Followers

Wednesday, 29 October 2014

Menjala pada Musim Hujan

As-salam.

Kalau musim hujan selalulah berlaku banjir dan apabila air melimpah tebing, banyaklah ikan untuk dijala ya! Apapun Mak Aji tidak pandai menjala ikan. Kalau menjala pun sekadar menjala roti jala sahaja. Itupun belum pernah Mak Aji buat sebelum ini. Resepinya sekadar disimpan menunggu untuk dibuat. 

Tengah hari tadi Mak Aji masak kari ayam, jadi untuk makan malam bolehlah Mak Aji menjala pula. Maka itulah yang Mak Aji buat sebelum Maghrib tadi dan inilah hasilnya - sepinggan roti jala!:

Dari segi rupa, bolehlah! 

Melihatkan rupa roti jala Mak Aji teringat pula akan catatan guru kelas pada buku rekod sekolah semasa bersekolah dahulu - masih ada ruang untuk penambahkaikan. Tambahkan usaha! Jadi, Mak Aji pun perlu juga banyak berlatih menjala agar hasilnya lebih cantik!  

Berikut bahan dan alat menjala:

Tepung, susu segar, telur, pewarna serta air.

Catatan: Lesson learnt today - make sure the batter is very smooth so as to get nice and fine roti jala (no blobs!) Peringatan untuk diri sendiri!



Creme Brulee

As-salam.

Sudah lama Mak Aji teringin untuk menghasilkan creme brulee selepas berkali-kali memerhatikan Ina Garten menghasilkannya di TV. Yang paling Mak Aji suka, saat apabila Ina menggunakan blow torch untuk menghasilkan kerak karamel di atasnya! Apabila Pak Aji membeli blow torch untuk membakar wangian gaharu antara lainnya, Mak Aji menyimpan niat untuk menggunakannya untuk creme brulee!

Sejak malam tadi Mak Aji berniat membuatnya pada hari ini dan pada petang tadi niat itu tertunai. Mari kita lihat hasilnya:

Creme brulee yang dihasilkan.
Let's dig in! Yummylicious!!!
Mari kita lihat prosesnya:


Bahan-bahan yang diperlukan, susu segar, whipping cream, telur
serta esen vanila.
Bancuhan kastad yang siap dituang ke dalam ramekin.
Ini dia blow torch Pak Aji - pinjam jap eh!
Yang siap masak. 
Setelah ditabur gula, dibakar dengan blow torch!

Itulah dia creme brulee yang dihasilkan petang tadi. Jika anda berminat untuk mencuba berikut resepinya (sumbernya entah dari mana Mak Aji sudah lupa):

Bahan-bahannya:

200gm susu segar
200gm whipping cream
1/4 cawan gula kaster
3 biji telur dicampur dengan 2 biji telur merah sahaja
Gula untuk ditabur di atasnya

Cara-caranya:

1. Panaskan ketuhar hingga ke suhu 150 darjah Selsius. 
2. Campurkan susu segar dan whipping cream ke dalam saucepan
3. Panaskan dan kacau hingga sedikit mendidih. 
4. Sejukkan sedikit. 
5. Pukul telur dan gula tetapi jangan sampai berbuih. 
6.Tuangkan bancuhan telur ke dalam bancuhan susu tadi dan terus kacau agar tidak berketul. 7.Sediakan 4 biji ramekin yang diletakkan di dalam dulang. 
8. Masukkan ke dalam ketuhar dan tuangkan air mendidih ke dalam dulang tadi (bain marie)
9. Masak selama 35-40 minit sehingga kastad mengeras. 
10. Sejukkan.
11. Taburkan gula dan bakar permukaan dengan blow torch.

Siap untuk dihidangkan!




Comey Dok??

As-salam.

Kalaulah pada beberapa tahun lepas ada orang bertanya kepada Mak Aji tentang hal membeli online, Mak Aji sudah pasti akan kata - tak beranilah nanti kena tipu, duit lesap barang entah ke mana;  nanti tak puas hati kalau tak pegang dan belek sendiri; bayar untuk barang jenama mahal dapat barang tiruan, ..... dan bermacam lagi alasan!

Sekarang kalau orang yang sama bertanya lagi, kemungkinan besar jawapannya jauh berbeza! (he, he, I'm finally hooked!).  Kalau generasi muda lagilah mereka memang biasa sangat dengan pembelian secara mudah ini. Seperti biasalah, orang tua macam Mak Aji ini lambat sedikit mengikut perkembangan terkini. Sebelum membeli pun Mak Aji selidik dahulu sama ada boleh dipercayai atau tidak penjual online ini sebab memang ramai yang sudah tertipu! Insya-Allah dengan penjual ini anda tidak akan ada masalah.

