Followers

Tuesday, 14 October 2014

I-Pad Hilang!

As-salam.

Mak Aji jarang menggunakan i-Pad kecuali untuk melihat wayang (Siri Downton Abbey aje pun!) yang dimuat turun oleh Boy atas arahan Mak Aji - lebih mudah dibawa ke hulu ke hilir sambil menontonnya berbanding duduk menghadap PC. Kali akhir Mak Aji nampak Zhafran sibuk melayan Aleesya menonton Upin Ipin di i-Pad tersebut. 

Boy Mak Aji minta untuk memuat turun Downton Abbey Siri 5 - asyik ketinggalan menontonnya di TV. Balik dari kampung tempoh hari Mak Aji tercari-cari i-Pad - tiada siapa yang tahu - segenap orang Mak Aji tanya.



Masih ada rezekiku!. Jangan hilang lagi tau!! I-Pad sedang tumpang 'menyusu' 
di radio - ada dock khas yang disediakan.

Akhirnya hati terdetik untuk menyelak kusyen sofa di ruang tamu - kadang-kadang ada yang suka sorok barang di situ. Alhamdulillah ada pun dia di situ! Leganya! Kalau hilang alamat tiadalah lagi Mak Aji membeli yang lain sebab Mak Aji jarang pakai pun - asyik orang lain sahaja yang pakai! Biasanya Boylah - diletaknya di hadapan treadmill - tonton wayang sambil berjogging - sumbat telinga dengan ear-phone!

Tempat yang paling biasa i-Pad ditenggekkan oleh Boy - Bagus juga kalau layan Downton Abbey kat sini ya! Hmmm! Boleh lari sepanjang satu episod tanpa berasa bosan!




Cuci Mata di Jalan TAR

As-salam.

Mak Aji jarang turun ke KL - al-maklumlah orang pencen, malas Mak Aji meredah kesesakan KL kalau tiada hal penting. Lewat pagi tadi Pak Aji ajak menemankan dia untuk menghantar tamu balik ke Singapura. Tamu bertandang selama sehari dua di rumah - kawan kepada Asraf, anak bongsu Mak Aji. Mak Aji mahu juga keluar sebab Pak Aji pancing dengan nasi kandar (Jomlah ikut, nanti kita makan nasi kandar! Begitu kata-kata manisnya! Terbayang kesedapan nasi kandar, Mak Aji pun ikutlah).

Masuk sahaja ke lebuhraya PLUS, di kiri kanan jalan terdapat pelebaran jalan hingga ke 4 lajur! Terkejut Mak Aji - punyalah lama tidak keluar rumah! Mak Aji percaya, kesesakan akan reda sedikit sekejap sahaja tu, nanti sesak juga lagi tu - kereta makin banyak! 

Makin banyaklah bahagian sisi jalan termasuklah bukit yang ditarah untuk tujuan pelebaran jalan tersebut. Jalan lengang sebab masing-masing sudah sibuk di pejabat (balik ke rumah perlu sebelum mereka keluar pejabat!) 

Setelah menghantar tamu ke KL Sentral, kami terus ke Jalan TAR. Pak Aji mahu cari buku di Pustaka Mukmin - keluar tangan kosong sebab katanya buku yang dimahukan agak mahal - beli sahaja nanti di Surabaya waktu kami ke sana nanti pada awal Januari, insya-Allah - jauh lebih murah! Sementara Pak Aji di kedai buku, Mak Aji meninjau-ninjau kedai berdekatan - ke Princess (ada jualan hingga 30% Scholl namun tiada yang betul-betul berkenan di hati. Tinjau lagi jubah - pun tiada yang berkenan - agak sempit di pinggul (kena beli jubah Arab jugalah yang berpotongan payung). Mak Aji masuk ke kawasan arked - kain pasang RM10 sepasang?? Puas jurujual mengecek Mak Aji untuk membeli - Mak Aji sudah tidak pakai baju bunga-bunga, sekarang pakai seragam hitam sahaja! Bagus juga ya, selamat duit aku! He he!! 

Mak Aji menyeberang ke Bata sebab kelihatan ada jual murah - keluar tangan kosong juga sebab tiada yang berkenan dan jurujual juga sibuk berborak sesama mereka! Apa daaaa!

Sebelum kembali ke kereta kami sempat mencari rempah beriani di bangunan sebelah Semua House. Dapatlah beberapa kotak rempah beriani daging/kambing serta ayam. Suasana di sekitar Jalan Bunus agak meriah sebab raya Deepavali sudah dekat - banyaklah barang keperluan untuk Deepavali dijual. Akhirnya sebelum balik kami mencari nasi kandar di kedai nasi kandar Mohd Yaseen, juga di Jalan TAR.  

