaja tahun ini tanpa Pak Aji dan Asyraf. Berikut pula keluarga besar kami - Mak Aji ada tujuh beradik (seemak dan sebapa) dan di dalam foto ini cuma dua beradik (serta keluarga) yang tiada. 

Beraya dengan adik-beradiklah kami yang sudah yatim piatu! Kepada kakak sulung serta suamilah kami menumpang kasih! Sedihlah pulak!
Pada tahun ini setelah bersarapan, kami ke masjid. Balik dari masjid, kami terus ke Pasir Puteh untuk menziarah kubur arwah ayah, langsung ke rumah mak tiri Mak Aji. Kami juga ke rumah mak saudara, satu-satunya adik arwah ayah yang masih ada. Setelah meredah kesesakan, kami balik semula ke Pasir Tumboh (rumah kakak sulung, Cik Ning). 

Program lazim raya kedua, ziarah kubur arwah datuk dan nenek Mak Aji di Wakaf Che Yeh. Di rumah salah seorang bapa saudara kami semua berkumpul untuk beraya sambil menjamu selera - menu nasi dagang! 

Malamnya pula kami ke Pasir Puteh lagi untuk majlis akad nikah adik Pak Aji:

Majlis akad nikah di masjid.
Adik Pak Aji.
Sebelum melafaz akad nikah.
Mak Aji mendoakan agar adik ipar serta suami akan beroleh kebahagian hingga ke Jannah, amin! Ini merupakan perkahwinan kedua bagi mereka berdua. Semoga berbahagialah hendaknya. 

Pada hari raya keempat kami hadir pula majlis kenduri untuk anak saudara Pak Aji (yang akad nikahnya di Felda Tasik Chini yang lalu) yang disekalikan dengan kenduri adik Pak Aji (2-dalam-1). Berikut foto pengantin baru:



Sepanjang di kampung kami menjamulah selera dengan makanan yang biasa dihidangkan pada musim raya. Setelah beberapa hari timbullah rasa jemu dan selera beralih ke nasi berlauk dan yang seumpamanya. Nantikan entri berikutnya ya!





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...