Followers

Saturday, 27 December 2014

Tunai Janji Cucu

As-salam.

Mak Aji pernah mengirimkan roti hasil tangan Mak Aji kepada cucu yang berdua orang di Skudai melalaui anak buah yang ke sana. Setelah menikmatinya mereka menelefon agar Mak Aji membuatnya lagi untuk mereka apabila mereka ke rumah Mak Aji nanti.

Semalam Mak Aji ke KLIA untuk kali ketiga selama 3 hari berturut-turut! Kalai pertama untuk menjemput anak buah yang baru sampai dari Pulau Pinang dan terpaksa balik ke rumah Mak Aji sementara menunggu penerbangan esoknya ke Kota Bharu - penerbangnam malam dibatalkan dan ditunda ke esok harinya kerana banjir dikhuatiri bertambah buruk pada malam itu. Hari berikutnya Mak Aji menghantarnya untuk balik ke Kota Bharu. Semnalam Mak Aji pergi lagi kle KLIA untuk menjemput Along serta dua cucu Mak Aji yang tersangkut banjir dan baru dapat keluar untuk balik ke KL. 

Sampai sahaja di rumah, cucu sulung, si Naufal menagih janji Tokmanya! - "Nanti Tokma buat roti hotdog tau!" Maka merotilah Mak Aji untuk menunaikan janji kepada cucu:

Piza - berapa banyak mayonis daaa, Along??
Roti hotdog yang ditagih.
Di kiri, roti berinti pes kacang merah.


Siap sahaja roti masak, belum sempat disapu butter pada permukaannya, anak cucu sudah bergegas ke dapur (termasuklah Pak Aji juga!) - sekejap sahaja licin Mak Aji 'berjual' dengan mereka!






Alhamdulillah selesai satu episod meroti untuk anak cucu. Esok mahu order roti apa pulak???






Friday, 19 December 2014

On Your Marks, Get Set, Bake!

As-salam.

Untuk anda peminat rancangan The Great British Bake-Off, tentu sahaja kata-kata di atas cukup biasa anda dengar! Mak Aji salah seorang peminatnya juga - yang syoknya apabila Mak Aji sendiri di dapur rmenghasilkan roti atau kek, maka fikiran Mak Aji melayang jauh dan terbayang seolah-olah Mak Aji juga salah seorang pesertanya juga! He he, layan Mak Aji layan.....

Oklah, habis cerita Mak Aji melayan angan-angan, mari kita kembali ke dapur. Semalam Mak Aji meroti lagi untuk menunaikan hajat anak buah Pak Aji yang sedang sarat mengandung yang teringin untuk merasa roti sarang tebuan. Maka merotilah Mak Aji lagi setelah berehat beberapa ketika dek sibuk kerana berulang-alik ke Shah Alam untuk majlis tahlil arwah kawan Pak Aji.

Seperti biasa, sebelum mula meroti yang pastinya persiapan awal perlu dibuat kerana Mak Aji tiada pembantu/bibik untuk disuruh membuat itu dan ini. Apabila mula menguli, maka tiadalah kerja lain yang boleh dibuat secara selang-seli. Maka inilah dia bahan persiapan awal:


A well-risen dough - kalau tiada, memang takkan meroti kita!
Bahan untuk filling dan topping.
Acuan yang diap dilenserkan dengan mentega.
Ini dia fondant mat sebagai alas kerja mencanai doh - comey kan yang pink tu!
Sedikit air untuk membenam doh yang lepas itu digelekkan
atas bijan hitam dan putih.
Dough cutter.
Digital scale.

Setelah siap kerja rounding dan shaping, maka terhasillah yang berikut:


Roti sarang tebuan yang ditaburkan pelbagai kekacang.
Ini dia doh yang dibenam dan digelek atas bijan - sila abaikan
saiznya yang tidak konsisten! Kalau masuk The Great British Bake Off 
pasti kalah punya dek saiz ni!
Yang nampak merah-merah tu ada filling dan topping menggunakan
blueberry compote
(yang dibikin sendiri)!
Ini dia tuna rolls.

Setelah siap proses membakar roti, maka berikut hasilnya:


Roti sarang tebuan yang belum disiram sos butterscotchnya.
Tuna rolls - roti yang paling laris!!



Maka sempurnalah hajat mak yong untuk makan roti sarang tebuan, alhamdulillah! Mak yong nak makan roti lagi, habaq mai no!!


Catatan: Kali ini dalam The Great British Bake Off (yang hanya dalam angan-anganku!!) Mak Aji kalah dengan sebab utamanya - inconsistency in size. Tidak mengapa, better luck next time!!



Monday, 15 December 2014

Marble Loaf

As-salam.

