Followers

Wednesday, 12 September 2012

Makanan Laut Celup Tepung di Penarik

As-salam.

Seperti yang Mak Aji sebut dalam entri lepas, kami menyinggah makan juga di pantai Penarik, Terengganu - tempat yang biasa dikunjungi hampir setiap kali balik kampung. Yang kami pesan, ikan kembung dan sotong sahaja yang dicelup tepung dan digoreng. Dalam suasana di tepi pantai dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa, berselera masing-masing makan:

Menunggu untuk makan.

Inilah suasana yang damai di pantai tersebut:

Foto dari gerai makan.


Ikan Patin Masak Tempoyak

As-salam.

Dalam perjalanan ke Kota Bharu tempoh hari, kami menyinggah di R & R Temerloh arah timur dan kami menjamu selera dengan ikan patin (bela di sungai) masak tempoyak di gerai berikut: 

Kami makan di gerai ini.

Gambar ikan masak tempoyak tiada sebab Mak Aji puasa, jadi Mak Aji duduk jauh sedikit daripada mereka yang tidak puasa. Walau bagaimanapun masak tempoyak semerbak sebaik sahaja kami masuk ke medan makan tersebut! Untuk tidak mengecewakan orang puasa, maka kami bungkus empat ketul dengan setiap ketul berharga RM7.00. Setelah makan, Mak Aji rasa ikannya tidak hanyir, rasanya sederhana sedap. Pernah makan yang lebih sedap di tempat lain.

Di R & R ini juga Mak Aji dapati ada dijual kacang-kacang dan antara lainnya ada juga biji aprikot yang biasanya agak sukar dicari (dikatakan baik untuk mengubat kanser!). Lihat fotonya:

Biji aprikot



I'm Back!!

As-salam.

Mak Aji baru sahaja tiba dari Kota Bharu dengan Pak Aji sebentar tadi. Along sudah mengomel yang Mak Aji sudah berhari-hari tidak mengemas kini blog! Memang yalah tu! 

Memang terasa lama betul Mak Aji tinggalkan blog - agak-agak sudah bersawang ya!! Panjang ceritanya. Sebenarnya Mak Aji dan Pak Aji serta Hanif dan Nadia balik ke Kota Bharu dan Jerteh atas urusan keluarga. Keputusan untuk berangkat balik dibuat agak lewat juga, sekitar 11 pagi Khamis. Setengah jam kemudian, kami bertolak melalui Lebuhraya Pantai Timur dan lebuh raya baru yang tembus sampai ke Gemuruh. Kami langsung mengikut jalan pantai dan menyinggah di Penarik untuk menjamu selera - ikan celup tepung, sotong celup tepung dan digoreng dan dimakan dengan sos. Kami terpaksa menunggu sekitar sejam lagi sementara Mak Aji berbuka dengan makanan yang sama! 

Sesampai kami di Kubang Kerian, kami berhenti di Kedai Makan Pohon Getah (selepas lampu isyarat menghala ke HUSM Kubang Kerian, di sebelah kanan) untuk pekena nasi (berlauk itik) serati - kegemaran Pak Aji. Setelah selesai makan barulah kami ke rumah Cik Ning di Pasir Tumboh.

Program kami, memperkenalkan menantu baru kami kepada saudara terdekat di kedua-dua belah pihak Mak Aji (di Wakaf Che Yeh dan Pasir Puteh) dan juga Pak Aji (di Jerteh). Setelah berkunjung ke entah berapa rumah, Hanif dan Nadia balik terlebih dahulu ke KL kerana urusan keluarga Pak Aji belum sempat selesai seperti yang dijangkakan. Kami Mak Aji dan Pak Aji terpaksa pulang ke KL selang beberapa hari kemudian.


Wednesday, 5 September 2012

Back to Normal

As-salam.

Pagi-pagi lagi selepas solat Subuh, Mak Aji, Pak Aji serta Madihah dan Asyraf serta kawan Asyraf, Syed Hassan bergegas ke LCCT untuk penerbangan mereka bertiga ke Surabaya. Macam biasa, saban tahun (dalam perjalanan ke LCCT untuk menghantar mereka) masing-masing berat mulut untuk bercakap, jadi suasana di dalam kereta sunyi sepi kecuali untuk suara qasidah yang Pak Aji perdengarkan daripada CD yang anak-anak bawa balik dari Surabaya. Mereka berat hati untuk balik ke sana dan kami berat hati melepaskan mereka pergi!! 

Sesampai kami di rumah, rumah terasa kosong sekali. Tinggallah Mak Aji dan Pak Aji sahaja di rumah. Zhafran balik ke rumah biasanya malam. Solat maghribnya pun di pejabat. Boy hanya balik hujung minggu sahaja. Hanif dan Nadia pula masih di Terengganu. Mereka akan balik malam nanti - kena pergi LCCT lagi nanti.