Oklah, Mak Aji mahu kongsi barang yang baru Mak Aji terima dengan Poslaju tengah hari tadi:


Sarung lengan jari permata dengan lace!
Kalau tak cantik bukan sebab sarung lengan ya, sebab lengan yang tidak
halus manis!

Mak Aji sudah beberapa kali membeli sarung lengan dengan Butik Humaira ini. Setakat ini Mak Aji memang puas hati dengan kualiti produknya. Ada pelbagai jenis sarung lengan dalam pelbagai warna. Kalau anda berminat bolehlah anda cuba ke laman FB-nya seperti berikut:

https://www.facebook.com/butik.humaira?fref=ts




Gara-gara Mahu Cepat

As-salam.

Mak Aji masih tersenyum apabila teringat entri kawan blogger yang tersarung stokin berlainan warna. Dia hanya perasan apabila mahu menanggalkan stokin untuk solat! Entah silap tukang lipat atau tukang pakai, Allahualam.

Teringat pula Mak Aji akan pengalaman sendiri semasa masih berkhidmat dahulu. Macam biasalah kalau namanya bekerja di kota raya yang terkenal dengan kesesakan lalu lintas, maka semua orang tergesa-gesa mengejar punch card. Dalam keadaan tergesa-gesa itulah kita sering melakukan kesilapan, yang antara lainnya kesilapan di atas.

Mak Aji menyimpan beberapa pasang kasut di dalam kereta agar senang untuk mengenakannya setelah sampai ke ofis. Warnanya biasa yang neutral, hitam, coklat dan juga krim - senang disesuaikan mengikut warna baju kurung yang dipakai. Ketinggiannya juga sama - orang muda sahajalah yang masih mampu mengenakan kasut tumit tinggi, Mak Aji sudah lama meninggalkannya! 

Pada suatu hari dalam kekalutan untuk cepat sampai ke punch card (dalam tempoh yang bersisa seminit dua), Mak Aji main sarung sahaja kasut dan berlari mengejar masa. Dalam ke hulu ke hilir menjalankan tugas ada kawan yang menegur sambil menuding ke kasut Mak Aji - alamak, kasutku berlainan warna! Kami tergelak besar. Mak Aji berlari ke kereta untuk menukarnya.

Mak Aji juga pernah ke ofis dengan memakai baju terbalik! Pakaian seharian Mak Aji ialah baju kurung Johor yang disembat, yang dijahit oleh tukang jahit dari Batu Pahat (kakaknya rakan ofis). Mak Aji sudah berpuluh tahun menggunakan khidmatnya sehinggalah Mak Aji berpencen - hampir 30 tahun! Dari harga upah yang entah berapa hinggalah RM60 sepasang semasa Mak Aji hampir berpencen pada tahun 2012. 

Jika anda biasa dengan baju kurung sembat tahulah anda bahawa jahitannya cukup kemas sehinggakan anda sukar menentukan mana yang luar dan mana yang dalamnya! Apabila Mak Aji perasan sahaja, ke bilik airlah perginya untuk membetulkannya! Nasib baik diri sendiri yang perasan, kalau tidak malu lagi muka ini!

Sekadar hiasan - Malunya!!
Sumber fotowww.india-forums.com


Monday, 27 October 2014

Testing Your Parenting Skills

As-salam.

Pagi tadi Mak Aji ke Honda Service Centre Sungai Buloh untuk servis kereta sekitar jam 9 pagi. Mak Aji masuk sahaja ke dalam kedengaran jeritan budak-budak beberapa orang (lebih kurang sebaya) yang berlari-lari di segenap ceruk pusat servis itu - bingitnya telinga! Mak Aji tercari-cari siapa emaknya tetapi tiada kelihatan orang dewasa yang memerhatikan budak-budak itu bermain kecuali para pelanggan yang menunggu kereta mereka diservis. 

Semakin lama semakin bingit dan semakin 'mengganas' budak-budak itu. Mak Aji ternampak hiasan kolam yang dibuat khusus untuk perayaan Deepavali - terdetik di hati - sebentar lagi habislah engkau! Sambil Mak Aji menonton TV serta melayan FB, terdengar kekecohan - betul pun sangkaan Mak Aji - budak-budak itu sudah melanggar hiasan kolam itu! Tiba-tiba emak budak-budak itu datang menerkam anaknya dan dipukulnya budak itu di hadapan kami semua! Masing-masing terdiam seribu bahasa, dek terkejut dengan tindakan ganas ibunya itu! Ditariknya budak itu ke ruang kanak-kanak yang sememangnya disediakan untuk anak-anak bermain. Rupa-rupanya emaknya sibuk duduk bersembang ke entah apa yang dibuatnya duduk di ruang tersebut. Emaknya di situ manakala anak-anaknya dibiarkan berkeliling di pusat servis! 