Setelah membeli acuan roti bertutup tempoh hari, hati Mak Aji asyik mendesak diri ini untuk menghasilkan loaf menggunakannya. Malam tadi Mak Aji menyediakan doh lalu menyimpannya di dalam peti ais. Pagi ini setelah Subuh Mak Aji mengulinya lagi serta mencuba untuk menghasilkan marble loaf seperti yang diajar oleh seorang ahli Kelab Roti, Azimah Chebo, seperti dalam foto berikut:

Cara menghasilkan marble loaf.
Ini tocang versi Mak Aji - tentunya tak secantik Cik Mah (Azimah Chebo)
punya yang memang pro!
Berehatlah kamu di situ!
Setelah sejam dohnya naik lebih 2 kali ganda. Naiklah lagi hingga ke atas ya!!
Siap masak!

Inilah dia hasil akhir marble loaf Mak Aji - comey, kan!!

Kebetulan Pak Aji puasa hari ini. Setelah melihat roti ini, ditanyanya - "apa rasanya, manis ke??" Mak Aji jawab, "tawar je, roti kosong, cuma bercorak je!" Rupanya yang cantik manis seolah-olah membayangkan rasanya yang juga manis, he he!! 

Hajat Mak Aji sebenarnya agar roti naik sampai ke bumbung acuan lantas membentuk roti berbentuk empat segi. Namun begitu, dek kerana roti tidak mahu naik sampai ke tahap itu, makanya sekadar inilah yang diperoleh! Apapun alhamdulillah dari segi rupa oklah! Mak Aji menggunakan resepi roti benggali Wan Raudzah manakala cara menghasilkan marble loaf ihsan Azimah Chebo di FB!



Daripada Allah Kita Datang, Kepada-Nya Kita Kembali

As-salam.

Seminggu dua yang lepas Mak Aji dikejutkan oleh pemergian suami kepada seorang rakan sepejabat. Arwah suaminya sedang memasak ketika diserang strok secara tiba-tiba. Isterinya sedang berpantang setelah melahirkan cahaya mata kedua mereka! Arwah baru berusia awal 30-an.

Semalam pagi sekitar 7.30 pagi seorang lagi kawan baik keluarga kami, Haji Amir/Kechik bin Lazim kembali ke Rahmatullah setelah 6 bulan menderita pelbagai masalah kesihatan berpunca daripada penyakit kencing manisnya. Beliau yang berusia 68 tahun merupakan tuan punya restoran di pinggir tasik Shah Alam. Alhamdulillah setelah selesai solat Zuhur jenazahnya disembahyangkan dengan diimamkan oleh Habib Ali Zaenal Abidin dengan disudahi doa yang cukup panjang. 

Arwah Haji Amir bersama-sama isterinya Ibu Dewi.

Arwah cukup dikenali dan disegani masyarakat di Seksyen 6 Shah Alam, juga di sekitar Sidoarjo, Surabaya, tempat mereka menetap di Indonesia. Bersama-sama isterinya arwah membangunkan sebuah pondok pesantren yang menempatkan anak-anak yatim yang dibawa dari serata Indonesia untuk diberikan pendidikan serta tempat tinggal percuma. Arwah juga seorang yang cukup memuliakan golongan habaib dan beliau bergiat cergas menganjurkan aktiviti dakwah di Indonesia. Pasangan suami isteri ini juga tidak putus-putus menerima tetamu di rumah mereka termasuklah Mak Aji dan Pak Aji. Merekalah juga yang sering menjadi tempat anak-anak Mak Aji meminta bantuan sekiranya menghadapi apa-apa masalah terutama sekali dari segi kesihatan. Hanya Allah sahajalah yang mampu membalas jasa dan budi baik mereka!

Doa serta Al-Fatihah dikirimkan kepada arwah Haji Amir. Moga Allah menempatkan roh beliau dalam kalangan orang-orang yang soleh. Amin ya Rabbal Alamin.




Moga Suria Janib serta Ibu Dewi reda dan ikhlas melepaskan suami masing-masing kembali menghadap Allah. Dua orang cahaya mata masing-masing yang ditinggalkan merupakan amanah yang insya-Allah akan dididik sebaik mungkin untuk menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, amin!!




Friday, 5 December 2014

Mangsa yang Terselamat

As-salam.

Alhamdulillah syukur doh roti yang diselamatkan pada pagi tadi sudah tinggal sedikit setelah Mak Aji 'berjual' dengan tamu yang bersarapan dengannya dan juga tamu lain yang datang pada petang ini. Kalau tanpa diberitahu tiada siapapun mampu meneka yang ban-ban yang dihasilkan itu merupakan manga yang terselamat angkara kelalaian tukang yang membuatnya! Kalau sudah tersurat yang ban Mak Aji bakal menjadi rezeki tamu yang berkunjung, maka walau bagaimana sekalipun memang itulah yang berlaku! Kun fayakun!! Mari kita lihatkan:

Yang diminati ramai, roti sarang tebuan.
Cubaan membikin ban panjang menggunakan loaf-pan.
Sos butterscotch - campur tepung jagung agar lebih pekat.