Berikut beberapa gambar muka monyok masing-masing semasa di LCCT: 

Madiha senyum paksa. Asyraf memang monyoklah.
Pak Aji control macholah.
Mak Aji memang monyok sebab hilang kawan bergaduh
dengan Madihah dan Asyraf!!
Keluarga Khadijah yang anak daranya, Nadia  memondok
bersama-sama Madihah

Mak Aji juga baru tahu yang dua anak Ustaz Azhar Hashim (bukan Ustaz Azhar Idris yang terkenal itu)  juga baru sahaja menghantar anak-anaknya ke Surabaya, ke pesantren yang sama dengan Madihah (yang perempuan di Pondok az-Zahro dan yang lelaki di pondok Kraton). Alhamdulillah bertambahlah warga Malaysia di sana!!


Monday, 3 September 2012

Bulan Madu di Ri-yaz Heritage

As-salam.

Letih Mak Aji belum hilang kesemuanya, jadi usai solat Subuh, Mak Aji sambung peluk bantal. Tidak lama selepas itu, Hanif kejutkan Mak Aji untuk menghantarnya dan Nadia ke LCCT. Destinasi bukan madu mereka, Pulau Duyung, iaitu di sebuah tempat spa dan peranginan yang baru dibuka, Ri-yaz Heritage Spa and Resort.

Mak Aji dapat tawaran penginapan 3 hari 2 malam di beberapa tempat peranginan dan apabila mengingatkan Hanif akan kahwin (ketika itu), Mak Aji hadiahkan pakej tersebut kepada mereka supaya pilih yang mana satu. Mereka memilih ke Terengganu sebab Nadia belum pernah ke sana. Biarlah Mak Aji beri peluang kepada mereka untuk bersendirian sebelum mereka memulakan hidup baru di dunia nyata (sekarang agaknya masih di awang-awangan!). 

Mak Aji harap Hanif dan Nadia cukup bersedia memikul tanggungjawab masing-masing dan berjaya mengharung pelbagai dugaan dan cabaran yang mendatang, insya-Allah. Mendirikan rumahtangga jauh lebih mudah daripada usaha mengekalkannya! Forget all worries, and enjoy your intimate time together, for both of you will remember this for the rest of your lives!!

Salah satu bilik penginapan di Ri-Yaz.



Foto Istimewa pada Majlis Akad Nikah

As- salam.

Mak Aji ingin berkongsi beberapa foto menarik yang diambil pihak sebelah sana semasa kami ke majlis akad nikah di rumah Nadia tempoh hari. 

Berikut beberapa foto yang sebahagiannya diambil dari FB (jangan kena saman pemiliknya sudah, he he!):

Rombongan kami sampai ke rumah besan
untuk akad nikah.
Majlis akad nikah.
Shedding a tear selepas lafaz nikah.
Pengantin dengan kawan-kawan - saat-saat akhir bergelar anak dara.


Sunday, 2 September 2012

Majlis Kenduri Kahwin Hanif



As-salam.

Malam ini barulah Mak Aji berasa lega sedikit selepas dapat merehatkan diri ekoran majlis kenduri kahwin di pihak kami (menyambut menantu) yang kami adakan semalam di rumah kami sendiri (memang lebih mesra keluarga berbanding di dewan. Namun, penatnya Allah SWT sahaja yang maha mengetahuinya!). 

Alhamdulillah majlis berjalan lancar seperti yang dirancang, cukup meriah sekali dengan kehadiran kaum keluarga dan rakan taulan yang hadir untuk menyerikan majlis. 

Mak Aji sedaya upaya mencuba agar segala garis panduan yang Pak Aji tentukan dipatuhi! Antara lainnya: asingkan tetamu lelaki dan wanita, kalau nak sanding pun buat sahaja di bilik pengantin, bukan di ruang tamu agar lebih private, ......

Sayang sekali Mak Aji tidak sempat merakam foto tabir yang memisahkan tetamu lelaki dan wanita. Apabila diasingkan lelaki wanita, mereka agak bebas bersembang sesama jantina - cukup seronok berborak terutama sekali apabila masing-masing sudah lama tidak bertemu! 


Dekorasi pada pergola untuk menyambut tetamu.
Meja pengantin.
Pengantin di meja makan.
Foto: ehsan Monie
Katil pengantin.
Katil lagi
Mini pelamin.
Dari dekat - cukup hidup bunga rosnya!
Mak Aji serta Pak Aji dengan Hanif dan Nadia.
Kami sekeluarga.
Kakak dan adik-adik Pak Aji.
Along sekeluarga.

Nadia.
Hanif dengan Nadia memerhatikan dari belakang.
Senyum bahagia insya-Allah!
Lagi.....
Main tarik tudung, he he!!

Semoga Hanif dan Nadia kekal bahagia sepanjang hayat dan semoga dikurniakan oleh Allah SWT anak-anak yang soleh dan solehah!! (how about a grand-daughter for me by next year??). He he he!!

Catatan:
a. Jamuan makan disediakan oleh Aliya Jaya Catering
    Hiasan bilik pengantin dan meja makan oleh Berdua Bridal

b. Kami sekeluarga memohon berbanyak-banyak maaf kerana ada rakan taulan dan saudara mara yang tercicir daripada senarai jemputan. Kenduri kami berskala kecil sahaja dan kami tidak mampu menangani bilangan jemputan yang ramai.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...