Kali ini kami tidak perlu beratur sebab waktu sudah hampir jam dua petang.
Mak Aji makan lagi lauk yang sama seperti kali akhir ke sini.

Sebelum balik, kami sempat menyinggah ke sebuah kedai yang menjual barang makanan dan sebagainya dari negara Arab - betul-betul setentang dengan restoran nasi kandar ini. Namanya Suria Wholesalers - mereka menjual dari makanan, pakaian, barang dapur serta ayat-ayat suci sebagai hiasan dinding. Sempat kami beli sedikit barang dapur - kacang pol dalam tin, rempah ratus, pes tomato, buah zaitun, serta beberapa jenis teh. 

Setelah selesai kami terus balik agar sempat Zuhur di rumah. Seronok juga sesekali cuci mata di Jalan TAR!




Monday, 13 October 2014

Petua Kesihatan

As-salam.

Semasa kami balik kampung tempoh hari, di kampung tempat kami melakukan ibadah korban, Mak Aji memerhatikan Pak Aji khuyuk berborak dengan seorang pak cik. Mak Aji duduk agak jauh, jadi tiadalah jelas apa yang diperkatakan. Dalam perjalanan balik ke KL Pak Aji bercerita tentang apa yang diborakkan sebelum itu.

Pak cik tadi sebenarnya berusia 90 tahun dan beliau sihat walafiat kecuali demam sekali-sekali - makan Panadol sahaja baiklah dia. Beliau tiada penyakit seperti darah tinggi, kencing manis atau sakit jantung! (malu pula kita yang lebih muda yang mengadu macam-macam sakit!). 

Antara lain, (tambah kata pak cik itu) orang zaman sekarang mudah sakit sebab sudah tidak 'berhubung' dengan tanah! "Kita berasal dari tanah, maka kita perlu rapat dengan tanah." Apa tidaknya, walaupun kita tinggal di rumah bertanah, kita memang tidak akan keluar rumah dengan berjalan kaki ayam! Apa lagilah orang yang tinggal di bangunan tinggi, lagilah jauh daripada tanah!

Mengikut pak cik ini, untuk merapatkan diri dengan tanah, kita perlu sekurang-kurangnya berjalan berkaki ayam sebanyak 100 langkah sehari untuk kekal sihat!! Amacam, jom kita cuba!

Tanggalkan capal, jom berkaki ayam pulak!!

Tiada salahnya mencuba. Bukannya rugi atau luak apapun, kan! Jom!!

If It's Number 1, Don't Flush!

As-salam.

Pernahkah anda dengar kata-kata yang menjadi tajuk entri Mak Aji hari ini?? Kalau anda biasa tonton rancangan Extreme Cheapskates di Astro, tentu anda tahu, kan! Untuk manfaat anda yang tidak tahu, maknanya - kalau buang air kecil, tidak usah pam tandas tu! Ini semua gara-gara menjimatkan air. 

Kalau selama ini Mak Aji dengar di TV, semalam Mak Aji terpaksa sebut kata-kata yang sama kepada anak bujang Mak Aji, Boy! Nasib baiklah hanya kami bertiga yang ada di rumah, (apabila bekalan air terputur dek tumpahan minyak disel) jadi penggunaan air bolehlah dijimatkan sementara bekalan air kembali normal. Kami juga hanya menggunakan tandas cangkung sahaja. Semua tandas duduk dilarang penggunaannya! 

Mak Aji juga tersenyum apabila Boy bertanya, "Boy nak mandi, boleh Ma??" Mahu mandi pun kena tanya Mama? Mak Aji nampak Boy (orang dewasa) berdiri memakai tuala tetapi terbayang budak lelaki memakai tuala kecil meminta izin untuk mandi! Kelakar betul - geram, geram juga (kepada Syabas) tetapi kelakar pun ada juga apabila timbul dialog dan adegan yang mencuit hati ini!

Bekalan air terputus sejak pagi semalam dan malam tadi sebelum tidur Mak Aji dapati air masih tiada. Walau bagaimanapun bangun dari tidur Subuh tadi alhamdulillah bekalan air sudah pulih! Apa lagi, hari ini operasi mencuci - pinggan mangkuk, kain baju, ......


Sumber foto: www.venusbuzz.com



Friday, 10 October 2014

Balik Kampung Beraya Haji

As-salam.

Mak Aji, Pak Aji serta Boy pulang beraya ke kampung genap seminggu yang lalu. Kami bertolak sebaik sahaja selesai makan sahur dan memasukkan beg pakaian (serta sekotak buah betik dan mangga dari laman sebagai ole-ole dari KL ke kampung!) ke dalam kereta. Bergegas kami keluar dari rumah agar kami sempat keluar sebelum masuknya waktu solat Subuh (agar terlepas kewajiban untuk menunaikan solat Jumaat ke atas Pak Aji dan Boy). Kami menyinggah di masjid di Selayang untuk solat Subuh berjemaah. Usai solat kami meneruskan perjalanan balik ke kampung mengikuti jalan Gua Musang. Kenderaan agak banyak tetapi lalu-lintas berjalan lancar tanpa kesesakan.

