Pernah dengar nama ikan budu? Inilah dia ikan pekasam kalau di Kelantan! Kalau tiba sahaja musim hujan, maka teringatlah Mak Aji semasa zaman berada di Kelantan semasa kanak-kanak dan remaja dahulu. Kalau musim hujan pada akhir tahun, ikan segar susah nak didapatkan kerana nelayan tidak dapat ke laut ekoran laut yang bergelora. Jadi, rata-ratanya kami makan ikan air tawar sahaja atau ikan masin, ikan budu, juga ikan sardin di dalam tin. Selain itu, telur ayam adalah.
|
Ikan budu - gambar kurang jelas |
|
Ikan budu telur dadar! - Sedap!! |
Arwah ayah dahulu kalau musim bah, dia akan siap-siap cuci senapang, siapkan peluru penabur, untuk menembak burung!! Kami memang ada menyimpan perahu jalur (yang ditebuk daripada sebatang pokok kayu), di rumah kawan arwah ayah tepi sungai. Waktu musim bah, akan keluarlah perahu tersebut untuk tujuan tembak burung (burung ayam-ayam, burung pucung, burung tirok?) dan juga untuk tangkap belalang! Kami memang makan belalang. Kalau musim bah, belalang akan hinggap di pucuk-pucuk menerung, kami lalu dengan perahu, raup aja belalang, isi ke dalam botol, sumbat dengan kertas. Kami siap-siap pakai baju hujan sebab hujan memang turun berterusan tanpa henti. Walaupun begitu, elok sampai balik ke rumah, kami biasanya basah kuyup!!
|
Tembak burung - cuma bezanya menembak dari atas perahu |
|
Belalang goreng - buang kepala, perut dan sayap serta kakinya yg tajam, letak garam kunyit, goreng garing!! |
Petang ini hujan turun lagi, jadi, terasa seolah-olah berada di kampunglah pulak! Cuma yang tiada, lampin adik yang disidai di dalam rumah, dengan tali dawai dipasang sampai ke ruang tamu. Untuk memastikan kain lampin kering, kipas siling sentiasa terpasang sepanjang hari!
Malam ini Pak Aji masak sup kepala ikan merah, goreng burung merpati (anak burung - tapi badannya besar, sama saiz dengan mak bapaknya - yang kami bela di belakang rumah - ada 2 anaknya digoreng!). Juga ada telur dadar ikan budu --- sedapnya!!!
Sumber Foto: Bing