Followers

Saturday, 13 July 2013

Tugas Baru - Caregiver!

As-salam.

Hari ini hari ketiga kita berpuasa alhamdulillah! Semoga kita semua dapat menjalaninya dengan baik serta akan beroleh ganjaran yang setimpal dengan ibadah yang dikerjakan sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini, amin!! 

Setahun sudah Mak Aji bersara dan melihatkan kesesakan lalu-lintas setiap hari pada waktu petang bulan puasa, Mak Aji tidak putus-putus bersyukur kerana terlepas daripada semua jenis tekanan ekoran daripada itu! Seperti juga tahun lepas bulan puasa ini penuh ketenangan, cuma pada tahun ini ada sedikit kelainan sebab Mak Aji menjaga menantu yang berpantang di rumah serta cucu baru Mak Aji. 

Cucu Mak Aji lahir beberapa hari sebelum puasa, jadi jenuhlah nanti menantu Mak Aji mengganti puasa - tak apa, insya-Allah akan dipermudahkan nanti! 

Rutin harian juga banyak bertukar sejak cucu lahir. Pagi-pagi lagi Mak Aji menyediakan air mandian untuk menantu, air tersat, itu namanya kalau di Kelantan. Sebenarnya banyak herba yang digunakan tetapi Mak Aji sekadar menggunakan serai wangi, daun pandan, daun lengkuas serta halia sahaja sebab sekadar itu sahaja yang sedia ada di rumah! Air ini digunakan sebagai bilasan terakhir setelah mandi dengan air panas, agar badan berasa segar! 

Setelah siap air mandi ibunya, Mak Aji mandikan pula cucu comel Mak Aji.

Bersiap untuk mandi!!

Seterusnya sarapan pagi disediakan untuk menantu yang tidak berpuasa, biasanya roti bakar dengan Milo atau Horlicks atau susu tepung sahaja. Makan tengah harinya pula biasanya terdiri daripada ikan (selar, haruan, salmon, tenggiri) bakar dengan nasi, ikan masin dengan nasi, dan sesekali ikan bakar dengan kentang lenyek (dan hari ini ditambah kailan celur - kata misi kailan ok untuk ibu bersalin, tidak sejuk seperti kangkung!). Menu makan malam juga agak sama juga - hai, kenalah Mak Aji cari-cari menu lain untuk menantu sebab Mak Aji yang tengok pun jemu, apalagi tuan yang makannya!

Apapun tugas baru ini memang menggembirakan - sudah lama rumah ini sunyi daripada bunyi tawa dan tangis anak kecil! 




4 comments:

Aida Salleh said...

bestlah tugasan baru akak tu. saya kalau boleh mmg nak apply....dah penat ngadap jem setiap hari lebih2 lagi di bulan ramadhan ni...huhuhuuu...

Kamsiah yusoff said...

bertuah menantu dapat mertua mcm mak aji...

Ummu Madihah said...

Salam Da,

He he, ada juga yang suka gak buat kerja ni ya! Tentunya jauh lebih baik drp ngadap jem tu! Sayangnya vacancy satu cuma dan taken already, better luck next tine, he he!!

Ummu Madihah said...

Salam Kam,

Menantu pun dah jadi anak kita juga, kan! Anak sendiri dulu pun Mak Aji x dapat jaga macam ni sebab kerja, kena beri tugas kepada pembantu rumah aja semasa dia dalam pantang, walaupun dia berpantang kat rumah Mak Aji. Masa kita ada kat rumah sajalah kita dapat jaga. Takde rezeki dia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...