Followers

Thursday 19 July 2012

Tukar Alamat

Mak Aji sudah berpindah ke rumah sekarang sekitar hampir dua tahun tetapi masih belum menukar alamat tetap pada kad pengenalan. Jadi setiap kali Mak Aji perlu menyerahkan kad pengenalan untuk apa-apa tujuan Mak Aji terpaksa maklumkan alamat baru kepada pihak berkenaan.

Sehari dua ini baru Mak Aji perasan betapa pentingnya kita menukar alamat terakhir kita pada kad pengenalan. Ceritanya begini. Anak Mak Aji, Hanif insya-Allah akan menikah seminggu selepas raya puasa. Jadi dia perlu menyiapkan segala dokumen berkaitan dengan Jabatan Agama Islam untuk urusan pernikahan. Rupa-rupanya jika alamat pada kad pengenalan tidak sama dengan alamat sekarang, maka terpaksalah diisi borang tambahan pengesahan pemastautin siap dengan beberapa salinan dokumen lain. Pula itu, kena dapatkan tandatangan pengesahan daripada penghulu/ketua kampung/pengerusi JKKK/pegawai kerajaan kumpulan A.......  

Baru tahu yang Mr. Bean asalnya dari Keningau ya!!

Hanif terpaksa cuti separuh hari untuk menguruskannya namun tidak berjaya mendapatkan tandatangan pengesahan kerana pejabat penghulu tiada penghuni, rumah ketua kampung tidak diketahui, guru dari Sekolah Menengah Bukit Gading enggan menurunkan tandatangan (jaraknya dalam 50 tapak dari rumah!)..... 

Pada hari ini selepas hampir setengah hari dan selepas beberapa panggilan telefon serta ke hulu ke hilir, Mak Aji berjaya mendapatkan pengesahan tersebut daripada Ketua Kampung! Leganya!! Tinggal lagi Hanif terpaksa ke Pejabat Agama bersama-sama dua saksi (Boy dan Zhafran) untuk urusan selanjutnya. Selepas itu barulah segala borang diserahkan kepada pihak pengantin perempuan untuk urusan selanjutnya.  

Kalau begitulah halnya, bila agak lapang Mak Aji perlu ke JPN untuk menukar alamat tetap. Mak Aji sudah semak dengan JPN, cuma isi borang tukar alamat, bawa KP asal dan salinan serta bayar RM10 untuk keluarkan KP baru (boleh tukar gambar muka yang masam macam nak makan orang pada KP lama!!).



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...