Kami selamat tiba di rumah kakak Mak Aji, Cik Ning sekitar jam 1.00 tengah hari. Setelah berehat seketika, kami keluar untuk mencari lauk untuk juadah berbuka - Boy mahu makan lidah lembu bakar! Kami ke Pasar Siti Khadijah untuk tujuan tersebut.

Sejam dua kemudian Mak Aji menerima pesanan daripada Along berserta foto kemalangan melibatkan treler yang melintang serta menutup terus jalan menuju KB. Saksikan foto berikut:

Kemalangan dalam perjalanan dari Kuala Lipis - Gua Musang sekitar Merapoh.
Mak Aji dimaklumkan kesesakan sepanjang 30 km dari tempat kejadian menghala ke KL. Dari tempat kejadian ke Gua Musang juga sesak teruk. Alhamdulillah kami terlepas daripada terperangkap dalam kesesakan tersebut. Setelah 4 jam barulah treler dapat dialihkan dengan serba susah payahnya! (kawasan berbukit - Bukit Tujuh nama tempatnya).

Mengikut rencana awal kami sepatutnya bertolak balik ke KL pada hari Rabu tetapi dek kerana Pak Aji ada urusan penting, maka kami terpaksa percepatkan ke hari Selasa. Apa lagi, sampai sahaja kami ke kawasan Machang (jalan Gua Musang), kesesakan teruk berlaku. Kami berpusing balik dan meneruskan perjalanan melalaui jalan Grik. Alhamdulillah jalan agak selesa tanpa kesesakan dan kami selamat tiba sekitar jam 2 pagi hari Rabu.

Kami bertiga menunaikan ibadah korban di Pattani - di pondok arwah guru Pak Aji. Kami menyeberang sungai (tanpa pasport!) dari Kampung Simpangan, Tumpat. Hati berdebar-debar memerhati arus sungai yang sedikit lesu dan pada masa yang sama Mak Aji teringat kejadian perahu karam di Sungai Golok ini juga (ketika itu dua lagi mangsa belum ditemui), iaitu di Mundok, Thailand. Kalau diikutkan hati tidak mahu Mak Aji pergi kerana Mak Aji tidak tahu berenang! Apapun Mak Aji beranikan diri berbekalkan bacaan ayat Kursi! Alhamdulillah kami selamat menyeberang, selesaikan korban, makan kendurinya dan selamat menyeberang balik!! 

Suami mangsa serta 3 mangsa yang terkorban.
Sumber foto: http://duniaitu.blogspot.com/2014/10/korban-sungai-golok.html
Semoga keluarga mangsa tabah menerima takdir Allah ini dan semoga semua roh mangsa dicucuri rahmat-Nya jua dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh dan solehah, amin!!



Hidangan Istimewa - Lidah Lembu!

As-salam.

Semasa kami balik beraya minggu lepas anak bujang Mak Aji ada menyebut yang dia teringin untuk makan lidah bakar seperti yang pernah dimasak kakak Mak Aji, Cik Ning, tidak lama dahulu. Kami terus ke Pasar Siti Khadijah lalu membeli lidah lembu dengan harga RM 20 satu. Saiznya agak boleh tahan juga. Cik Ning sudah sedia ada lidah lembu satu di rumahnya dan untuk berbuka puasa hari Sabtu itu, salah satu hidangannya - dua lidah lembu bakar!!

Dua lidah lembu yang siap di celur, dikupas kulitnya serta di cucuk-cucuk dengan
pisau dan dilumur garam kunyit.
Lidah dibalut dengan kerajang aluminium dan dibakar selama 2 jam
 lebih di dalam ketuhar.
Ini hasilnya - so juicy, so succulent!
Dipotong nipis dan siap untuk hidangan berbuka!!

Kami berbuka dengan cukup berselera pada petang Sabtu itu - bertambah-tambah nasinya! Ini gara-gara lidah lembu bakar yang lama sudah tidak dinikmati! 



Mainan Baru

As-salam.

Pada pagi ini Mak Aji mendapat mainan baru di dapur (dihantar oleh Poslaju). Mainan ini Mak Aji pesan secara dalam talian dengan rakan FB. Lihatkan:

Tempat simpan roti.
Juga ada slicing guide agar roti boleh dipotong dengan cantik!

Tidak sabar Mak Aji untuk menghasilkan loaf dan memanfaatkan bread keeper ini!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...