Pertama kali mencuba kelopak yang terpusing - berinti kacang merah.


Bentuk ciptaan baru - berintikan kacang merah dan plaited.

Alhamdulillah seronok meroti pada hari ini. Hasilnya berbaloi dengan usaha yang dicurahkan (meskipun berlaku kejutan awal-awal pagi tadi kerana terlupa meletak yis ke dalah doh!). 




Selamatkan Aku!

As-salam.

Pagi semalam Mak Aji dan Pak Aji pergi menjemput isteri arwah guru Pak Aji serta dua anak daranya yang datang berkunjung ke KL untuk berziarah kawan kami yang bertamu di HKL kerana sakit yang agak teruk. Selepas menjemput mereka di Gombak, kami terus ke HKL dan menunggu untuk masuk berziarah yang sakit. Selesai ziarah serta solat dan makan minum, kami pulang ke rumah Mak Aji.

Malamnya, sebelum tidur Mak Aji menyediakan doh roti (untuk sarapan tamu esok paginya) menggunakan 500gm tepung. Setelah selesai menguli 2 pusingan program 8 di BM, Mak Aji masukkan mangkuknya agar proofing semalaman. Angan-angan Mak Aji, semoga menggebulah doh di dalam peti ais.

Usai solat sunat sebelum Subuh, Mak Aji menjenguk peti ais. Mana dohku??? Terpaksa Mak Aji jenguk jauh ke dalam mangkuk untuk melihatnya - bagaimana doh itu ditinggalkan malam tadi, begitulah juga rupanya pagi ini! Alamak, Mak Aji terlupa letak yis! 

Mak Aji teringat suatu posting kawan Kelab Roti yang mengalami 'bencana' yang sama dan dia dinasihatkan oleh kawan-kawan kelab agar menambah sahaja yis, uli lagi dan membuat proofing sekali lagi. Maka alhamdulillah setelah membuat langkah-langkah yang sama, doh Mak Aji mampu diselamatkan!! 

Ini dia doh yang terselamat itu setelah proofing sejam!:

Dohku yang silap gaya mungkin ditongsampahkan!!
  
Sebentar lagi akan diusahakan roti sarang tebuan serta ban manis juga untuk sarapan kami pagi ini, insya-Allah!

Wednesday, 3 December 2014

Mainan yang Tiada Habisnya!

As-salam.

Semalam Mak Aji menghantar pulang kakak sulung, Cik Ning serta suami dan adik Mak Aji ke Subang untuk kembali ke kampung. Kami berkumpul untuk meraikan majlis kahwin anak sepupu di Gombak pada hari Sabtu lepas.

Cik Ning juga ahli Kelab Roti (KR) dan oleh sebab itu kami berkongsi minat yang sama. Peluang berada di sini dimanfaatkan juga untuk ke Golden Republic di Bukit Jelutong untuk membeli Convibake - bahan adunan roti. Chef Li (yang dengannya Mak Aji belajar membuat roti tempoh hari) juga menghadiahi kami dua ketul roti loaf - jazakallah khair Chef!  

Selepas  itu kami ke Bagus cawangan Shah Alam untuk membeli barangan untuk meroti dan membaking (marah orang DBP ni - tumpang lalu ya!). Mak Aji juga meninjau juga barang yang dikirim kawan-kawan (penimbang digital serta fondant mat, jika ada). Fondant matnya habis stok manakala penimbang digital terjual dengan harga potong leher! Lihatkan!:

Mak Aji beli dengan harga RM34.00 sahaja!
 (harga sebenar RM36.90).

Cik Ning ada membeli  ramekin sebanyak 10 biji yang harganya agak murah (saiznya sama dengan yang Mak Aji punya - untuk buat creme brule serta kastad, katanya). Kami seterusnya ke Bukit Rahman Putera, ke kedai bakeri yang biasa Mak Aji kunjungi dan di situ Mak Aji belikan penimbang digital dengan harga RM 36.90 - sudah habis salenya. Mak Aji juga belikan fondant mat yang warnanya pink - manis pinknya (Mak Aji beli lagi satu, he he!). Satu lagi yang kami beli, acuan roti berbentul 4 segi panjang - untuk menghasilkan roti empat segi - ada penutupnya! Cik Ning mahu membikin roti titab! - terkenal di Kelantan - Mak Aji pun belum pernah cuba! Lihatkan:

Pandangan dari sisi.
Pandangan dari sisi lain. Harganya RM17.00.

Acuan roti ini bahagian penutup atasnya jenis gelongsor (sliding). Mak Aji sudah mendapat panduan daripada seorang ahli KR juga tentang banyak mana doh yang diperlukan untuk saiz tertentu acuan jenis ini (kena buat kiraan matematiklah pulak!). Cik Ning pun seronok apabila penuh begnya dia memborong!




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...