Mak Aji anggap ini sebagai contoh terbaik yang memaparkan sejauh mana kemahiran keibubapaan kita dalam menangani anak-anak yang lasak! Pada hemat Mak Aji seorang ibu yang baik tidak akan sekali-kali membiarkan anak-anak berkelakuan sedemikian di tempat awam! Anak-anak tersebut harus sentiasa dipantau dengan dekat agar mereka tidak merosakkan harta benda orang lain selain membahayakan diri mereka sendiri juga!

Alhamdulillah Mak Aji lega sebab kereta Mak Aji hanya dibuat minor service, maka tempoh menunggu tidaklah lama sangat berbanding major service - berlama-lama di siti alamat menempah migrainelah jawabnya! 

Dalam masyarakat kita kemahiran keibubapaan biasanya diperoleh secara semulajadi dan berdasarkan pemerhatian kita terhadap cara ibu-bapa kita membesarkan kita. Jarang dalam kalangan kita yang benar-benar belajar ilmu dan kemahiran ini. Mak Aji sendiri pernah membaca buku serta rencana berkenaan hal ini agar tahu serba sedikit. 

Pengalaman pada pagi ini menunjukkan betapa perlunya ibu-bapa melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran keibubapaan agar bijak menangani anak-anak mereka, terutama sekali di tempat awam!

Anak menantu serta cucu Mak Aji.
Seronoknya Aleesya dengan ayahnya!
Kenangan mereka semasa bercuti di Bukit Merah Laketown Resort.

Catatan: Foto sekadar hiasan sahaja.


Saturday, 25 October 2014

Roti Bikin Sendiri Cicah Gulai Daging dengan Mumbang Kelapa

As-salam.

Menu malam ini memang agak ringkas - roti cicah gulai daging dengan mumbang kelapa. Walaupun ringkas, alhamdulillah rasanya cukup sedap dan mengenyangkan! Kami makan berdua sahaja - malas pula Mak Aji mahu masak kalau sekadar berdua sahaja.

Roti bantal (loaf) Mak Aji bikin sendiri menggunakan resepi daripada blog Dorina's Delight. Anda boleh semak resepinya di alamat berikut:


Berikut yang kami makan:

Roti bantal yang gebus gebasss!
Gulai daging dengan mumbang kelapa pemberian saudara yang juga jiran kami.

Berikut beberapa foto roti semasa dalam proses pembikinan:


Selesai proofing dan menunggu untuk masuk ke dalam ketuhar.
Baru keluar dari ketuhar.
Roti bantal pertama dihasilkan menggunakan resepi Dorina.
Cewah gebus gebas roti Mak Aji!!
Mak Aji cukup berpuas hati dengan roti yang dihasilkan dengan resepi ini. Mak Aji tidak menguli secara manual dan sebaliknya memohon bantuan BM untuk menguli doh sehingga elastik. Kalau Mak Aji menguli sendiri nescaya dohnya tidaklah seelastik ini! 

Terima kasih Honey dari blog Dorina's Delight kerana resepi yang cukup bagus sekali! Sekali makan sahaja sudah habis separuh bantal! Tidak sempat untuk dibuat sandwic esok. 




Monday, 20 October 2014

What's Cooking??

As-salam.

Lama sudah BM tidak berkhidmat untuk tuannya. Semalam meroti pun pakai pengadun sahaja - semacam memanggil-manggil dia - gunalah aku, gunalah aku! 

OK-lah, kamu kata kamu boleh masak kek, kan! Mak Aji mahu uji sama ada kamu boleh betul-betul buat kek dengan baik atau tidak! Jadi Mak Aji mulalah memasukkan bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan kek mentega yang agak mudah mengikut resepi yang terdapat pada manual arahan BM tersebut. 

Sekitar satu setengah berlalu dan dering BM menandakan kerjanya sudah tamat. Mahu lihat apa yang dihasilkannya?:

Boleh tahan gebu dan lemaknya kek ini (sila abaikan kesan rongak di kanan - tempat paddle BM).
Kek yang sudah siap dibakar.
BM sedang sibuk mengacau.

Alhamdulillah BM terbukti dapat menghasilkan kek yang agak baik (cuma bahagian permukaannya agak crusty/garing sedikit berbanding kek biasa yang dibakar di dalam ketuhar)! Kalau kesuntukan masa atau anda mengalami lebihan vitamin M (malas!), anda bolehkan gunakan BM untuk menghasilkan kek anda. Cuma anda perlu keluarkan kek sebaik sahaja masak sebab kalau tidak kek anda akan menjadi lebih garing permukaannya! 



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...